Garis-Masa: Fathullah Luqman Yusuff


Oleh Mohamad Farez Abdul Karim

Central Market. Tahun 1990. Lokasinya restoran mamak Hameed. Kelihatan seorang pemuda kurus berkulit cerah, berambut lurus mencecah bahu sedang melorek sesuatu di atas sehelai kertas tisu dengan pen berdakwat hitam. Lengkuk kedua matanya agak ke dalam, gelap di sekelilingnya menandakan dia seorang insomnia. Ataupun ‘dracula’? Dahinya jendol ke luar, luas pengetahuannya mungkin. Di hadapan, seorang lelaki, sebaya dengannya sedang menunggu dengan penuh teruja. Tersenyum dia sambil sekejap-sekejap menjeling ke arah tisu tersebut. Pemuda awal tadi masih khusyu dengan lukisannya. Selesai menandatangani ‘tisu’ tersebut, dia lantas menghulur kepada kawan di hadapannya tadi. ‘Okey, aku belanja hang teh tarik,’ ujar pemuda kedua diikuti hilai tawa pemuda ‘sang pelukis’ tadi. Mereka kemudian menghabiskan gelas mereka, sebelum berjalan  keluar dari CM untuk pulang. Sang pelukis menaiki bas ke Brickfield. Di situlah dia menginap, di situ juga tempat untuk dia mendapat ilham untuk melorek di atas kertas sebagai pengubat jiwa. Di samping mencipta beberapa buah lagu berentak metal dan sedikit elemen pop-industrial. Di rumah itu, bersama kawan-kawan, mereka mengisi masa dengan berbual tentang kesenian, muzik-muzik alternatif, filem-filem berat antarabangsa dan sedikit perihal politik Malaysia. Di situ juga pernah menghasilkan beberapa kumpulan muzik underground legenda yang kemudian mempengaruhi genre muzik indie masa kini. Rumah itu atau selalu dipanggil 121-C, sentiasa tak sunyi dengan kedatangan para gelandangan dari serata benua dunia. Di 121-C mereka bertukar idea dan ilham, berkenaan budaya dan sub-budaya. Seniman dan anggota muzik dari segala ceruk dunia Eropah, USA, Japan akan berkumpul sambil berkongsi material terbaru sesama mereka. Boleh disimpulkan, penghuni rumah itu sentiasa saja dikunjungi muda-mudi berbakat dari serata pelusuk benua lantaran memberi mereka inspirasi untuk produktif menghasilkan karya yang menongkah arus perdana.

 17 tahun kemudian, di hadapan pintu sebuah apartmen di TTDI, milik kakak sang pelukis, penulis memberi salam. Ini adalah pertemuan pertama penulis dengannya. Setelah memberi salam, terpacul dia yang hanya berseluar panjang, tanpa baju. Menjawab salam dengan penuh, dia mempersilakan penulis masuk ke rumah. Memasukinya, penulis terperasan dia sedang sibuk mengukir sebuah adunan plaster Paris. Ukirannya menjurus kepada bentuk figura manusia yang minimal. Ruang tamu tidak seperti kebiasaannya, sedikit semak, terdapat beberapa bingkai lukisan catan akrilik dan cat minyak tersandar di dinding. Dek pintu kaca di anjung yang sedang terbuka, bauan dari cat minyak tidak terlalu kuat. Beberapa jam sebelum itu, penulis telah menghubunginya melalui laman maya untuk membeli CD solo beliau yang terbaharu, Romantikarat. Tanpa dia sedar, penulis sebenarnya tidaklah begitu hiraukan irama muziknya. Penulis mengkagumi bakatnya dalam lapangan lukisan dan kesenian. Serta falsafah yang terungkap di sebalik lagu ciptaannya.


