'GRAVITY' : Rantai Art Festival 2010 - 'Rantai' yang membelenggu atau menghubungkan?
Sebuah pertubuhan seni yang tidak berasaskan keuntungan (baca: maksima), Rantai.Art dikira amat berjaya kerana sejak dimulakan pada 2006, kini setelah 4 tahun ia masih kekal utuh tanpa ada sebarang fasa 'hibernasi'. Bahkan ia merupakan acara tahunan! Tidak seperti kolum NP ini, di mana para penulisnya asyik tidur dan mengelamun sepanjang hari.
Penulis sempat menghadirkan diri ke Festival Rantai.Art pada Rabu lepas. Dengan mengambil tajuk 'Gravity' sebagai tema utama, ia dianjurkan bertempat di Balai Seni Lukis Negara bermula Isnin, 20 Disember 2010 sehingga 26 Disember 2010 hari Ahad. Festival ini menampilkan pameran lukisan, catan, fotografi oleh anak-anak muda yang bersemangat waja dalam berkarya untuk menjadi seniman (dan sememangnya mereka telah pun menjadi seniman). Di samping itu, diadakan pula persembahan pembacaan puisi, muzik, akustik, bengkel penceritaan, bengkel fotografi, lomografi dan sebagainya. Iyalah, 'Gravity' seolah 'menarik' sekumpulan anak muda/mudi yang tidak bekerja pada hari biasa, pelajar universiti awam juga swasta untuk mengunjungi acara kesenian sebagai santapan kerohanian dan jiwa. Walaupun sekadar beberapa jam di acara 'Gravity', penulis sudah berasa tertarik oleh kuasa graviti karya-karya hebat yang boleh tahan harganya bagi pengumpul karya seni yang baru hendak berjinak-jinak dengan dunia seni. Penulis sempat mendengar persembahan akustik brader Otam yang begitu bersahaja dengan 'strumming' gitar ala Jack Johnson, membuat kepala kita sedikit terhayun dengan irama funky. Kemudian, disusuli pula program bengkel fotografi oleh Sue Anna Joe, seorang jurugambar dan tukang manipulasi foto yang tak perlu diperkenalkan lagi. Owh, rendahnya budak ni, fikir penulis. Maklum, kerana itu merupakan pertama kali bersua dengannya di alam sebenar. Selama ini hanya melihat koleksi fotonya bercambah di internet dan laman Facebook. Sue Anna Joe, dengan kepetahannya berucap, memberitahu khalayak bahawa untuk menjadi artis, manusia perlu melihat sesuatu dari sudut pandang yang berbeza dan unik. Juga, nasihat Anna, agar seni itu biarlah menjadi hobi dengan penuh minat, bukannya sebuah kerjaya yang mengongkong kebebasan berkarya. Memang benar katanya. Kerja seni itu asalnya adalah proses bermain-main dengan medium baharu, lantas kita berasa seronok dengannya. Dalam dunia seni grafik moden, seniman sekarang tidak lagi menjadi alkemis seumpama artisan dahulu, contohnya mengadun sendiri cat minyak atau meraut sendiri berus lukisan. Seniman moden, dalam dunia kesenian kontemporer dan akademianya sekarang perlu mengetahui dan menajam minda dengan istilah pengkomputeran dan 'falsafah' CYMK dan RGBnya. Itulah realiti yang mencengkam para seniman sekarang, dan kita boleh mengagak apa pula keperluan dan keadaan di masa akan datang. Seni adalah proses yang berkembang dan rencam pula bentuknya.
Penulis sempat berbual sekejap dengan Hakim (Akim Grohl), orang kuat Rantai.Art yang juga merupakan salah seorang daripada watak-watak penting dalam penganjuran acara kesenian di kota KL ini. Membaca di bahagian brosur 'Gravity', mata penulis secara tiba-tiba terpaku dengan frasa 'Gravity was chosen to portray the strong bonding and unity between Malaysians, and it also support the '1Malaysia' concept by the Prime Minister's.' Penulis agak terkaget sebentar. Masakan penganjur acara kesenian yang asalnya tidak berasaskan keuntungan boleh terjebak dengan falsafah anutan politik kepartian? Atau itu mungkin sebagai 'helah' tersembunyi penganjur untuk menyedapkan hati 'tuan rumah' yakni Balai Seni Lukis Negara yang memang milikan kerajaan Barisan Nasional. Ironinya pula sewaktu penulis menyaksikan pameran Bakat Muda Sezaman 2010 yang diadakan di tingkat atas balai, penulis dapat menangkap aura seniman muda moden mazhab kontemporari yang ingin melepaskan diri daripada kejumudan politik kepartian, menjadi pengkritik sosial, mereka adalah seniman-merangkap-saintis yang cuba menghubungkan antara nilai-nilai moral vis-a-vis perilaku serakah. Banyaknya artis, selalu menyoal kontradiksi dan kebingungan dalam hubungan manusia dengan alam. Segala teka-teki alam diluah dalam bentuk paradoks yang meresahkan. Seolah kiub rubik, seniman selalunya cuba menimbulkan persoalan-jawapan berkaitan hakikat manusiawi dengan fitrah asalnya, juga hubungan dengan alam. Seniman akan mengajak khalayak ke alam 'labirin'nya sendiri untuk mengalami apa yang mereka rasa. Lalu, 'Gravity' boleh juga menjadi pemangkin yang 'menarik' sekumpulan anak-anak muda/dewasa merenung terhadap persoalan-jawapan yang meresahkan ini sekian lamanya. Gerakan seni Rantai.Art - mengambil contoh para artisan penggerak Dadaisme dari Zurich di tahun 1916 dan pelopor Sekolah Bauhaus di Weimar, Jerman pada 1920-an yang terkenal mencambahkan pemikiran seni moden dan kontemporari, membawa mesej anti-perang, bersikap apolitikal - adalah salah satu dari beratus pertubuhan kesenian dalam Malaysia yang sedang mengerakkan halatuju pembangunan kesenian dan juga falsafah kebudayaan tempatan.
Soalnya, dalam mengungkap kembali tema 'Gravity', adakah Rantai.Art berupaya 'menarik' khalayak awam ke arah 'pencerahan' dalam bentuk pemikiran juga adab manusiawi atau 'ditarik' pula oleh elemen kuasa/negara yang rakus lagi bongkak dalam mengharungi proses pertumbuhan segala bersifat kesenian, pemikiran dan falsafah kebudayaan tadinya.
*Penulis tidak punya sebarang disiplin dalam ilmu dan falsafah kesenian. Penulis hanyalah seorang pengamat seni sepertimana berbillion insan lain di atas mukabumi.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Blog Archive
-
►
2016
(8)
- ► September 2016 (1)
- ► April 2016 (1)
- ► Januari 2016 (1)
-
►
2015
(8)
- ► Disember 2015 (1)
- ► Julai 2015 (1)
- ► April 2015 (2)
-
►
2014
(1)
- ► Oktober 2014 (1)
-
►
2013
(12)
- ► Disember 2013 (3)
- ► September 2013 (1)
- ► Januari 2013 (2)
-
►
2012
(14)
- ► Disember 2012 (3)
- ► November 2012 (2)
- ► Oktober 2012 (6)
- ► September 2012 (3)
-
►
2011
(9)
- ► Disember 2011 (1)
- ► November 2011 (3)
- ► September 2011 (1)
-
▼
2010
(33)
- ► Oktober 2010 (1)
- ► September 2010 (1)
- ► Julai 2010 (1)
- ► April 2010 (15)
Tentang NP
NP ialah sebuah majalah blog yang cuba menerapkan bahan-bahan penulisan sastera, budaya dan masyarakat terutama oleh penulis-penulis bebas dan baru. Anda juga boleh menyumbang hasil penulisan anda dengan menghantar ke: naskahpercuma@gmail.com
0 comments: