Menukang Rahsia Hati


oleh Hadi Jaafar
"It is a magnificent slow dance of surreal beauty. He never knew he could suffer so much."

Mendedah keberadaan diri
“If you knew when you began a book what you would say at the end, do you think that you would have a courage to write it?” - Michel Foucault

Seni harus seperti cermin pembuka diri. Itu Jorge Luis Borges di dalam Ars Poetica. Saya bersetuju dengan rangkap itu asalkan ia berkait dengan rasa bawah sedar. Di dalam penulisan puisi, rasa ‘bawah sedar’ kadangkala memakan masa untuk timbul. Ini kerana saya percaya kebanyakan penyair dan penulis secara amnya tidak secara sedar mahu mendedahkan wajahnya. Malah, dia tidak pun dengan sengaja mahu membongkar apa yang selama ini tersembunyi di dalam kotak-kotak keberadaan dirinya. Saya kira itulah yang sebenarnya terjadi kepada setiap penulis. Betapa di akhirnya dia akan dikhianat oleh tulisannya sendiri.

Khianat - inilah yang saya alami ketika menyiapkan manuskrip buku puisi pertama saya, Di Pinggulmu ada Bulan. Perasaan melihat selapis demi selapis tirai-tirai nipis yang menyelubungi keberadaan diri mula diangkat dan dibakar di depan mata saya. Semua bibit-bibit rasa dan akal yang tak pernah terfikir ada menghuni di dalam benak diri tiba-tiba muncul satu persatu seperti lubang-lubang cahaya yang menembusi gumpalan awan di langit terang.

Semua resah gelisah masa lampau yang sebelumnya tersimpan rapi di dalam tindih-tindih ingatan mula keluar dan memunculkan wajah-wajah ngeri kenangan yang terasing. Suara-suara kasar yang dulunya saya perapkan ke dalam balang-balang kaca yang tersorok di satu sudut kegelapan jiwa, kini semakin hari semakin kuat melaungkan khutbah dan slogan propaganda kehidupan. Kadangkala amat membingitkan. Ada ketikanya seperti suara-suara ini berbicara dalam gaya bahasa yang terlalu asing dan kekok.

Jadi, persoalan-persoalan pun bertubi-tubi diajukan. Berbanding jawapan, sebaliknya lebih banyak persoalan yang timbul. Ia benar-benar menjengkelkan!

Namun begitu, desakan-desakan bawah sedar sebegini adalah rahmat bagi penyair yang sedang mencari-cari isi dan bicara untuk direncanakan pada puisinya. Pemerhatian dan pembacaan semasa tak mencukupi. Kerap tercabar untuk mengisi, dan kerap juga gagal memenuhi permintaan-permintaan diri bernilai tinggi ini. Kerana hanya dengan permainan bahasa tanpa isi dan bicara yang menggetarkan, satu-satu kerja puisi itu belum layak diangkat sebagai karya bermanfaat; sama ada untuk penyairnya atau apatah lagi untuk orang ramai. Dan bila dianggap tak bermanfaat, seringkali pula penyair membiarkan dirinya terbakar dalam unggun api yang dinyalakan oleh sejarah keberadaannya sendiri.

Dan di saat kepedihan terbakar itulah, pati manusiawinya yang selama ini hilang dan hampir pupus muncul kembali. Selalunya kerana dimamah pendewasaan.


Fungsi puisi
“Where is your Self to be found? Always in the deepest enchantment that you have experienced.” - Hugo von Hofmannsthal


Puisi bukan semata medan luahan perasaan peribadi sahaja, tetapi juga sebagai pernyataan hubungan. Sama ada dengan diri sendiri, orang lain atau dengan dunia sekelilingnya. Oleh itu penciptaan puisi yang sempit hanya semata perasaaan peribadi, gagal menterjemahkan fungsi puisi sebaiknya. Seperti kata Karl Agan dalam Meluaskan Ruang Peribadi, “Puisi bukanlah sebuah bakul tempat penyairnya membuang tisu yang penuh dengan airmata dan hingus.” Saya bersetuju. Puisi-puisi tadahan airmata dan hingus penyairnya bukanlah jenis puisi yang sesuai untuk arkib khazanah kepenyairan.


Memang tidak ada sekatan di dalam tata-tertib berpuisi — kalau ini memang benar wujud — yang menghalang penulisnya dari meluahkan perasaan peribadinya yang sedang berkecamuk. Boleh saja dia memaki, mencarut, atau meratapi perpisahan, merengek, atau memuja-muja cintanya ke langit, ke bulan hatta ke matahari pun, selagi pengucapan penuh perasaan itu tidak mengabaikan estetika kepuisiannya.

Bagi saya, puisi yang bagus adalah puisi yang seimbang jiwa-akal penyair itu. Dalam proses memperlengkap kerja seninya itu, dia bukan saja dapat menzahirkan keresahan emosi dan pengalaman peribadinya, malah hasil akhirnya itu mampu menggetarkan jiwa-jiwa pembaca yang turut sama pernah melalui pengalaman lebih kurang sama dengan penyair itu. Penerapan intelek dan pengalaman daripada bibit-bibit peristiwa yang menjadi kata itulah yang menebat perasaan menjalar liar dari rimbun akar dan akalnya.

Dalam erti kata lain, puisi harus menjadi satu medan pembongkaran diri yang terkawal dan tertib yang mampu membawa imaginasi penyair dan juga khalayak pembaca ke daerah yang belum pernah dijejaki mana-mana jiwa sebelum ini. Atau boleh juga ke suatu daerah yang pernah diketahuinya suatu masa dahulu, namun dilupakan kerana telah terkepung oleh keremehan hidup. Puisi yang kehilangan magis bukanlah puisi yang akan tersemat di hati pembaca.

Melalui pengalaman singkat menyiapkan manuskrip puisi, saya cuba menuang idea ini ke dalam pati penulisan yang saya harap nantinya akan memberi rasa dan warna dalam hasil akhirnya. Sama ada adunan idea itu berhasil menzahirkan kerja seni yang diinginkan, itu bukanlah sesuatu yang saya dapat tentukan.

Itu terpulang kepada khalayak.


Matlamat sejagat

“The purpose of art is not the release of momentary ejection of adrenaline but is, rather, the gradual lifelong construction of a state of wonder and serenity.” - Glenn Gould

Antara tujuan puisi dan seni adalah untuk merungkai rasa yang tak terkeluar. Ia tidak semestinya mainan fakta atau kebenaran. Ia berkaitan pemahaman, pemahaman yang seringkali datang dari pembacaan abstrak. Dan pemahaman terhadap satu-satu hasil kerja seni itu mungkin saja akan memakan masa seumur hidup pencintanya.

Apabila saya berkata mengenai seni yang mendedahkan diri, saya maksudkan pengalaman di dalam penghayatan dan pengkelanaan itu yang akhirnya tiba di titik penamatnya. Dan di titik penamat inilah, akhirnya penyair itu memahami tujuan pengkelanaannya yang selama ini penuh kegoncangan rasa dan fikir itu. Di titik akhir itu juga dia merangkum kembali pilihannya dahulu untuk masuk ke dalam dunia gelap ini.

Mengapa dia bersusah payah bertarung dengan perasaan dan akal budinya, di dalam hidup yang terasing, semata-mata untuk melahirkan beberapa buah puisi yang mungkin saja hanya akan dibaca oleh segelintir kecil manusia?

Mengungkap Foucault, ‘…kehidupan sentiasa berbaloi selagi kita tak tahu titik akhirnya.” Tetapi apabila penyair menemui titik akhirnya, adakah akan berakhir sekali hasil kerja seninya? Tidak. Setelah semuanya telah dibongkar, yang menanti di titik akhir itu selalunya adalah hamparan kepuasan yang tidak akan pernah berakhir gulungannya.

Suatu hari nanti kita akan melihat kembali hasil karya itu, tetapi bukan dengan cemas dan kejut seperti dipermulaan berkarya. Sebaliknya, dengan kematangan fikir-rasa, pemaknaan yang dititikkan pada karya kita itu nanti bukan lagi milik kita tetapi sudah menjadi hak milik awam, hak milik setiap manusia yang berkongsi citra sama.

Di titik itu jugalah kita sedar keberadaan diri kita sesama manusia.

Kemudian sedarlah bahawa itu lah sebenarnya sasaran seni - sebagai cermin yang memantulkan wajah kita sendiri.

0 comments:

Tentang NP


NP ialah sebuah majalah blog yang cuba menerapkan bahan-bahan penulisan sastera, budaya dan masyarakat terutama oleh penulis-penulis bebas dan baru. Anda juga boleh menyumbang hasil penulisan anda dengan menghantar ke: naskahpercuma@gmail.com