Pasir dan Bebuih

Serpihan puisi Sand and Foam Kahlil Gibran. Terjemahan oleh Raja Syahrul Helmi



Selamanya kususuri pesisiran ini, antara pasir dan bebuih, air pasang akan menghapus jejakku dan bebuih hilang dibawa bayu. Tapi laut dan pantai ini akan kekal Abadi.

Sekali kupenuhi tanganku dengan kabus. Kemudian aku membukanya dan lihat, kabus jadi kepompong. Kututup lagi tanganku dan ku buka lalu lihatlah, ia jadi seekor burung. Sekali lagi kututup dan kubuka tanganku ada seorang lelaki berdiri di tengahnya, sedang mendongak dengan wajah sayu. Kututupkan lagi tanganku dan waktu ku buka kembali hanya tinggal kabus di celahnya. Apapun, aku sempat mendengar lagu yang sungguh merdu.

Baru semalam aku merasa diriku sekadar serpihan yang bergetar tanpa rentak dalam kitaran kehidupan. Sekarang aku tahu akulah kitaran itu, dan semua yang hidup adalah serpihan-serpihan yang bergetar serentak dalam diriku.

Mereka berkata padaku waktu mereka baru tersedar “Kamu dan dunia kehidupanmu hanyalah sebutir pasir di pesisir laut yang tak terbatas” Dan dalam mimpiku aku katakan kepada mereka “Akulah laut tak terbatas itu dan seluruh alam hanyalah butiran–butiran pasir di pantaiku”

Hanya sekali aku terdiam. Iaitu ketika seorang lelaki bertanya padaku,
“Siapa kamu?”

Yang mula-mula mengingati tuhan ialah malaikat. Yang mula-mula menamakan Tuhan ialah manusia..

Kami telah terbang, bertebaran sebagai makhluk-makhluk yang merindu beribu tahun sebelum laut dan hembusan angin di belantara mengurniakan kami kata. Kini mampukah kami mengembalikan hari-hari purba dulu dengan hanya bunyi-bunyian kelmarin?

Sekali saja sang Spinx bicara, dan sabdanya, “Sebutir pasir ialah sebuah gurun, dan sebuah gurun ialah sebutir pasir; Dan kini sampai masanya kami beradu kembali.” Telah kudengar sabda itu, namun aku tidak mengerti.

Lama sudah aku terbaring digenangi debu-debu Mesir, lena dan leka melewati musim-musim. Kemudian sang suria mengejutkan aku, lalu aku bangun dan berjalan di tebing sungai Nil, berdendang dengan siang dan bermimpi dengan malam. Dan kini suria memijak aku dengan ribuan tapaknya agar aku kembali bergenang dalam debu. Tapi lihatlah satu keajaiban dan tekateki! Suria yang melahirkanku dulu tidak mampu membunuhku. Masih teguh lagi aku, dan dengan langkah yakin kususuri tebingan sungai Nil.

Mengingati itu satu pertemuan.

Melupakan itu satu kebebasan.

Petunjuk masa bagi kami ialah peralihan bintang-bintang yang tak terkira banyaknya; Dan mereka mengukur masa dengan mesin-mesin kecil dalam poket-poket kecil mereka. Sekarang katakanlah padaku, bagaimana kita boleh berjumpa di tempat yang sama pada masa yang sama?

Angkasa bukanlah ruang antara bumi dan matahari bagi dia yang melihat dari jendela-jendela di Bima Sakti.

Insani ialah arus cahaya yang mengalir dari yang pernah abadi ke Keabadian

Bukankah semangat-semangat yang menghuni udara juga mencemburui penderitaan insani?

Dalam perjalananku ke Kota Suci aku bertemu musafir lain lalu ku tanyakan padanya, “Benarkah ini jalan ke Kota Suci?” Dan katanya padaku, “Ikuti aku dan kau akan sampai ke sana dalam sehari semalam.” Lalu aku mengikutinya. Dan kami berjalan berhari-hari dan bermalam-malam, namun masih tidak menemukan Kota Suci. Dan tidak kusangka pula dia jadi marah padaku kerana panduannya yang salah.

Jadikanlah aku, ya Tuhan, mangsa sang singa, sebelum Kau jadikan sang arnab sebagai mangsaku.

Tiada siapa yang bertemu subuh tanpa melalui malam.

Berkata rumahku padaku, “Janganlah aku ditinggalkan, kerana di sini ada masa lalumu.” Dan berkata jalan pula, “Ke mari dan tempuhi aku, kerana akulah masa depanmu.” Lalu aku katakan kepada rumah dan jalan, “Tiada bagiku masa lalu, dan tiada juga aku masa depan. Jika aku tetap di sini, ada pemergian dalam penetapan; dan jika aku pergi ke sana, ada penetapan dalam pemergian. Hanya cinta dan maut dapat mengubah segalanya.”

Bagaimana mungkin hilang keyakinanku pada keadilan hidup, bila mimpi mereka yang tidur atas bulu-bulu pelepah, tidak lebih indah daripada mimpi mereka yang bertilam tanah?

Aneh, keinginan kepada keenakan tertentu menjadi sebahagian dari deritaku.

Tujuh kali pernah kubenci jiwaku:
Kali pertama waktu kulihat ia jadi dayus supaya ia bakal mencapai ketinggian.
Kali kedua bila kulihat ia terincut-incut di hadapan orang tempang.
Kali ketiga bila ia mesti memilih antara yang susah dengan yang mudah, dan ia memilih yang mudah.
Kali keempat bila ia berlaku salah, dan ia memujuk dirinya bahawa orang lain juga melakukan kesalahan.
Kali kelima bila ia menahan diri kerana kelemahan, dan ia menyangka kesabarannya itu sebagai kekuatan.
Kali keenam bila ia membenci kejelikan suatu wajah, tanpa sedar bahawa itu satu daripada topeng-topengnya sendiri.
Dan ketujuh bila ia mendendangkan puji-pujian, dan menyangka itu satu kebaikan.

Sememangnya aku jahil tentang kebenaran. Tapi aku merendah diri dengan kejahilanku, dan di situ letaknya kemuliaan dan ganjaranku.

Ada ruang antara khayalan manusia dengan pencapaian manusia yang hanya boleh dijangkau oleh hasratnya

Syurga ada di situ, di balik pintu.itu, di bilik sebelah; tapi aku kehilangan kuncinya. Mungkin aku hanya tersalah letak.

Kamu buta dan aku pekak dan dungu, maka marilah kita berganding tangan dan saling memahami.

Kepentingan manusia tidak ada pada pencapaiannya, tapi pada apa yang mahu digapainya.

Antara kita ada yang bagai tinta dan ada sebagai kertas. Jika bukan kerana kehitaman dalam segolongan kita, ada golongan yang akan jadi dungu. Dan jika bukan kerana keputihan dalam golongan kita, ada golongan yang akan jadi buta.

Berikan aku separuh tumpuanmu, dan akan kuberikan kau suara.

Akal kita adalah kapas; hati kita adalah sungai. Tidakkah aneh bila kebanyakan kita memilih untuk meresap daripada mengalir?

Bila kau idamkan sesuatu yang tak mampu kau ungkapkan, dan bila kau berduka tanpa mengetahui sebabnya, maka ketahuilah bahawa kau sedang kembang bersama semua yang berkembangan, dan hampir menemui dirimu yang sejati.

Bila seseorang sedang gila bayang, dia menyangka bayang-bayang yang pudar itu sebagai arak.

Kamu meneguk arak supaya kamu mabuk, tapi aku meneguknya agar aku sedar daripada arak yang lagi satu.

Bila gelasku kosong aku sedia menerima kekosongannya; tapi bila gelasku separuh penuh aku membenci keseparuhan itu

Kenyataan tentang orang lain bukanlah pada apa yang diceritakannya padamu, tapi pada apa yang enggan dia ceritakan. Oleh itu, untuk memahami seseorang, dengarlah apa yang tidak dikatakannya dan bukan apa yang sedang ia perkatakan.

Separuh daripada kata-kataku adalah sampah; tapi aku katakan juga supaya yang separuh lagi dapat menyentuhmu.

Dia yang bijak berjenaka juga bijak menjangka.

Kesunyianku lahir bila orang-orang memuji kesalahan yang aku hebahkan, dan mengeji kebaikan yang kuperbuat dalam diam.

Bila Kehidupan tidak menemukan seorang biduan untuk menyanyikan isi hatinya maka dia melahirkan seorang pujangga untuk melaungkan isi akalnya.

Kebenaran itu untuk diketahui sentiasa, tapi dilaungkan sekali sekala.

Yang asli senyap dalam diri. Yang dipungut banyak mulut.

Suara kehidupan dalam diriku tidak sampai ke telinga kehidupan dalam dirimu; tapi marilah kita berbual supaya kita tidak kesepian.

Tiada apa yang didedahkan bila dua wanita berbual; bila seorang wanita bicara dia mendedahkan seluruh hidupnya.

Hanya si dungu iri kepada si mulut murai.

Jika musim sejuk berkata, “Di hatiku ada musim bunga,” siapa yang akan percaya padanya?

Setiap benih ialah satu hasrat.

Andai benar-benar kau buka matamu dan lihat, akan kau lihat bayangmu dalam semua bayang. Dan andai kau pasang telingamu dan dengar, akan kau dengar suaramu dalam semua suara.

Perlu dua orang untuk menemui kebenaran: seorang untuk mengucapkannya dan seorang untuk memahaminya.

Biarpun ombak kata melanda kami selamanya, namun dasar kami selamanya sunyi.

Kebanyakan ajaran bagai cermin tingkap. Kita melihat kebenaran menerusinya tapi ia malah memisahkan kita dengan kebenaran.


Sekarang ayuh kita main sorok-sorok. Andai kamu menyorok dalam hatiku maka tidak susah bagiku menemuimu. Andai kamu menyorok di balik kepompongmu, maka tak guna sesiapapun mencarimu.

0 comments:

Tentang NP


NP ialah sebuah majalah blog yang cuba menerapkan bahan-bahan penulisan sastera, budaya dan masyarakat terutama oleh penulis-penulis bebas dan baru. Anda juga boleh menyumbang hasil penulisan anda dengan menghantar ke: naskahpercuma@gmail.com