Puisi Raja Syahrul Helmi


~NOTA BUAT NATASHA~
1.

Masihkah kau ingat pagi itu? Kita singgah di lereng bukit
Setelah habis rave party untuk melihat pasang padam lampu kota.
Kau memelukku dan mengatakan:

“Kota ini bagaikan sebuah kelab gergasi
memainkan cahaya buat kita yang belum puas menari”

Dan kemudian aku kau ajak menari di atas hud kereta!

2.

Sekarang sudah siang tapi aku belum lena.
Ribut-ribut deru kenderaan dan tapak kasut,
Bertingkah dengan bunyi penggera kereta menggila,
Heretan beg–beg beroda, juga jeritan jam bermacam gaya.
Semuanya membuatku rimas, Sakit kepala! Seluruh badanku panas,
Dan tekak mula terasa loya (mungkin kerana pil yang ku ambil)
Ku buka tingkap luas–luas biar masuk udara segar.

Tasha, adakah rambutmu juga sedang disentuh angin ini?

Bulan Pecah di Tengah Hari

‘Aku menuntut hak semulajadi sajakku’, tulis Pak Agi dalam prakata Yang-Yang, kumpulan sajak-sajak beliau dari 66 hingga 83. Yang-Yang merupakan lanjutan dan manifestasi dari kegigihan dan kedegilan berkarya seorang Abdul Ghafar Ibrahim dalam menghasilkan sajak-sajak 3V: Verbal-Vokal-Visual yang dipeloporinya semenjak tahun 1965.

Bahawa ambiguiti dan misteri perlu digali dari diri sajak, begitulah kata Pak Agi. Mungkin pada beliau (dan saya cuma meneka-neka) sajak itu sendiri bukanlah matlamat, tapi adalah alat seperti kapal korek, yang digunakan untuk membongkar rahsia diri. Dengan 3V beliau membebaskan kata dari belenggu konvensi menuju jalan yang baru seperti halnya seorang pelukis surrealis membebaskan imajinasinya dari belenggu realiti menuju apa yang dipanggil oleh Carl Jung sebagai The Unconcious.