Penyajak Koyak Mampus

oleh Syafiq Ghazali*

Umpama ayam, kematian penyajak membuka lembaran kehidupan baru buat orang lain.



Di dalam kepalaku, aku tiba di stesen keretapi Charleville-Mezieres pada jam 10 pagi tepat. Dan sebaik aku keluar ke muka stesen, pasangan Hubert sudah pun menantiku di sisi SUV Peugeot mereka.

‘Bonjour,’ ujar Encik Hubert, tersenyum dan menyalamiku. ‘Bienvenue à Charleville-Mezieres.’
            
‘Bonjour. . . merci.’ Kataku, dan memandangkan pertuturan Perancisku sangat terbatas, bertanya pula dalam bahasa Melayu: ‘Helaine tak datang?’
            
‘Ga’,’ jawab Puan Hubert. ‘Ia pingin datang tapi tiduran terus sejak pagi.’
            
‘Yuk kita berangkat,’ tambah Encik Hubert.
            
Tanpa menunggu jawapanku, dia mencapai beg troliku dan memasukkannya ke dalam bonet. Puan Hubert pula membuka pintu belakang dan mempersilakan aku masuk. Dan beberapa minit kemudian kami sudah pun keluar dari kawasan stesen Charleville-Mezieres itu.
            
Di dalam kereta, Encik Hubert mencadangkan kami untuk terus ke muzium Arthur Rimbaud memandangkan hari masih awal. Aku mengeyakan cadangan itu sekalipun aku sudah begitu letih dek penangan perjalanan 13 jam dengan kapal terbang dan dua jam lebih dengan tren; dan juga kerana aku sendiri yang menyatakan hasrat untuk melawat tempat itu sewaktu ajakan Encik Hubert, dua bulan sudah menerusi emel, supaya aku melawat dia sekeluarga di Charleville-Mezieres.


Aku berkenalan dengan pasangan Hubert bermula setahun lalu. Pada waktu itu aku dijemput sebagai wakil Malaysia di Acara Puisi Jakarta, dan pasangan itu mendekatiku setelah selesai giliranku membaca sajak di atas pentas. Mereka tidak henti-henti menyatakan kekaguman mereka terhadapku, dan memberitahu bahawa aku seorang penyajak muda yang berbakat, kerana pada umurku baru 27 tahun,  aku sudah berada di atas pentas bersama penyajak tersohor seperti Saut Situmorang dan Joko Pinurbo; aku pula merasa kagum dengan kepetahan mereka bercakap di dalam bahasa Indonesia walaupun mereka berwajah Eropah.
            
Semenjak itu aku menjadi rapat dengan mereka. Tahulah aku bahawa pasangan Hubert itu asalnya dari Perancis, namun minat mendalam terhadap sajak membawa mereka berkelana ke Indonesia setiap kali ada acara-acara berkaitan sajak dijalankan. Di Indonesia ramai penyajak yang berbakat, menurut mereka, dan disebabkan itulah mereka mempelajari bahasa Indonesia.
            
Pemanduan ke Muzium Rimbaud begitu lancar; tidak banyak kereta di atas jalan raya, namun sebelum sampai ke sana aku terlelap terlebih dahulu. Aku kurang pasti berapa lama aku terlelap namun yang mengejutkan aku bilamana kami tiba di destinasi adalah Puan Hubert — dia menggoyangkan bahuku lembut, dan senyuman manis terukir pada wajahnya bila saja kesedaranku mula menangkap persekitaran.
            
Untuk masuk ke muzium itu kau perlu bayar empat euro — Encik Hubert membayar semuanya untuk kami. Di dalamnya, sejujurnya, tak banyak yang aku dapat pelajari tentang hidup Rimbaud — aku rasa buku biografinya yang dikarang oleh Graham Robb jauh lebih padat dengan maklumat berbanding muzium ini — cuma kami bertiga menumpu agak lama di ruang yang menayangkan sajak-sajak Rimbaud, berserta audio, pada layar putih. Aku lihat pasangan Hubert begitu khusyuk — terpejam mata mereka — mendengar sajak-sajak Rimbaud dibacakan, tetapi aku tidak berbuat perkara yang sama kerana sajak-sajak pada layar putih itu ditulis dan dibaca dalam bahasa Perancis.
            
‘Selaku penyajak, dia mati muda,’ ujar Encik Hubert sebaik sebuah sajak, entah yang mana satu, habis dibacakan. ‘Sewaktu dia berkelana ke Afrika Timur, dia ga’ tulis sajak lagi. Dia malahan merasa jijik pada sajak-sajak yang pernah ditulisnya, dan lebih senang menjadi seorang pedagang. Ternyata dia yang bermula sebagai anarkis, berakhir menjadi kapitalis yang giat.’
            
‘Kamu tak usah jadi sepertinya,’ celah Puan Hubert. ‘Kamu harus terus menulis sajak. Pegang sajak-sajakmu seperti kamu pegang nyawamu sendiri.’
            
‘Tapi kebanyakan penyajak-penyajak yang hebat mati muda,’ balasku sekadar basa-basi. ‘Lihat saja Chairil Anwar, si Binatang Jalang itu mati pada usianya 26 tahun; Michael Dransfield pula ketika umurnya 25 tahun; Sylvia Plath, satu-satunya penyajak perempuan yang aku minat, mati ketika dirinya masuk umur 30; dan tak salah untuk bilang si Widji Thukul, yang hilang pada umurnya 34 itu, mati muda; dan Rimbaud juga, seperti Encik Hubert bilang: sebagai penyajak dia mati muda — pada usianya 20 tahun.’
            
Pasangan Hubert berpandangan sesama sendiri, masing-masing berwajah serius, seolah-olah apa yang baru kukatakan itu adalah sebuah rahsia yang tidak patut dibongkarkan.
            
Setelah itu, encik Hubert mencadangkan kami ke rumah Rimbaud yang berada tidak jauh — lebih kurang 100 meter — dari muzium, namun bila saja kami sampai di sana, ternyata rumah itu ditutup untuk lawatan (renovasi sedang dijalankan). Lalu kami kembali ke kereta dan, barangkali kerana melihatku keletihan, Encik Hubert membuat keputusan untuk terus pulang ke rumah.
            
‘Nanti kami bawa kamu ke kuburannya Rimbaud,’ kata Puan Hubert. ‘Kamu penyajak. Sepantasnya kamu bertamu di kuburannya bapak puisi Eropah moden itu.’
            
Aku tak pasti berapa lama telah berlalu sewaktu kami tiba di rumah Hubert kerana aku terlelap di pertengahan jalan.  Sebaik keluar dari kereta, aku lihat Helaine bersama seorang lelaki, lebih kurang sebayaku dan berwajah Melayu, sudah sedia berdiri di muka pintu. Aku menghampiri Helaine dan mengangkat anak kecil berusia enam tahun itu. Dari reaksinya yang gembira, ternyata dia masih mengingatiku.
            
‘Oh, aku lupa bilang sama kamu,’ ujar Encik Hubert. ‘Kenalkan ini Oyos Rinaldi. Dia juga penyajak sepertimu, dari Indonesia.’
            
Aku bersalaman dengan lelaki itu.
            
Petang itu aku tertidur di bilik tamu untuk satu tempoh yang lama, dan hanya terjaga bilamana malam menjengah. Pada pukul sembilan, Puan Hubert menghidangkan makan malam, dan setelah itu kami berempat (Helaine awal-awal lagi sudah tidur) berborak-borak soal sastera umumnya dan soal sajak khususnya. Masuk pukul sebelas, dek kerana keletihan yang masih tersisa, aku meminta diri untuk masuk tidur, meninggalkan Oyos Rinaldi dan pasangan Hubert yang masih rancak berbual.
            
Tengah malam itu, entah pada pukul berapa, aku dikejutkan seseorang. Aku membuka mata dan melihat Herlaine duduk bertelut di sebelahku. Menegakkan tubuh, aku menekan suis lampu tidur di sisi kepala katil dan, menerusi simbahan cahayanya, aku lihat wajah anak kecil itu berkerut-kerut bagaikan sedang kerisauan.
            
‘Ada apa Helaine?’ Tanyaku.
            
Dia, dengan wajah serius, menatapku lama dan kemudian berkata:
            
‘Papa dan mamaku monstre. . .’
            
Kemungkinan besar dia bermimpi buruk. Lalu aku capai tangan kanannya dan mengusapnya lembut. ‘It’s okay, Helaine,’ kataku. ‘Kamu cuma mimpi buruk — nightmare.’
            
Dia menggeleng-gelengkan kepalanya. ‘Non! Papa dan mamaku monstre!’
            
Aku menatapnya dalam-dalam. Aku lihat wajahnya serius, sangat serius, seolah-olah apa yang dikatakannya tentang kedua ibubapanya itu adalah satu kebenaran. Tapi walau bagaimanapun, kau tak boleh begitu mengambil berat apa yang keluar dari mulut seorang anak kecil. Jadi aku memberitahu dia bahawa aku akan menemaninya ke bilik tidurnya.
            
Justeru aku bangkit dari katil, mendukungnya, dan berjalan ke arah pintu. Begitu aku mahu membuka pintu, Helaine meneguhkan pautannya pada tengkukku. Aku mengusap-ngusap belakangnya dan meletaknya ke bawah.
            
‘It’s okay, Herlaine. Aku bawa kamu ke papa mamamu.’
            
Aku memulas tombol pintu dan sebaik ia ternganga luas, aku mula nampak kebenaran yang dituturkan Helaine: aku lihat, di hujung koridor, dua ekor makhluk berbulu terbongkok-bongkok sedang meratah sesuatu.
            
Yang diratah itu adalah Oyos, sudah mati, dengan sebahagian tubuhnya habis tiada. Darah bergenang di mana-mana.
            
Aku tercengang, kaku di tempatku berdiri. Terus tubuhku menggeletar dan dadaku berombak dan nafasku menderas. Aku tak dapat melihat wajahku tetapi aku tahu ia sudah bertukar pucat. Aku rasa seolah-olah aku sedang menonton sebuah filem seram, cuma aku menontonnya terus dari dalam filem itu sendiri.
            
Mungkin kerana mereka mendengar deru nafas kencangku, mungkin juga kerana mereka punyai deria pengesan, makhluk berdua itu, secara serentak, memalingkan kepala masing-masing dan menyorot mata merah mereka tepat ke arahku.
            
Barulah aku dapat melihat jelas rupa keduanya: seperti serigala atau lebih tepat lagi, dengan darah berlumuran di mulut, seperti serigala yang baru menjamu selera.
            
Perlahan-lahan keduanya merangkak-rangkak ke arahku; dan perlahan-lahan aku berundur ke belakang dan bila menyedari kewujudan Helaine di sebelahku, cepat-cepat pula aku rangkul tubuhnya, bergegas menuju ke katil dan bersembunyi di baliknya.
            
‘Diam, Helaine, diam.’ kataku. Namun lama baru aku sedar, bahawa Helaine memang sudah sedia diam—malah tenang pula, seolah-olah dia sudah terbiasa dengan apa yang baru terjadi itu.
            
Lantas aku teringat kata-katanya tadi: papa dan mamaku monstre!
            
‘Itu. . . papa dan mamamu?’
            
Dia mengangguk. Di bawah cahaya lampu tidur yang berbalam-balam, aku lihat wajahnya tidak terpamer ketakutan, sebaliknya hanya kerisauan terpalit padanya. Tapi untuk siapa kerisauan itu? Untukku?
            
Aku mendengar satu suara—milik Puan Hubert—menyeru-nyeru namaku. Aku, dengan terketar-ketar, menjengahkan kepala dan  melihat seraut wajah Puan Hubert pada tubuh makhluk berbulu. Dia memakukan pandangannya tepat ke arahku; begitu juga makhluk berbulu—Encik Hubert—di sebelahnya.
            
‘Ga’ usah sembunyi,’ kata Puan Hubert. ‘Ajalmu tetap bakal tiba. . . Salahmu kerna menjadi penyair berbakat. . .’
            
Habis berkata-kata, rupa Puan Hubert bertukar menjadi rupa makhluk hodoh seperti serigala, disertai satu dengusan yang mengerikan. Sejurus itu Encik Hubert pula menjelmakan wajah manusianya.
            
‘Kami perlukan darahmu. . . darah penyajak. . . kami hidup berkat darah-darah penyajak berbakat sepertimu. . . percuma saja kamu melawan. . . Sudah takdirnya penyajak berbakat sepertimu harus mati muda. . .’
            
Aku sukar percaya dengan apa yang baru kudengar. Kata-kata Encik Hubert tak ubah seperti kata-kata yang keluar dari mulut watak-watak di dalam fiksyen seram-picisan. Namun bilamana aku lihat Encik Hubert kembali bertukar menjadi raksasa hodoh, aku sedar bahawa apa yang terjadi ini adalah satu realiti.
            
Aku menundukkan kepala cuba menyembunyikan diri sekalipun aku tahu ia sia-sia.

Di sebelahku, Helain berkata:

‘Berlindunglah dengan sajak-sajakmu.’
            
Apa sajak-sajakku mampu melindungi diriku—dan Helaine—dari makhluk berdua itu dan, jika benar, sajakku yang mana satu yang mampu berbuat begitu?
            
‘Baca sajak-sajakmu. . .’ kata Helaine lagi, tenang.
            
Aku memerah otak, cuba mengingati mana-mana sajakku namun tiada satu pun yang menjengah fikiran. Aku hanya teringat pada baris akhir sajak Sia-sia oleh Chairil Anwar:
            
Mampus kau dikoyak-koyak sepi.
            
Perkara terakhir yang aku lihat adalah Puan Hubert yang menerkam ke arahku.

            
Malam itu, di dalam kepalaku, aku mati muda.




*Syafiq Ghazali, pengarang yang sedang meningkat naik ini baru mengeluarkan novel bertajuk JAHAT, terbitan FIXI.

0 comments: