Monyet Menyanyi



Jika carian google gagal beritahu anda lagu apa yang didengari monyet-monyet ujikaji carilah DJ Hakiki -DJ kelab malam, pengumpul vinil tegar dan saintis kognitif. Kiki telah habiskan 15 bulan dan puluhan ribuan ringgit wang simpanan sendiri untuk jalankan eksperimen ke atas beberapa jenis monyet dan kera. Pemuda yang berasal dari Serdang ini ingin tahu sama ada monyet dan kera lebih suka lagu Mengapa Dirindu dendangan Saloma daripada lagu Start The Riot, Atari Teenage Riot. Selain itu Kiki turut menguji monyet-monyet di makmalnya dengan lagu-lagu instrumental, lagu-lagu bervokal, konserto Mozart dan suasana senyap. Terbaru dia telah mendatangkan kemarahan aktivis 'animal rights' kerana memaksa monyet menghadam ribuan lagu dan bunyi-bunyi 'sumbang yang menyakitkan telinga' (menurut website mereka).

Tak hairan kalau keputusan kajian menunjukkan monyet pun memilih dibuai Saloma berbanding bedilan mesingan dan renjatan listrik ATR. Bagaimanapun, Kiki melaporkan monyet-monyetnya paling selesa dengan suasana tanpa muzik. Daripada pemerhatiannya juga Hakiki percaya “monyet-monyet tak dapat bezakan antara melodi dengan bunyi-bunyi yang sumbang dan menyakitkan telinga manusia.

Wei... Dah 2013 pun Jabatan Audio!


Interviu dengan Apis Abdul dan Syima Tarmizi oleh Raja Syahrul Helmi


Persembahan terakhir Jabatan Audio untuk 2012 di Sunway Piramid, 8.30 malam, 31 Disember. Mereka tak pernah main di kompleks beli-belah jadi mereka agak gementar lihat orang amat ramai, tak macam crowd biasa mereka yang sederhana. Lagi tak membantu Jabatan Audio malam tu ada dua orang saja -Apis dan Syima (Sim), sebab gitaris utama main dengan band lain kat KLCC dan drummer session di Dataran. Macam biasa malam tahun baru ialah malam sibuk buat pemuzik-pemuzik dan juga malam sumber rezeki untuk mereka.

Di ambang tahun baru 2013 ahli-ahli Jabatan Audio membawa haluan sendiri cari rezeki masing-masing. Mereka semua ialah pemuzik sepenuh masa (kecuali Adi fotografer sepenuh masa) yang mengisi perut dengan bermain muzik. Sebab bayaran show Sunway Piramid aduhai tak cukup untuk kongsi banyak perut jadi dua orang saja yang cover show itu. Sim terpaksa bawa anaknya -si Eva Sofia yang comel- sebab tak ada orang boleh jaga Eva di rumah. Masa mereka berdua buat persembahan tugas aku jaga Eva dan ambil gambar.