Masyarakat Jalan Pasar, Asmara Lelaki Berahi, dan Wartawan Super


Oleh Hafiz Zainuddin

Mahu merasa punya karier seperti orang lain, saya memilih untuk menjadi wartawan setelah bergelut dengan kecelaruan identiti dan menjadi mangsa obses Melayu Islam tipikal kelas menengah atas yang selesa dalam ruang lingkup kehidupan unik, berbuka puasa di Starbucks Café dan masuk MLM untuk cepat kaya.

Apapun, saya disudahi dengan kesudahan yang kurang bagus di Shah Alam lalu membawa diri pulang semula ke kampung halaman dengan hati yang berparut.

Akhirnya, berpusat di Kuala Lumpur, kerja kewartawanan saya kini bukan sekadar apa yang mahu dirasakan tetapi menjadi sebahagian dari hidup dan minat saya biarpun berada dicelah sesak bingit kenderaan dan kumpulan-kumpulan kongsi gelap pelbagai nama dan panji beserta pelacur wanita dan maknyah kelas menengah dan bawahan yang masih mampu membuatkan ghairah ini tergamit.

Lima bulan berlalu terasa begitu cepat. Seorang teman yang dulunya mengandung dua minggu, kini perutnya makin membesar dan kandungan sudah pun berusia enam bulan. Pengalaman lima bulan sebagai pelapor berita masih jauh dan belum cukup untuk dibanggakan. Malahan ia mengajar untuk saya lebih licik, berani melanggar segala protokol dan rasa malu di hati demi kepuasan kerja atau kerja saya sekadar kepuasan yang separa inzal.


Sebelum ini, mimpi menjadi wartawan tidak pernahpun menjelma dalam fantasi saya kerana ketika itu saya bercita-cita untuk menjadi sebagai penjawat awam selepas usaha niaga kecil saya di Shah Alam mengalami kejatuhan. Ketika itu, asal saja punya kelapangan, banyak masa dilaburkan melayari iklan-iklan jawatan kosong kerajaan di pelbagai agensi dan jabatan serta mengisi borang dalam talian mahupun secara konvensional melalui pos secara sistematik.

Bahana pemerintahan Tun Mahathir. Saya kira, inilah juga pengalaman awal muda mudi Melayu tipikal lepasan universiti tempatan yang sangat dahagakan belas ehsan kerajaan, tidak tahu berdikari, mengharap agar diri dibantu, dibelai dan diberi kerja demi mengisi periuk nasi supaya mudah membuat pinjaman dengan Bank Rakyat untuk berkahwin atau membeli kereta impian dan modal menambah pendapatan sampingan dengan menjadi agen-agen produk kesihatan atau kontraktor kecil-kecilan. Rasanya, kejayaan idealisma muda mudi Melayu pasca DEB-Mahathir  dan Transformasi Najib ini harus kita cantingkan semula agar mereka menjadi anak jantan bersaing di arena yang adil dan terbuka.

Wartawan, guru, agen insuran atau pemandu lori, biarlah apapun cara pandang, cara hidup dan karier yang dipilih. Perkara utama harus diberi penekanan sekarang adalah bagaimana menjadikan diri serasi dengan persekitaran dan tuntutan nafsu kerja dan nafsu semasa kerana segalanya berubah dengan sebab dan tidak juga tanpa sebab perubahan datang tanpa diundang.

Segalanya telah berlalu begitu pantas. Dalam satu tempoh yang singkat, semuanya berubah mengikut ketentuan qada’ dan qadar. Saya percaya pada tuhan dan pada segala keajaiban yang boleh berlaku pada bila-bila masa. Pesan mama, selalulah berdoa dan saya percaya, doa mama dan kesungguhan doa itulah yang membawa saya ke dunia baru ini. Alam kewartawnan yang menjadikan saya tak lekang dengan notebook siang dan malam.


Wilayah gelap Jalan Pasar

Tempat saya bekerja ini bukan di kawasan yang indah seperti di Shah Alam. Kecuali sisi gelap Shah Alam seperti di Sri Muda dengan segregasi kaum yang nyata dan percambahan kelompok komuniti luar yang tak terkata; keluar dari pejabat sudah terlihatkan tasik dan pohon-pohon rhu yang hijau merendang. Adakalanya pemandangan tasik Shah Alam dihiasi dengan migrasi beberapa jenis burung dari benua lain. Indahnya hidup di Shah Alam. Pesona Shah Alam sehingga kini umpama tarikan magnet buat saya. Tapi biarlah, kali ini giliran Kuala Lumpur.

Kota ini besar, pejabat saya bukan seperti di Jalan Yap Kwan Seng, jauh sekali seperti di Putrajaya. Ia juga bukan kawasan selesa bagi semua orang kerana kawasan ini kawasan marhein, marhein dari semua golongan.

Ini Jalan Yew off Jalan Pudu, cuma beberapa penapak dengan Jalan Pasar, ia berhampiran Masjid Alam Shah Cocraine, bersebelahan gereja Baptis Bethel, turun pejabat sudah ada pub, spa dan snooker. Kalau sedikit kehadapan, kawasan perumahan Laksamana. Kalau sedikit kebawah, kawasan Samping. Sekitar jam empat pagi lagi, udara disini sudahpun berbau hamis dan busuk.

Malaysia gaya Jalan Pasar

Saya sudah pun biasa dengan bau busuk nan hamis ini. Saya namakan kawasan tempat, pejabat saya bekerja ini sebagai sebuah wilayah. Sub-wilayah dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang diperintah oleh Raja Nong Chik. Wilayah ini wilayah majmuk, tidak sekadar majmuk ras, juga majmuk warganegara.

Dek kerana dasar kemasukan pekerja asing agak longgar dan bercelaru ditambah dengan sebahagian kakitangan kerajaan yang kuat makan rasuah membenarkan gambaran laporan Ketua Audit Negara yang lalu, disini menjadi antara mula tempat penemuan perantau Kathmandu dengan dengan wanita Yangon yang mulus dan manis. Tak kurang juga anak muda Kerala dan Tamil Nadu menjadi buruh mengangkut sayur dan ikan. Belia dan beliawanis Minang, Jawa, Bugis dan sebagainya dari Indonesia turut mengambil posisi mereka yang tersedia luas disini sebagai buruh am dan penjaja buah dan rokok.

Kemajmukan disini sudah melangkaui slogan 1Malaysia kerana Perdana Menteri Najib mungkin terlepas pandang dalam pelan transformasinya bahawa selain hab halal, Malaysia juga merupakan hub pengumpulan tenaga kerja manusia samada secara legal atau secara non-legal yang terkenal di pelusuk negara dunia ketiga, antara yang terbaik di rantau Asia Tenggara.

Kerana ini kawasan pasar, ia penuh dengan suara dan pekik-bingit kehidupan yang turut mempengaruhi gerak rasa dan gerak joget saya di Kuala Lumpur.

Keberagaman warna kehidupan di Jalan Pasar ini tidak terlepas dari keperluan fitrah seksual manusiawi.

Seperti malam-malam indah di tempat lain. Kaum lelaki yang berahi menjadikan wilayah ini tempat mereka berhibur beradu asmara melupakan seketika keadaan rumah-rumah flat mereka yang sesak, sempit dan bising seperti di Kerinchi. Seawal pagi lagi, kawasan ini telahpun dihiasi dengan senyum manis pekerja seks yang seksi tekun dan setia menunggu pelanggan demi menyara kehidupan anak-anak tidak berbapa sehari-hari.

Biarlah kata orang ini wilayah gelap walau banyak kedai menjual lampu dan LED yang mengerlip. Malamnya suram sepi, ramai pelacur mencari rezeki. Siapa peduli?

Inilah antara contoh terbaik kawasan pasar yang sibuk ala Malaysia yang juga menjadi tempat menumpang teduh bagi segelintir masyarakat terpinggir hidup bergelandangan bersama kaki-kaki botol yang sentiasa tidur. Peruntukan bantuan kebajikan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat tidak pula terlihat disini mungkin kerana mereka bukan pilihan favourite penguasa atau peruntukan sudah pun habis disebabkan Malaysia punya ramai golongan masyarakat yang miskin papa kedana.

Sama seperti dua puluh tahun lalu. Begitulah keadaannya Jalan Pasar sehingga kini kecuali beberapa buah rumah kedai dan bangunan pejabat yang sedang dalam pembinaan.

Mengusahakan takdir

Wilayah ini harus memberikan perasaan yang selamat dan selesa buat saya. Jika tidak, letak punggung saya disini mungkin tidak lama dan mungkin terpaksa melangkah lagi. Menjadi seorang wartawan merupakan cabaran menyeronokkan. Saya belajar dari setiap kesalahan. Bukan belajar untuk semuanya jadi betul. Saya perlu selesa untuk dipersalah, dan selesa juga untuk diperbetul. Itulah inti ajaran bos saya.

Ini adalah sebahagian kisah saya dan sebuah wilayah bernama Jalan Pasar dengan segala macam wajah, ragam, rengek, pekik masyarakat. Ia jauh berbeza dengan Jalan Bukit Bintang, Jalan Petaling mahupun Jalan Raja Laut. Samada wilayah ini akan terus begini atau bertukar sepertimana bertukarnya Pudu Sentral kepada UTC, kita telah dibuktikan bahawa transformasi fizikal tetap tidak akan berjaya tanpa pengisian dan peningkatan taraf serta kualiti hidup masyarakat.

Lihat sajalah kesesakan lalu lintas, biarpun jalan raya diperlebar setiap hari-saban tahun. Keadaannya tak berubah; kecualilah wujud kesedaran kolektif masyarakat untuk berkongsi kenderaan atau menaiki pengangkutan awam. Apapun, cita-cita untuk mempunyi masyarakat sebegitu mungkin cuma sebahagian dari utopia. Peningkatan harga bahan api dan kenderaan bukan penghalang masyarakat kita untuk membeli dan memperagakan kereta masing-masing.

Jalan Pasar adalah contoh terbaik sebagaimana juga di sekitar kawasan Chow Kit bersama Lorong Haji Taibnya; termasuk disini, sebahagian besar warga di Kuala Lumpur telahpun memiliki wajah-wajah sakit, tertipu dan tersepit dicelah kelangkang pembangunan dan Pelan Transformsi Kerajaan demi mengejar impian Malaysian Dream menjelang 2020 nanti.

Berdoalah agar Malaysia berubah bertambah baik dan diberkati tuhan. Maka dengan segala kuasa kewartawanan yang ada pada saya, saya dengan ini mengarahkan agar Perdana Menteri Malaysia meletak jawatan.




*Penulis ialah wartawan, master reiki, dan seorang yang menjadikan David Arumugam dan Sharifah Aini idolanya. Tulisan ini pertama kali diterbitkan di zine Fragranfrantik isu #01.

0 comments: