Mata Tak Nampak Hantu



Anda percaya dengan hantu jembalang? Saya sendiri tidak tahu mahu percaya atau tidak, walaupun saya selalu dengar cerita tentang pengalaman yang pelik pelik, tapi tak pernah pula tengok dengan mata saya sendiri.

Dulu sewaktu bersekolah asrama penuh di Kuala Pilah selalu ada kes histeria, kes pelajar nampak itu dan ini dan dengar macam-macam. Masa-masa asrama diserang histeria memang gerun nak ke jamban di waktu malam. Tapi kalau dah nak tercirit saya gagahkan juga ke jamban yang dah macam rumah hantu itu.

Pengalaman berak tengah malam di jamban asrama memang sangat menakutkan. Tiap kali mencangkung di jamban saya selalu terbayangkan tangan tangan berkuku panjang yang keluar dari lubang jamban untuk mencakar bontot, atau kepala kepala ngeri menjenguk dari atas pintu jamban, pontianak berak di jamban sebelah dan macam macam lagi. Syukurlah sepanjang lima tahun menggunakan tandas asrama benda benda yang saya bayangkan itu tak pernah muncul.

Di kolej pula saya dan rakan rakan selalu cari pasal mengunjungi tempat tempat yang dikatakan berhantu. Satu malam kami pergi ke rumah mendiang Botak Chin di Damansara. Malam itu saya dapat rasakan sesuatu yang lain daripada biasa. Bulu roma berdiri sepanjang masa di rumah itu.

Dalam perjalanan pulang, ada seorang rakan perempuan yang nampak sesuatu di belakang kereta. Menurutnya benda itu berkapan seperti pocong, dan ia mengekori kami sampai ke rumah rakan yang membawa kereta. Benda itu menunggu di luar tingkap bilik rakan saya hingga azan subuh.

Tapi kenapa saya tak nampak? Dan kenapa pula hantu Botak Chin pakai kain kapan?