Hari ke-29 bagi Jayzuan



Poyoisme adalah erti cool yang paling baharu menurut ungkapan daripada seorang artis ekspresionis juga komposer muzik tempatan saudara Fathullah Luqman Yusuff (FLY). Tidak diketahui dari mana asalnya perkataan poyo - kata akar dari istilah poyoisme tadi - ia berkemungkinan berasal dari loghat kenegerian Johor ataupun kotaraya KL. Poyo adalah perkataan urban yang berkemungkinan tercipta di kedai-kedai mamak dan restoren tomyam di sekitar ibukota. Ia pertama kalinya diucap oleh remaja-remaja urban, mat rempit ataupun budak-budak underground tempatan, dan bukannya oleh ahli falsafah Malaysia. Itupun sekiranya Malaysia punyai ahli falsafah terkemuka. Dalam fahaman underground lokal yang tercetus pada akhir 70-an dan sejak itu mengalami proses evolusi unik, terdapat satu perkataan lain dikenal sebagai membawa unsur negatif lagi penuh penghinaan iaitu poseur. Dari ilmu etimologi, kata poseur telah dikesan penggunaannya di England sekitar abad ke-19 lagi. Berkemungkinan poyo dan poseur adalah kata yang mempunyai maksud sama, tetapi ia masih mempunyai beza dalam kelas tersendiri. Jika poseur terkenal sebagai kata pejoratif, poyo pula lebih kepada kata unik yang boleh membawa dua maksud berbeza. Ia boleh diguna untuk menjatuhkan peribadi seseorang dengan label hodoh, juga boleh membawa erti yang positif. Ia adalah kata berunsur komikal yang lebih populis sifatnya.

Apa yang aku merepek ni?


Oh, aku ingin mengulas tentang buku '28 Hari: Jurnal Rock n Roll' karya Jayzuan, seorang pemuzik Rock n Roll tempatan yang memilih untuk setia dengan falsafah serta etika RnR tadi. Setelah berjaya menghabiskan buku 'comel' terbitan Sang Freud Press dalam masa setengah hari, aku seolah turut berjalan bersama Jayzuan dalam kembaranya mengelilingi semenanjung Malaysia sebagai seorang pemuzik. Bezanya, bagiku sekadar setengah hari sedangkan Jayzuan memerlukan 28 hari, haha!

Jurnal ini amat ringkas, setebal lebih kurang 90 mukasurat dengan kulit depannya direka oleh Sufian Abas, ia menerapkan sisi muzik alternatif (perhatikan aku tidak mahu menggunakan istilah underground) Jayzuan yang bergenre Rock n Roll di dalam ambien grunge, ditambah sketsa humor si gelandang yang menggantung gitar dibelakang, dicuit dengan rutin biasa kehidupan, masalah cinta dua jantina yang tak habis-habis serta dipercik sedikit soal-soal transenden kerohanian dan ketuhanan. Jayzuan berjaya sebagai penulis travelog kerana ceritanya mempunyai unsur-unsur di atas. Dia mengembara sambil membawa para pembaca berjalan bersamanya. Tapi dalam masa sama, dia tidak mahu kita mengikutinya. Seolah, dia mahu kita sekadar memahaminya. Sayangnya, jurnal Jay ini hanya sekadar 28 hari. Rasanya, kita memerlukan Jayzuan untuk terus mengembara atas mukabumi, mungkin menambah lagi travelognya menjadi 365 hari, atau 4-5 tahun untuk kita betul-betul memahami sosok yang bernama Jayzuan ini.

Di dalam tulisannya, melalui luahan bersifat peribadi mengenai maksud dan tujuan kehidupan, persoalan erti cinta dan keserakahan, kita dapat tahu Jayzuan cuba memberitahu kita bahawa dia keseorangan dalam dunia ini, biarpun sentiasa ditemani sahabat, kawan, teman dan handai taulan. Oleh itu, untuk tidak menyedihkan Jayzuan lagi, di sini aku menyenaraikan beberapa dalil sebagai menunjukkan bahawa dia tidak seorang diri sebenarnya. Para pembaca lain '28 Hari: Jurnal Rock n Roll' juga perlu aktif memberitahu Jayzuan bahawa dia sentiasa berteman biarpun kejauhan. Berikut adalah apa yang aku rasakan persamaan antara aku dan Jayzuan, melalui pembacaan jurnalnya. Untuk makluman, aku tidak begitu rapat dengan Jayzuan. Bukan dari kalangan kroni dan bulatan karibnya.

1. Jayzuan mulai terjerumus ke dalam muzik melalui fenomena grunge yang dicetus oleh orang kuat Nirvana, Kurt Cobain. Aku juga turut terkesan dengan fenomena 'grunge' yang menggunapakai kord-kord gitar mudah dan membuatkan Slash cemburu sewaktu masa dahulu. Selepas kematian Kurt Cobain, terdapat misi untuk mewujudkan scene-scene muzik ala Seattle di tanahair Malaysia. Setelah itu, Malaysia mengalami proses evolusi muzik yang tersendiri dengan penerapan elemen kemelayuan dalam alunan grunge. Maknanya, seorang Melayu itu masih sedar dia orang Melayu biarpun sedang mendendangkan lagu Inggeris. Tidak ada masalah tentang itu.

2. Label pembenci 'pejabat'. Bagiku, Jayzuan bukannya membenci orang pejabat. Dia mungkin hanya membenci persekitaran yang bersifat pejabat. Contohnya kubikel, sembilan sampai lima, kad perakam waktu, baju kemeja dan tali leher. Juga waktu rutin untuk makan pagi dan tengahari. Orang pejabat tidak bersalah dalam hal ini. Orang pejabat jugalah yang membelanja Jay juga aku untuk makan nasi mamak. Kan Jay kan? hehe.

3. Penggemar totok FLY. Bagi generasi pasca Fathullah Luqman Yusuff, selepas era underground menjadi perbualan di ruang siber dan MIRC, banyak remaja mulai melihat ke atas. Mereka melihat ke arah sosok 'abang-abang' besar mereka dan mulai hendak menjadi seperti 'otai-otai' tadi. Zaman inilah yang mungkin dikatakan sebagai puncak kelahiran istilah poyoisme tadi. Jiwa yang hendak menjadi seumpama orang lain. FLY adalah insan berbakat yang kurang dikesan bakatnya dalam arus perdana. Untuk makluman, FLY tidak gemar dipuji, oleh itu generasi Jay dan aku (90-an) begitu meminati bakat kesenian yang Tuhan kurniakan ke atas makhluk yang bernama FLY ini. Seperti Jay, aku juga ada menyimpan hasil lukisan FLY untuk tatapan generasi terkemudian. Oleh itu, sebagai mengasihani Jayzuan yang selalu membebel dia kesunyian, ternyata kita perlu salahkan FLY dalam hal ini. Haha.

Bagi bakal pembaca '28 Hari: Jurnal Rock n Roll' dan juga insan yang tidak mahu membacanya, aku nasihatkan satu perkara. Cubalah selami ke dalam fikiran orang lain, untuk kita saling berbaik sangka kerana perjalanan hidup di dunia adalah amat singkat berbanding perjalanan pasca-kehidupan. Aih, takkan nak selit ayat Al-Quran? Nanti dituduh poyo pula penulis ini.

Demi Jayzuan, marilah kita sama-sama berjalan di atas mukabumi. Rock n Roll Out!




*Gambar salah seorang peminat Jayzuan, Natasha Hudson bersama buku '28 Hari: Jurnal Rock n Roll' dicilok dari Facebook saudara Jayzuan sendiri.

7 comments:

Sufian berkata...

Terima kasih untuk ulasan :)

Port Saya berkata...

populis tu hape?

Mohamad Farez Abdul Karim berkata...

http://sbmb.dbp.gov.my/knb/cariankata/dbp_ka_rujukan_kamus_dbp.aspx

abuyon berkata...

Haha .. perenggan pertama artikel ini adalah poyo dan bersifat poyo

Naskah Percuma berkata...

jom tubuhkan kelab penggemar totok FLY!!!

SHAH MOLOKO berkata...

Pa'eh anda juga punya skill Mantap untuk muncul dengan sebuah buku anda- saya tunggu :)

shandye. berkata...

oh.
aku suka muzik budak bernama jayzuan ini. mula menjejaki artis elusif ini sejak dia keluar dalam rancangan hoppers&ahlimuzik di saluran lapan.
lepas tu mula stalk dia sekejap di gig2 dan mana2 entah.
tapi ada juga lagu2 dia yang aku kira nonsens.
entahlah, mungkin jiwaku kurang alternatif untuk faham?