MPR: Catatan Sang Mantan


Oleh Aedi Asri

Mei 2012 lalu, aku dihubungi editor majalah Tunas Cipta melalui facebook, mempelawa untuk menulis dalam ruangan Buah Pena Minggu Penulis Remaja (MPR) untuk keluaran seterusnya. Aku sedikit terkejut, kerana ruangan itu disediakan kepada bekas peserta MPR untuk ceritakan pengalaman menyertai MPR dan kegiatan penulisannya selepas itu. Aku tidak aktif menulis berbanding bekas peserta lain dan tidak pula pernah hadir ke program anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selepas tamat program. Hal yang layak ditulis tidak lebih setengah muka. Jadi aku tolak.

Maksud aku hal yang ‘layak’ ditulis untuk disiarkan di Tunas Cipta. Dalam bilik aku ada beberapa naskhah majalah itu, jadi aku tahu.

Aku kenal MPR juga melalui ruangan sama pada tahun 2009. Giliran Roslan Jomel mengisi ruangan ‘Buah Pena MPR’ dalam isu itu. Itulah kali pertama aku beli Tunas Cipta atau mana-mana majalah Dewan dan aku tidak pasti kenapa. Aku ambil dan selak beberapa halaman di kedai majalah, bawa ke kaunter dan bayar.

Di sebuah restoran di Ampang Park, aku buka halaman majalah asing itu satu persatu. Penuh dengan nama yang aku tidak kenal. Kemudian, aku jumpa ruangan sajak dan cerpen. Belek lagi, aku jumpa borang untuk hantar karya. Aku rasa terpanggil, lalu aku salin balik sajak dalam buku catatan di kertas A4 menggunakan pen Pilot G-2 0.7 mm. Aku lipat cantik-cantik dan simpan di dalam beg (salinan sajak itu dipos kepada editor beberapa hari kemudian, tanpa sebarang surat iringan).


Sajak itu ditulis beberapa hari sebelumnya, di dalam bas Metro dari stesen LRT Ampang ke KLCC. Beberapa bulan selepas tamat pengajian dan menganggur. Kebosanan dan tanpa tujuan, aku merayau-rayau di sekitar Kuala Lumpur, dengan harapan akan turun wahyu atau apa-apa saja untuk aku.

Beberapa bulan berlalu dan aku masih dengan rutin yang sama. Itu kali pertama aku hantar tulisan kepada mana-mana pihak, jadi aku tiada apa-apa jangkaan daripadanya. Ia berlaku spontan. On the spur of the moment.

Pada satu petang, seorang pegawai DBP menelefon aku, bertanya sama ada berminat untuk menyertai MPR. Beliau menerangkan secara ringkas mengenai program itu dan aku pun setuju. Tamat panggilan, aku terus buat carian internet. Aku jumpa macam-macam dan mula rasa teruja.

MPR yang bermula pada 1985 (ketika itu Minggu Remaja) lahir daripada idea Johan Jaafar ketika menjadi Ketua unit Buku Remaja di DBP. Ali Majod dan Othman Puteh adalah nama yang sering dikaitkan dengan MPR. Antara penulis dikenali hari ini; Rahimidin Zahari, Shamsuddin Othman, uthaya Sankar SB dan Saharil Hasrin Sanin lahir dari program ini. Dan tidak lupa Faisal Tehrani.

Antara kritikan yang sering dihalakan kepada MPR adalah ‘kegagalannya’ melahirkan bilangan penulis yang sepadan dengan jumlah peserta dan wang yang ditaburkan. Dengan purata kira-kira 20 peserta saban tahun, jumlah penulis yang menghasilkan karya hebat, atau paling kurang kekal menulis dilihat kecil. Amat malang jika kritikan ini datang dari orang sastera sendiri. Khidmat mereka lebih diperlukan di Jabatan Audit Negara.

Selepas tamat program, peserta secara automatik memasuki ‘persaudaraan’ Mantan MPR. Misalnya, aku adalah mantan MPR 2009. Aku pernah baca dalam satu artikel dalam Dewan Sastera. Seorang penulis tidak dapat menyertai MPR pada 1994 kerana menyambung pengajian ke luar negara. Entah bagaimana, beliau mendapat gelaran mantan MPR 1994 kerana memenangi anugerah dalam Hadiah Sastera Siswa-Bank Rakyat (HSSBR) pada tahun itu. Rupa-rupanya, kata ‘mantan MPR’ bukan sekadar membawa makna ‘bekas peserta MPR’.

MPR juga dikatakan sebagai projek anak emas DBP. Mungkin dari situ lahir kritikan program ini dilihat eksklusif. Gelaran itu mungkin mengandungi berat tersendiri pada suatu ketika, tapi apa maknanya menjadi anak emas DBP pada zaman ini?

Menerbitkan buku di bawah DBP adalah kerja hampir gila atau perancangan licik untuk jadi immortal. Kerana buku kau hanya akan dijumpai di jualan gudang (kumpulan puisi – RM5, novel -RM10), selepas 10 tahun bertapa.

10 Oktober lalu, laman facebook Dewan Sastera mengajak khalayak  hadir ke Hari Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Kebangsaan - di Dewan Tertutup Nilai, Seremban. Di Seremban, Negeri Sembilan!

Awal pagi lagi aku sudah bersiap untuk ke Menara DBP. Itulah kali pertama aku menjejakkan kaki ke sana. Selepas mendaftar di lobi, aku diarah ke dewan di aras pertama. Majlis pertemuan Alumni MPR sedang berlangsung. Aku mendaftar lewat dan acara sudah pun bermula.

Bekas peserta yang rata-rata berusia 30-an sedang bercerita mengenai dunia penulisan mereka serta pengalaman semasa program kepada ‘adik-adik’. Sesekali seisi dewan ketawa dengan inside joke MPR. Ada juga bekas peserta yang sedikit defensif apabila menjawab beberapa kritikan - antaranya yang disebut sebelumnya - terhadap MPR dan pesertanya.

Aku duduk di bahagian hampir hujung memerhati keadaan sekeliling, cuba meresap masuk kesemuanya.

Dari duduk di kerusi dewan kemudian makan tengah hari di kantin, seterusnya berlegar di lobi sehingga sampai ke Port Dickson, fikiran aku cuba memproses apa yang dikatakan sebagai ‘dunia sastera’. untuk tujuh hari seterusnya, entah berapa kali aku dengar kata ‘sastera’. Ia terbang di sekitar, mengganggu dan meminta diberi perhatian. Dan memang aku terganggu dan hampir setiap masa memerhatinya.

Selain aku, semua peserta kelihatan terbiasa dengan dunia sastera Malaysia. Dalam erti kata mengikuti anugerah sastera tahunan, tahu status dan kultus MPR, sering menghantar karya dan tersiar di media hinggalah kepada kenal editor majalah Dewan. Ketika sesi suai kenal rasmi, hampir semua menamakan Faisal Tehrani sebagai penulis kegemaran. Mereka panggil Faisal Tehrani dengan singkatan FT.

Selepas selesai pembahagian bilik dan beberapa keperluan lain, kami ke bilik kuliah untuk mendengar syarahan Anwar Ridhwan. Pada masa itu, beliau baru sahaja dinobatkan sebagai Sasterawan Negara. Cerita tentang sejarah hidup, dunia penulisannya dan kaedah berkarya. Acara alu-aluan untuk menaikkan semangat peserta. Seperti tulisannya, ucapan Anwar tepat dan padat. Tidak lewah dan tanpa kias.

Hari-hari seterusnya adalah untuk sajak dan cerpen. Kuliah umum dijalankan oleh fasilitator program, Shamsuddin Othman dan Salmiah Ismail untuk kategori puisi serta Zaharah Nawawi dan Nasriah Salam untuk cerpen. Selepas itu kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil dan akhir sekali  sesi bedah karya - mungkin sama sahaja dengan mana-mana bengkel penulisan lain.

Peserta diajar kaedah asas penulisan. Cerpen dengan gaya naratif dan latarnya. Dan yang aku masih ingat -  metode ‘show, don’t tell’. Puisi pula dengan pemilihan diksi, penggunaan metafora dan lain lain. Selain hal praktis, turut disentuh soal tujuan menulis, melihat diri dalam mencari cetusan karya. Semua ini tentulah pengetahuan yang berguna. Mencerahkan peserta akan kepentingan wajah kepada ruh karya yang lahir dari fikiran dan rasa, diam terbenam dalam diri setiap penulis.

Namun pada beberapa ketika, ada cubaan menceroboh masuk ke wilayah arah dan subjek penulisan. Apa yang patut dan tidak patut ditulis. Misalnya, setiap karya perlu memberi pengajaran dan mendatangkan kebaikan kepada pembaca. Aku tidak dapat mengelak daripada merasakan bahawa definisi ‘hal yang patut ditulis’ dan ‘mendatangkan kebaikan’ yang dibawa tidak luas, rigid nilai dan bersifat hitam-putih.

Ia mengundang rasa tidak senang. Bukankah menulis itu datang daripada pengalaman dan persekitaran? Daripada keduanya kita membentuk pandangan alam. Malah pembacaan masing-masing pun jauh berbeza dan beragam, sedangkan ia turut mempengaruhi penulisan.

Akibat faham ‘tulis untuk mengajar’ inilah banyak karya sastera di pasaran membosankan. Terlalu bongkak bersyarah dan beku didaktiknya. Terburu-buru menjadi hakim dan menafikan realiti manusiawi serta persoalan dan pergolakan yang wujud di dalamnya. Dari menara tinggi memekik ke arah pembaca di bawah, tanpa menyedari akhirnya yang didengar hanyalah bunyi-bunyian monotonous yang membingitkan.

Ikan di laut asam di darat. Begitu juga penulis dan pembaca. Pelbagai pemikiran dan rasa dan saling mencari antara satu sama lain.

Seminggu bersama ‘penulis-penulis remaja’, perbualan tentu sahaja menjurus kepada kesusasteraan. Buku yang dibaca - karya terbaru di media - kursus yang dihadiri sebelum ini. Ada beberapa peserta bersedia awal membawa bersama Naratif Ogonshoto untuk ditandatangani Anwar Ridhwan ketika acara pertama.

Kami dibekalkan satu buku yang memuatkan salinan karya peserta yang dihantar ketika memohon menyertai MPR. Kecuali aku, kesemua peserta memiliki lebih dari satu karya. Sedangkan, satu-satunya sajak aku yang dimasukkan belum pun tersiar (hanya disiarkan beberapa bulan selepas itu).

Sejak hari pertama aku merasa cukup rendah diri. Seperti biasa aku lebih banyak mendengar. Sama ada dalam bilik kuliah mahu pun di luar. Diam aku ketika itu bukan diam berisi, tapi kerana kurang tahu.

Tempoh hari, seorang rakan peserta menanda aku dan beberapa yang lain di Facebook. Meminta pandangan untuk kembali mendapat idea menulis. Kata-katanya itu mengingatkan aku kepada ‘persaudaraan Mantan MPR’ yang penuh kesantunan adik-abang. Setiap karya yang disiarkan (biasanya di majalah Dewan dan akhbar mingguan) dimaklumkan dan ucapan tahniah tidak mengambil masa lama untuk memenuhi ruangan komen.

Sejujurnya, aku merasa sedikit sesak, terutama panggilan ‘adik-abang’ yang aku rasa memang budaya MPR. Aku bukan lagi pelajar sekolah asrama yang kuat budaya senioritinya. Aneh, hal ini kecil sahaja jika dipandang dari sudut yang lebih luas tetapi tetap mengganggu dan menyebabkan aku rasa terasing.

Walaubagaimanapun, MPR telah membuka mata aku, dan juga pintu-pintu yang selama ini tidak pernah aku ambil peduli. Aku tidak ingin berfikir sejauh menilai tahap keberkesanan dan impaknya dalam sastera Malaysia, tetapi dalam senarai setengah muka kejayaan DBP memainkan peranannya pada masa ini, MPR barangkali berada di antara yang teratas.



*Tulisan ini pertama kali diterbitkan di Fragranfrantik isu November. Emel fragranfrantik@gmail.com untuk pertanyaan lanjut.


0 comments: