Tipografi Dan Seni Melawan



OLEH: M FAREZ

Artikel ini ditulis dengan menggunakan fon (font) Times New Roman bersaiz 12. Ia akan berubah apabila disiarkan di dada akhbar, majalah atau portal internet. Pereka bentuk, atau tipografer mana-mana terbitan akan mengubah jenis fon artikel ini mengikut kehendak editornya.

Baru-baru ini, kerajaan negeri Selangor menganjurkan Pesta Buku Selangor 2016 dari 28 Julai hingga 7 Ogos 2016. Namun demikian, didapati sambutannya amatlah lesu dan sendu sekali. Menurut pengalaman beberapa penggemar dan penggila buku (bibliofilia), bahkan tahun-tahun lepas ia sentiasa begitu. Hei, ini pesta bukulah! Bukan pesta jual tudung atau ekspo perkahwinan. Berapakah jumlah pembaca tegar dari kalangan rakyat Malaysia tahun demi tahun dan berapa jumlah buku secara purata dibaca oleh rakyat dalam setahun? Lebih-lebih lagi buku Bahasa Melayu? 

Bezakan dengan pesta buku Big Bad Wolf yang dianjurkan oleh usahawan buku Cina. Tapi kita perlu maklum, tamadun Cinalah yang pertamanya mencipta kertas sebagai medium untuk kita semua membaca sekarang. 'Sutra Berlian' (Diamond Sutra) dikenali sebagai naskhah buku paling tua dicetak di atas mukabumi, sekitar tahun 868. Ia dicetak dengan menggunakan blok-blok huruf yang diukir atas kayu kemudiannya dicap ke atas kertas. Malahan, segulung manuskrip yang ditemui di Korea pada tahun 1967 dikatakan dicetak beberapa ratus tahun lebih awal daripadanya. Tidak hairanlah Tuhan jadikan DNA kaum Cina itu lebih cenderung untuk minat membaca berbanding bangsa-bangsa lain seluruh dunia. Mereka juga merupakan bangsa yang berani menceburkan diri dalam keusahawanan. Bukan dari segi faktor biologi. Apa yang saya cuba maksudkan ialah dari segi faktor budaya. Budaya membaca. Pemikiran yang disemai sejak kecil bermula dari dalam keluarga.

Berbalik kepada seni pencetakan dan reka bentuk buku, atau lebih sesuai disebut tipografi. Tipografi bermula serentak dengan penciptaan tulisan. Manakala seni pencetakan yakni mencetak buku itu bermula apabila minat membaca meningkat di kalangan orang awam dan buku menjadi mudah dimiliki. Memang pada zaman dahulu buku adalah barang yang mahal dan hanya mampu dibeli oleh golongan elit. Selepas Revolusi Industri baharulah ilmu (baca: buku) menjadi semakin mudah dan murah untuk dicapai oleh khalayak. Ada dua faktor yang mencetus perkembangan seni tipografi, bermulanya di Eropah. Pertamanya, keseronokan. Sebagai seniman dan pereka bentuk, sejak dari dulu lagi hinggalah sekarang golongan ini sentiasa bangga dan teruja apabila hasil karya mereka dicetak ke atas buku, dipamer di galeri dan muzium serta menjadi koleksi yang menjadi rebutan ramai. Sebab kedua pula ialah kualiti. Dalam seni muzik, lukisan mahupun tipografi, kesemua seniman berlumba-lumba untuk menggapai kemasyhuran dan mendapat tempat yang paling tinggi dalam memenuhi cita rasa para khalayak.

Bagaimana huruf dicetak di atas kertas? Teknik pencetakan blok kayu awalnya bermula di sebelah dunia Timur, sejarawan berbeza pendapat sama ada di Cina ataupun Korea. Walau bagaimanapun, teknik tersebut lebih sesuai dan praktikal untuk aksara Cina yang menggunakan sistem simbol berbanding aksara rumi (juga Arab, Jawi) yang ditulis mengikut hukum huruf (alphabet). Penulis dan penerbit buku era sekarang patut berterima kasih kepada seorang rakyat Jerman, Johannes Gutenberg (1398-1468) dari kota Mainz. Beliau asalnya seorang pandai besi. Sekitar akhir 1450-an, beliau berjaya mencipta mesin cetak jenis taip cerai (movable type) kemungkinan setelah berbelas tahun bereksperimen dengan kegagalan. Mesin jenis ini sangat praktikal dan menjimatkan masa serta tenaga kerana ia menyusun huruf-huruf fonetik dalam sebuah bingkai khas satu per satu untuk membentuk perkataan demi perkataan sebelum dicetak ke atas helaian kertas. Mesin cetak Gutenberg diubahsuai daripada rekabentuk mesin penekan anggur untuk membuat arak dan mesin menekan kertas (paper press machine). Sebagai seorang tukang besi, Gutenberg sudah pasti arif tentang campuran besi aloi kerana dia biasa membentuk kepingan syiling emas, dan mengecap surat serta imej dari besi. Untuk acuan huruf, beliau menggunakan campuran timah (tin), antimoni dan timah hitam (lead). Dalam dunia tipografi, istilah 'leading' (jarak antara baris, sekarang dikenali line spacing) berasal daripada teknik meletakkan jaluran timah hitam (lead) untuk memisah baris setiap ayat.

Mahakarya Gutenberg yang masih kekal hingga sekarang adalah kitab Bible (Biblia Sacra), dicetak 42 baris bagi setiap muka surat. Fon yang digunakannya ialah 'black letter'. Ia dinamakan demikian kerana warna hitam yang lebih dominan. Unjuran yang menjulur dari coret hurufnya tidak terlalu panjang berbanding tulisan serif yang lain. Fon ini lebih dikenali sebagai 'lukisan' daripada sebuah 'tulisan'. Atas sebab-sebab politik dan keagamaan, ia pernah diboikot oleh tipografer England dan Perancis. Kemudian 'black letter' diganti secara beransur-ansur kepada tulisan rumi (roman) yang semakin mendapat tempat di kalangan tipografer dan pencetak Eropah. Sejak era Romantisisme lagi fon Fraktur disukai rakyat Jerman dan diguna untuk menulis dalam Jerman, manakala Antiqua untuk tulisan Latin. Kedua-duanya adalah dari jenis 'black letter'. Otto von Bismarck pernah memulangkan kembali buku Jerman dalam tulisan Antiqua yang dihadiahkan kepadanya dengan nota tambahan, 'Saya tidak membaca buku Jerman yang ditulis dalam tulisan Latin'. Pada 4 Mei 1911, Persatuan Tulisan Lama (Society for Old-Script) menghantar cadangan untuk menggunakan fon Antiqua sebagai fon rasmi Jerman. Namun demikian, selepas perdebatan yang hangat, fon itu ditolak dengan keputusan undi 85-82. Di era pemerintahan Nazi, fon Fraktur diguna secara meluas dan pihak media dikerah untuk menggunakannya sebagai fon sebenar masyarakat Jerman. Walaupun begitu, pada tahun 1941 pemerintah Nazi mengubah pendirian untuk bertukar semula ke fon Antiqua. Perintah pengharaman fon Fraktur ditandatangani oleh Martin Bormann, Setiausaha Peribadi Hitler, atas alasan fon itu adalah tulisan orang Yahudi. Arahan ini berkemungkinan besar datangnya dari Menteri Propaganda Joseph Goebbels kerana pada ketika itu Jerman banyak mencetak penerbitan untuk wilayah jajahannya yang lebih biasa membaca dalam tulisan Latin Antiqua. Terdapat teori lain menyatakan fon itu lebih digemari oleh Adolf Hitler berbanding Fraktur berdasarkan deklarasi yang ditandatanganinya di Reichstag pada tahun 1934. Sehingga kini, kebiasaannya semua jenis 'black letter' disebut sebagai fon Fraktur ataupun Gothic.

BAHASA VISUAL YANG KERAS DAN MELAWAN

Golongan seniman adakalanya, tidak sedar atau buat-buat tak sedar bahawa mereka sedang 'melawan' kekuasaan dalam lapangan seni visual. Selain penulis, seniman (artis grafik) juga menggunakan mata pena (pensel, berus, Wacom) untuk menentang tirani - atau sebagai jentera propaganda membela pemerintah. Bezanya, mereka melukis imej yang provokatif, karikatur satira, menghamburkan warna yang kuat (vibrant) dan cerah sebagai simbol amarah, mengguna pakai bentuk-bentuk geometrik dan kubik yang mudah namun tampak gah, palitan berus ekspresionis yang pantas, membawa semangat, tenaga dan optimisme pada era konflik. Dalam sejarah seni visual, selepas Manifesto Futurisme diisytiharkan pada 1909, gerakan seni Modenisme lahir dan tersebar ke seluruh Eropah melibatkan aktivis dari kalangan penulis, seniman, pereka bentuk dan juga arkitek. Kasimir Malevich menubuhkan Suprematisme di Rusia pada tahun 1915. Kemudian diikuti Dadaisme sebagai protes terhadap Perang Dunia Pertama. Selepas itu 'genderang perang'nya disambut pula gerakan De Stijl di Belanda, dipelopori oleh ahli teori Theo Van Doesburg, Piet Mondrian dan beberapa seniman lagi. Konstruktivisme, yang berkembang dari faham Suprematisme kemudian menjajah wilayah seni visual blok komunis Rusia. El Lissitzsky, adalah antara watak penting dalam gerakan seni Konstruktivisme dan beliau bertanggungjawab mereka cipta tipografi konstruktivis akibat disampuk oleh roh Revolusi.

Sekiranya anda seorang pembaca buku generasi muda yang berjiwa 'liar dan angkuh', pasti pernah mendengar penerbit Thukul Cetak dan Cukong Press sebagai contoh. Lihat bagaimana artis pereka bentuk mereka menggunakan jenis tulisan gaya 'konstruktivis' dan memilih 'mood' warna dalam penghasilan poster. Komposisi dan reka letak yang menunjukkan dominan dan kekuasaan. Zaman sekarang mudah. Bagi pereka bentuk amatur atau profesional sekalipun, anda google sahaja fon yang sesuai untuk sebarang tema contohnya; 'stensil', 'nazi', 'komunis', 'sosialis', 'russia', maka berderet-deretlah capaian fon untuk anda pilih mana yang sesuai untuk poster 'melawan' anda itu. Juga lihat lagi pelbagai logo parti politik, NGO, syarikat penerbitan gerakan kiri (leftist) yang menggunapakai simbol genggaman tangan ke atas. Semua imej, simbol, ilustrasi mengikut tema perlawanan ini berkembang dari era Revolusi Bolshevik Rusia, Komunis Cina dan Revolusi Cuba era Fidel Castro. Ideologi kiri seperti sosialisme, komunisme, anarkisme adalah 'arch-enemy' kepada berhala moden kapitalisme namun era kini garis pemisah mulai kabur setelah hancurnya blok komunis Rusia dan juga kebangkitan kuasa ekonomi Republik China beberapa tahun kebelakangan. Dalam masa sama, kita toleh pandangan kita ke Timur Tengah pula. Lihat logo gerakan Hamas dan Hizbullah. Bagaimana pula dengan khat tulisan bahasa Arab? Reka bentuk panji gerakan pengganas IS dan ISIS menggunapakai ayat 'Lailaha illallah, Muhammadur Rasulullah' yang dicetak ke atas bendera hitam, disinonimkan dengan panji tentera Nabi Muhammad. Ironinya, khat ini juga tertulis atas bendera negara Arab Saudi yang dituduh mendanai gerakan pengganas Al-Qaeda. Saya sendiri pernah disyaki sebagai 'kafir' hanya kerna memakai baju yang tertulis 'Ya Hussein' dalam seni khat Nasta'liq gaya Parsi. Bagaimana pula jika saya memakai baju bertulis 'Ya Yazid' atau 'Ya Muawiyah'? Apakah persepsi masyarakat dari kalangan majoriti ASWJ (ahlussunah wal jama'ah) terhadap saya? Apakah pula simbol 'perlawanan' yang dipakai oleh seseorang 'fashionista' ketika menyarung baju berwajah stensilan Che Guevara, Che Det mahupun arwah Nik Aziz? Dalam dunia grafiti tempatan yang berkait rapat dengan tipografi, yakni seni menyembur cat aerosol atau mengecat tulisan dan perkataan - selalunya nama samaran (nom de guerre) senimannya sendiri - di dinding-dinding, tembok-tembok kawasan pembinaan yang terbengkalai, terowong-terowong jalanan, didapati tiada satu pun yang menekankan 'kenyataan politik' (political statement) yang kuat dan menjadi rujukan para seniman bidang lain. Selain semburan stensil kecil-kecilan dan tulisan cakar ayam semberono 'ABU', 'ABAI', 'Turun Tibai Rosmah', termasuk yang terikut-ikut dengan reka bentuk grafik jenama pakaian Obey, kebanyakannya agak hambar berbanding grafiti yang lebih menarik pandangan mata dari sudut estetika, contohnya oleh Acit dan kawan-kawan yang baru-baru ini mengangkat nama Malaysia menghasilkan grafiti di Karama, Dubai. Setakat sekarang hanya Fahmi Reza yang masih menonjol kekal dengan prinsipnya melawan 'kekuasaan' menggunakan bakat seni lukis. Lukisan dan tulisan tangannya menarik dan banyak dijadikan poster-poster forum politik, gig dan muka depan buku politikal misalnya terbitan Gerak Budaya. Ya, tidak dilupai kartunis Zunar yang masih saya kagumi stroke lukisannya sejak zaman Gila-Gila lagi.

BENTUK SEBAGAI TANDA

Apabila kita sedar bahawa sesebuah bentuk; yakni seni tipografi, grafik, catan maupun tulisan itu memberi tanda atau isyarat kepada pembaca dan khalayak untuk merungkai ideologi dan idealisme yang terkandung di dalamnya, maka tatkala kita meletakkan diri sebagai khalayak selayaknya kita perlu bijak dalam menekuni dan menghakimi sesebuah karya, baik buku atau apa-apa seni visual tadi. Demi tidak mengulangi tragedi runtuhnya arca karya seniman negara Syed Ahmad Jamal, Puncak Purnama oleh perangai buta seni segolong manusia, kita seharusnya merenung dan berusaha mendidik diri dan kerabat terdekat tentang falsafah seni dan kepentingannya. Bagaimana seni itu duduk dalam keheningan yang kudus dan bagaimana pula ia boleh bangun memberontak dan melawan. Seni tipografi yang mulanya berdiri dan berbaris sebagai sebuah barisan huruf yang tenteram berupaya menjelma sebagai idea yang 'melawan', sebelum menerkam seumpama singa.

Notakaki:Times New Roman adalah rupa taip serif dan dicipta oleh Victor Lardent pada 1931 untuk akhbar British, The Times. Ia adalah fon yang paling lazim digunakan dalam buku, perisian komputer Microsoft dan mana-mana kerja umum percetakan.






0 comments: