Topeng Politik, Hantu-Hantu Guy Fawkes & Hippies Menuju Wall Street




Oleh AEDI ASRI

Bagaimana istilah cool boleh menjadi lingo sehari-hari dalam dunia politik? Aku tidak pasti bagaimana ia bermula, dan siapa yang memulakannya. Tanpa sempat aku tangkap arus yang membawanya, ia sudah merebak ke merata-rata tempat.

Sebagai 'anak muda' (beri perhatian pada tanda kutip) yang memulakan hari dengan melayari internet, sign in di media sosial (oh fuck!) dan portal berita, aku gagal menangkap perubahan ini. Tiba-tiba saja pada satu pagi, politikus menyematkan satu azam sebaik sahaja mencelikkan mata - "Aku perlu berubah, aku nak jadi cool," jerit mereka kuat-kuat, disambut mereka sendiri.

Langkah yang sukar, aku fikir. Kerja politikus 24 jam sehari. Mereka perlu berada dalam karakter sepanjang masa, sebelum offline dan kemudiannya berdiri menghadap cermin untuk analisis keberkesanan lakonan.

Namun mereka tidak perlu seribu sebab untuk mengambil langkah sedemikian. Satu saja memadai untuk menjawab semua persoalan, mengabsahkan segala tindakan. Ia adalah sokongan'. Sokongan golongan muda yang menjadi pengundi terbesar dalam pilihan raya.

Maka bermulalah tragedi besar-besaran yang merebak seperti virus rabbies dalam lingkungan politik Malaysia. Tragedi yang menyebabkan kebodohan, dengan sedikit rencah kenaifan, tentunya, di-raikan setiap hari.

Dan aku yang berada di tengah-tengah pesta, mula rasa sakit dada.