Topeng Politik, Hantu-Hantu Guy Fawkes & Hippies Menuju Wall Street




Oleh AEDI ASRI

Bagaimana istilah cool boleh menjadi lingo sehari-hari dalam dunia politik? Aku tidak pasti bagaimana ia bermula, dan siapa yang memulakannya. Tanpa sempat aku tangkap arus yang membawanya, ia sudah merebak ke merata-rata tempat.

Sebagai 'anak muda' (beri perhatian pada tanda kutip) yang memulakan hari dengan melayari internet, sign in di media sosial (oh fuck!) dan portal berita, aku gagal menangkap perubahan ini. Tiba-tiba saja pada satu pagi, politikus menyematkan satu azam sebaik sahaja mencelikkan mata - "Aku perlu berubah, aku nak jadi cool," jerit mereka kuat-kuat, disambut mereka sendiri.

Langkah yang sukar, aku fikir. Kerja politikus 24 jam sehari. Mereka perlu berada dalam karakter sepanjang masa, sebelum offline dan kemudiannya berdiri menghadap cermin untuk analisis keberkesanan lakonan.

Namun mereka tidak perlu seribu sebab untuk mengambil langkah sedemikian. Satu saja memadai untuk menjawab semua persoalan, mengabsahkan segala tindakan. Ia adalah sokongan'. Sokongan golongan muda yang menjadi pengundi terbesar dalam pilihan raya.

Maka bermulalah tragedi besar-besaran yang merebak seperti virus rabbies dalam lingkungan politik Malaysia. Tragedi yang menyebabkan kebodohan, dengan sedikit rencah kenaifan, tentunya, di-raikan setiap hari.

Dan aku yang berada di tengah-tengah pesta, mula rasa sakit dada.

Aku memang ada masalah dengan apa yang dikatakan sebagai cool ini. Salah sendiri. Ketika di zaman sekolah hinggalah keluar universiti, aku ditakdirkan untuk berada di belahan yang berlawanan dengan budaya cool. Semasa sekolah menengah, aku tidak tertarik langsung apabila membelek majalah Revolution. Di universiti pula...apa yang aku buat di sana ya?

Apa-apa pun, atmosfera kehidupan tidak membawa aku keluar daripada belahan yang aku duduki, dan aku tidak ada kemahuan untuk berusaha sendiri. Malang (atau sebenarnya, beruntung), aku seorang yang mudah berpuas hati.

Jika ada yang masih ingat, kempen anti rokok 'Tak Nak!' pernah mengeksploitasikan faktor cool ini dalam menyampaikan dakyah mereka. Ia berlaku di peringkat awal kempen itu dekad lalu.

Pada waktu itu, sukan X-treme dan apa sahaja yang berkaitan dengannya menjadi kegilaan remaja. Kerajaan tidak mengambil masa lama untuk mengesannya, lalu menggunakannya sebagai   agen propaganda. Iklan tele-visyen waktu perdana itu menunjukkan beberapa budak jambu sedang bermain skateboard. Selepas membuat beberapa trick dengan bergaya, mereka menuju ke arah kamera, juga dengan penuh gaya, dan berkata 'Tak nak!'. Cool, kan?

Tetapi, apa yang aku nampak di sebalik iklan itu adalah; superfisial, 'ikut aku sebab aku lagi bagus daripada kau', dan paling utama - cool adalah alat paling ampuh Establishment untuk membentuk sikap golongan muda, yang mereka pandang sebagai naif dan tak tahu apa-apa. Ia adalah alat pemasaran yang diputuskan dalam bilik mesyuarat, dipenuhi lelaki berperut buncit yang memakai tali leher hitam.

Mungkin Malaysia belum dapat lupakan Dasar Pandang ke Timur. Kerajaan Jepun circa 2002 mula menyedari bahawa negara itu menjadi salah satu tempat suci pemuja budaya pop seluruh dunia. Sekian lama Nintendo, super sentai dan anime menjadi tingkap memperkenalkan Jepun lalu menyuntik rasa ingin tahu mereka. Sub-budaya yang pada asalnya berkembang secara organik mula dicucuk steroid oleh organisasi dan agensi kerajaan – untuk kepentingan peribadi, yang seperti selalunya menjadikan kepentingan umum sebagai korban.

Jadi nak heboh apa lagi dengan benda yang bernama cool ini?

Tetapi ia tetap heboh juga dalam dunia politik. Politik Malaysia menjadi cool pada 2008, ketika ramai mula sedar Anwar Ibrahim tidak lagi di Sungai Buloh dan NGO bukanlah kelab Rakan Muda. Menjadikan internet sebagai balai raya, mereka ingin menjadi sebahagian daripada ‘sesuatu yang besar yang akan berlaku’. Pada masa sama, politikus yang secara naturalnya cepat menghidu apa-apa sahaja yang memberi keuntungan, mula mendapat sasaran baru.

Jika di dunia nyata, mereka - para politikus - masih berfungsi seperti biasa; berceramah, beri hamper, melawat mangsa kebakaran dan berjabat tangan dengan semua orang (sambil menahan senyuman licik daripada terbongkar), di internet kerja mereka lebih mudah – tulis satu ayat (tak sampai 140 karakter pun) setiap sejam di twitter untuk membina pesona baru mereka. Semua ini dedikasi khas untuk ‘anak muda’.  Proses itu tidak sukar, cuma perlukan kegigihan. Dan kegigihan dan kesabaran adaah syarat wajib untuk jadi politikus berjaya.

Jika ia sukar, tentulah seseorang se-perti Hishamuddin Hussein, yang hanya hidup di atas bumi ini kerana bapa, bapa saudara dan sepupunya Perdana Menteri tidak dapat mem-buatkan ramai orang mengabaikan
kenyataan-kenyataan bodohnya di media,  dan buat-buat lupa gesture cium kerisnya itu.

Jika kita scroll down timelinenya, Hishamuddin tidak memulakan atau menyertai diskusi-diskusi separuh masak - namun tetap mencabar - tentang hak asasi manusia ataupun peristiwa yang menyentuh soal kehidupan ragam agama di Malaysia. Yang ada hanya basa-basi seperti membalas ucapan selamat malam, ‘hari ni sarapan apa?’ dan hal-hal lain yang tak bermakna.

Namun, strategi menggunakan langgam bahasa orang muda berjaya menimbul-kan  imej santai serta menyembunyikan kebodohan dan kelembapannya selaku menteri kanan.

Namun, kisah kejayaan sebenar politik cool yang paling hampir mungkin adalah Khairy Jamaluddin. Seorang politikus yang hanya membawa sijil nikah ketika temuduga di PWTC beberapa tahun lalu yang kini dikenali sebagai suara progresif dalam Umno.

Sebelum PRU 2008, Khairy adalah manusia paling Melayu dalam Umno. Songkoknya paling tinggi dan kerisnya paling panjang, diasap setiap malam. Buka arkib online Utusan atau Berita Harian dan kau akan tahu sendiri.

Selain itu, Khairy juga memegang kuasa yang cukup besar, walaupun hanya sebagai Naib Ketua Pemuda umno. Ketika Najib yang menjadi Timbalan Perdana Menteri ketika itu menyeru ahli Umno untuk melupakan perbalahan dan bersatu padu- slogan biasa parti itu- untuk berhadapan dengan pilihan raya, Khairy membalasnya dengan berkata pilihan raya tidak perlu diadakan dengan tergesa-gesa. Entah atas kapasiti apa. Masih ingat istilah 'tingkat 4'?

Tetapi Khairy pada hari ini adalah insan yang berbeza. Pagi 9 Mac 2008, beliau menyimpan songkok dan keris ke dalam almari, untuk diangkat sebagai ‘suara baru' yang berasaskan hujah rasional keterbukaan. Menyokong pemansuhan akta mesin cetak dan penerbitan, misalnya.

Pakej baru ini berjaya menjual politikus bernama Khairy Jamaluddin kepada orang ramai. Namun, bagi sesetengah manusia yang degil dan prejudis, mereka akan mula bertanya - Adakah Khairy sememangnya seorang progresif yang hanya membontoti retorika perjuangan Melayu ketika arusnya masih kuat, atau seorang Melayu yang terpaksa menyimpan rasismanya demi survival politik?

Pilihlah yang mana satu pun, ia tetap menunjukkan beliau tidak prinsipal dan berpura-pura. Dan lebih malang, ramai ‘certified’ liberal dan kumpulan social-conscious yang berkeliaran di internet turut termakan, dan ‘membeli’ Khairy dalam balutan baru ini. Kelebihan menjadi politikus di Malaysia, kau hanya perlu bersalam dan senyum kepada orang tua dan buat-buat faham keinginan golongan muda. Tak perlu gagasan ekonomi dan sosial yang sebenarnya penting untuk merangka dasar negara. Rakyat Malaysia tak perlukan semua itu. Lebih memudahkan kerja, mereka mudah kagum dengan angka statistik yang tak difahami, bangunan tinggi yang tak pernah dijejak.