Fathullah Luqman Yusuff. Itulah nama penuh insan pelukis yang mesra dipanggil ‘Fathul’ atau ‘Fathui’ oleh kawan-kawan seangkatannya, di dalam dunia muzik underground. Berasal dari Alor Setar, Kedah dan dilahirkan pada 18 September 1972. Mendapat pendidikan formal di Maktab Rendah Sains Mara dan Kolej Sultan Abdul Hamid sebelum keluarganya berpindah ke Kuala Lumpur. Sebelum namanya dikenali sebagai pelukis, dia terlebih dahulu mengukir nama dalam bidang muzik metal dan underground tempatan. Infectious Maggots dan Spiral Kinetic Circus adalah dua nama yang sinonim dengannya. Malahan, aneh jika kita melihat Infectious Maggots dan Spiral Kinetic Circus tanpa sosok Fathullah Luqman Yusuff. Pernah satu ketika dia memberitahu penulis, ‘aku lebih suka melukis, walaupun muzik adalah duniaku yang sebenar. Melukis adalah satu medium untuk aku menenangkan keresahan,’ sebelum menyambung, ‘tapi solat lima waktu jangan dok tinggai!’ Memang benar. Antara karya pertama beliau adalah ilustrasi muka depan kaset kumpulan Sil-Khannaz, sebuah kumpulan metal yang dianggotai oleh lingkungan kawan-kawan sendiri. Bahkan, logo Infectious Maggots, lakaran inlay kaset SKC, semuanya dilukis dan mendapat sentuhan seni daripada tangannya. Umum tahu, dunia underground yang meletup ketika itu mempunyai faham DIY (Do It Yourself) yang memerlukan para ideolognya membuat sendiri setiap perkara, material dari A ke Z tanpa sebarang campurtangan pemodal luar, puak kapitalis atau kilang-kilang besar. Fathul pada tahun-tahun kemudian menambah istilah menjadi DIYF (Do It with Your Friends). Dalam dunia underground, dek faham DIY itu mencambahkan kemunculan para artisan yang memang berbakat tetapi tidak tahu ke mana harus mereka curahkan. Tanpa ragu-ragu, kita tahu Fathullah Luqman Yusuff memang seorang pelukis. Pelukis terkemuka yang paling dekat mengilhami karya-karya lorekan ‘mikro-gothik’ pen Fathullah, tidak syak lagi H.R. Giger merangkap pereka bentuk makhluk asing untuk filem Alien. Juga tidak melampau jika kita menambah M.C. Escher dari Belanda sebagai idolanya walaupun garis satah Fathul tidaklah terlalu real seumpama Escher sang seniman grafik. Apa yang memukaukan kita adalah kehalusan dan ketelitian kerja pennya. Cawan kejiwaan ‘dark’ dan ‘gothic’ yang dihirup dari kehidupan sub-budaya underground justeru membentuk gaya awalnya. Namun tidak terlalu menakutkan sepertimana Grandmaster Giger yang masyhur dengan elemen  ‘nightmarish’nya. Pernah di satu waktu, Fathullah berbual dengan pelukis seni moden lagenda Malaysia, Ibrahim Hussein untuk mendapat nasihat bagi menentu arah gaya keseniannya. Ibrahim Hussein, atau Pak Ib begitu minat dengan rincian lukisan Fathul dan jujur memberi beberapa tips untuk menaikkan semangatnya agar meneruskan karier sebagai pelukis.

Tidak lagi menoleh ke belakang, Fathul mula cergas menarikan jari-jemarinya di atas kertas dengan gurisan pen dan lorekan charcoal. Garisan pennya memang halus. Teliti. Sepertimana dapat kita melihat ketelitian Pak Ib dalam menyempurnakan lorekan ‘gelombang’nya. Bagi insan yang pertama kali melihat lorekan ‘micro-goth’ Fathullah, pasti mereka tertanya-tanya apakah yang ada di minda sang pelukis ini? Bagi kenalan terdekat dan keluarga Fathullah sendiri, mereka maklum sangat dengan personaliti aneh lelaki ini. Kerjaya jam 9 ke 5 petang bukanlah makanan hariannya. Dia pernah bekerja di KFC (makanan kegemarannya sehingga sekarang) demi menampung perbelanjaan di kotaraya era 90-an. Di waktu remajanya, dia pernah menjalankan perniagaan mencetak batik bersama abangnya di Kompleks Peruda, Alor Setar. Penulis dapat membayangkan sketsa tipikal dalam sebuah rumah kampung di mana terdapat seorang anak muda sedang membantah kehendak keluarga agar mencari karier ‘tetap’ dan ‘punya masa depan’. Oleh kerana baginya pekerjaan sebegitu membosankan dia kemudian menongkah arus cuba menentukan nasib sendiri dengan melakukan ‘kerja’ yang digemarinya. Melukis. Mungkin ibunya, yang sering dipanggil ‘mama’ itu salah satu insan paling rapat dan sentiasa memberinya harapan, mendoakan kebahagiaan untuk dirinya dalam menelusuri jalan ‘kesenian’ yang penuh panacaroba ini. Bakat melukis Fathullah digilap secara tak formal dalam teknik catan akrilik dan cat minyak melalui tunjuk ajar Mohd. Yusof bin Ismail, atau dimesrai dengan panggilan Yusof Gajah. Tatkala dia berhijrah ke Jakarta selama beberapa tahun, untuk mempelajari seni lukisan dan catan dia dididik oleh Cubung Wiroputro, dan pada suatu masa oleh Pak Lugiono juga Dwijo. Di Bali, Fathullah mendapat pendidikan seni di Welldo Iki Gallery yang terletak di Kuta. Sejak menjalani fasa pendidikan seni tak formal tanpa campurtangan sebarang institusi seni kerajaan, yakni tahun 1997 hingga ke masa kini dilihat karyanya mula mengambil konsep ‘ekspresionisme’ dan mengambil tema itu – dicampur pula dengan sisi ‘dark’nya dalam bidang muzik independence - dia meluah muntahkan segala warna-warna keriuhan, palit-palit berus keresahan dan titis-titis cat kepasrahan, seolah memberitahu khalayak pengamat seni tampak, bahawa itulah gayanya. Itulah ‘Fathulistiwa’ di atas kanvas, mengambil nama dari sebuah album muzik solonya. Berbeza dengan si guru, Yusof Gajah yang mengambil jalan seni naïf, figura dan minimalisme ikon gajah serta mengeksploit warna-warni ceria dalam berkarya, Fathullah membawa kanvasnya ke dunia insan yang sedang mencari halatuju kehidupan dalam kelakuan ekspresi dirinya. Persoalan kejiwaan seperti ‘Ke manakah aku?’,  ‘Di manakah aku dalam dunia seni?’ tentu sekali mengganggu-gugat minda para seniman muda. Banyak karyanya pada awal-awal karier mengupas persoalan-persoalan sebegini. Warna yang digunakannya juga sentiasa suram seram, gelap dan malap. Bukan sahaja dirinya, malahan sebenarnya semua pelukis di dunia. Satu fasa mengenal diri. Seperti kita melihat gaya palitan berus dan warna di atas kanvas Arwah Datuk Syed Ahmad Jamal sewaktu mudanya, dan bandingkan dengan gaya-gaya kemudian, begitulah yang Fathullah telah alami. Sebagai seorang peminat tegar filem-filem luar yang berkonsep berat dan futuristik, contohnya Star Wars, Alien, Indiana Jones dan Time Bandits, kita maklum dengan kecenderungan dalam gaya lukisannya. Mood warna dan tema daripada filem-filem kegemaran menjadi ilham untuk dipindah ke atas kanvas. Antara pameran yang dapat dikaitkan dengan kegilaan Fathul terhadap wayang ialah ‘Cinemarama – Kanvas Bagai Layar’ (2008) di 360 Gallery dan pada tahun 2006 pameran solonya di Galeri Pelita Hati bertajuk Gerak Kilat. Bahkan, watak-watak figuranya juga kelihatan seperti bentuk wayang kulit.





Seni - Sakit


Tidak banyak dari kita yang tahu, Fathullah Luqman Yusuff yang kita kenali dengan kemesraannya, ramah-tamahnya juga keintiman dalam perbualannya, adalah seorang ‘pesakit’. Hanya keluarga, sahabat, rakan terdekat, dan lingkungan seniman yang sering bersosial dalam dunia seni visual negara sahaja yang maklum berkenaan itu. Kesakitan yang kita bincangkan di sini bukan sekadar sakit demam, sakit kepala, diabetis dan lain-lain sakit fizikal. Kesakitan yang dialaminya adalah jenis psikologi (kejiwaan) dan sakit inilah yang telah dan sedang membentuk halatujunya dalam berkarya, tak kira dalam muzik atau sebagai pelukis ekspresionis tempatan. ‘Aku sakit Paeh,’ begitulah luahan setiap kali penulis cuba bertanyakan hal-hal seni juga falsafah hidup kepadanya. Begitu juga jawapannya kepada semua orang yang baharu berkenalan dengannya. Itulah Fathullah sang ekspresionis. Dia tidak malu bercerita perihal dirinya yang sakit. Dalam masyarakat kita, istilah sakit jiwa adalah sesuatu perkara yang mendorong stigma sosial lagi mengundang pelbagai andaian jahat. Selalunya dikaitkan dengan saka, atau terkena buatan orang. Itu jawapan yang biasa kita dengar daripada dunia ilmu perubatan lama. Berbeza dengan perubatan moden, Fathullah dikatakan menghidap penyakit bipolar, yakni keadaan psikologi yang membuatkan mood seseorang berubah secara melampau. Sehingga kini dia masih mengambil ubat-ubatan terkawal seperti etc, etc, dari Hospital Kuala Lumpur demi mengurangkan kesakitan dalam mindanya.

Sepertimana yang sering diucapkan Fathul, dia tidak boleh keseorangan. Menemaninya, adalah ‘tingkahlaku’ untuk meluahkan sesuatu. Hobinya pada masa lapang adalah bermain permainan game PSP, membaca komik terbitan Marvel, DC atau etcetc dan juga menonton wayang. Pengaruh dari hobi-hobinya lah yang akan kita lihat terlahir dalam beberapa karya lukisannya. Dalam ‘industri’ kesenian, sesiapa sahaja boleh mempengaruhi dan dalam masa sama dipengaruhi seniman lain. Itu tidak ragu lagi. Melalui komik luar negara yang dikumpulnya sejak belasan tahun, secara tak sedar menjadi pengaruh besar dalam alunan berus dan goresan penselnya. Di dalam beberapa karyanya kemudian, terdapat sosok figura manusia separa lengkap. Anggota badan yang dilukis tidak simetrikal, herot-petot, punyai bucu tajam pada siku dan lutut dan selalunya berdada bidang. Gerak dan posisi badan figura itu selalunya kelihatan sama, dari sebelah tepi. Ada ketika satu tangan dinaikkan ke atas, dan satu lagi seolah memegang dada (tingkah seperti hendak mengambil sesuatu). Jika terdapat dua watak ‘makhluk’ yang dilukis, selalunya akan ada watak ketiga di antara mereka. Dan kewujudan watak ‘misteri’ ini biasanya agak tersembunyi. Hanya dirupakan dengan seringkas mungkin oleh sapuan cat, lorekan charcoal dsbnya. Salah satu karyanya, dalam siri ‘Gargantuan’ (3 helai kertas yang dibingkai dengan kaca - koleksi penulis) dilorek secara spontan menggunakan charcoal sosok raksasa yang punyai bentuk-bentuk aneh, bermuka seperti tugu dewa-dewi pujaan Hindu di Bali. Adakala makhluk lukisan Fathul kelihatan seperti hero dan heroin dalam permainan game contohnya dalam karya ‘Robota’ (2007) dan ‘Khayal’ (2007). Banyak pula dilukis kerawang dengan postur makhluknya seolah sedang berpencak silat dan bertempur seperti hikayat dan mitos Hinduisme, memandangkan minatnya kepada sastera Hindu; Mahabharata dan Upanishad. Antara penulis Hindu yang diminati Fathul ialah R. K. Narayan, penulis fiksyen yang bertanggungjawab memberi nafas baru dalam terjemahan Ramayana. Juga sedikit didapati dalam karya Fathul terdapat elemen yang dipengaruhi motif thangka Buddha dari pergunungan Tibet. Motif bunga dan kerawang dengan mood warna merah bersulam dengan warna emas. Antara teknik yang selalu digunakan Fathul dalam membentuk imejan kerawang ialah semburan cat ke atas kertas stensil, tekapan dan juga  penggunaan media campuran. Namun, Fathul tidak mengambil keseluruhan konsep pembuatan Thangka yang selalu menggambarkan sami Buddha, babak-babak dalam agama mereka dan mandala waktu tertentu. Ini kerana, pada akhirnya banyak karya-karya Fathul akan ‘dibilas’ kembali dengan wudhu seorang muslim, penganut Islam bermazhab Ahlussunah wal Jamaah. ‘Aku bukan lukis orang, kalau aku lukis manusia, aku pastikan dia makhluk yang tak siap,’ ulasnya. Sewaktu sang pelukis berkelana ke Bali sekitar tahun 1997, dia banyak dikelilingi elemen hinduisme justeru mempengaruhi karyanya.


Mengimbas kembali hal itu, Fathul mengaku bahawa pengembaraannya ke pulau itu antara sebab dia sakit tenat. Selepas pulang dari Bali, dia diserang bipolar yang teruk. Penulis pernah bertanyakan peristiwa itu kepada kawan-kawan terdekatnya. Pada waktu itu dia dijaga oleh kawan-kawan di Bukit Ceylon demi menyembuhkannya. Tidak tahu kenapa. Berkemungkinan unsur kerohanian Hinduisme yang kuat telah memakan jiwanya, atau terdapat sebab-sebab lain yang dapat dihuraikan dari sudut perubatan moden. Ketika Fathul jatuh sakit, segala karyanya turut mengalami nasib yang sama. Dia pernah melalui sepertimana dialami oleh Picasso yang digelar para peminat seni sebagai era ‘Blue Period’. Sama sahaja seperti Picasso atau kita semua sebenarnya, Fathul juga mengalami keadaan ekonomi yang kadangkakala bagus dan ada ketikanya merosot. Pernah pada suatu waktu dia meninggalkan dunia lukisan untuk beberapa tahun. Juga pada satu fasa hidupnya dia mengambil keputusan untuk berhenti terus melakukan kerja-kerja seni dan muzik lalu mulai mendekatkan diri dengan dunia keagamaan. Betapa, didapati dia tidak boleh terus meninggal pen dan berus lukisan. Atas nasihat mamanya, dia kembali melukis, untuk mengubati kesakitannya. Apabila dia tidak mampu membeli cat akrilik atau minyak yang pelbagai warna, dia hanya (atau terpaksa?) menggunakan warna hitam sebagai warna dominan di atas kanvas. Namun, teknik ‘monokrom’nya ini diguna secara kreatif dan mempunyai makna-makna serta daya kreativiti tersendiri. Menggunakan kepakarannya dalam melorek jalinan urat halus kerawang, palitan bersahaja berus  lukisannya, dia membentuk imejan yang begitu intim dengannya. Adakalanya minimalis. Banyaknya dipenuhi kerawang dan mimik-mimik wajah yang tak siap. Garis-garis yang identikal dengan jiwanya itu mula memenuhi ruang kanvas. Kerana rezeki di tangan Tuhan, terdapat juga pengumpul karyanya yang begitu minat dengan siri hitam-putihnya. Menurut mereka gaya itu sesuai dengan jiwa dan pengaruh Fathul yang gothic dan dark. Ketika pendapatan dari hasil karyanya tidak seberapa, dia terpaksa membuat kerja-kerja lain, namun masih di dalam bidang yang sama yakni dunia kesenian. Dia mengambil upah melukis lukisan abstrak untuk orang-orang persendirian, membuat mural di kedai dan kafe milik rakan-rakan. Fathul juga pernah mengajar kanak-kanak dalam bengkel lukisan seperti yang dibuatnya di Kuala Muda selepas tragedi tsunami. Bengkel itu adalah sebagai kerja-kerja amal yang dilakukan sebagai seorang seniman. Pada tahun 2011 dia juga mengajar kanak-kanak di dalam bengkel anjuran Balai Seni Visual Negara. Bulan November pada tahun sama Fathullah sendiri menguruskan sebuah Bengkel Seni khas untuk kanak-kanak berusia 6-12 tahun. Pada tahun 2009, sewaktu pameran solonya Gerak Kilat, penulis terlihat sekeping kanvas yang memaparkan kelibat manusia berturban kon ala pelajar sekolah kesufian Rumi. Tajuknya, Bliss. Dalam karya tersebut, jelas pusaran berusnya membawa kita ke alam yang lebih Islami. Juga dapat dilihat dalam karya ‘Masih Meminta’ (2007) yang menggambarkan bentuk manusia yang sedang berdoa dan ditambah dengan lorekan pantas kepelbagaian mimik-mimik muka (mungkin penganut ajaran Islam seluruh dunia?) di dalam manusia pendoa tadi. Warna hijau, sebagai warna agung dalam ajaran Islam sekali lagi menjadi dominan di atas kanvas tersebut. Di sini penulis bukan berniat untuk mendefinisikan Islam ‘sebenar’ ke dalam medium lukisan. Kesenian Islam pada era Keemasan di Cordoba, Sepanyol telah terlebih dahulu mempelopori peristilahan itu. Lantaran ia mengambil tempat di kalangan para penulis khat kaligrafi Arab, pengukir kayu dan pandai besi yang membentuk motif flora dan geometrikal Arab. Kesenian Islam kemudian berkembang pesat sehingga sekarang. Apa yang ingin dimaksudkan penulis, apabila seorang pelukis mengambil tema –sepertimana kes Fathul – kerohanian Islam universal ala ajaran sang guru mistik, kita dapat mengagak bahawa terdapat pengaruh separa sedar untuk diri pengkarya kembali ke satu jalan yang telah dilupainya. Namun demikian, dalam pameran tersebut, tidak semua karyanya mengambil tema ‘islami’ totok. Konsep nama Gerak Kilat itu sendiri diambilnya dari sebuah filem Melayu 60-an, parodi kepada filem James Bond yang dilakonkan oleh Jins Shamsuddin (kini Senator). Bak goresan, palitan dan lukisan Fathul yang cepat seumpama ‘gerakan kilat’ tetapi dalam masa memberi ‘kejutan guruh’ kepada khalayak dalam mewaham makna-makna tertentu. Sesebuah lorekan yang pantas bukan hanya terjadi dalam 5-10 saat sewaktu ia dilakukan. Ia mengambil masa seluruh usia sang pelukis yang komited dengan dunia seninya. Pada suatu ketika, Pablo Picasso pernah disuruh seorang wanita agar melukis potretnya. Setelah selesai, dia menyatakan harga untuk lukisan tersebut lantas membuatkan wanita tadi begitu terkejut. Walhal, sketsa itu sekadar mengambil masa 5 minit. Jawab Picasso, sebenarnya dia mengambil berpuluh tahun untuk melukis sepantas dan secantik itu. Pernah melihat seorang pengukir kayu sedang mengetam kayu? Bagaimana jika seorang nelayan menggantikan kerjanya, adakah kualiti dan kelicinan kayu tadi kekal sebegitu? Fathullah seorang pelukis, dia juga sebenarnya mampu menulis. Bukankah dia terlebih dahulu dikenali sebagai penulis lirik untuk Infectious Maggots, kemudian SKC sebelum meletup ke dalam aliran perdana dengan lagu pop Cinta dendangan kumpulan Flop Poppy? Menyelongkar kembali nota-nota Fathullah yang tersimpan kemas di dalam sebuah beg hitam, penulis menemui sehelai kertas bercetak yang tertulis sebuah sajak peribadi. Fathullah sebagai penulis lirik lagu juga mampu menulis sajak-sajak sureal, seolah katarsis pelega jiwa. Sungguh aneh apabila pertama kali membacanya. Mungkin juga kelakar dan terkandung satira terhadap kehidupan yang banal. Namun, apabila membaca kali kedua, ketiga dan seterusnya dapatlah kita menghadam apa sebenarnya yang disuap oleh artis kita ini. Contoh seperti sebuah nota coretannya di bawah;


Segala Rasa Yang Di Dada.

Sulaiman akhlakhen siri sajak terpancut yang manis sekali...
Sulaiman akhlakhen siri sajak terpancut yang manis sekali...those seconds pass me by like a jealous lover in a fight...they wouldn’t let me be...by myself untuk terus bermain2 bebuih sabun bersama imejan virtua untuk tatapan si tua...kutuk tak sedar diri...jam dah 5:35 pagi masih belum selesaikan solat ISHYAK lagi...dissssssssssinnnngCONnection and BERDIRILAH...and face REALITY...yang terus bernafas hingga saat ini...ehsan dia who hang the stars up above your head...SULAIMAN...Sulaiman lalu bergegas aku ke tandas...sekian majulah rhythmic gymnastic untuk negara.


Dalam sajaknya, jika dibaca berkali-kali jelas dia sebenarnya sedang mengajak kita mengadap realiti, kebenaran di hadapan kita. Bagai manusia fatalis, dia cuba mengimbanginya dengan berlaku jujur bak sang optimis yang punya idealis murni. Mungkin roh manusiawi dalam diri Fathul itu terpancar dalam nur sebagai penganut Islam, yang sering menyesal akan setiap dosa, namun sentiasa menganggap bahawa Tuhan itu kekal sebagai Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Lantaran dia juga mengajak kita agar kembali kepada tali Tuhan biarpun berjuta kali kita terhumban ke gaung dosa-dosa insani. Watak Sulaiman sudah tentu watak fiksi. Tidak mustahil juga dia itu adalah watak halusinasi yang dilihat Fathul tatkala diserang bipolar, Wallahu’alam. Kerana sebagai pesakit bipolar, atau gangguan mania-depresif, ataupun kronik ke tahap psikotik; mereka sering diganggu oleh entiti aneh yang sebenarnya sering dekat dengan diri mereka. Bukalah segala teori daripada Jung atau Freud, Uncle Seekers atau Dr Fadzilah Kamsah, kita takkan pernah tahu melainkan menghidapnya sendiri.

