Menghadapi Trauma Serangan Ketenteraan
Oleh Daniel Day-Lewis
Sudah hampir lima tahun tulisan ini ditulis, dan di Gaza, semuanya, atau tak ada apa-apa yang berubah. Pengunduran pemukim dan tentera Israel dari Gaza pada 2005 meredakan sedikit insiden keganasan, tapi ia cuma penangguhan singkat. Dalam tempoh lima tahun Semenanjung Gaza terperangkap dalam kitaran keganasan dan kedaifan, dengan kemusnahan yang memberi kesan teruk pada kesihatan fizikal dan mental penduduknya.
Mengunjungi Gaza hari ini adalah pengalaman yang meresahkan, tapi bukan kerana sebab yang nyata. Sudah tentu, manifestasi fizikal akibat dari konflik dapat dilihat; bangunan-bangunan diratakan, runtuhan dan serpihan infrastruktur akibat Operasi Cast Lead 2008/2009, serangan tentera Israel yang menyebabkan kematian 900 orang awam, 300 daripadanya adalah kanak-kanak. Tapi Gaza tidak unik dalam membawa parut fizikal dari sebuah konflik. Apa yang membuatkan Gaza unik dan membuatkan ia sebuah tempat yang mengerikan, adalah ia kini dalam pengasingan.
Ramai anak muda di Gaza membesar tanpa pernah melihat askar Israel. Perkembangan terbaru dalam teknologi ketenteraan dan pemantauan bererti membolehkan mereka tak perlu berada di satu-satu lokasi untuk membuat pengawasan. Dengung F16 membuat rondaan di ruang udara, bersiap untuk menghantar kematian dan kemusnahan. Tentera laut Israel mengawal pesisir pantai menguatkuasakan zon pengecualian dan selalunya pantai menjadi sasaran tembakan. Tembok keselamatan setinggi 24 kaki mengelilingi Gaza didirikan, memutuskan hubungan antara dunia luar dengan penduduk di dalamnya.
Di sebelah Gaza, satu kilometer merentasi ‘no man’s land’ menghala ke tembok, sesiapa - petani, atau kanak-kanak - yang merayau dalam zon ini akan ditembak oleh mesingan yang dipasang sepanjang tembok. Tugas ini dilakukan dengan alat kawalan jauh, situasi ala simulasi Playstation dimana kematian berlaku hanya dengan menekan butang. Dalam masa sama seluruh populasi tertutup dan dipantau dalam skala besar. Tidak ramai yang yang dibenarkan keluar, pesakit yang memerlukan rawatan perlu membuktikan sakit mereka mengancam nyawa sebelum diberikan kebenaran untuk melintasi sempadan.
Untuk penduduk Gaza, keganasan yang tidak diduga - dari kedua-dua, Israel dan warga Palestin - dan hakikat ia boleh berlaku di mana-mana, bila-bila masa, kepada sesiapa, mewujudkan situasi meresahkan, terutama kepada golongan kanak-kanak.
“Dari usia awal, kanak-kanak di Gaza terdedah dengan keganasan, kematian - kematian keluarga, kawan-kawan, orang tersayang - ketakutan dan kesedihan,” kata pakar psikologi Medecine Sans Frontieres (MSF), Manuel Francisco Morantes. “Di sini, senjata api, peluru, bom, tidak cuma wujud dalam simulasi permainan video. Ia wujud dalam kehidupan sehari-hari dan sudah ramai kanak-kanak menjadi mangsa.”
Abu Saguer ada lima anak lelaki dan empat anak perempuan. “Kau tak boleh tanggung lebih daripada itu,” katanya. Pada mula, anak sulungnya, gadis berumur 22 tahun yang menjadi pesakit Sue Mitchell, pakar psikologi Australia yang sedang dalam misi enam bulan bersama MSF. Dari pengalaman Sue, lawatan pesakit akan turut melibatkan ahli keluarga lain, kawan-kawan, malah jiran.
Hari ini, cucu Abu Saguer yang perlu dilawat Sue. Penterjemah kami Mossa’ab membawa bendera putih MSF dan memimpin jalan. Kami dapat melihat sepenuhnya pos kawalan Israel yang didirikan di tingkat lima sebuah kilang. Pos kawalan itu diselubungi jaring penyamaran, seperti juga rumah yang kami tuju merentas 200 meter menghala ke ‘no man’s land’ - rumah itu satu-satunya yang tersisa dari kawasan yang satu ketika dulu padat penduduk. Orang awam menjadi mangsa utama keganasan dari kedua-dua belah pihak dalam konflik Timur Tengah ini. Di semenanjung Gaza tentera Israel membalas balingan batu dengan peluru.
Merespon kepada pengebom berani mati dan serangan roket ke atas penduduk Israel, mereka melancarkan operasi serangan di atas tanah. Penggusuran rumah dan kebun zaitun untuk mencari militan Palestin dan tindakan hukuman ke atas keluarga mereka adalah sebahagian daripada operasi sebegini. Ia juga bertujuan untuk merekodkan ‘kawasan putih’ yang tidak didiami dan boleh didiami untuk kegunaan perlindungan penduduk Israel.
Kereta kebal dan jentolak lengkap berperisai datang tanpa amaran awal, selalu pada waktu malam. Bagi yang telah mengalami penderitaan ini sekian lama, bunyi itu sudah cukup untuk membekukan jiwa mereka. Penembak tepat diletakkan di bumbung. Penghuni rumah dipaksa keluar - tanpa diberi masa untuk mengutip dokumen, pakaian atau kuali memasak sebelum jentolak menghancurkan bangunan itu seperti dinasaur memijak telur, menggilis binaan demi binaan sebelum menimbusnya dengan tanah. Mereka yang tertangkap dalam operasi penggusuran ini akan ditembak. Termasuk mereka yang bersembunyi di dalam rumah. Kadang-kadang akan disisakan sebuah rumah. Dan ahli keluarga yang berada di dalamnya diarahkan untuk tidak berganjak ke mana-mana sebagai perlindungan kepada tentera.
Tahun ini, sekitar 120 rumah digusur setiap bulan, mengakibatkan 1,200 hidup tanpa tempat tinggal. Sejak empat tahun lalu, 28,483 warga Gaza telah diusir dari penggusuran ini, dan lebih separuh tanah Gaza, terutamanya yang terdiri dari kebun buah-buahan, kebun zaitun dan strawberi, digusur menyebabkan kekurangan bekalan makanan. Antara Januari dan September 2004, lebih 450 warga Palestin terbunuh ekoran keganasan di Gaza, diikuti berdozen warga Israel.
Penggusuran rumah demi rumah, kebun demi kebun, mencampakkan satu-satu komuniti itu ke tanah gersang, yang dihuni pecahan batu-bata, serpihan cermin, anak patung, buku - segala jenis barangan terbiar. Ketika kami menelusuri jalan ke rumah Abu Saguer dan keluarganya, kami sedar yang kami berpijak di atas tanah yang sarat dengan sejarah dan impian yang berkecai.
Cucu Abu Saguer, Marvat adalah seorang kanak-kanak perempuan tujuh tahun yang manis memakai kaca mata bingkai besi berwarna merah, dengan rambut diikat kemas dengan getah bercorak bunga-bunga. Dia memakai seluar panjang merah terang dan jaket denim. Tahun lalu, si ibu terdengar jip tentera Israel singgah betul-betul di hadapan rumahnya sebelum berlalu. Sebuah roket dilancarkan, dan ketika Marvat muncul semula - dia bermain di luar ketika itu - dia sedang menangis dengan mukanya dilumuri darah. Mereka membasuh mukanya. Mata sebelah kirinya hancur.
Sebulan selepas itu, mata tiruan dimasukkan ke dalam soket matanya. Saranan khas dari menteri kesihatan Palestin diperlukan untuk merujuk Marvat ke hospital di Egypt, memandangkan mata tiruan itu tidak begitu menyenangkan. Marvat ulang-alik ke Egypt setiap enam bulan untuk menukar matanya, dan setiap kali itu juga kementerian perlu mendapatkan kebenaran daripada kerajaan Israel untuk melintasi sempadan.
Ini pula kisah Abu Saguer: rumahnya antara yang terawal diduduki pihak tentera ketika Intifada Kedua. Dia berumur 59 tahun. Pada umur 12 tahun, dia mula bekerja, dan pada umur 16 tahun dia mula membina secara perlahan-lahan rumah yang diidamkannya, sebagai tempat berteduh dan berkumpul untuk ahli keluarganya. Membesar di Khan Younis dalam rumah yang diperbuat daripada tanah kering, yang akan bocor apabila hujan, semua maruah, harapan dan semangatnya sudah dilaburkan dalam impian itu. Seperti kebanyakan yang lain di sini, dia pernah bekerja di Israel, sebelum sempadan ditutup kepada semua lelaki berumur 16 ke 35 tahun. (Pengangguran di Gaza menghampiri 70 peratus.) Untuk lebih 20 tahun, Abu Saguer menguruskan perniagaan menjual dan menghantar perabot buluh. Ketika Perang Teluk Kedua, askar mencuri semua barangannya dan dia selepas itu bergantung kepada traknya untuk pendapatan.
Pada 15 Oktober 2000, Abu Saguer berada di dalam rumah bersama isteri ketika terjadi tembak-menembak antara penduduk. Dia dan keluarganya berpindah ke Khan Younis. Selepas empat hari dia kembali. Dia kelaparan. Tak ada roti atau gandum. Dia menangkap empat ekor burung dan bersiap untuk memanggang. Askar muncul tiba-tiba, sekitar 20 orang, dan masuk ke dalam rumahnya. Dia mengekor mereka ke tingkat atas. Dia bertanya, “mana kamu nak pergi?” Salah seorang merangkul lehernya dan menghempas kepalanya ke dinding, hidungnya patah. Mereka menendangnya jatuh ke bawah tangga dan mengheretnya ke luar rumah. Mereka terus menendangnya sehingga separuh dari giginya berterabur keluar dari mulut dan menyebabkan tulang belakangnya mengalami kerosakan kekal. “Kalau kamu buka mulut, kami akan tembak,” mereka kata. Mereka kemudian pergi sebelum kembali semula dengan kumpulan yang lebih besar sejam kemudian, dan seterusnya menduduki tingkat atas selepas memagari tangga dengan pintu besi dan kawat berduri.
Keluarga Abu Saguer hidup dalam ketakutan setiap masa. Askar kencing di dalam botol Coke kosong dan beg pasir, yang kemudian mereka campak ke halaman rumah. Selepas dua tahun dalam keadaan ini salah seorang pegawai bertanya: “Kenapa kamu masih ada di sini?”
“Ini rumah aku,” dia jawab.
***
Setiap kampit gandum yang diperuntukkan untuk penghuni rumah Abu Saguer perlu dibahagi tiga dan dipikul merentasi 200 kaki tanah gersang. Semuanya perlu dipikul. Kami sedang menghisap shisha perisa epal di halaman rumah Abu Saguer selepas makan tengah hari yang dihidang isterinya dengan roti, buah tomato, minyak zaitun, dan yogurt, semuanya dari hasil sebidang kecil tanah yang tersisa untuknya.
“Hisap sepam dua supaya kamu boleh menulis,” dia kata. Dia bercakap dengan laju, meninggalkan pen aku di belakang. Dua puluh hari lalu, kawat berduri tersadai sekeliling rumahnya. Ia terjadi pada 7 November, awal bulan Ramadan, bulan berpuasa. Kawat berduri itu memaksa dia dan keluarganya menggunakan jalan yang digunakan tentera, jalan jauh yang juga bererti anak-anaknya perlu lalu di hadapan kereta kebal-kereta kebal untuk ke sekolah.
Terdapat 10 kereta kebal dalam satu-satu masa, dan selepas seminggu dia ditembak dari menara tinjau. Abu Saguer mengumpulkan isteri dan anak-anaknya, berunding dengan mereka sebelum duduk di atas jalan. Dari tengah hari sampai pukul empat petang mereka duduk. “Kalau mereka bertembung dengan kita di sini aku mahu minta penyelesaian.”
Beberapa jip tentera lalu tapi tak ada apa-apa yang berlaku, dan ketika senja mereka kembali ke rumah untuk berbuka puasa. Keesokan hari, seorang pegawai pangkat tinggi menghampiri mereka ketika di atas jalan.
“Apa masalah? Kamu sedang mogok lapar? Ada apa, kamu marah?
“Ya.”
“Sangat marah?”
“Sangat, sangat, sangat marah.”
“Kamu marah dengan kami?”
“Aku marah dengan kamu semua”
“Kenapa?”
“Kamu memaksa isteri dan anak-anak saya berjalan di depan kereta kebal dan jentolak. Saya mahu diberi keldai dan troli.”
“Keldai besar atau kecil?”
“Besar, supaya boleh tarik troli.”
“Mustahil.”
(Abu Saguer, dengan asap berkepul-kepul keluar dari mulut dan hidungnya, berkata: “kalau mereka kata ya aku akan beli keldai besar yang akan gigit hidung mereka. Keldai yang menggigit lebih murah.”)
“Kalau macam tu, bagi saya pintu pagar.”
“Kami tak ada pintu pagar.”
“Saya boleh buat.”
Dia buat pintu pagar dari dua keping kayu dan wayar besi. Mereka menyuruhnya membeli mangga dan kunci - dia beli. Seorang tentera mengawalnya ketika dia memotong bahagian bawah kawat berduri yang mengelilingi rumahnya (mereka tak benarkan potong bahagian atas) dan memasang pintu pagarnya. “Kalau kami dapati pintu pagar ini dibiar terbuka, kami akan tembak kamu,” kata askar itu.
Sue bertanya: “Apa perasaan kamu ketika menceritakan hal ini kepada kami?”
Abu Saguer: “Aku keluarkan apa yang terpendam di dalam dada. Aku tak boleh tidur. Aku terbangun pukul 1 tengah malam tadi. Aku ingat sudah siang. Aku kejutkan anak-anak dan suruh mereka bersiap untuk ke sekolah. Kemudian aku tersedar dan aku lihat sekeliling dan mendapati seluruh hidup aku sudah musnah. Aku tak ubah ranting kayu di tengah padang pasir.
Sue mempunyai perwatakan yang begitu tenang dan lembut. Dia secara senyap memandu pesakitnya ke sana sini, antara kesakitan yang tertanam dalam ingatan mereka dan kekuatan yang dia temukan dalam diri mereka yang hadir bersama keberanian, maruah, kemurahan hati, dan sifat jenaka yang menakjubkan di hadapan situasi yang begitu menekan. Abu Saguer seorang yang sangat ramah, dan kerana keteguhan hati, kecekalan jiwa dan kelembutan yang ditunjukkan kepada anak-anaknya, mudah untuk memikirkan hidupanya dari sisi heroik. Tapi dia selalu melalui fasa kemurungan, kekeliruan, dan menjadi pelupa: “Aku dah tak takut lagi, susah nak terangkan, tapi aku dah tak peduli. Cuma ada satu Tuhan dan aku cuma akan mati sekali.”
***
Tentera sudah pergi tapi mereka mungkin akan kembali. Abu Saguer dan keluarganya tidak naik ke tingkat atas. Kami berjalan masuk ke dalam bilik yang pernah diduduki tentera. Langsir yang tidak lama dulu dipilih dengan cermat oleh isterinya mengerbang masuk ke dalam memberi kesan kontra dengan jaring samaran yang digantung di depan tingkap. Pintu pagar yang dibina Abu Saguer kelihatan dari sini. Aku membayangkan dia menghampiri pintu pagar itu, berjalan di atas tanah kering yang pecah, bergelut dengan seguni gandum, dan berhenti untuk membuka kuncinya.
Selama empat tahun dia takut untuk meninggalkan rumahnya, meninggalkan isteri dan anak-anaknya sendirian. Dia adalah banduan, sama seperti semua warga Palestin adalah banduan yang dikurung dalam sempadan negara sendiri. Mustahil untuk mendapatkan gambaran penubuhan kerajaan sendiri. Semenanjung Gaza adalah kem pengasingan mega, dengan sempadan semakin mengecil setiap kali penggusuran dilakukan. Sementara populasi penduduk semakin meningkat, seperti juga di seluruh Timur Tengah, yang lebih cepat meningkat berbanding mana-mana negara di seluruh dunia. Seluruh populasi 4.1 juta dikawal dengan begitu kejam untuk kepentingan sekitar 7,000 pemukim yang hidup dalam radius pemisahan yang diberi banyak keistimewaan.
Tidak sampai seminggu untuk aku hilang sikap tidak berpihak. Kenyataan Presiden MSF Perancis Jean-Herve Bradol adalah satu peringatan yang tajam tentang kerumitan konflik Timur Tengah: “Jemputan untuk menyertai salah satu pihak disertai dengan kemestian untuk berpakat dengan jenayah keganasan.”
Ketika kami bersiap untuk pulang, Sue membuat panggilan ke markas. Setiap pergerakan yang kami buat perlu dilaporkan dan disahkan oleh pihak perhubungan awam Israel (DCL). Kami dengar cerita tentang seorang doktor yang ditembak mati ketika merawak budak lelaki yang cedera di persimpangan Rafah, jalan sama yang kami lalui kemarin.
Leftenan General Rafael Eitan, ketua kakitangan IDF pada tahun 1982, yang meninggal dunia baru-baru ini, pernah mengumpamakan warga Palestin sebagai “lipas keracunan yang bertempiaran lari di dalam botol”. Pada 1980 beliau memberitahu pegawainya, “Kita perlu lakukan apa saja untuk buat mereka sengsara supaya mereka akan pergi.” (Beliau menentang semua percubaan untuk memberi warga Palestin autonomi di kawasan yang diduduki tentera Israel.) Sikap dan polisi yang diamalkannya nampaknya dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh.
Setiap pergerakan di sini, di kawasan yang disebut-sebut sebagai ‘kawasan sensitif’ dipantau dan direspon dari sistem di menara kawalan. Struktur dengan reka bentuk menyeramkan ini membawa bayangan sang autoriti keramat yang menguasai seluruh wilayah. Dua kali tembakan amaran dilepaskan ke arah kami, walaupun kami dengan mudah dapat dikenal pasti sebagai sukarelawan kemanusiaan.
Pada hari ketiga kami di sini, berdiri di hujung kem daif pelarian di Rafah, sempadan larangan antara Gaza dan Egypt, peluru berderu menyobek tanah pasir hanya berjarak sekaki setengah dari tempat kami berdiri. Mungkinkah ia datang dari menara kawalan sama yang menembak mati Iman Al-Hams, kanak-kanak perempuan berumur 13 tahun? Hanya seminggu sebelum perjalanan aku ke Palestin, di rumah menikmati ketenangan kawasan luar bandar Ireland, aku membaca transkrip radio komunikasi pihak IDF yang merupakan prolog kepada tulisan ini. Aku sudah melihat gambar badan berkecai kanak-kanak perempuan tak bersalah itu dan aku rasa gerun terhadap tempat yang aku mahu kunjungi.
Memasuki Gaza buat pertama kali di pos pemeriksaan di Erez, kami melihat beberapa anak muda Israel dalam pakaian seragam tentera. Kami melihat mereka dalam perjalanan dari Jerusalem berbonceng motosikal atau bersandar malas di perhentian bas, dalam keadaan serabai, mengantuk, dalam seragam yang diubah gaya dan memakai aksesori; kaca mata hitam, skarf berwarna, senjata disangkut di belakang. Mereka lebih kelihatan sepertinya dalam perjalanan ke sekolah. Salah seorang askar remaja perempuan di Erez, memakai celak dan gincu, bersikap mesra dengan maksud tersirat yang cuba disampaikan “kita di pihak yang sama”, berkata: “Saya ketawa setiap masa, saya gila.” Kebanyakan mereka tampil berbeza, dengan muka selenga.
Kami berjalan menggalas beg sepanjang terowong konkrit yang memisahkan Israel dari Gaza. Dari pandangan mata ketua-ketua mereka kami adalah ancaman, aku dan MSF, sebab kami adalah saksi dan - tidak seperti warga Palestin - kami ada niat untuk memberitahu seluruh dunia cerita kami. Semua sukarelawan kemanusiaan adalah saksi. Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) ketika ini berada pada situasi berjaga-jaga ‘fasa empat’: tahap tertinggi sebelum mengerahkan semua yang ada. Mereka sudah jemu ditembak. Ambulans, hospital, orang awam - sesiapa saja berkemungkinan ditembak.
Kami meneruskan perjalanan ke Selatan dari Erez menghala ke Beit Lahia melalui kawasan yang “distrilkan” ketika operasi “Days of Penitence”, yang menjadi kemegahan serangan Israel. Tak ada satu bangunan yang tersisa tanpa kawah bekas peluru. Kereta kebal telah mengoyaknya dan membiarkannya ternganga. Sebuah kawasan luas diubah menjadi padang pasir yang dipenuhi runtuhan, menjadi tempat perkhemahan Badwi. Setengah dozen unta dan seekor keldai putih berdiri di belakang pagar menunggu entah apa; udara berbaur dengan bau yang datang dari haiwan-haiwan ini. Keluarga nomad membina pondok dari kepingan plastik, ranting kayu dan bongkah-bongkah besi karat. Kau boleh bayangkan mereka sebagai para pebangkai terakhir yang terselamat dari apokalip. Sebelah Barat Daya menghala bandar Gaza, Laut Mediterranean muncul di hadapan kami seperti imej fatamorgana, menakjubkan dari gabungan keindahannya yang dipadankan dengan sempadan Barat Gaza.
Kami tiba di ibu pejabat MSF ketika mesyuarat logistik harian sedang berlangsung. Hiba, perempuan berketurunan Perancis-Algeria akan melengkapkan misi lapan bulannya pada Januari, mungkin adalah tugas yang paling menekan dan paling rumit: untuk mengatur dan memantau sepanjang hari pergerakan setiap tiga kumpulan yang bertugas di sini. Dia perlu mencari seribu satu ‘koordinasi’, atau dalam istilah sebenar tugasan ini adalah mencari jalan untuk masuk dan keluar dari ‘kawasan sensitif’. Tugas ini dilakukan, kalaupun boleh, adalah melalui seorang komander DCL Israel di jabatan koordinasi. Kami sudah berjumpa dia - sama seperti tentera remaja lain di Erez.
“Ah, Hiba, dia terlalu memikirkan semua ini secara peribadi,” dia kata, seakan-akan semua yang terjadi adalah permainan yang dipersetujui dua orang dewasa dan tidak melibatkan nyawa sesiapa.
Walaupun dengan ‘koordinasi’ ini, satu-satu kumpulan akan tiba di lokasi hanya untuk dihalang oleh pegawai berkuasa tempatan (dalam kes tertentu bahkan ditembak). Atas alasan “keselamatan”. Insiden berkemungkinan terjadi bila-bila masa yang akan mengubah situasi dan mengancam keselamatan ahli kumpulan. Hiba berkomunikasi secara berterusan, menilai dan menilai semula, menyesuaikan situasi. Pada bila-bila masa saja pos pemeriksaan di Abu Holi yang dikawal ketat mungkin ditutup, dan seterusnya membahagikan Gaza kepada dua bahagian, tidak boleh diakses satu sama lain. Ia mungkin ditutup selama empat, enam, atau sepuluh jam. Yasser, lelaki berketurunan Badwi yang menjadi pemandu dalam kumpulan Sue, pernah sekali menunggu selama tiga hari untuk melintasi sempadan. Kami juga pernah terperangkap.
Racau suara dalam nada lantang memberi arahan tanpa henti kedengaran dari bunker IDF. Speaker baru dipasang kerana baru-baru ini speaker lama dicuri oleh sekumpulan pemuda. Pada penghujung setiap hari, Hiba cuma berehat apabila semua kumpulan pulang dengan selamat ke markas mereka di bandar Gaza, atau di bahagian Selatan dimana sebuat apartmen MSF membenarkan lawatan sekiranya pos kawalan ditutup.
Di bahagian Selatan markas MSF, hari ketiga kami di sini, aku terjaga pada pukul 4.30 pagi selepas terdengar laungan azan dari masjid - masjid juga dilengkapi speaker, dan di manapun kamu berada kamu tak pernah jauh dari masjid. Setelah itu aku dikejutkan semula pada pukul 7.00 pagi oleh keriuhan budak-budak sekolah. Di mana-mana tempat, apapun bahasa yang digunakan, suara riuh itu masih sama. Riang gembira dan diselangi pertingkahan. Kalau kau berada di atas katil dan tak perlu pergi sekolah, ia bunyi yang menenangkan. Adakah mereka di sini turut diajar, bahawa mereka tak ada masa depan? Dari tingkap sisi apartment ini dapat dilihat padang bola yang terdiri dari lumpur kering yang dimampatkan lengkap dengan dua tiang gol berbelang hitam putih. Sekolah ini yang belum lagi disentuh peluru atau tembakan meriam, adalah bangunan dua tingkat yang panjang dibina dengan reka bentuk huruf L. Ia dicat warna krim dan mirip dengan sebuah hotel di Arizona.
(Nanti, di kem pelarian Rafah kami melalui sebuah sekolah yang penuh dengan lubang bekas peluru. Kami terserempak dengan seorang budak lelaki berumur 10 tahun yang dengan bangga menunjukkan kepada kami parut pada tubuhnya, di bahagian depan dan belakang, di mana peluru pernah menembusi lehernya.) Ketika kelas bermula, seorang guru dalam kameja dan tali leher sekali-sekala menarik salah seorang murid dan merotan tapak kakinya.
Menjenguk ke luar tingkap pada sisi lain apartmen, aku boleh lihat, jauh di hujung padang dijemur mentari pagi, dua buah rumah baru, bercat putih dan krim seperti miniatur sebuah istana. Di satu hujung padang dikelilingi barisan pokok zaitun dan di satu hujung lain dipenuhi pokok kaktus. Lelaki separuh umur dan seorang wanita dalam pakaian tradisional bergerak di atas padang secara serentak, menanam bawang kecil pada satu masa. Kalau pihak tentera yang menduduki sesebuah wilayah memerlukan sebuah imej untuk mengiklankan ‘kebaikan’ yang autoriti mereka sebabakan, ini yang paling sesuai. Aku tertanya apa yang menunggu orang-orang ini, aku cuba dan gagal membayangkan raungan enjin diesel dan buldozer haus yang kotor menukar keindahan ini menjadi debu, memadamnya seakan-akan ia tak pernah wujud di situ.
Beralih semula ke sebelah satu lagi sambil menghirup secawan kopi berperisa buah pelaga, aku menyaksikan perlawanan sengit bola sepak di kawasan sekolah. Separuh daripada kanak-kanak itu berkaki ayam. Seorang guru di kedua-dua sudut, masing-masing memakai kameja dan bertali leher. Salah seorang pemain membuat percubaan, yang mana meraih jeritan dari kedua-dua pasukan, sebelum bola melencong ke dinding di belakang tiang gol.
Sue tiba: koordinasi yang kami tunggu sudah diberikan. Setelah ditembak dari menara kawalan di Tuffah kemarin, kami fikir mereka akan menolak. Kami bertemu Yasmine, kanak-kanak perempuan berumur 9 tahun yang pemuram dan sentiasa kelihatan tenang yang juga merupakan rakan kepada Iman, kanak-kanak perempuan yang mati ditembak di pos kawalan di Rafah. Dia akhirnya terjaga dari koma selepas pembedahan sembilan jam untuk mengeluarkan paku yang tertanam di tengkorak dan otaknya. Sebuah pin mortar yang meletup ditembak ke rumahnya. Ayahnya terkena di bahagian perut dan kini tidak lagi boleh bekerja. Aku pernah memegang paku sebegini. Ia berwarna hitam, dalam satu setengah inchi panjang, tajam di salah satu hujungnya, sirip besi halus di hujung yang satu lagi direka untuk memastikan ia berpusing dan mengakibatkan tusukan yang lebih dalam.
Kami memeriksa dan mengumpulkan longgokan serpihan sebegini di hospital, kesemuanya yang dikeluarkan dari tubuh mangsa. Serpihan bergerigi dan berpintal ini, antaranya ada yang bersaiz lebih besar daripada telefon bimbit, tidak bertujuan untuk mencederakan sahaja, tapi juga mengeluarkan isi perut dan mengoyakkan daging; untuk menghancurlunyaikan mangsanya.
Yasmin tinggal berhampiran Abu Saguer di pondok usang yang mereput dengan halaman rumah dipayungi bayang-bayang pokok ara. Merentasi zon yang sudah “disterilkan”, Yasmin boleh melihat rumah sepupunya, tapi masih tidak boleh menyeberang ke sana (sepupunya juga merupakan pesakit Sue).
Di sebelah kawat berduri yang satu lagi, hanya beberapa langkah dari rumahnya terdapat lorong kecil pejalan kaki yang sudah terbenam oleh pasir yang diterbangkan kereta kebal. Ketika pertama kali Yasmin berjumpa Sue, Yasmin dalam keadaan trauma dan menjerit histeria, sering kali terkencing di atas katil dan muntah-muntah pada waktu malam. Simptom ini adalah biasa. Di kawasan sebegini, meninggalkan rumah pada siang atau malam hari membahayakan nyawa, tapi tinggal di rumah juga tidak menjamin apa-apa. Tak ada tempat yang kau boleh rasa selamat.
Yasmine dan sejumlah sepupu-sepipitnya di bawah seliaan Sue membuat persembahan selepas berbisik-bisik dan terkekek ketawa. Yasmin memainkan peran utama untuk persembahan ini. Dia mempunyai daya ekspresi diri yang dalam. Ketika dia menceritakan pengalaman pahitnya, suaranya keluar beralun-alun dalam nada rayuan dan seruan. Mata lengkungnya menyala di sebalik topeng kesengsaraan, tangannya cuba menggapai kami, tapak tangannya ditekap sambil berdoa. Di penghujung karakternya yang galak, wajah manis beransur-ansur menjelma kepada senyuman tersipu-sipu seperti seorang pengibur yang kembali ke karakter asalnya setelah penjiwaan wataknya selesai.
Kemudian ada drama dengan olahan koreografi dan korus tepukan tangan. Pada babak ketiga seorang kanak-kanak perempuan, yang dilakonkan oleh kanak-kanak perempuan berumur empat tahun dari kumpulan itu, ditembak oleh tentera ketika perlawanan bola sedang berlangsung. Riak mukanya tak berubah (menyaksikan kengerian yang terjadi ke atas keluarganya, dia masih belum mula bercakap). Dia patuh baring terlentang kaku di atas tanah. Kanak-kanak lain berkabung, mengelilinginya dalam separa bulatan, berpura-pura meratap dan menangis. Tapi mereka semua menahan ketawa di sebalik tangan yang ditekap di muka, kami juga ikut ketawa. Akhir sekali mereka menyanyikan lagu:
“Kanak-kanak dunia tersenyum dan ketawa, mereka didodoi tidur dengan muzik dan bangun dengan muzik. Kami tidur dengan bunyi tembakan dan bangun dengan bunyi tembakan.”
“Meskipun begitu kami tetap akan bermain, meskipun begitu kami tetap akan bermain, meskipun begitu kami tetap akan ketawa, meskipun begitu kami tetap akan menyanyikan lagu cinta.”
Yasmine tidak menyertai kanak-kanak lain ketika mereka berkumpul untuk mengucapkan selamat tinggal kepada kami. Mendongak ke atas, kami lihat dia bersandar pada dinding bumbung, tersenyum diam memandang ke arah kami. Wajah gelapnya adalah emas di limpahan senja yang manis.
Sue akan menamatkan misinya tidak lama lagi. Dia akan menyerahkan pesakitnya kepada kumpulan seterusnya. Setiap pakar psikologi merawat sekitar 50 keluarga. Terapi singkat begini tidak member apa-apa penilaian, tapi dari sisi lain ia pertaruhan penting sama ada kemungkinan memindahkan mangsa, atau suasana ramah yang dari semasa ke semasa, mungkin akan menyembuhkan luka itu. Kisah yang aku ceritakan tidak istimewa. Setiap penjuru wilayah yang dihujani peluru, setiap labirin jalan-jalan kem, terkandung kisah-kisah seperti ini - tentang kehilangan, luka dan kengerian. Tentang penghinaan dan kesengsaraan. Apa yang membezakan kisah Abu Saguer dan Yasmin adalah kami membawanya bersama. Selebihnya kau tak akan pernah dengar.
*Terjemahan teks oleh Wahyudi Yunus. Teks dan gambar asal dipetik dari majalah Port (Issue Spring 2011). Terjemahan ini terbit pertama kali di zine Fragranfrantik isu #03.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Blog Archive
-
►
2016
(8)
- ► September 2016 (1)
- ► April 2016 (1)
- ► Januari 2016 (1)
-
►
2015
(8)
- ► Disember 2015 (1)
- ► Julai 2015 (1)
- ► April 2015 (2)
-
►
2014
(1)
- ► Oktober 2014 (1)
-
▼
2013
(12)
- ► Disember 2013 (3)
- ► September 2013 (1)
- ► Januari 2013 (2)
-
►
2012
(14)
- ► Disember 2012 (3)
- ► November 2012 (2)
- ► Oktober 2012 (6)
- ► September 2012 (3)
-
►
2011
(9)
- ► Disember 2011 (1)
- ► November 2011 (3)
- ► September 2011 (1)
-
►
2010
(33)
- ► Disember 2010 (1)
- ► Oktober 2010 (1)
- ► September 2010 (1)
- ► Julai 2010 (1)
- ► April 2010 (15)
Tentang NP
NP ialah sebuah majalah blog yang cuba menerapkan bahan-bahan penulisan sastera, budaya dan masyarakat terutama oleh penulis-penulis bebas dan baru. Anda juga boleh menyumbang hasil penulisan anda dengan menghantar ke: naskahpercuma@gmail.com
0 comments: