Mata Tak Nampak Hantu



Anda percaya dengan hantu jembalang? Saya sendiri tidak tahu mahu percaya atau tidak, walaupun saya selalu dengar cerita tentang pengalaman yang pelik pelik, tapi tak pernah pula tengok dengan mata saya sendiri.

Dulu sewaktu bersekolah asrama penuh di Kuala Pilah selalu ada kes histeria, kes pelajar nampak itu dan ini dan dengar macam-macam. Masa-masa asrama diserang histeria memang gerun nak ke jamban di waktu malam. Tapi kalau dah nak tercirit saya gagahkan juga ke jamban yang dah macam rumah hantu itu.

Pengalaman berak tengah malam di jamban asrama memang sangat menakutkan. Tiap kali mencangkung di jamban saya selalu terbayangkan tangan tangan berkuku panjang yang keluar dari lubang jamban untuk mencakar bontot, atau kepala kepala ngeri menjenguk dari atas pintu jamban, pontianak berak di jamban sebelah dan macam macam lagi. Syukurlah sepanjang lima tahun menggunakan tandas asrama benda benda yang saya bayangkan itu tak pernah muncul.

Di kolej pula saya dan rakan rakan selalu cari pasal mengunjungi tempat tempat yang dikatakan berhantu. Satu malam kami pergi ke rumah mendiang Botak Chin di Damansara. Malam itu saya dapat rasakan sesuatu yang lain daripada biasa. Bulu roma berdiri sepanjang masa di rumah itu.

Dalam perjalanan pulang, ada seorang rakan perempuan yang nampak sesuatu di belakang kereta. Menurutnya benda itu berkapan seperti pocong, dan ia mengekori kami sampai ke rumah rakan yang membawa kereta. Benda itu menunggu di luar tingkap bilik rakan saya hingga azan subuh.

Tapi kenapa saya tak nampak? Dan kenapa pula hantu Botak Chin pakai kain kapan?

Sebagai orang Melayu saya tak lepas daripada kepercayaan animisme yang diwarisi turun temurun, tentang pocong, pontianak, jembalang, hantu raya dan sebagainya. Tapi kepercayaan saya sekarang sudah banyak dipengaruhi oleh filem-filem Hollywood dan filem-filem melayu yang nak tiru Hollywood.

Misalnya, filem Pontianak Harum Sundal Malam itu memang ikut suka mak abah dia saja buat cerita.
Ikut kata orang tua-tua, pontianak ialah hantu perempuan yang mati masa melahirkan anak. Hantu bukanlah roh yang berlegar, tapi adalah dendam yang tertinggal atau makhluk halus yang mengambil rupa hantu. Pontianak hanya menghantui perempuan mengandung saja, datangnya dalam rupa seakan burung untuk membenam kukunya yang panjang ke perut perempuan yang mengandung.

Langsuir pula seakan burung hantu tapi bermuka kucing, atau boleh juga menyerupai wanita cantik berambut panjang mengurai. Dalam rupa burung hantu langsuir akan muncul dari periuk masakan yang tertinggal di rumah-rumah tak berpenghuni. Kerana itu orang dulu dulu takkan tinggalkan periuk kalau pindah rumah dan kalau nak membuang periuk mereka akan telangkupkan periuk yang dibuang.

Di belakang leher langsuir ada lubang yang merupakan kelemahannya. Kata orang tua-tua kalau nak mengelak daripada berjumpa langsuir bawalah sebatang paku panjang supaya langsuir takut nak mendekat.

Jika langsuir lalu di atas bumbung rumah perempuan mengandung, perempuan itu mesti dimandikan dan ada jampi serapah yang mesti dibaca. Jika ada perempuan yang mati kerana melahirkan anak, orang dulu dulu akan letak manik dalam mulutnya supaya dia tak boleh menjerit, telur di bawah ketiak mayat supaya dia tak boleh terbang, dan jarum di tapak tangannya supaya ia tak boleh mencakar.

Menurut cerita arwah nenek saya dulu, banyak antara hantu-hantu kepercayaan orang melayu berasal daripada dewa-dewa purba. Setelah kedatangan Islam, dewa dewa itu disesuaikan menjadi jin, jembalang dan ada juga yang jatuh martabat menjadi hantu. Menurut arwah nenek juga semangat alam semula jadi dan perasaan yang sangat kuat boleh menjelma menjadi bentuk-bentuk tertentu dengan izin tuhan. Pada pengamatan saya pula, hantu adalah bawaan budaya, kerana itu orang melayu tak akan nampak Drakula dan Serigala Jadian dan orang eropah tak akan terjumpa dengan pocong atau pontianak cina yang melompat-lompat.

Baru-baru ini ada seorang rakan yang kena 'kacau'. Sewaktu berubat, pengamal perubatan yang merawatnya mendedahkan ada orang yang hantar benda itu. Mungkin benar, mungkin itu hanya halusinasi rakan saya yang terlalu merindukan suaminya yang bekerja jauh. Kerana mahukan suaminya pulang, tanpa dia sedari mentalnya menjelmakan 'hantu' yang mengacaunya itu.

Saya bukanlah tok bomoh atau dukun mahupun ahli psikologi. Sewaktu saya berkunjung ke rumahnya saya tidak nampak apa-apa, hanya perasaan saya yang tak berapa selesa di rumahnya kerana suasana rumah yang terlampau suram, dinding rumah bercat merah pekat dan hitam hingga rumah yang besar terasa kecil. Kata orang tua-tua benda yang tak elok selalu berasal dari tempat gelap seperti gua, tanah yang terlindung daripada cahaya matahari dan sebagainya.

Mengapa dalam mentera-mentera melayu banyak disebutkan nama-nama semangat, rupa bentuknya, sifatnya dan asal usulnya? Misalnya, mentera ini digunakan di Pantai Timur untuk menyeru Puteri Tujuh:

Assalamualaikum
Puteri si tokong besar
si gedebah mayang
Puteri Tujuh
Dara dang mayang
mari kecil ke mari
mari senik ke mari
mari burung ke mari
mari halus ke mari
aku memaut lehermu
aku menyanggul rambutmu
aku membawa sadap gading
akan membasuh mukamu
sadap gading merancung kamu
kaca gading menadahkanmu
kolam gading menanti di bawahmu
bertepuk berkecar di dalam kolam gading
kolam bernama Maharaja Bersalin.

Dalam mitos eropah juga, Rapunzel menewaskan Rumplestilskin dengan mendedahkan namanya yang sebenar. Saya tak fikir ini kebetulan. Mungkin setelah kita kenal dengan ketakutan itu barulah kita dapat menewaskannya. Saya pasti itu saja cara untuk menghadapi apa saja bentuk ketakutan.

0 comments:

Tentang NP


NP ialah sebuah majalah blog yang cuba menerapkan bahan-bahan penulisan sastera, budaya dan masyarakat terutama oleh penulis-penulis bebas dan baru. Anda juga boleh menyumbang hasil penulisan anda dengan menghantar ke: naskahpercuma@gmail.com