Hamka: Fikiran dan Rasaseni


Tulisan ini disalin balik dari Pribadi (1950) oleh Hamka.


Hamka diapit oleh ehem-ehem
Cara berfikir yang teratur adalah tenaga penarik yang utama pada manusia. kata-kata yang keluar dari lidah ialah dorongan dari jalan fikiran. Kata-kata dan perbuatan iaitu bukti, adakah beres berfikir atau tidak. Seni sendiri yang bersumber pada kehalusan perasaan sekali tidaklah dapat diciptakan, kalau fikiran tidak beres.

Dari adukan dan campuran warna dapat diketahui orang bagaimana perasaan pelukis. Oleh sebab itu adalah beberapa lukisan, patung dan syair yang telah bertahun-tahun usianya, masih amat dalam pengaruhnya.

Lukisan-lukisan di istana Paus di Vatican, dipandang orang sebagai raksasa seni, yang hampir tak ada tolok bandingnya sampai beberapa keturunan. Lukisan Rembrandt menyebabkan bangsa Belanda, tempat dia dilahirkan, dapat mengangkat muka dihadapan dunia dan berkata: "Rembrandt kami punya!"

Thomas Caryle mengatakan: "India pada suatu ketika akan terlepas dari tangan kita, tetapi Shakespeare tidak. Jika orang menyuruhkan daku memilih diantara dua, iaitu mempertahankan bahasa Shakespeare atau mempertahankan kedaulatan atas India, tentu akan saya pilih yang pertama. Shakespeare adalah daulat raja yang lebih tinggi, yang menguasai seluruh bahasa Inggeris, baik di tanah Inggeris asli baik pun di seberang lautan."

Meskipun demikian pula, muzik itu tak akan terjelma kalau tidak dibantu oleh fikiran yang sihat, walau pun isinya sangat halus. Kalau hendak melihat bangsa-bangsa Eropah yang telah tinggi pendidikannya, termenung dan lupa diri, satu detik pun tidak boleh kedengaran di lantai, lihatlah ketika mereka itu mendengarkan muzik Beethoven, Mozart atau bach.

Fikiran dan perasaan mesti sejalan.

Salah kita kalau kita menyangka bahawa dengan mempelajari undang-undang dan teori muzik saja, atau mengakui suatu teori susunan syair, kita telah menjadi ahli muzik atau ali syair. Undang-undang hanya sebagai dasar. Sebagai kami di surau dahulu mempelajari ilmu alat, supaya kami kelak dapat berjalan sendiri dalam menyelami rahsia bahasa Arab dengan fikiran sendiri. Walau pun dua pelukis sama-sama tegak di tepi sebuah ngarai dan sama-sama melihat keindahan alam dan sama-sama memindahkan dia ke atas kertas, kalau kelak hasil keduanya diperhatikan, akan nampaklah juga perbezaannya. Sebab mereka itu memandang dengan teropongnya masing-masing.

Kita pelajari undang-undang seni, kita masuki sekolahnya yang tinggi, kita turuti dengan segala percubaan yang tiada mengenal bosan. Dan kita pun insaf, tidak ada ahli seni yang tidak terpengaruh oleh ahli seni yang lain. Kita meniru dan kita membandingkan, tetapi kita tidak boleh menjadi bayang-bayang dari kesenian peribadi yang mempengaruhi kita itu. melainkan kita pupuk pertumbuhan jiwa kita sendiri. Dengan itulah kita menjadi ahli seni yang besar!

Pada keyakinan saya, fikiran dan jiwa seni seseorang seniman atau pujangga yang besar adalah tumbuh di atas tanah watannya yang dihisapnya, sehingga sebagai orang Inggeris berhak berkata: "Shakespeare itu kami punya!"

Dan orang German berhak berkata: "Goethe itu kami yang punya," maka bangsa Indonesia pada suatu waktu tentu boleh pula berkata "Si Anu kami yang punya."

Dan itu adalah berasal dari jiwa yang besar!

Bukannya di dalam kota yang ramai, di tempat kenderaan bersilang-siur dan hiruk-piruk yang menulikan telinga saja, tempat mencari jiwa seni bangsa. Selamilah jiwa mereka itu, ketahuilah kesukaan dan kebenciannya; terutama di tanah air kita yang bermasyarakat berbagai ragam ini. Ada yang telah terpesona oleh muzik Beethoven, dan ada yang masih tergila-gila oleh suara gamelan. Ada yang telah makan dengan memakai senduk dan garfu, pun ada yang masih makan anjing! Ada yang telah mengatur pakaian pesta, pakaian malam, pakaian sore, dan ada pula yang masih bertelanjang.

Mendidik bukanlah memaksa!

Roh yang akan meningkat besar nampak alamatnya pada kecintaan akan alam dan keindahan serta kepercayaan kepada Tuhan.

Pada suatu hari di musim darurat, saya berjalan melereng bukit meninggalkan kampung saya, maninjau, akan menuju ke Malalak. Hari ketika itu kira-kira pukul tujuh pagi, matahari telah mulai mengintip dari bukit itu dan cahayanya lebih dahulu telah dikirimnya ke tengah danau; seorang gadis kecil sedang sedang menjaga sawahnya; padinya muda dan unggas banyak. tiba-tiba datanglah ibunya hendak menemaninya. Maka berkatalah anak perempuan itu: "Lihatlah, ibu! Matahari telah naik, indahnya panas dalam danau itu. Adakah mak lihat biduk orang ke seberang? Unggas pun tidak banyak sepagi ini; tidak lama lagi padi kita akan masak!"

Saya sedang lalu di permatang sawah itu, memang di bawah terhampar kampungku yang indah permai, dn lantaran hujan pada malam itu, daun-daun kayu di rimba pun sangat hijau rupanya. kawan yang mengiringkan saya berkata: "Seperti syair perkataan anak gadis itu!"

"Memang," jawabku. "Syair itu ada terasa oleh setiap manusia, terutama di lembah yang indah ini, sayang tidak di asuh dan dipupuk. Alangkah hebatnya, kalau anak itu terdidik."

"Tuan pun tidak terdidik pada mulanya," kata temanku senyum.

"Saya ini wakil dari sekalian mereka itu," jawabku.

Dalam susunan katanya yang sederhana, tetapi tumpahan perasaannya, nampaklah keyakinan dan kepercayaan menghadapi hidup pada gadis itu. tetapi apa hendak dikata, selama ini pertumbuhan ditekan oleh kejahilan, kerana kesempatan tidak diberi. Ditambah pula oleh kemiskinan. Dimanalah akan subur kesenian jiwa, kalau sekiranya setiap hari yang difikirkan hanya beras seliter, apalagi dalam zaman darurat.

Bakat untuk jiwa yang kuat ada pada petani tengah mengerjakan sawahnya, tampak pada guru yang tengah menghadapi muridnya di dusun yang terpencil. Tampak juga pada seorang pemimpin kecil dalam kampung, yang kurang berhubung dengan dunia luar; sambil berladang dia memimpin, membawa surat-surat pemerintah dan maklumat rasmi, dibacakan di masjid sebelum khutbah. Nampak pada bapa walinegeri, bapa lurah dalam zaman perjuangan. Lain daripada "pangkat" itu tidak ada yang didapatnya. Entah kalau sawahnya sendiri yang tergadai, atau celananya yang bertambal.

Jiwa yang besar tidak perlu dipukulkan gong! Yang bersorak-sorak atau disorak-sorakkan sangat mujarab dan dijamin beres adalah ubat-ubat khasiat 1001 dipinggir pasar! Jiwa yang besar tenang jalannya, melangkah setapak, tetapi tetap! Menahan segala pukulan dan gelombang, yang laksana batu karang, bertambah dipukul gelombang, bertambah banyaklah anasir yang lekat pada dirinya untuk menambah kukuhnya.

Baik saudagar yang hanya menghitung berapa laba sehari dan jangan banyak rugi; baik pun ahli politik yang siang malam menjaga martabat negaranya; baik pun ahli ekonomi, dan baik pun siapa yang mencempungkan dirinya ke dalam masyarakat, sekaliannya itu harus berjiwa seni. Sebab hidup itu seni. Jangan tuan sangka bahawa syair atau filsafat atau tasauf atau gambar lukisan tidak perlu untuk mencipta pekerjaan yang besar-besar.

Seorang yang miskin ingin hendak membeli baju baru, lalu dia berjalan ke muka kedai. Dia ada berduit, lalu ditawarnya kain itu. Dihitung-hitungnya, rupiahnya tidak cukup; berkali-kali ditawar, yang empunya tidak mahu menyerahkan. Sudah dicubanya pergi dari tempat itu lambat-lambat, moga-moga dipanggil. Pun tidak dipanggil. Maka pulanglah ia dengan tangan hampa; dibelanjakannya juga duitnya, tetapi bukan kepada kain, melainkan barang lain yang lebih murah. Demikianlah orang miskin dengan maksud yang lebih besar dari kesanggupannya. maka begitu pulalah orang miskin jiwa dalam menuju ke arah pekerjaan besar. Ada pun muzik, seni, filsafat, tasauf itu adalah kekayaan jiwa dan tampang kebesarannya, sehingga tidak ada pekerjaan yang dipandangnya besar.

Syair Arab:

"Menurut ukuran orang yang mempunyai azam
akan tercipta pekerjaan dan perkara yang penting
Dan akan tercipta suatu perkara mulia
menurut kemuliaan orang yang menciptakannya
Besar segala perkara kecil-kecil di mata orang kecil
dan kecil perkara yang besar-besar dalam mata orang yang besar"


*****

Tiga perkara menjadi sendi bagi kebesaran jiwa:

1. Tidak gelisah

Tenang, tidak panjang agak-agak dan ragu. Ada kalanya kerana bawaan badan dan ada kalanya kerana pandai menahan hati dan dilatih tidak tergesa-gesa, kerana pengaruh suka dan duka, sayang dan benci. Ada pun takut dan segan-segan sangatlah besar pengaruhnya serta menghambat kemajuan akal, sehingga fikiran terlepas daripada keseimbangannya. Selama akal masih sipengaruhi oleh ketakutan dan kecemasan, maka sikap tenang pun hilang, lalu timbul kegelisahan.

Cemburu, hasad dan dengki menghilangkan ketenangan, kerana itu kita sendirilah yang meracun jiwa sendiri. Cita-cita mesti besar. Angan-angan yang tidak berhujung dan khayal yang tidak berkeputusan, pun menghilangkan ketenangan akal.

Banyak orang yang hilang tenaganya, timbul gelisahnya, sebab tidak dapat menyesuaikan yang nyata dengan yang dicita-cita. Dia mahu supaya perjalanannya sampai ke hujung dalam sekejap mata. Itulah sebabnya maka banyak orang yang jadi gila atau bertukar akal pada permulaan revolusi. Dia ingin segala pekerjaan beres dalam saat itu juga. Padahal Allah pun menjadikan alam dalam enam hari dan istirehat di hari ketujuh. Hanya Negara "1001 malam," iaitu Negara Aladin yang diciptakan dalam sesaat seketika saja, oleh jin yang dapat diseru dengan lampu hikmat Aladin. Negara demikian hanya ada dalam dongeng.

Dan lagi kehidupan mewah pun selalu menggelisahkan jiwa.

Iaitu hidup yang dipaksa melebihi kemampuan dan kesanggupan diri.


2. Rela menerima hidup dan berusaha.

Rela menerima hidup, bukanlah ertinya menyerah dengan tidak berusaha. Kalau menyerah saja, bukan rela namanya, tetapi lemah. Erti rela ialah menyempurnakan pekerjaan sendiri dan mempertinggi mutunya.

Kalau kerelaan akan hidup tidak ada lagi, keberanian pun hilanglah. Tidak berani lagi membantah yang salah, menegur yang tidak adil. Kalau begitu masyarakat pun terhentilah kemajuannya. Sebab anggota masyarakat itu telah mundur dalam medan hidup. Rela yang timbul kerana lemah dan malas, dengan perasaan, "cukuplah begitu saja," bukanlah rela, tetapi mati!

Untuk mencapai kemajuan kita harus menuntut yang lebih sempurna. Jiwa mesti dinamis, bergerak terus; jangan statik, membeku.

Orang yang rela dalam hidup, tidak hendak keluar dari ukuran yang pantas bagi dirinya. Kemegahan kulit tidak mempengaruhinya. Biar tinggal di pondok kecil asal jiwa besar.

Kerelaan hidup mengajar kita agar sudi menerima hidup bersakit-sakit. Sebagai bangsa berjuang, dan perjuangan ini belum habis, walau pun Negara telah merdeka, kita harus mengajar hidup bersakit itu. Ikan sungai yang hidup menangkis air hilir lebih padat dagingnya daripada ikan dalam tebat. banyak pada zaman revolusi "orang halus" yang tidak tahan menderita, sebab itu dia menyerah. Mulanya dirasanya senang, sebab telah mendapat beberapa laba lahir. tetapi kian hari ia kian kurus, kegembiraannya hilang, sebab jiwa sendiri menderita. Disangka akan "sihat" kerana telah mendapat gaji besar, cukup pembahagian distribusi dan lain-lain. tetapi kian hari kian terasa olehnya bahawa dia kehilangan kegembiraan kerana mendustai cita-cita sendiri.

Emile Zola, pengarang Perancis yang amat mahsyur itu, telah meningkat tangga kemahsyurannya sejak dari anak tangga di bawah sekali. Orang melihat bagaimana melarat hidupnya ketika mula-mula datang ke paris. menyewa sebuah kamar yang telah tiris. Tetapi kerana dia tidak putus asa, akhirnya salah satu dari karangannya telah membuka pintu baginya kepada kejayaan besar. Sehingga wang yang masuk dari keuntungan karangannya telah mengubah hidupnya, telah menyebabkan dia tertawa sesudah lama melarat.

Pada waktu Zola di atas puncak kemahsyuran, terjadilah perkara Dreyfus. Dreyfus dituduh menjual rahsia negara sendiri kepada negara asing. Alasan tuduhan itu tidaklah cukup, tetapi Dreyfus dibuang juga ke pulau Setan, sebab pemerintah anti Yahudi dan Dreyfus itu orang Yahudi. Tiap-tiap usaha hendak membela Dreyfus tidak berhasil sebab segala keterangan yang jelas ditahan oleh pihak atas.

Akhirnya isteri Dreyfus meminta tolong kepada Zola. Sebab Zola itu pengarang yang ternama, penanya berpengaruh, ia pun disukai rakyat. Dengan sangat perempuan itu bermohon kepada Zola, supaya suaminya dibela.

Zola mulanya enggan dan ragu. Dia pun tahu, Dreyfus tidak salah dan teraniaya. tetapi kalau sekiranya soal itu digugatnya, pemerintah akan murka dan akan banyak orang yang menentangnya. Zola berjuang dalam hati. Dia meminta buah fikiran kepada salah seorang temannya. Temannya itu berkata, bahawa jiwa pujangga yang sejati adalah pencinta kebenaran. Ada pun kemegahan dan kemewahan, kalau diperturutkan, akan menjatuhkan jiwa pujangga, bahkan akan menghilangkan hasil langkah perjuangan yang telah lama, dalam waktu yang sebentar. Pada saat demikian itulah pujangga harus menunjukkan kepujanggaannya yang sejati.

Akhirnya Zola dapat menetapkan pendirian. Dibelanya Dreyfus dengan karangannya yang terkenal, "Saya menuntut!" (J'Accuse). Karangan itu tersiar di seluruh kota Paris dan tanah Perancis umumnya. Dengan bahasanya yang hidup, ditegakkannya keadilan dan ditentangnya perbuatan zalim: Dreyfus tidak salah! Pena Zola mempertahankan dia. Segenap kekayaan kata-katanya sebagai pujangga, diberikannya dan dikorbankannya untuk membela Dreyfus, ertinya pembela kebenaran! pendapat umum terpengaruh oleh buah pena itu, tetapi pemerintah bertahan dengan kekuatan kekuasaannya. Zola terpaksa menerima akibat dari tulisannya, iaitu berpindah keluar negeri. Dan dia rela menerima hal itu.

Kekuasaan tidaklah dapat melawan kebenaran, Akhirnya pemerintah yang keras kepala itu terpaksa jatuh juga. Pemerintah yang baru menyelidiki perkara Dreyfus kembali. Ternyata Dreyfus tidak bersalah, hukumannya dicabut, dia dipulangkan ke tanah airnya, pangkat dan kehormatannya pun dikembalikan. Pena Zola menyedarkan pendapat umum supaya kembali kepada kebenaran. Tetapi sayang, seketika orang hendak menghormati pahlawan pena itu, sebagai putera Perancis yang berjasa, Zola telah wafat lebih dahulu di luar negeri.

Dalam mengambil ketetapan hendak membela Dreyfus, lain daripada sahabatnya, ada lagi orang lain yang sangat berpengaruh memperkuat semangatnya. iaitu isterinya. isterinya itu lebih rela dia sengsara, asal sengsara kerana menggenapkan kewajipan sebagai pujangga. Isteri itulah yang banyak mengeraskan supaya suaminya menetapkan sikap, jangan ragu-ragu. Sehingga walau pun Zola mati, dia menggenapkan kewajipan nama sebagai seorang pujangga.

Dia telah menjadikan mautnya sebagai penutup kehidupan pujangga yang indah.

Kalau begitu tidak sedikit pengaruh isteri atas membentuk peribadi kita. Dalam saat yang genting ketika revolusi yang telah lalu, tidak sedikit orang yang jatuh atau tercicir di tengah jalan, menyerah kepada lawan, bukan kerana dirinya sendiri yang tidak tahan, melainkan kerana kelemahan isterinya. Pihak lawan pun kerap kali lalu dari pintu belakang, iaitu dari pihak isteri, untuk melemahkan hiwa seorang pejuang. Bung Karno berterang-terang menuliskan hal itu dalam bukunya yang terkenal, "Sarinah." Kegagalan kita dalam beberapa hal ketika melaksanakan revolusi, tidak sedikit tersebab dari kaum perempuan. Oleh sebab itu lebih baik janganlah beristeri hanya kerana pertalian benda; lebih baik kerana pertalian hati dan pertalian cita-cita.

Jangan dikejar orang yang belum tiba dan jangan pula dinantikan orang yang telah pergi lebih dahulu.

Lord Efebry berkata: "Siapa yang ingin menang di dalam hidupnya, asal hati tabah, pastilah sampai maksudnya. tetapi suatu cita-cita yang timbul hanya kerana keinginan hawa nafsu, tidaklah akan memuaskan hati, dan tidak semuanya akan sampai.

"Gagal dalam kemuliaan lebih baik daripada menang dalam kehinaan. Orang yang gagal sekali-kali tidaklah rugi, selama dia belum putus asa. Kalau sekali maksud belum sampai, janganlah patah pengharapan."

Kata Mark Twain: "Peliharalah cita-citamu baik-baik. Kerana cita-cita kalau telah padam, samalah ertinya dengan mati."

Hu Shih ahli filsafat Tionghua berkata: "Tidak dapat tidak, seorang mesti gagal agak sekali dalam hidupnya. Dengan kegagalan itu dia dapat mengetahui di mana segi kelemahan dirinya. Gagal sekali tidaklah mengapa. yang rumit ialah jika gagal dua kali di tempat yang serupa itu juga."

Rugi harta benda belumlah patut disebut rugi, kerana harta dapat dicari. Rugi keberanian, samalah ertinya dengan separuh kerugian. tetapi kalau rugi kehormatan, jatuh martabat dan gensi, maka itulah rugi yang sebenarnya.

Kata Bacon: "Nyalangkanlah mata waktu berjalan, kerana di tengah jalan pasti akan bertemu dengan kesempatan. Ada pun kesempatan itu sendiri buta. Peganglah dia kuat-kuat. Kerana datangnya tidak memberitahu, perginya tidak pula."


3. Muka Jernih.

Sungguh, muka yang kusut-kusut saja alamat bahawa yang di dalam pun kusut pula. Ada orang bertanya: "Siapa yang dapat mengetahui hati orang lain?". "Dapat! Sebab mukanya dapat dibaca! Terutama matanya!" Dalam fasal yang di atas telah kita nyatakan bagaimana hubungan otak dengan anggota tubuh yang lain. Urat-urat saraf diperintah oleh otak menyampaikan kepada wajah muka, menyatakan perasaan benci dan sayang, dengki dan mendongkol yang ada dalam otak.

Orang yang buruk sekali pun menjadi bagus kalau mukanya jernih. Muka jernih mendatangkan simpati. Tetapi muka yang kusut mendatangkan jemu orang lain, walau pun pada dasarnya muka itu cantik. Orang yang mukanya kusut saja, ertinya mengurung dirinya sendiri dan memutuskan ikatannya dengan orang lain.

Pada suatu ketika saya lihat ada seorang yang sederhana kehidupannya, tetapi selalu tamunya banyak. Orang senang saja menziarahi rumahnya, padahal dia bukan seorang yang mampu. Saya perhatikan apa yang menjadi pokok hal itu. Tak lain hanyalah kejernihan muka si suami dan si isteri. Dengan mukanya yang jernih dia mendapat banyak sahabat. Sekali-sekali pernah juga dia mengeluh, sebab kesengsaraan hidupnya menyebabkan dia tak dapat menyelenggarakan tetamunya dengan sebaiknya. maka berkatalah isteri itu: "Supaya kita terhindar dari kesulitan ini kanda, lebih baik kita ubah sikap kita. Kita kerutkan saja muka kepada tiap-tiap orang yang datang. Tentu mereka itu tidak akan ke mari lagi."

Suaminya menjawab: "Dan sejak waktu itu, tidaklah bererti lagi kita ini."

Setelah itu muka mereka pun jernih kembali, sebab jiwanya jernih pula. Dan walau pun bagaimana belum pernah mereka itu kehilangan akal, sebab jiwanya tidak dibiarnya kusut.


###

Nota: jangan gelak, please.