Ini mungkin bukan travelog: Agra dan kubur bernama Taj Mahal



Catatan dan foto Alina Abdullah


Ada sebabnya catatan kembara kami ini ditulis lewat.

Kembara ke tanah asing bagi aku sentiasa mengujakan. Lebih teruja jika destinasi itu suatu yang mencabar visual-rasa dan berbeza dari segi budaya, cara hidup dan juga cuaca.

Keluar dari zon selesa kita. Keluar dari kotak sederhana kita. Keluar daripada kebiasaan bangun pagi dalam kamar yang amat selesa, sambil sarapan nasi lemak daripada gerai makcik seberang jalan. Keluar dan ke sana.

Ke arah sana yang cuaca amat membahang seolah melangkah ke daerah yang baru saja diitmpa kemarau panjang. Kesilapan kami kerana memilih ke tanah bersemadinya Ibu Teresa ini pada musim panas! Tidak terfikir bahawa India juga punya banyak musim, bukan sekadar terik sepanjang tahun. Padanlah tiket murah! Kata lelaki liberalis-konservatif. Musim panas di India, terutama di bandar-bandar Hindi, adalah musim rehat bagi wisata budaya. Musim ini, pelancong lebih gemar ke Utara, ke kawasan pergunungan yang lebih sejuk. Dan Delhi-Agra tanpa pelancong-pelawat-pengembara adalah suatu daerah yang agak sunyi, sepi. Dan mati.

India jika terzahir dalam bentuk catan, tentunya sebuah catan abstrak ekspresionis, atau lebih tepatnya, seperti catan-catan de Kooning. Penuh warna, jalinan dan emosi yang berbaur dalam satu dengan aroma rempah dan kari. De Kooning dalam bauran rempah dan kari tentu sesuatu yang menarik, bukan? Mengapa India bagai catan abstrak ekspresionis? Mungkin makanannya, warnanya, budayanya, kota-kota lamanya, bahasanya, cuacanya, sesaknya, atau mungkin kesemuanya sekali. Kaualami sendiri.

Delhi-Agra-Deoband yang telah kualami, seperti filem lakonan Dimple Kapadia itulah. Seperti filem lakonan Amir Khan itulah. Seperti filem juga filem hitam putih Dosti itulah. Ada pemuda membimbit radio (ya, radio, bukan ipod) yang dipasang kuat dengan lagu bingit rancak. Seperti rancaknya gadis-gadis yang yang bersari penuh warna menyeberang jalan. Jalanraya yang penuh sesak dan berdebu. Debu-debu yang mengapung sekeliling lelaki yang berbogel sambil mencangkung membuang air besar di tepi landasan keretapi. Ya, seperti filem-filem itulah. Dalam latar runut bunyi lagu Tere Walon Zara. Kau kena dengar itu.

Terlalu banyak untuk ditulisceritakan tentang kembara Delhi-Agra-Deoband-Delhi ini. (Mengapa kami memilih tiga destinasi ini adalah cerita lain pula.) Aku pernah terbaca, atau terdengar, di mana entah, jika ke sesuatu daerah, pergilah lihat kota lamanya, ada ruh dan semangat bangsa di situ. Jadi di Agra (untuk catatan ini, biar aku kisahkan tentang kota Agra dahulu), kami ke kota-kota lamanya, yang teguh tapi tetap sepi. Kota senibina Mughal: Kubu Agra, Fatehpur Sikri, Makam Akbar, Makam Itmad-ud-Daulah dan tentunya Taj Mahal yang membawa semangat empayar tua kurun ke-16 hingga ke-17. (Ya. Bangunan-bangunan lama yang indah di Agra adalah makam. Betapa terpengaruhnya Mughal dengan budaya Piramid Mesir!) Jadi untuk kali ini sekadar abstrak, atau petikan daripada rantaian anekdot, aku kisahkan tentang Taj Mahal. Abstrak tentang sebuah makam yang menjadi klise bagi pergambaran cinta agung. Yalah sangat. Aku sinis di sini.

Taj Mahal tidak perlu dikisahkan lagi di sini, tentang hebatnya binaan sebuah makam yang jadi lambang cinta agung, yang kisahnya bergerak dalam masa dan zaman, seluruh dunia. Biarpun lambang binaan itu sebuah makam. Biarpun cinta agung itu adalah cinta yang ketiga, biarpun cinta agung itu memaksa rakyatnya menderita sepanjang binaan, biarpun cinta agung itu menjadikan pembinanya kudung tangan, biarpun cinta agung itu menjadikan pemujanya seorang yang mabuk dan edan cinta. Jika ini cinta agung, maka mahukah kau menjadi sebegitu gila?

Untuk melihat sebuah cinta ini, kau perlu duit yang banyak. Tiket masuk ke kota-kota dan bangunan lama di sini sangat mahal untuk pelancong luar. Bagi Taj Mahal, tiket pelancong luar hampir 300 peratus lebih daripada harga tiket tempatan. (Tapi kami temui cara lain untuk mendapatkan harga tiket yag murah. Oh, itu cerita dan kisah mungkin pada karangan yang lain.) Untuk masuk ke dalam pula perlu beratur panjang. Selepas itu diperiksa pula oleh pengawal. Barisan lelaki dan wanita diasingkan. Jadi perlu hati-hati agar tidak terpisah jika pergi berkumpulan. Semasa membeli tiket, pelawat akan di’paksabeli’ air mineral dan plastik untuk lindungi kasut. Harga agak mahal. Tips: Jangan beli di kaunter, harga barang itu lebih murah dijual di dalam.

Ciri utama Taj Mahal, bagi aku ialah pintu gerbang di hadapannya. Khabarnya, pintu gerbang itu sengaja dibina untuk memperlihatkan kehebatan Taj Mahal melalui ‘sense of perspective’. Semakin lama kita menghampiri pintu gerbang itu, semakin jelas imej Taj Mahal. Ada visual indah apabila bayang separa Taj Mahal dari kejauhan dibingkai oleh pintu gerbang itu. Ah, sulit mahu menzahirkan perasaan, perlu alami sendiri. Tapi itulah kebijakan arkitek atau pereka atau siapa saja yang punya idea begitu. Jadi, berjalanlah perlahan-lahan ke pintu gerbangnya, dan memandang ke arah Taj Mahal yang semakin lama semakin muncul dan membesar, dan jelas pandangan, jika kau mahu menangkap rasa itu.

Jika mahu cerita tentang estetik Taj Mahal, mungkin akan berkajang-kajang kertasnya. Tapi pati estetiknya ialah, semua tentang Taj Mahal, binaan bangunannya dan binaa tamannya, adalah simetri geometri Euclidean, langsung mengindah melalui aturan. Keindahan adalah kebenaran, kebenaran yang indah, kata Keats. Suatu tesis yang saya jangka ditolak pascamodenis.

Ah, kita tinggalkan dahulu naratif visual Taj Mahal dan kita nikmati akalrasa. Yang kau mahu buat apabila di Taj Mahal adalah, pilih satu kawasan lapang dalam tamannya, dengan pandangan sederhana jauh mengarah bangunan. Duduklah di situ selama mana yang kamu mahu.

Melukis. Membaca. Bersajak. Ketik gambar. Atau sekadar berbualbicara bersama teman. Lelaki liberalis-konservatif misalnya. Atau mungkin kau boleh saja termenung, kosong, hingga hilang fokus, dan lokus. Aku pasti perkara itu sudah terbiasa kau lakukan di balkoni rumahmu pada waktu malam, kan? Termenung sehingga hilang foukus, maksud aku.

Keindahan Taj Mahal bukanlah pada hiasan dalamannya, melainkan kau suka akan kuburan yang berada di dalamnya. Bukan juga pada motif-motif di dindingnya, kerana, iyalah, faktor masa, maka warna putih yang digambarkan pada dinding tidak lagi putih, tapi warnanya menjadi semakin suram. (Ini sesuatu yang sedih). Keindahan dan kehebatan Taj Mahal letaknya pada pandangan perspektif,-yang kukatakan tadi- letaknya pada gambaran bingkai, di kejauhan, dan apabila sinar matahari yang berlainan kedudukan, jatuh pada refleksi marmar dindingnya, yang berlatar langit biru–itupun keberuntungan jika langit cerah. Pada saat itu, kau duduklah pada jarak sederhana kejauhan, tarik nafas, dan nikmati. Adakah kaurasakan cinta manusia di situ? Mungkin. Apakah kaurasakan cinta Alam? Mungkin. Mungkin juga cinta yang wujud di situ melampaui sakral.3

Tak terjangkau.
Dek akal.
Dan duduklah.
Selama mana pun.
Satu hari penuh itu kaupunya.
Melainkan alam cemburu dan hujan turun semahunya.

(Oh ya, lagi satunya, tiket agak mahal, jadi tak berbaloilah masuk untuk sejam sahaja, bukan?)

Suatu lagi yang terkait dengan Taj Mahal ialah Sungai Jamuna di bahagian tebing belakangnya. Entah kenapa jika tentang Jamuna, aku teringatkan sebuah cerpen Cinta Jamuna1, tentang cinta, tentunya, dan Sungai Jamuna, pastinya. Ah, Gambaran Cinta Jamuna tentang Jamuna terlalu romantis. Sebab apa yang kulihat sang Jamuna pada petang itu hanyalah sebuah sungai cetek yang mengalir lesu dan pilu.

Apakah kaukandung banyak cinta agung yang pilu dalam nadimu, wahai Jamuna? Atau sudah lama Tuhan Krishna tidak menjenguk kamu? Atau sungguh berat untuk kautanggung mitos Taj Mahal hitam?

Ada sebabnya catatan kembara kami ini ditulis lewat. Antara satunya, cubaan untuk merakam rasa dan ingatan tersisa, yang ada. Yang masih ada.

_________________


EPILOG

Aku sepertinya telah mencintai kamu dalam
bentuk-bentuk yang tidak terkira, dalam waktu-waktu
yang tidak terjeda, dalam kehidupan selepas kehidupan,
usia selepas usia, selamanya
hati mabuk pesona ini telah berkali-kali
menjalin kalungan lagu yang kamu ambil sebagai
hadiah, dan memakainya pada leher
dalam pelbagai bentukmu, dalam kehidupan
selepas kehidupan, usia selepas usia, selamanya.2


India terlalu punya banyak anekdot bagi kami. Anekdot-anekdot India ini kerapkali diulang-ulang pada kawan-kawan. Berkali-kali. Ada yang ditambah, ada yang dikurang, setiap kali. Terutamanya anekdot yang amat jenaka dan yang malang.

Adakah aku akan kembali lagi. Mungkin tidak. Jika kembali pun, mungkin ke pergunungan di utara. Mungkin ke Darjeeling. Tapi tidak ke Agra atau Delhi. Ini ingatanku seorang, tapi mungkin tidak bagi lelaki liberalis-konservatif. Akar dia di India. Terutama pada juadah yang tak tersempatkan dan tak terpuaskan nikmati. Biarpun begitu, setiap manusia pencinta, harus menjejakkan kaki ke sana, biarpun sekali.




1 Sebuah novel tulisan Anis, atau nama sebenarnya Amida Abdul Hamid, novelis yang kugemar dalam liganya.

2Terjemahan bebas sajak Rabindranath Tagore, ‘Unending love’.
I seem to have loved you in numberless forms, numberless times.
In life after life, in age after age, forever.
My spellbound heart has made and remade the necklace of songs,
That you take as a gift, wear round your neck in your many forms,
In life after life, in age after age, forever.


3 Ingin juga kukisahkan, pada fikirku, sakral binaan ini mungkin dilingkung oleh kaligrafi ayat-ayat suci Al-Quran pada dinding-dindingnya. Dalam seni Islam, darjat seni kaligrafi adalah darjat yang paling tinggi, pertamanya kerana kudus Ayat Suci, dan keduanya kerana tepatnya (precision) perkiraan aturan untuk melakar suatu seni kaligrafi ini. Geometri adalah indah dan suatu yang wujud di mana-mana, seperti yang diakui dan tertulis pada pintu gerbang Akademi Plato, Mèdeis ageômetrètos eisitô mou tèn stegèn, “Orang yang tidak tahu tentang Geometri tidak dibenarkan masuk”.

0 comments: