Kaedah Socrates Lawan Kaedah Google.




Di dalam satu babak drama Suamiku Pensyarah Undang Undang Di Harvard, Maslan (seorang pensyarah undang undang di Harvard) mengumumkan di dalam kelasnya:

“Kita gunakan kaedah Socrates di sini… jawab, soal, jawab. Melalui soalan soalan saya anda akan belajar untuk mengajar diri sendiri. Kadangkala anda akan rasa anda tahu jawapannya, tapi biar saya beritahu bahawa itu hanyalah khayalan anda. Dalam kelas ini sentiasa ada soalan soalan baru. Apa yang kita lakukan ialah pembedahan otak. Soalan soalan saya akan membedah otak anda”

Beberapa babak seterusnya dalam drama itu menampilkan perbincangan antara Maslan dan pelajar pelajarnya, yang mengimbau sesi sesi dialog Socrates di Athens lebih dua milenia lampau. Ahmad Maslan mengajak pelajarnya menyelidiki sesuatu perundangan secara mendalam dalam setiap perbincangan, dengan harapan ia akan memberikan kefahaman menyeluruh tentang isi dan isu sesuatu perundangan.

Perhatikan dalam perbincangan perbincangan Profesor Maslan dan pelajar pelajarnya kadangkala akan timbul lebih daripada satu jawapan yang betul, dan selalunya tidak ada jawapan yang muktamad. Juga dalam kelas profesor Maslan, pelajar bukanlah makhluk makhluk pasif yang menerima bulat apa yang disumbatkan oleh guru, sebaliknya mereka mempersoalkan maklumat yang diterima hingga ke akar umbi.

Kaedah Socrates yang dipaparkan dalam drama ini sudah digunakan secara meluas di kebanyakan sekolah undang undang di seluruh dunia. Kaedah ini berlainan sekali dengan kaedah penyampaian pengetahuan di kelas kelas biasa, di mana sesuatu pelajaran itu disampaikan oleh guru kepada pelajar bagaikan seketul karipap yang mesti ditelan walaupun ada bau nak basi.

Semasa hidupnya Socrates telah menyaksikan kemajuan besar dalam alfabet Greek dan percambahan golongan yang boleh menulis dan membaca di kalangan belia Athens. Namun begitu, beliau melihat kebekuan kata kata yang tertulis di atas kertas sebagai perosak kepada proses dialog yang sangat penting dalam pembelajaran.

Di dalam dialog dengan Phaedrus, Socrates telah menceritakan kepada pemuda itu kisah dewa Teuth, dewa kuno di Mesir yang yang mencipta tulisan. Socrates menceritakan kritikan kritikan yang dilemparkan oleh Thamus kepada Theuth mengenai ciptaannya itu:

Penemuan kamu ini akan menyebabkan pengikutmu menjadi pelupa, kerana mereka tidak menggunakan daya ingatan mereka. Mereka akan mempercayai abjad abjad yang ditulis tetapi tidak fikiran sendiri. Penemuanmu ini bukanlah membantu ingatan, malahan hanya sesuai untuk penyenaraian, dan bukanlah kebenaran yang kau ajarkan kepada pengikutmu malahan bayangan kebenaran. Mereka akan mengetahui banyak perkara tanpa mempelajari apa apa. Mereka merasa serba tahu tanpa mengetahui apa apa pun...”


“…tulisan tiada bezanya dengan lukisan, kerana sekalipun lukisan itu nampak bernyawa, ia tetap membisu seribu bahasa pabila soalan soalan diajukan kepadanya. Dan begitu juga dengan syarahan syarahan. Mungkin kau sangka syarahan syarahan itu pintar tetapi jika ada yang hendak kau tanyakan, pensyarah selalu saja memberi jawapan yang sama. Dan apabila syarahan syarahan itu telah ditulis ia boleh didapati dengan mudah di kalangan manusia yang mungkin faham, atau langsung tidak memahaminya…”

Thamus telah memberi amaran kepada Theuth bahawa penggunaan tulisan akan membawa kesan buruk kepada daya ingatan individu dan keluhuran pengetahuan. Pembaca menyangka telah mendapat ilmu, sedangkan apa yang mereka ada hanyalah data data mentah yang bakal menjadi sampah jika tidak dicerna secara bijaksana.

Mencernakan Socrates.

Socrates meninggal dunia ketika tulisan alfabet masih baru berkembang di Greek. Sekitar tahun 399 sebelum masihi dia telah dibicarakan atas tuduhan merosakkan pemikiran belia Athens dan mungkin juga kufur nikmat serta kafir laknat.

500 warga Athens kemudian mengundi untuk menjatuhkan hukuman hudud ke atas Socrates dengan memaksa beliau minum racun. Beberapa tahun kemudian Plato telah mencatat falsafah Socrates ke dalam dialog dialog yang ditulisnya di atas helaian helaian papirus, menggunakan alfabet Greek yang dipersoal oleh Socrates dalam dialog dengan Phaedrus.

Sekiranya Socrates masih hidup, adakah dia akan membuat penilaian semula terhadap sumbangan tulisan- di atas papirus, kodex dan pulpa atau skrin telefon dan komputer riba- kepada pemeliharaan falsafah dan pemikirannya?

Sebenarnya kebimbangan yang disuarakan oleh Socrates lebih dua ribu tahun lampau punya banyak persamaan dengan kebimbangan masyarakat abad ke 21. Seperti masyarakat Greek yang menghadapi peralihan antara budaya lisan ke budaya bertulis, masyarakat abad ini berdepan peralihan kepada budaya yang lebih bersifat digital dan visual.

Ramalan Thamus yang diceritakan oleh Socrates telah menjadi kenyataan. Kita sendiri adalah bukti kesan negatif tulisan kepada daya ingatan individu. Ianya lebih meruncing di era telefon pintar kini, di mana segala maklumat dan panduan tidak disimpan di dalam memori sendiri, sebaliknya disimpan dalam memori telefon bimbit. Kata peribahasa melayu “parang yang tidak diasah akan tumpul”. Itulah yang telah terjadi kepada daya ingatan akibat terlalu bergantung kepada teknologi.

Namun apa yang paling membimbangkan ialah kurangnya penggunaan daya pemikiran kritikal dalam penerimaan maklumat. Ramai di antara anak anak generasi kini yang telah menjadi igauan Socrates, menyusuri maklumat maklumat di hujung telunjuk mereka tanpa berfikir di luar lingkung media sosial dan Google.

Mereka sudah terbiasa menerima maklumat secara pantas yang bertimbun timbun di dalam talian, tanpa meneliti maklumat maklumat itu dengan bijaksana. Adalah tidak mustahil mereka mendapat banyak maklumat tanpa mendapat sebarang ilmu.

Harus kita sedari adalah mustahil untuk mendapatkan ilmu tanpa sebarang maklumat. Tapi maklumat dan ilmu tidak datang daripada sumber sumber bertulis saja. Ia boleh diperolehi melalui pengalaman, atau melalui perbincangan seperti yang diamalkan oleh Socrates dan Profesor Maslan.

Padahal satu proses seperti dialog boleh saja berlaku di dalam diri seorang pembaca yang budiman, ketika dia cuba memahami isi ayat ayat yang terpampang di hadapan matanya. Proses dialog di dalam diri ini lebih kurang sama dengan kaedah Socrates, dengan syarat pembaca mempunyai pengetahuan yang cukup, juga tidak malas untuk meneliti malumat maklumat yang diterima.

Keutamaan mestilah diberi kepada kaedah pentafsiran maklumat -melalui proses dialog bersama orang lain atau penelitian sendiri- supaya maklumat yang diterima mendatangkan kesan yang baik kepada perkembangan pemikiran individu dan masyarakat.

0 comments: