Berkuburnya sebuah lagi majalah kartun

Oleh RONASINA



Dengar cerita majalah kartun G3 terbitan Karangkraf terkubur. Majalah yang menghimpunkan kartunis senior dan baru ini terpaksa akur dengan keadaan hari ini. Karangkraf antara syarikat yang melakar sejarah awal kerana pada hujung 1970an mereka menerbitkan Gelihati dan bersaing hebat dengan majalah Gila-Gila terbitan Creative Enterprise.

Saya mengikuti dunia kartun tanahair sejak kecil. Tidak siapa dapat nafikan kehebatan majalah kartun ketika era Gila-Gila meledakkan pasaran pada 1 April 1978 sehingga kemudiannya pasaran menerima lambakan majalah kartun. Gila-Gila seperti sebuah akademi yang melahirkan bintang-bintang. Kebanyakan kartunis era 80-90an atau berumur 30 tahun ke atas hari ini adalah produk Gila-Gila. Secara kasar kiraan saya ada tidak kurang 100 kartunis masih aktif hari ini. Tapi mengapa majalah kartun semakin mati dan kartunis pada hari ini hanya melukis karikatur di sudut kompleks, mall atau di majlis-majlis? Apa sudah jadi?