Idola – Hala



Fathullah yang kita kenali bukan seorang pelukis yang meniru alam dan persekitaran secara bulat-bulat. Mengukur skala dengan jari dan pensel sambil tangan didepakan ke depan kemudian memindahkan ke atas kertas bukan dunianya. Dia juga bukannya seorang seniman mulut becok yang melecehkan para pengamal seni yang mengambil jalan ‘realisme’. Jalan ‘ekspresionis’ dan ‘abstrak’ adalah minatnya. Sudah menjalar dalam urat darah badannya. Sehingga sekarang kita tak pernah melihat lukisan potret dan lanskap yang ‘seolah hidup’ daripadanya. Namun, jangan beranggapan artis ekspresionis ini seorang pelukis yang gagal. Bermula dari karyanya yang dijadikan tukaran ala sistem barter demi segelas teh tarik, kemudian karya-karya selepas itu pernah dijual dengan harga RM5, RM10, naik ke RM200-RM500 sekeping kanvas pada tahun 90-an hinggalah ke tahun 2009 apabila sebuah kanvas bersaiz etc etc memberinya pendapatan sebanyak RM9,000, kita dapat memahami bahawa perjalanan seni manusia yang bernama Fathullah Luqman Yusuff ini bukanlah mudah, dan sudah tentu sebenarnya tidak pula mustahil! ‘Tempur terus!’, sepertimana yang sering dilaung-laungkan kepada jiwa-jiwa muda di dalam lingkungan kenalan Myspace dan sekarang, Facebooknya, begitulah semangat lamina yang sedang membakar dan bernyala di minda dan jiwanya. Nyala Mata Minda Arts adalah satu kolektif yang ditubuhkan oleh Fathullah Luqman Yusuff pada tahun 2010 demi memberi semangat dan ruang untuk para pengkarya muda mengikut jejak langkahnya. Jika tidak pun, mengumpul semangat untuk sentiasa berani mencipta karya. Tidak dapat tidak, apabila seseorang seniman mula mendapat perhatian melalui penghasilan karya yang unik, kita akan dapat melihat seperti cendawan tumbuh, beberapa anak muda mula melompat ke dalam wagon yang sama melukis mengikut gayanya. Fathullah juga tidak terkecuali dari fitrah sebegini. Jika pada suatu ketika dia didapati mengikut rentak Dubuffet ke jalan Art Brut, bak kata Sei Hon, sewaktu mengulas tentang gaya Fathul; atau mendapat ilham daripada H.R Giger dalam anatomi makhluk anehnya, atau Picasso dalam tingkah figura dan daya spontan palitan berusnya, atau Van Gogh dalam ‘kegilaan’ dan obsesinya, atau Yusof Gajah dalam kenaifannya, atau Pollock dalam percikan dan simbahan catnya yang selamba, atau sesiapa sahaja pelukis dunia dan tempatan, Fathul tetap saja menjadi Fathul. Kerana jika kita tenung dan renung karya-karyanya, kita tak nampak satu pun peniruan dan obsesi kental terhadap karya-karya pelukis lain. Fathullah Luqman Yusuff bukan Kandinsky, bukan Klee, juga bukan Mondrian. Apatah lagi bukan Latiff Mohidin, Awang Damit, Yusof Ghani mahupun A. Shukri Elias. Nama-nama tadi, kerana mereka mempelopori jalan dunia seni tampak terlebih dahulu, sudah tentu secara tak sedar melampiaskan cebisan (paling kurang pun sekelumit) warna idealisme mereka ke atas kanvas pelukis muda terkemudian. Maka didapati sekarang pelukis-pelukis muda ‘outsider’ (label pelukis yang tidak belajar seni secara formal di sebarang institusi seni negara) lain juga mulai mengambil langkah yang pernah dilaluinya. Mereka juga melihat ke sosok Fathullah seperti melihat diri mereka di masa mendatang. Imejan tugu berunsur Hinduisme Bali, lakaran primitif seperti dalam gua, motif awan larat, satah kubisme ala Piccasso, kecelaruan warna seni native Basquiat, garisan robotik dan alienisme Giger adalah tema-tema biasa yang dicurah oleh pelukis aliran ‘moden’, neo-ekspresionisme atau segala apa istilah baharu lain dalam menakrif cabang kesenian yang belum pupus, sebelum mengubah dan mengadunnya untuk membentuk identiti dan trademark tersendiri. Proses kematangan dalam karya selalunya mengambil masa berpuluh tahun, mungkin hingga ke akhir hayat seorang pengkarya itu, tatkala sang pengukir nisan menempa namanya di batu.

Pernah seorang peminat Fathul bertanya, ‘apa perasaan anda apabila berjaya mendapat nama sebagai pelukis?’ Jawabnya, ‘nama aku diberi oleh mak aku, sejak lahir lagi.’ Jadi, tak timbul persoalan menempa nama atau ingin menjadi ternama dalam niat berkarya. Kenikmatan untuk mendapat nama merupakan godaan paling akbar terhadap setiap artis/seniman mahupun politikus. Kerana manusia hidup hanya sekali, seorang seniman juga perlu berani membuat apa saja, asalkan mengikut syariat, ujar Fathullah Luqman Yusuff setiap kali menghabiskan sebarang perbualan bersama temannya.





*Artikel ini ialah cebisan daripada buku Tempur Terus, yang memuatkan nota-nota karya Fathullah Luqman Yusuff.

0 comments: