Monyet Menyanyi



Jika carian google gagal beritahu anda lagu apa yang didengari monyet-monyet ujikaji carilah DJ Hakiki -DJ kelab malam, pengumpul vinil tegar dan saintis kognitif. Kiki telah habiskan 15 bulan dan puluhan ribuan ringgit wang simpanan sendiri untuk jalankan eksperimen ke atas beberapa jenis monyet dan kera. Pemuda yang berasal dari Serdang ini ingin tahu sama ada monyet dan kera lebih suka lagu Mengapa Dirindu dendangan Saloma daripada lagu Start The Riot, Atari Teenage Riot. Selain itu Kiki turut menguji monyet-monyet di makmalnya dengan lagu-lagu instrumental, lagu-lagu bervokal, konserto Mozart dan suasana senyap. Terbaru dia telah mendatangkan kemarahan aktivis 'animal rights' kerana memaksa monyet menghadam ribuan lagu dan bunyi-bunyi 'sumbang yang menyakitkan telinga' (menurut website mereka).

Tak hairan kalau keputusan kajian menunjukkan monyet pun memilih dibuai Saloma berbanding bedilan mesingan dan renjatan listrik ATR. Bagaimanapun, Kiki melaporkan monyet-monyetnya paling selesa dengan suasana tanpa muzik. Daripada pemerhatiannya juga Hakiki percaya “monyet-monyet tak dapat bezakan antara melodi dengan bunyi-bunyi yang sumbang dan menyakitkan telinga manusia.

Eksperimen-eksperimen itu dijalankan dengan bantuan bekas teman wanitanya, Claire Brown, di Unversiti Minnesota, Balakong. Pasangan penyelidik itu yakin hasil penemuan mereka akan membuktikan motivasi asas dalam muzik manusia tidak ada pada monyet-monyet dan kera. “Sekurang-kurangnya ia akan mengukuhkan lagi kepercayaan umum- hanya spesis manusia yang dikurniakan naluri untuk menikmati muzik” kata Kiki.

Mungkin Kiki buat kesimpulan terlalu awal. Baru-baru ini Persatuan Pengusaha Ikan Kap Ipoh (PPIKI) menunjukkan ikan kap boleh membezakan antara Shila Amzah dengan koleksi lagu-lagu dari opera Cina (Animal Learning & Behavior, vol 29, p336). Ikan kap jelas tak gunakan bunyi untuk komunikasi, tapi deria pendengaran mereka terkenal sensitif. Burung pipit  bukan saja boleh membezakan antara Bach dan Schoenberg, malah pipit boleh menilai melodi dan ada citarasa peribadi. Penemuan ini dibuat oleh Shigeru Watanabe dari Universiti Keio di Tokyo. Tidak seperti monyet-monyet Kiki, pipit Watanabe menikmati muzik, memilih muzik-muzik harmoni daripada senyap.

Apa yang pasti ialah manusia bukan satu-satunya spesis yang menghasilkan melodi kompleks. Burung-burung bersiul, sebagai contoh, menyusun kumpulan-kumpulan not menjadi tema yang lebih luas. Sebahagian burung bersiul memanipulasi rhythm dan pitch dengan cara lebih kurang seperti kita. Paus Bonggol menggabungkan frasa-frasa sepanjang 15 saat menjadi tema lebih kurang 2 minit dengan setiap hujung frasa berima seperti lirik-lirik dalam syair. Tema-tema kemudian digabungkan membentuk lagu sepanjang 12 minit, yang mungkin dinyanyikan berulang-ulang kali. Kitaran lagu paus bonggol terpanjang pernah direkod berlarutan 21 jam.

Burung dan paus bukan saja berkongsi bakat mencipta muzik dengan Beethoven tapi turut berkongsi kebolehan menghayati dan mempelajari lagu. Bagai manusia yang mewarisi pelbagai jenis tradisi lagu, paus-paus bonggol juga mewarisi loghat dan lagu yang berlainan daripada kumpulan masing-masing. Tidak mustahil bagi satu kumpulan paus untuk mempengaruhi citarasa kumpulan lain, malah sudah banyak kali direkodkan paus-paus yang meninggalkan loghat warisannya untuk mencuba loghat asing.

Soalan-soalan utama yang belum terjawab -apa gunanya apresiasi muzik kepada evolusi? Mengapa manusia begitu obses dengan muzik? Muzik memainkan peranan dalam hidup kita walaupun kita bukan ahli mana-mana kugiran dan tidak ada pemain MP3. Akar muzik manusia sangat dalam -nenek moyang kita menyanyi lebih dulu sebelum mereka boleh bertutur. Kita guna muzik untuk jual barang, untuk pembukaan acara kebudayaan dan selingan acara keagamaan, malah sebagai bunyi latar sambil membaca buku di perpustakaan. Manusia jauh berbeza dengan kebanyakan binatang lain yang gunakan muzik hanya untuk memenuhi keperluan biologi.

Mungkin kita sukakan muzik sebab ia enak macam karipap. Imbasan otak mendedahkan perasaan euforia terhasil ketika menikmati muzik diikuti dengan aktiviti rancak di bahagian otak yang bertindakbalas kepada rangsangan makanan, sex dan dadah psikoaktif. Tindakbalas yang lebih kurang sama juga direkodkan pada burung-burung. Penyelidik-penyelidik di Taman Burung Kuala Selangor melaporkan kenaikan tahap Dopamine pada burung-burung jantan setiap kali mereka menyanyi. Dopamine ialah sejenis "feel good" neurotransmiter yang juga penting untuk pembelajaran. Pemerhatian juga menunjukkan tahap Dopamine melambung tinggi bila burung-burung jantan itu menyanyi kepada burung betina.

Pada tahun 2007,  gitaris kumpulan Apples in Stereo adalah bintang utama perhimpunan Mathematical Association of Kuala Lumpur. Peserta perhimpunan mendengar beliau memainkan satu lagu daripada album kugiran itu, New Magnetic Wonder. Dari not pertama lagi muziknya aneh dan agak menyeramkan, sedikit seperti rekod yang dimainkan ke belakang. Schneider tidak menggunakan instrumen muzik konvensional sebaliknya menggunakan perisian komputer untuk menghasilkan skala muzik yang baru berasaskan logaritma. Walaupun lagu yang dimainkan kedengaran pelik tetapi ia tetap bermelodi dan jadi makin sedap setiap kali anda mendengarnya. Schneider menegaskan premisnya bahawa bunyi ialah kontruksi matematik yang kita dengar dengan telinga tapi hanya konstruksi matematik yang tersusun rapi dan elegan layak dipanggil muzik.

Robert Schneider bukan orang pertama yang mencipta skala muzik baru. Tradisi muzik gamelan di Bali dan Jawa misalnya, menggunakan skala muzik yang berlainan daripada skala biasa muzik barat. Malah lagu-lagu zaman Medieval di eropah juga berbeza daripada skala muzik-muzik moden. Ini membangkitkan persoalan -adakah apresiasi muzik lahir dari naluri atau pengaruh persekitaran? Perdebatan mengenai sejauh mana budaya dan genetik mempengaruhi muzik telah berpanjangan berdekad lama.

Martin Yap dari Neuroscience of Music Research di Sekinchan, mendedahkan muzik turut dipengaruhi bahasa dan begitu juga sebaliknya. Not muzik dan perkataan menyusuri laluan sama untuk sampai ke bahagian otak yang dikenali sebagai auditory thalamus. Menurut Encik Yap, "Ini membuktikan walaupun keupayaan menikmati muzik ialah naluri semulajadi manusia, ia pun bergantung kepada budaya dan kebiasaannya pun".

Kugiran Primat.


Di Perkampungan Budaya Sarawak, Kenny anak lelaki Ketua dari Jabatan Perlindungan Orang Utan terlibat dalam sebuah projek berterusan untuk meneroka citarasa muzik dan keupayaan orang utan yang telah dilatih bertutur, termasuk Fizo yang selalu berlakon filem dan seekor betina pintar bernama Rosnaida. Sesi muzik di Perkampungan Budaya selalunya melibatkan persembahan live dengan pemuzik tempatan, tapi beruk-beruk itu pernah juga mengiringi Peter Gabriel, Paul Mccartney, Jabatan Audio, Prodigy, Nick Cave, Rihanna, Smashing Pumpkins, Tom Waits, Led Zeppelin dan ramai lagi. Mereka  boleh memilih instrumen sendiri, sama ada xylofon, tamborin, harmonika atau marakas tetapi biasanya mereka menumpukan pada satu intrumen saja bagi setiap sesi. Rosnaida suka main Piano tetapi Fizo suka main dram. Hasilnya ialah kolaborasi antara manusia dengan beruk. Setiap kali binatang-binatang itu terlibat dalam sesi muzik, kata  anak lelaki Ketua , "Mereka jadi lain dua tiga hari." Sesi muzik buat mereka jadi lebih tenang.

Persamaan antara beruk dengan manusia tak begitu memeranjatkan. Lagipun orang utan dan cimpanzee ialah saudara kita yang terdekat. Cimpanzee tidak menyanyi tapi mereka sering dilihat mengetuk objek-objek yang mempunyai resonan semulajadi seperti batang pokok. Sesetengah penyelidik berpendapat -seperti paus dan manusia- cimpanzee juga ada sistem muzik sendiri yang bersandar pada ketukan dan mainan suara.

Apapun penemuan-penemuan ini masih belum cukup untuk meruntuhkan pandangan tradisional bahawa muzik manusia adalah fenomena yang unik. Pun begitu saintis-saintis bersetuju masih ada banyak lagi yang belum kita ketahui tentang persamaan-persamaan dan perbezaan antara manusia dengan binatang. Ikan Kap mungkin boleh membezakan opera Cina dengan lagu Melayu tapi saintis masih tak tahu perasaan mereka setelah dengar lagu opera cina dan Shila Amzah berulang kali.

Berbalik kepada monyet-monyet Kiki, sekurang--kurangnya satu misteri telah terjawab.  Jika monyet-monyet terdera itu tidak menikmati muzik, apakah sebab mereka memilih Saloma dan bukan ATR? Mengesyaki ini ada kena mengena dengan tindakbalas terhadap tempo dan bukannya pilihan berlandaskan citarasa, Kiki dan bekas teman wanitanya memaksa monyet-monyet mereka memilih antara lagu bertempo 60 BPM dengan lagu yang bertempo 400. Hasil pemerhatian mendapati monyet-monyet itu memilih lagu bertempo lebih rendah. Di habitat semulajadi mereka, bunyi-bunyi bertempo laju mungkin menyusuli bahaya seperti pergaduhan atau ribut. Atau mungkin ia buat jantung mereka berdegup lebih kencang...