Album Rap Pertama Di Dunia




Oleh Raja Syahrul Helmi

Album pertama The Last Poets terjual setengah juta unit dalam tempoh sebulan lepas keluar kilang pada tahun 1970. Tiga penyair 'berhaluan kiri'  dan seorang pemain conga yang bekerja sambilan sebagai paderi Yoruba telah membawa Black Power ke dalam carta Billboard. Mereka bikin kata-kata militan Malcolm X jadi puitis, dan menambah perencahnya dengan lagu latar jazz ala Coltrane dan Thelonious Monk.

The Last Poets telah menyemai benih-benih rap ke dalam budaya belia kulit hitam di Amerika. Album ini mempengaruhi semua orang dari Pinero ke Public Enemy dan juga pergerakan The Black Panther. Tidak mengejutkan bila nama mereka ada dalam senarai pemerhatian Richard Nixon dan FBI. "Kami tak takut, kami muda dan semangat memberontak masa tu membuak-buak. Kami semua ada pistol yang disimpan di rumah makwe masing-masing jadi kami memang dah bersedia kalau apa-apa jadi" begitulah lebih kurang kata Umar Bin Hassan dalam satu temubual dengan majalah UNCUT pada 2011. 

Pembunuhan Martin Luther King pada April 1968 membawa kesan mendalam kepada masyarakat kulit hitam di Amerika Syarikat. Akibat pembunuhan Dr. King, gerakan Black Power mendapat momentum kuat dan tiga anak muda dari Harlem merasakan mereka patut jadi sebahagian daripada gerakan itu. Abiodun Oyewele, David Nelson dan Gylan Kain membincangkan penubuhan sebuah kolektif penyair untuk menjadi inspirasi kepada masyarakat minoriti supaya bangun bersuara.

Persembahan pertama mereka pada 19 Mei, Hari Malcolm X di Harlem Mount Morris Park. Sekumpulan pemain perkusi bermain sebelum mereka dan mereka minta bantuan salah seorang ahli kumpulan itu, Nilaja Obabi, untuk bermain conga. Mereka berempat belum ada nama rasmi lagi waktu itu tapi mendapat siulan memberangsangkan dari khalayak. Sejak malam itu Nilaja Obabi terus jadi ahli tetap The Last Poets.

Kolektif ini menggunakan sebuah gimnasium tinju untuk menganjurkan bengkel-bengkel penulisan dan perbincangan-perbincangan kumpulan yang kerap bertukar liar. Ia amat tidak stabil pada mulanya, kerap berbalah kerana perbezaan ideologi dan personaliti. Nelson cabut dan digantikan dengan Felipe Luciano, seorang bekas banduan dari Puerto Rico yang pernah dipenjara kerana membunuh dalam satu perang geng. Turut serta bersamanya seorang penyair bernama Alafia Pudim yang 'boleh bersajak sebelum boleh menulis'. Alafia Pudim kemudian jadi saudara baru Islam dan tukar namanya kepada Jalal Mansur Nuriddin.

Luciano pernah mendedahkan tentang satu insiden pada awal tahun 1969, tentang kerusi-kerusi yang berterbangan dan salah seorang ahli kumpulan diserang dengan tukul besi. Insiden itu menyebabkan dia dan Kain disisihkan dari kumpulan dan masuk pula orang baru, Umar Bin Hassan, seorang penyair dari Akron, Ohio, yang datang ke Harlem dengan hanya dua puluh lima dolar dalam kocek. Umar,  Jalal dan Oyewele bersama Nilaja di tampuk perkusi ialah barisan utama yang membentuk album ini.

Langston Hughes dan Claude McKay mula merakamkan kehidupan Harlem dalam bait pada tahun-tahun dua puluhan lagi, namun pengaruh jelas kepada The Last Poets ialah Amiri Baraka, penyair yang meninggalkan West Village berikutan pembunuhan Malcolm X untuk menubuhkan gerakan kesenian masyarakat kulit hitam di Harlem. Sajak-sajak Amiri Baraka banyak membentuk ideologi The Last Poets yang sama sekali menolak sikap pasifis.

Mereka mendendangkan keganasan jalanan dan penindasan kaum kulit hitam, di samping memaki hamun semua orang di Amerika dari lagu pertama hingga lagu terakhir. Segalanya dicetuskan secara spontan. Jika sesiapa ada puisi baru mereka segera cari lagu latar. Mereka tak perlu risau sebab Nilaja memang pemain conga yang dahsyat.

Penyair-penyair sebelum mereka berpuisi sebagai individu tapi The Last Poets berpuisi sebagai kolektif. Permainan vokal mereka ialah sesuatu yang baru ketika album ini diterbitkan. Prosa-polemik Umar Hassan dan Oyewole, bait-bait X-rated-bekas banduan Jalal Mansur Nuriddin dan deram tribal animisme Nilaja Obabi digaul dalam satu kuali menjadi album rap pertama di dunia. 

Dengar:

0 comments: