Apa Cina Mau?

Oleh Lim Hong Siang 




Mustahil politik masyarakat Cina dicerminkan selengkapnya dalam ruang pojok sekecil ini. Seperti masyarakat kaum lain, politiknya berbeza mengikut kelas ekonomi, aliran bahasa, dialek dan budaya, alamatnya di pusat bandar mahupun desa pedalaman, rangkaian sosialnya dan sebagainya.

 Pendirian seseorang taukeh semestinya berbeza dengan seseorang kuli dalam isu penetapan gaji minimum. Maka usahlah Melayu menggaru-garu kepala apabila melihat taukeh besar Cina bermesra dengan Najib sementara ah soh seperti Aunty Mei mengutuk dan memaki Najib di tengah-tengah jalan raya.

Sesungguhnya manusia di dunia berkongsi matlamat yang sama, iaitu menghambat kebahagiaan masing-masing. Padahal kebahagiaan itu tidak banyak berbeza, misalnya sihat, bebas, hidup sejahtera, bermaruah, berjaya dalam kerjaya dan sebagainya. Bezanya lorong mana yang diikuti untuk mengecapi kebahagiaan yang dihambat.

Persoalannya, sejauh manakah seseorang itu mencabul kebahagiaan orang lain sepanjang proses menghambat kebahagiaan diri?
Demikianlah asas konflik dalam mana-mana masyarakat, yang perlu diselesaikan dengan pentadbiran yang cekap, adil, berkesan, bersih dan telus. Masyarakat Malaysia menjadi kompleks apabila unsur kaum, agama, budaya dan sebagainya digaulkan bersama, menambah kerumitan penyelesaiannya.

Seringkali asas konflik itu diabaikan, ditonjolkan sebaliknya warna kulit, sehinggakan politikus yang kehilangan undi tertanya-tanya, "Apa yang Cina mahu sebenarnya?" Sememangnya saya tidak berwibawa untuk mewakili masyarakat Cina di Malaysia. Tetapi beberapa pengamatan di sini mungkin boleh dijadikan perbincangan mahupun salah satu rujukan jikalau dianggap pemerhatian ini bernas dan berasas.

 Seandainya kita mengkaji keputusan pilihan raya umum yang lalu, seperti biasa sokongan pengundi Cina terhadap kerajaan Barisan Nasional pasang dan surut. Sokongan terhadap kerajaan Barisan Nasional meningkat ketika ekonomi melonjak dan menjunam apabila ekonomi merudum. Tetapi ekonomi bukan satu-satunya faktor yang mempengaruhi kecenderungan pengundian.

Ketakutan dan keresahan terhadap "Negara Islam" oleh Barisan Alternatif khususnya PAS pada Pilihanraya Umum 1999, telah menjurus kepada sokongan Cina yang mendadak terhadap Barisan Nasional, sungguhpun pasaran ekonomi dilanda kemelut ketika itu. Bagaimanapun, kecenderungan pengundi Cina memperlihatkan bahawa masyarakat ini mahukan "semak-imbang" dalam sistem politik negara. Ia boleh diperlihatkan melalui beberapa kerusi yang tetap kekal dalam Dewan Rakyat untuk DAP, tidak kira apa suasana politik mahupun ekonomi sekalipun.

 Barangkali sesetengah penganalisis mahu mengambil perspektif perkauman ketika menjelaskan trend ini, tetapi keinginan untuk mengimbangi kuasa besar memang sentiasa wujud di kalangan Cina. Cuma, pembangkang yang ada pada masa itu kebetulannya DAP, sementara PAS masih diragui kebanyakan Cina sebelum Pilihanraya Umum 2008. Namun Plihanraya Umum ke13 amat berbeza. Untuk kali pertama masyarakat Malaysia secara seluruhnya menaruh harapan bahawa pertukaran kerajaan persekutuan boleh berlaku.

Pakatan Rakyat menjadi gandingan parti politik yang paling mantap dalam sejarah Malaysia untuk menentang Barisan Nasional. Malah untuk kali pertama calon Perdana Menteri dari barisan pembangkang (Anwar Ibrahim) diterima masyarakat secara umum, untuk menggantikan Perdana Menteri dari Barisan Nasional. Untuk 55 tahun masyarakat majmuk ini hidup bersama dan kita mengharungi zaman sangsi-menyangsi, ragu-meragui.

Ada kalanya kita bergaduh sesama sendiri, iri hati, dengki dan sebagainya, tetapi ada juga saat-saat kita mengurus perbezaan, bermuafakat, bersorak untuk meraih kejayaan bersama. Kalau dulu kita bergelut untuk bersaing antara kaum, kini medan persaingan lebih mencabar di persada dunia. Saya tidak melihat wujudnya tuntutan agar Cina menguasai ekonomi dan politik tanpa ruang diberikan kepada kaum lain termasuk Melayu, India, kaum asli dan sebagainya. 

Saya cuba memerhatikan perubahan dan pergolakan dalam masyarakat Cina untuk beberapa tahun kebelakangan. Saya melihat bagaimana warga emas seperti Aunty BERSIH, Aunty Mei turun ke jalan raya; saya menatapi ibu bapa yang membawa anaknya berjalan kaki di bawah mentari dan hujan untuk membantah kilang pemprosesan nadir bumi Lynas; saya meneliti anak-anak muda yang teruja dengan gas pemedih mata... Untuk saya, Cina yang kecewa kerana dipinggirkan sistem negara ini telah mengundi dengan kaki.

 Mereka telah migrasi, mencari rezeki dan mencuba nasib mereka di luar negara. Namun, melihat kepada golongan Cina sebagaimana yang dikisahkan di atas, mereka telah mengikat nasib mereka bersama negara ini. Mereka memperjuangkan kebebasan diri untuk membebaskan negara; mereka mahu berjaya di negara yang berjaya. Tiada orang yang akan sanggup mogok lapar atau berjalan kaki 300 kilometer hanya untuk membantah Lynas di Gebeng jikalau dirinya mahu berhijrah satu hari nanti. Tak usah Mama BERSIH berhempas-pulas ke sana sini, bertembung dengan FRU seandainya mereka merancang untuk menghantar anak mereka ke luar negeri.

Tak perlulah saya mengulangi retorik bahawa masyarakat Cina menuntut sebuah kerajaan yang adil, demokrasi, berintegriti dan transparensi. Namun saya merasai masyarakat Cina mendahagakan pengiktirafan daripada kerajaan baru. Pengiktirafan bahawa kaum Cina bukan pendatang atau pengembara, bahawa Cina bukan hanya mahu berniaga dan mengaut untung; bahawa sekolah aliran bahasa Cina bukan penghalang perpaduan.

Masyarakat Cina mengidamkan agar anak-anak kita diberi peluang pendidikan yang setimpal dengan usaha dan prestasinya; agar kita tidak perlu takut apabila menyuarakan pandangan; agar kita tidak diragut ketika berjalan seorang diri pada waktu malam; agar kita berjaya dalam kerjaya kerana qualification (kelayakan) dan bukan kulitfication (warna kulit).

Tiada niat masyarakat Cina memijak kaum lain sebagai tangga untuk mencapai kejayaan. Tiada niat masyarakat Cina atau bukan Islam menghina agama lain terutamanya Islam, tetapi mereka sekadar mahu ruang kebebasan dan keperibadian diri mereka dijamin. Jikalau masyarakat Cina mengundi Pakatan Rakyat dalam PRU 13 akan datang, ia bukan mesej Cina bangkit tuntut hak mereka, tetapi ikrar tegas bahawa masyarakat Cina mahu menjadi anak Malaysia yang sejati!


*Lim Hong Siang ialah bekas editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia. E-mel: hongsiang27@gmail.com. Tulisan ini pertama kali terbit dalam Posto!

*Foto: Roketkini

1 comments:

MEGAT KHAIRULIZWAN berkata...

sama - sama kita bangkit melawan mereka. Menuntut sebuah Negara yang bebas dari kudis. Yang sebenarnya, tiada pun tentang isu "tsunami cina". Itu hanyalah sekadar "membaling batu, menyorok tanga".

Buktinya, sudah banyak. Ada akal, gunakan.

Gadget

Kandungan ini tidak tersedia melalui sambungan tersulit.

Tentang NP


NP ialah sebuah majalah blog yang cuba menerapkan bahan-bahan penulisan sastera, budaya dan masyarakat terutama oleh penulis-penulis bebas dan baru. Anda juga boleh menyumbang hasil penulisan anda dengan menghantar ke: naskahpercuma@gmail.com