Walaubagaimanapun, faktor cool dalam dunia politik bukanlah benda baru. John Fitzgerald Kennedy adalah epitome kepada cool – politik atau tidak – dan ia sangat penting dalam membawa kariernya sehingga menjadi Presiden Amerika Syarikat. Imej yang santai dan tak skema menarik perhatian rakyat AS yang lelah dan bosan dengan ancaman nuklear Perang Dingin. JFK juga merahsiakan minat dan kehandalannya bermain golf, tahu ia akan menjarakkan dirinya dengan rakyat.

Pada 1960, Amerika Syarikat meng-adakan pilihan raya Presiden ke-44;  pertembungan antara JFK dan Richard ‘the crook’ Nixon.  Buat julung kalinya debat Presiden ditayangkan di televisyen, dan seramai 70 juta  menonton siaran langsung pusingan pertama.  JFK tampil ‘tanned’ dan tenang, berbanding Nixon
yang pucat dan kelesuan. Walaupun dikatakan retorik Nixon lebih meyakin-kan, rating JFK berjaya memintas Nixon, dan dipilih sebagai Presiden dua bulan kemudian.

Hampir tiga tahun di White House, JFK dan isteri dilayan seperti selebriti, diburu jurukamera majalah hiburan. Media buat kali pertama dipanggil untuk meyiarkan siaran langsung sidang media Presiden.

Pada masa sama, beliau memulakan kerjasama militer dengan Israel, membenarkan operasi Bay of Pigs CIA untuk menjatuhkan Fidel Castro dan menempatkan 16,000 kakitangan tentera di Vietnam Selatan (daripada jumlah asal 900 di zaman Eisenhower).

Untungnya, beliau mati muda…

Cool itu abstrak. Ia hanya wujud, apabila apa yang dikatakan sebagai ‘tidak cool’ itu ada. Projek ‘Cool Japan’ diabsahkan oleh ‘The Lost Decade’ Jepun, yang meruntuhkan nilai sosial konservatif yang rigid, serta pengaruh ‘Japan Inc.’ dalam hirarki masyarakat negara itu. Dalam kes Khairy Jamaluddin, imej suara baru-nya lebih menjolok mata dengan wujudnya politikus bodoh seperti Ibrahim Ali dan Bung Mokhtar Radin.

Dengan adanya ‘kehodohan’, kita akan lebih nampak ‘kecantikan’, termasuk yang ditampal solekan tebal sehingga menyembunyikan wajah sebenar.

Asosiasi cool dengan golongan muda menyebabkan Establishment- yang memandang mereka sebagai subjek – sentiasa memanipulasinya. Bilik mesyuarat Apple memutuskan untuk menggunakan cool sebagai modal memasarkan produk mereka.  Politikus membina imej cool untuk menang pilihan raya.

Dalam kata penghantar ‘Mencari Jalan Pulang’ Kassim Ahmad, Mahathir ‘the crook’ Mohamad menulis;

“…semasa muda mereka agak radikal dan mirip kepada pemikiran dan ideologi kiri, apabila menempuh umur pertengahan pandangan dan pegangan mereka lebih mencerminkan ‘centralist’ dan berkecuali. Apabila sudah berumur mereka lebih suka mendokong sikap dan pandangan puak kanan atau konservatif.”

Ada orang kata pertentangan generasi ini adalah kesedihan zaman berzaman, dan ada pada semua orang. Persekitaran Malaysia selepas 2008 melahirkan ramai aktivis. Self-proclaimed atau tidak, pseudo atau tidak – bukan persoalan. Bandwagon sesak pada masa ini akan kembali lapang. Yang bertahan hanyalah mereka yang menaikinya dengan penuh kesedaran.

Ramai akan keluar selepas diheret benda yang dipanggil Kehidupan atau Kematangan, lalu berakhir sebagai 'bitter old man seperti Mahathir sendiri.

Atau dalam istilah yang lebih sopan, ia dipanggil sebagai 'kitaran kehidupan'.



*Tulisan ini dipetik dari zine Fragranfrantik isu 05.



0 comments: