Denyut Nadi - Sebuah Pameran Seni anjuran Pelita Hati dan MAP.

Oleh:Mohamad Farez Abdul Karim aka Anak Bumi.




Denyut NADI

Wujud satu aksiom, ‘setiap nan hidup akan merasa mati.’ Jika diperinci lagi, sekiranya manusia bersetuju bahawa kesemua benda hidup termasuk tumbuhan itu sentiasa mempunyai proses getar nadi, degup ’jantung’ untuk menghantar oksigen juga air ke seluruh anggota, maka dapat disinonimkan frasa persis falsafah tadi menjadi, ’setiap bernadi akan akhirnya berhenti’.



Cuba dengarkan lagu yang paling asyik sekali bagi kamu. Kamu akan dapati ritma serta irama lagu itu pelbagai; ia punya bahagian yang memisahkan, antara intro, baris rangkap, korus, interlud (jika ada) dan akhirnya outro. Hukum muzik itu terletak kepada rentak temponya. Itulah nadi kepada lagu tadi. Rentak tempo muzik juga beraneka dari laju ke perlahan. Ia memberi rasa jiwa dan langsung mencipta keunikan sesebuah lagu. Langsung juga mengkelaskan lagu kepada genre tertentu. Setiap permulaan tempo lagu akan temui penghabisan. Maka, setiap degup melodi, resah dan riang bunyi akan juga tamat akhirnya. Tiada satu lagu pun di dunia yang tidak punyai penghabisan. Mungkin pernyataan ini berbunyi seperti klausa yang naif. Walau apapun, kita tetap bersetuju bahawa dengan getar dan denyut nadi itulah yang menjadikan kita sebagai manusia sedar sedang ada dan bernyawa.
Kaitan antara senilukis dan senilagu adalah detik ’nadi’ yang dalam separa sedar sedang mengadun lantas membentuk karya. Manusia hidup dengan tindakan kembang kempis jantung mengepam darah ke seluruh tubuh. Dari tempo asal degup jantung tadi, alir ’muzik’ dalam badan berulang-alik ke pembuluh darah di pergelangan tangan yang terkesan dengan debaran. Di situlah di mana kita dapat merasakan denyut degup hidup dengan lebih jelas temponya. Seniman, pelukis juga pemuzik melakukan kerja seninya dengan tangan. Jika tidakpun, hampir keseluruhan proses akan mengambilkira pembabitan tangan. Itu maklum. Lainlah bagi mereka yang istimewa. Akibat daripada denyutan nadi yang terkesan pada pergelangan tangan sebagai medium biologi paling akhir, dapat kita tanggapi bahawa denyut itu juga yang sedang menggerakkan dan memberi sentuhan akhir ke atas nota muzik atau kertas dan kanvas. Memang, ilham datangnya dari otak yang mempunyai sisi epifenomena yang digelar minda. Jika kita telusuri perjalanan ilham dari minda yang akhirnya menghasilkan setiap mahakarya agung zaman, muzik juga lukisan, maka kita akan dapati proses penghantaran isyarat bersifat metafizik dan punya pengalaman mistis itu akan sentiasa merentasi juga melalui bahagian denyut nadi di tangan. Kemudian, sesebuah karya itu berjaya disiapkan. Rasanya, tak begitu pelik jika kita fahami bahawa setiap denyut nadi adalah persinggahan sementara ilham sebelum menjelma menjadi catan yang siap diamati di galeri senilukis dan muzik yang asyik beralun di corong radio. Justeru, denyutan nadi manusia juga sebenarnya adalah sebahagian daripada sesebuah karya seni. Ia melengkapi proses berkarya, penghubung antara karya dan pengkarya. Sebelum ia tersebar dikhabar kepada khalayak.



Hairan, namun itulah kebenaran. Wallahualam.


Pameran seni lukisan dan catan Denyut NADI anjuran Pelita Hati dengan kerjasama MAP sedang dilangsungkan di MAP, Solaris Dutamas pada 6 Julai 2010 bermula pukul 8.00 malam. Pameran berakhir pada 20 Julai. Peta laluan ke MAP boleh dirujuk di sini. Artis yang terlibat ialah di kalangan mereka yang mempunyai bakat di dalam lukisan juga muzik seperti Rina Shukor, Fathullah Luqman Yusuff, Maakmor Jantan, Issarezal Ismail, Eric Keoh, Kamal Sabran, Adeputra Masri, Ronnie Mohamad, Eddie Lim, Teoh Joo Ngee, Syam Asmawi, Shia Ying Ying, Zubin Zainal dan Ikhwan Ismail.

Notakaki: Gambar-gambar di atas diambil dari Facebook kepunyaan saudara Ikhwan Ismail (Bob Khanzab).

2 comments:

Raja Syahrul Helmi berkata...

hang bila lagi nak buat pameran paeh?

Mohamad Farez Abdul Karim berkata...

tunggu orang pasang tanduk plastik kat kucing. :P