Inception, umpama mimpi dalam mimpi.


Apakah itu mimpi? Kenapa mimpi adakalanya boleh berada di dalam sebuah lagi mimpi? Mimpi berlapis mimpi. Inception menceritakan sebuah kisah yang umum tidak pernah ambil tahu. Atau sebenarnya tahu tetapi kerana cabaran panahan hiburan Hollywood itu lebih kuat, maka falsafah mimpi dan minda bawah sedar dikenali lewat idea Freudian itu menjadi satu kisah yang hanya sekadar dibual oleh mereka dalam kalangan intelektual. Ataupun pseudo-intelektual, contohnya si penulis ulasan ini.
Inception sebuah filem sai-fai berkenaan gagasan idea yang terumbang-ambing di dalam khayal minda dan direbut-rebut sekumpulan manusia. Ia tentang bidang alkemi baharu yang boleh membuat minda kamu bercelaru. Dominic Cobb, lakonan Leonardo Di Caprio adalah seorang dari anggota kumpulan arkitek 'pencuri' mimpi yang profesional. Bersama dengan ahli kumpulannya lain, Arthur (Joseph Gordon-Levitt) dan Nash (Lukas Haas), mereka bekerja di bawah sebuah firma misteri yang dikenali sebagai Cobol Engineering untuk menjalankan misi-misi 'jahat' itu. Dunia di dalam filem Inception mengizinkan kamu untuk memasuki, mencuri, atau meletak apa sahaja gagasan juga idea ke dalam mimpi subjek. Subjek itu boleh jadi sesiapa saja, tetapi selalunya subjek adalah orang-orang penting di dalam empayar perniagaan yang sedang mengawal halatuju ekonomi dunia. Manusia yang berkepentingan tinggi. Dari sinilah muncul watak Robert Fischer (Cillian Murphy), waris tunggal empayar perniagaan keluarga Fischer yang menjadi sasaran Cobb dan rakan-rakannya.

Leonardo Di Caprio bukanlah sosok baru dalam Hollywood, tetapi melalui filem ini dia sudah membuktikan buat kesekian kali bahawa lakonannya sudah setaraf pelakon-pelakon lelaki lain bagi watak hero dan lelaki macho. Maklumlah, Leo sudah besar dan berusia. Dia bukan lagi insan yang kamu tonton dalam Titanic ataupun The Beach.

Imaginasi dalam Inception membawa kita ke alam surreal dan paradoks seperti halnya tangga Penrose, yang tidak punya awal dan akhir. Kita juga seringkali melihat keanehan grafik sebegitu itu dalam banyak karya pelukis surealis terkenal M.C. Escher. Oleh itu, para pandai CGI filem ini mengeksploit sebaik mungkin khayalan sebegitu di dalamnya. Kita juga terkesan dengan babak anti graviti dan berhubung teori Einstein yang mendefinisi masa sebagai sebuah relatif di dalam alam realiti. Bagaimana pula hakikat perjalanan masa di alam mimpi?

Di Hollywood, kamu akan maklum sesebuah naskah asal filem itu menjalani proses pengeraman yang berlanjutan lamanya. Inception memerlukan 9 tahun untuk sekadar mengadun treatment dan skrip hingga akhirnya berjaya disyot ke dalam format filem. Industri Hollywood yang gah dan bermazhab kapitalis totok memungkinkan apa sahaja menjadi realiti. Filem ini mengujakan para penonton dengan alam mimpi di mana terhapus sudah segala faham logik, hukum fizik dan saintifik para penganut Saintologis dan Darwinis. Alam realiti itu dilenturkan mengikut imaginasi para pemimpi, seperti halnya sang heroin, Ariadne (Ellen Page) merekabentuk kota mengikut khayalannya sendiri. Bumi sudah lari dari undang-undang Newton mahupun segala teori para pemuka ilmu sains sebelumnya. Ia telah jatuh dalam wilayah minda separa sedar yang dipelopori ilmuwan psikologi Sigmund Freud, Carl Jung dan seangkatan. Walhal, teori minda bawah sedar itu sebenarnya lebih purba lagi. Di dalam Al-Quran juga Allah telah memperihal tentang mimpi melalui kisah Nabi Yusuf. Di dalam Inception juga terdapat watak seorang genius yang bernama Yusuf. Satu kebetulan? Bukan, sudah tentu Cristopher Nolan pernah membaca perihal Prophet Joseph di dalam kitab Torah dan Injil.

Melalui Al-Quran, Allah ada menyebut tentang mimpi, di dalam surah Az-Zumar ayat 42.'Allah, Dia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya dan jiwa orang yang tidak mati: Dalam masa tidurnya; kemudian Dia menahan jiwa orang yang Dia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir.'

Bagi penggemar filem falsafah yang berat dalam masa sama menginginkan kepuasan lagak aksi, Inception sesuai untuk kamu. Bagi pembenci falsafah psikologi, atau pembenci Leonardo Di Caprio, tontonilah Despicable Me.



Wallahualam.

5 comments:

zhfrz berkata...

thanks ulasan ni. bagi clear jugak dekat aku yang tak tengok lagi cerita ni. Asyik dengar dari mulut orang ja tak nampak bayang langsung.

thanks

Mohamad Farez Abdul Karim berkata...

ingat nak spoilkan filem ni, cerita dari mula sampai habis, haha! hang tengok kat SP laa. eh, sana ada wayang ka? lama tak pernah tengok kat utara. Last sekali tengok kat A.Staq filem Ringgit Kassorga...

aediasri berkata...

idea asas filem ini memang menarik dan komples, tapi tidak jalan penceritaannya. sayang

rasanya lagi menarik jika plotnya turut kompleks seperti idea-nya.

mungkin silap saya, kerana terlalu banyak melayan ulasan dan hype inception sebelum menonton.

apa2pun, terima kasih kepada pengulas

Penulis Komen-Filem berkata...

Terima kasih atas ulasan dan analisa filem Inception.

Saya tertunggu ulasan dan analisa filem The Man from Earth [2007].

Abdullah Sam Ahmad berkata...

selain dasar ide 'mimpi dalam mimpi', filem ini banyak menggunakan semiotik melalui penyampaian setting mise-en-scene dalam arkitektur