Idea Tentang Idea
Apa itu idea? Dalam abad ke-21 sekarang, dengan lahirnya fenomena googlisme, dunia yang terbuka luas di alam maya, kurang cerdiklah apabila kita bertanyakan hal demikian. Sesiapa yang mudah berhubung dengan dunia internet senanglah mereka mencari makna setiap jargon yang beranak-pinak bagai cendawan selepas hujan. Namun, jangan kita lupa. Ada juga mereka kurang bernasib baik yang tak punyai akses ke dunia pengetahuan 'world wide web'. Jika diperhatikan dan dikaji asas piramid kelas sosial, rakyat marhaenlah yang majoriti sedangkan sedikit pula golongan kelas pemerintah. Soalan kedua, adakah semua perkara yang dibincang, didebat, disembang itu berkembang ke dunia nyata, dalam kehidupan sehari-hari? Cuba anda perhatikan jiran di kiri dan kanan anda. Bersembanglah dengan mereka tentang kebanjiran maklumat yang melimpah dalam laman maya di era digital kini. Adakah mereka tahu, tidak tahu, buat-buat tahu atau buat-buat tidak tahu? Dari situ mungkin anda akan maklum tetang realiti sebenar. Berhubunglah dengan masyarakat dari semua golongan, jangan terperuk dalam sekolah pemikiran sendiri. Usah menjadi dewa-dewi Yunani yang menghukum manusia melalui trisula dan kuasa sakti. Bagaimana pandang alam anda berbanding pandang alam insan lain, mereka yang bukan dari kelas sosial dan tahap fikiran anda. Adakah anda asyik-masyuk bergelumang dengan timbunan buku-buku falsafah yang berat-berat sedangkan ada insan yang bergelumang dengan najis anda demi mengosongkan tangki septik?
Berbalik kepada soalan pertama tadi, tentang idea; saya tidak perlu memetik kamus maya, atau kata-kata falsafah pendita dahulukala. Cukup sekadar merumuskan di sini, idea adalah gagasan pemikiran yang di bawa ke depan. Itu fahaman saya. Sudah tentu fahaman saya berbeza dengan kamu kerana pengalaman dan pembacaan kita adalah berbeza. Itulah sifat idea. Ia bukan mimesis. Idea unik dalam sendirinya. Sepatutnyalah.
Tanggapan idea itu berbeza diperbualkan dalam kumpulan tertentu. Pelukis membincang sudut idea dalam goresan, palitan berus warna. Sasterawan pula melantun idea dalam bentuk indah kata-kata, kelembutan bahasa. Pensyarah/ilmuwan membebel idea dalam format tertentu dan dikerat-kerat menjadi metode pedagogi. Pengarah filem membingkaikan idea menjadi slaid gambar yang bergerak, dengan kesan bombastiknya. Ahli kalam dan falsafah membincang idea dalam fikiran dan tabi'i manusia seharian, juga bagaimana ia menjadi kenyataan. Ahli politik, kalangan pemerintah sudah tentu menjadikan idea sebagai alat untuk memerintah dan memastikan undang-undang teratur. Agamawan bersyarah bagaimana idea itu tertakluk kepada hukum Tuhan, sunatullah. Rata-rata berbincang tentang idea, dan tanpa sedar ia sebenarnya berada di sekeliling kita, kiri-kanan-atas-bawah-depan-belakang. Sewaktu kita menonton tivi, mendengar radio, melayari internet, bersembang di kedai kopi, bermesyuarat, mendengar ceramah bahkan sewaktu kita menggosok gigi pun hal idea itu senantiasa meliputi daya fikrah kita. Pernahkah anda menyoal ke dalam diri, apakah halnya kehendak peribadi kita yang ingin meluahkan sesuatu kepada orang ramai? Bagaimana besarnya 'nafsu' kita untuk memberi sesuatu kepada masyarakat. Bukankah itu adalah proses penjelmaan realitas idea kita? Orang yang meluahkan gagasan pemikirannya digelar sebagai idealis, lawan kepada realis. Jika begitu, setiap kita adalah idealis. Hanya sanya kita takut, gementar dan ragu-ragu meluahkannya. Sebab itu kita semua perlukan daya kreativiti tinggi untuk luahkannya menjadi sesebuah bentuk. Supaya ia termateri. Maka lahirlah karangan tulisan (syair, sajak, pantun, gurindam, catatan), lagu, lukisan, ukiran, naskhah filem dan sebagainya. Luahan paling rendah sesebuah idea itu mungkin contengan di jurnal peribadi, kata-kata di blog, Facebook, Twitter atau lain-lain laman sosial. Betapa rendah sekalipun, jika ia adalah idea asal kamu, kenapa perlu malu-malu mengakuinya? Puncak akhir sesebuah idea itu adalah apabila ia lengkap dipraktikkan.
Idea asalnya adalah milik individu, sebelum berkembang menjadi bentuk kolektif, kumpulan. Contohnya, wahyu Ilahi kepada para nabi. Bukankah kenabian itu puncak hikmah pemikiran? Kemudian apabila disebarkan, ia menjadi ajaran yang diikuti sekumpulan kecil penganut dengan taatnya. Beberapa waktu hingga generasi tertentu, ajaran tersebut akan dikotori oleh golongan pemuka agama sebelum 'idea' keagamaan itu dipersoalkan, dibincangkan untuk mengembalikan kemurnian awalnya dahulu. Wacana idea dalam hal agama dan politik selalunya menimbulkan konflik hingga berlanjutan ke medan perang bersenjata lantaran mencabut nyawa manusia. Idea sentiasa berlawanan sesama sendiri. Jarang ia bergerak selari. Didapati, idea juga tidak boleh dipenjara. Melalui sejarah kita membaca tentang tabiat kerajaan despotik yang memenjarakan sosok pembangkang utamanya. Seorang idealis, apabila dia dipenjara, hal itu bermakna proses 'hibernasi' untuk ideanya berkembang lebih matang dan mengalami reinkarnasi umpama burung phoenix. Karya sang idealis sejati boleh dibakar dan dimusnahkan, namun dari api tersebut akan merebak intipati pemikirannya ke dalam minda manusia terkemudian beribu tahun lamanya. Idealis juga boleh dibunuh dan dihilangkan tanpa kesan. Ideanya tetap hidup mekar bagai jambangan mawar di taman syurgawi. Insan seperti Nabi Yusuf, Nabi Isa, Nabi Muhammad, Aesop, Socrates, Imam Ali, Rumi, Gandhi, Che Guevara, Mandela, Hamzah Fansuri, Tok Janggut, Ahmad Boestamam, Pramoedya adalah contoh sang idealis sejati di mana gagasan pemikiran mereka, perjuangan mereka begitu besar mempengaruhi kesemua aspek hidup kita zaman sekarang. Ada idea yang mempertahan status quo, ada pula yang menentang. Itu kitaran idea. Mungkin idea itu awalnya bersifat monarki, kemudian ia menjadi radikal dan kritikal, sebelum menjelma menjadi sosialisme mahupun komunisme. Ada ketika ia berubah menjadi fasisme, nazisme dan anarkisme. Ada yang berubah terus menjadi liberalisme. Begitu hal idea dalam isme-ismenya. Bagaimana ia dipandang oleh massa, begitulah ia akhirnya.
Dalam kita membicarakan hal idea, kita tahu benar betapa bahaya sesebuah idea itu untuk menjadi realiti. Lebih-lebih lagi sekiranya ia adalah antitesis kepada idea masakini. Masyarakat secara lumrah gemar menjadikan idea sebagai budaya dan budaya itu kemudian digubah menjadi satu hal taboo untuk dilawan. Pantang datuk nenek hal perlawanan itu berlaku. Seteru kepada idea adalah juga idea. Idea tradisional cenderung untuk ditentang oleh idea baharu. Yang baharu juga akan tiba masanya ditentang dan diperhalusi oleh para idealis mendatang. Sesebuah idea itu diwariskan, diikuti oleh pengkagumnya, tetapi sampai tahap mana? Idea berkembang, dalam masa sama ia juga mengalami revolusi. Perkataan, istilah, jargon asing menjalar dalam tempoh hanya milisaat melalui kabel fiber optik. Idea dalam seni tampak berubah dari atas jut kanvas ke dunia digital. Idea penulisan berhijrah dari tablet batu ke pulpa hingga ke skrin kaca. Idea menuntut kebebasan bersuara dan hak kesamarataan hamba abdi tetap sama dari zaman Nabi Musa hingga zaman Abraham Lincoln sampailah ke Presiden Obama. Perbezaannya adalah istilah dan kehendak insan yang semakin rencam. Juga, kerencaman itupun sebenarnya tidaklah begitu kompleks untuk dihuraikan kerana mengikut fitrah duniawi, dikotomi nilai baik dan nilai buruk tetap saja kekal semenjak zaman purbawi lagi. Istilah sahaja berkembang, walhal maksud tetap sama. Walau bagaimanapun, idea tetap dilihat sebagai idea. Ia adalah pencetus kepada pemikiran insan. Asalnya dari satu sel kecil merebak ke dalam tubuh insan lain. Idea bersifat mewabak dan berjangkit. Tak kiralah idea negatif atau positif. Seolah simbol Yin dan Yang, sesebuah idea membawa 'kod DNA' nan halus yang sudah lengkap seperti seadanya. Bergantung kepada manusia untuk bertindakbalas terhadapnya. Bagaimana idea Plato juga Hegel mempengaruhi ahli falsafah terkemudian? Bagaimana idea Picasso atau Dali membentuk pelukis selepas mereka? Bagaimana idea Usman Awang juga A. Samad Said merintis jalan untuk sasterawan cucu-cicit kita kelak? Bagaimana idea Tun Mahathir atau DS Anwar Ibrahim membentuk hala tuju negara Malaysia seribu tahun nanti? Inilah proses panjang sesebuah idea untuk terevolusi secara mandiri melalui kehendak Ilahi. Tak kisahlah ia mengalami reformasi (asbab luaran) atau transformasi (asbab dalaman). Dalam pembentangan sesebuah idea ke dalam lapangan kehidupan, bagaimana kita hendak menjelaskan ia sejelas mungkin? Bagaimana seorang idealis dalam kumpulan politik tertentu hendak menjelmakan idea dalam bentuk mudah supaya difahami oleh seorang penjual barang lusuh misalan? Bagaimana seorang ahli ekonomi hendak merumuskan hasil dapatan statistik pendapatan per kapita isi rumah untuk dicerna dengan senang oleh seorang makcik di Felda? Seseorang cerdik pandai ialah mereka yang boleh menterjemah dengan mudah idea mereka ke pelbagai takah fikiran manusia. Gagallah para cendekia sekiranya mereka itu hanya seronok berbincang di meja bulat dalam bilik berdingin hawa, contohnya berkitar isu pemanasan global sedangkan idea/keputusan mereka tidak dapat menjadi amalan praktis manusiawi amnya. Inilah yang dikatakan perihal khusus dan awam. Hal-hal idea yang khas sebelum idea tersebar menjadi umum. Kita ambil contoh sistem pendidikan negara. Bagaimana besarnya beza tahap pendidikan di antara si penggubal dasar di Parlimen dengan seorang anak murid dari sebuah kampung di Sarawak? Memang kelakar jika kita memikirkan perbandingan itu, tetapi inilah realiti! Kemudian kita soal kembali kenapa selepas berpuluh tahun sistem pendidikan masih belum melahirkan insan yang seimbang berjaya dari segi fikrah dan moralnya? Kenapa masih ramai yang buta huruf, kenapa gejala sosial makin merebak? Ahli ekonomi dan sosiologi mungkin akan menepuk meja, 'Hah, beza antara kelas sosial begitu besar!' Siapa pula yang memisahkan perbezaan itu menjadi besar? Bukankah penggubal dasar, bapak-bapak menteri? Lalu disalahkan menteri, yang kerja mereka bukanlah setakat membincangkan idea kenegaraan semata-mata. Mereka, seperti kita juga mempunyai kehidupan sehari-hari. Mereka bergebang di cafe, mereka menghirup udara segar sambil memandu Ferrari. Idea yang dicetus oleh mereka di Parlimen asalnya adalah hasil dari idea masyarakat bawah (baca: kita) yang menyampaikan kepada wakil rakyat YB dan YAB tadi juga melalui medium lain-lain. Jadi, persoalan idea itu sebenarnya adalah mahabesar. Kita memang diliputi secara keseluruhan oleh rangkaian sesawang idea yang sedang menakluk minda. Suka atau tidak, pekerjaan kita, perlakuan kita adalah manifestasi kepada setiap idea yang telah/sedang/akan lahir.
Alam bumi luas terbentang. Manusia lahir ke bumi dan kemudian mati. Idea sentiasa muncul, dan sentiasa pula mengalami pertentangan. Persoalannya sekarang, bagaimanakah kita menanggapi sesebuah idea itu? Diketahui umum, manusia yang cerdik adalah mereka yang banyak berbincang mengenai idea. Justeru, apakah sebab untuk kita menolak sesebuah idea yang sedang disuguhkan? Dek prasangka atau kejumudan? Juga, sekiranya sesebuah idea itu diterima pakai khalayak umum, bagaimana untuk kita tahu yang ia membawa manusia ke alam syurgawi atau alam neraka?
Penulis adalah seorang yang suka berangan di masa lapangnya.
Labels:
artikel
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Blog Archive
-
►
2016
(8)
- ► September 2016 (1)
- ► April 2016 (1)
- ► Januari 2016 (1)
-
►
2015
(8)
- ► Disember 2015 (1)
- ► Julai 2015 (1)
- ► April 2015 (2)
-
►
2014
(1)
- ► Oktober 2014 (1)
-
▼
2013
(12)
- ► Disember 2013 (3)
- ► September 2013 (1)
- ► Januari 2013 (2)
-
►
2012
(14)
- ► Disember 2012 (3)
- ► November 2012 (2)
- ► Oktober 2012 (6)
- ► September 2012 (3)
-
►
2011
(9)
- ► Disember 2011 (1)
- ► November 2011 (3)
- ► September 2011 (1)
-
►
2010
(33)
- ► Disember 2010 (1)
- ► Oktober 2010 (1)
- ► September 2010 (1)
- ► Julai 2010 (1)
- ► April 2010 (15)
Tentang NP
NP ialah sebuah majalah blog yang cuba menerapkan bahan-bahan penulisan sastera, budaya dan masyarakat terutama oleh penulis-penulis bebas dan baru. Anda juga boleh menyumbang hasil penulisan anda dengan menghantar ke: naskahpercuma@gmail.com
0 comments: