Paulo Coelho : Dari shamanisme ke Coelhoisme


`Tanggungjawab insan ialah merealisasikan takdir yang telah ditetapkan ke atas dirinya’ 
 Petikan dari The Alchemist

‘Paulo Coelho bukanlah seorang penulis,’ kata para pengkritik sastera di tempat kelahirannya sendiri, Brazil. ‘Tulisannya setaraf kanak-kanak’, ‘banyak menggunakan metafora dan anekdot yang klise’, ‘himpunan falsafah purba yang menjemukan’, serta ‘penciptaan watak-watak stereotaip yang kerja mereka berkhutbah sepanjang masa’. Diogo Maniardi, seorang pengkritik dari majalah Veja pernah menyamakan karya Coelho, Maktub seperti stoking busuknya yang tertinggal di dalam kereta. Itu adalah sebilangan kritikan ‘pedas’ yang diterima oleh Paulo, walaupun pada saat itu karyanya yang ke-sembilan, By The River Piedra I Sat Down and Wept telah terjual melebihi 70,000 naskah hanya pada hari pertama peluncurannya.


Begitulah yang dialami Coelho di negara sendiri berbanding dunia lain yang sedang sibuk menterjemah karya-karyanya ke dalam bahasa masing-masing. Menurut Tom Jobim, seorang komposer muzik, ‘di Brazil, kejayaan seseorang individu itu akan dirasakan seolah penghinaan, satu tamparan hebat ke atas diri sendiri.’ Lebih parah lagi, ‘saya tidak membacanya malah saya langsung tidak berminat dengannya,’ adalah kritikan yang diulas oleh Davvi Arrigucci, Jr, seorang profesor sastera di Universiti Sao Paolo mengenai karya Paulo Coelho, tatkala karyanya satu-persatu sedang diterjemah ke bahasa Perancis, tempat kelahiran gergasi sastera seperti Balzac, Flaubert dan Victor Hugo. Bandingkan pula dengan respon berikut daripada Kenzaburo Oe, penerima anugerah Nobel Sastera 1994, ‘Paulo Coelho sudah menemui rahsia alkemi sastera’.

Bagi manusia yang sudah berkeinginan untuk menjadi penulis sejak kecil, memang lazim untuk Coelho melakukan apa saja demi memastikan impiannya tercapai. Pada usia 20-an, sewaktu dia terjebak dengan penyalahgunaan dadah dan asyik bereksperimen dengan bahan khayalan, dia mula beralih minat terhadap ilmu esoteris dan amalan pemujaan syaitan. Sebagai atheis yang telah kecewa dengan amalan ortodoks Kristian, ini tidaklah menghairankan. Coelho dimasukkan ke sekolah agama Our Lady Victorious dan kemudian melanjutkan pelajaran ke Kolej St. Ignatius, yang berprestij pada ketika itu di Rio de Janeiro. Malangnya, dia tidak begitu berjaya di alam persekolahan. Sekadar mendapat kepujian dalam beberapa subjek pilihan, contohnya bahasa Portugis dan falsafah, Coelho lebih menggemari penulisan skrip dan sajak berbanding rutin pembelajaran yang membosankan.

Di dalam The Zahir, Paulo menjawab, ‘Aku menulis kerana sewaktu remaja aku seorang kaki bangku, aku tidak punya kereta dan elaun yang banyak, aku juga seorang yang lembik...bahkan aku tidak pandai bergaya. Perkara itu sahaja yang menarik hati para gadis sekolah, lalu mereka tidak mengendahkanku. Malam harinya sewaktu rakan sekelas keluar bersama teman wanita, aku meluangkan masa dengan mencipta dunia yang menyeronokkan; rakan-rakanku adalah para penulis dan buku-buku mereka.’ Zaman remajanya diisi dengan aktiviti kumpulan teater, bersosial di kelab intelektual muda dan penggemar-filem; sinema Paissandu dan hobi biasa remaja sebayanya, yakni bertukar-tukar teman wanita. Sewaktu di Kolej Andrews, selepas berhenti dari St. Ignatius, Coelho pernah bekerja separuh masa sebagai wartawan untuk akhbar Diario de Noticias dan seringkali bermegah dengan kenyataan tulisannya kini telah dibaca oleh ‘beribu’ penduduk Rio.

Melalui cebisan nota yang didapati dari ‘Kotak Pandora’nya itu, pembaca akan tahu, tujuan dia mendekati dunia okultis dan magis hanya sebagai eskapisme mengubati kekecewaannya yang pada ketika itu, masih belum menerbitkan sebuah buku, melepasi had umur yang ditetapkan olehnya. Karya pertamanya, Archives of Hell hanya diterbitkan pada tahun 1982, beberapa waktu selepas itu ketika Coelho berumur 35 tahun. Prakata buku itu ditulis dan ditandatangani oleh Andy Warhol (Coelho kemudian membuat pengakuan yang Andy langsung tidak pernah membaca buku tersebut).

Perkenalannya kemudian dengan ‘pewaris kepada ‘The Beast’ dari Brazil’, nama jolokan bagi Marcelo Ramos Motta - seorang misterius yang mengaku mengepalai kumpulan rahsia AA –Astrum Argentum - memberinya peluang untuk mendalami ilmu-ilmu esoterik dan amalan penyembahan syaitan. Istilah-istilah satanisme (Liber Oz, daun ‘syaitan’ sansevieria trifasciata, posisi Naga, posisi Ibis dsbnya) serta ajaran okultis lain dari pengasas legenda OTO, Aleister Crowley (The Beast) itu mula mempengaruhi hidupnya. Bagi Coelho, mungkin penulisan tentang perkara mistik dan amalan ‘black magic’ dapat menambah minat khalayak pembaca justeru menjadikan dirinya terkenal dalam dunia sastera Brazil. Dia juga pada satu masa menjadi obses dengan dunia mistik ‘vampirisme’ dan pernah menulis sebuah buku mengenainya, Practical manual on Vampirism (walhal bukan ditulis Coelho, dia sekadar meletakkan namanya di kulit depan buku).

Sebagai seorang ‘penulis’ yang bermula dari dunia teater, dia sedikit sebanyak terpengaruh dengan idea-idea politik kiri, walaupun secara dasarnya dia memang apolitikal, langsung tidak pernah hirau tentang keadaan sosiopolitik Brazil yang diperintah junta tentera. Coelho pada waktu itu masih berangan untuk menjadi penulis terkenal yang akan menghasilkan ‘Maha Karya Milenium’, sebuah impian yang sering dikhayal oleh setiap insan penulis. Insiden bersabit politik yang pernah beliau alami ialah sewaktu ditahan oleh polis rahsia Brazil (DOI-Codi) atas tuduhan menyebar fahaman komunis bersama teman wanitanya. Atas minat yang sama yakni perkara supernatural dan makhluk asing, Coelho kemudian diajak oleh seorang penyanyi dan ikon Brazil, Raul Seixas untuk menubuhkan kumpulan duo Sociedade Alternativa, di mana semenjak itu dia mula pula mencungkil nama sebagai penulis lirik yang berunsur esoterik dan mistik. Bahkan, para peminat mulai mengambil idea ‘Sociedade Alternativa’ sebagai sebuah pertubuhan rahsia, walaupun dinafikan sekeras-kerasnya oleh Paulo, sewaktu disoalsiasat polis beberapa tahun kemudian.

Sebagai penulis lirik, hidupnya tenggelam dalam kemewahan dan populariti tetapi jiwanya masih lagi rungsing. Cita-cita Paulo yang sebenar ialah menjadi penulis novel, bukannya penulis lirik. Beberapa tahun kemudian, Raul dan Paulo mulai membawa haluan masing-masing hinggakan seorang wartawan yang pernah berusaha menyatukan mereka dalam projek reunion membuat komen, ‘kedua mereka mempunyai penyakit ‘primadonnaitis’ yang akut’.

Peralihan jiwa Paulo Coelho dari seorang atheis, shamanis hinggalah kembali menjadi penganut Kristian Katolik yang taat boleh dikatakan berlaku setelah berpacaran dengan Christina Oiticica, wanita terakhir dan kekal bersamanya hingga sekarang. Chris yang dilahirkan dalam keluarga yang sedikit ortodoks merupakan seorang pelukis dan pernah mengambil jurusan senibina. Paulo selalunya akan mengikut naluri Chris, yang lebih ‘kuat’ dan sentiasa betul dalam setiap justifikasi mereka. Bersama Chris juga mereka berdua menubuhkan syarikat penerbitan Shogun Editora yang kemudian bertindak menjadi penerbit Archives Of Hellnya itu. Namun, kita tak boleh abaikan seorang lagi watak penting malah juga misteri dalam hidup Paulo Coelho yakni, Master Jean - atau sekadar J - yang mengajarnya ilmu esoterik purba dari sebuah lagi organisasi rahsia RAM (regnum, agnus, mundi). Mereka berdua awalnya berjumpa melalui pengalaman ‘epifani’ yang dialami Paulo ketika dia dan Chris melawat kem pelarian Nazi di Dachau.

Semenjak itu, Master J akan sentiasa memberinya tunjuk ajar demi merealisasikan impiannya untuk menjadi penulis yang terkenal (seluruh dunia). Dari pengalaman dan perjalanan mistik yang diterima itulah, Paulo mulai meluahkannya dalam sentuhan fiksyen hingga terhasil The Pilgrimage (pengalamannya mengembara ke Santiago - tempat penghijrahan sebuah mazhab Kristian – sepertimana diarah oleh Master J) dan The Valkyries (pertemuan dengan kumpulan penunggang motosikal wanita ‘the Valkyries’ sewaktu mengikuti ajaran RAM). Coelho mula mencipta nama di luar negara dengan bantuan seorang lelaki 50-an, pemilik hotel di pekan kecil daerah Massachusetts, yang juga penterjemah separuh masa. Namanya Alan Clarke. Hasil usaha Alan melalui penerbit HarperCollins, The Pilgrimage edisi bahasa Inggeris awalnya menemui kegagalan, hinggalah seperti dimaktubkan Tuhan, setelah The Alchemist keluar, Alan sekali lagi memberi manuskrip terjemahannya kepada penerbit yang terbesar di Amerika Syarikat ketika itu.

Selepas The Alchemist menembus pasaran Amerika dan mendapat tindakbalas positif, Paulo Coelho tidak lagi menoleh ke belakang. Sepertimana yang digelar dalam sebuah majalah British, Publishing News sebagai fenomena ‘Coelhomania’ dan di Perancis disebut sebagai ‘Coelhoisme’, pandemik ini mulai menyerang seluruh dunia, dengan jumlah jualan melangkaui 100 juta naskah, 455 terjemahan, diterbit dalam 66 jenis bahasa di 160 negara seluruh dunia.


Di dalam buku A Warrior’s Life : A Biography of Paulo Coelho, penulisnya Fernando Morais mendedahkan kepada para pembaca sejarah lalu Coelho yang bahkan dia sendiri terlupa – atau, memang mahu melupakan. Paulo memberi Fernando, penulis biografinya itu sebuah kotak simpanan peribadi yang terisi 170 naskah buku nota tulisan tangan dan 94 buah kaset rakaman suara yang menceritakan kesemua perkara tentang perjalanan hidupnya, dari 1959, sewaktu berusia dua belas tahun hinggalah 1995, ketika berusia empat puluh lapan tahun dan mula menaip bukunya dengan menggunakan kibod komputer. Segala sisi hidupnya yang gelap ‘sengaja’ dibiarkan untuk didedah oleh Fernando di dalam biografinya itu. Ini termasuk kisah di mana beliau ditahan di wad sakit jiwa di Rio de Janeiro. Bahkan sehingga tahun 1998, para peminatnya belum pernah tahu mengenai sejarah hitam tersebut. Dia telah bersumpah akan menceritakan semua itu setelah kematian ibubapanya. ‘Veronika adalah Paulo Coelho’, begitu pengakuan Paulo sekitar waktu bukunya, Veronika Decides To Die diterbitkan. Buku itu mengisahkan Eduardo, anak seorang diplomat dan heroinnya, Veronika yang setelah gagal dalam percubaan membunuh diri, telah dihantar ke wad gila oleh ibubapanya dan di situ dia menjalani rawatan terapi ‘electroshock’. Coelho yang menghidap bipolar sewaktu remaja pernah dimasukkan ke wad gila sebanyak tiga kali, dan rawatan sebegitu tidaklah asing bagi dirinya. Di waktu itu juga dia berkenalan dengan Dr. Benjamin Eiras yang kemudian langsung menjadi akrab dengannya dan sentiasa memberi semangat dan dorongan sehingga dia dewasa.

Kita tentu kagum membaca perjalanan hidup Paulo Coelho, manusia yang ditakdirkan menjadi penulis biarpun berkali-kali gagal. Dalam masa sama dikritik dan dikutuk oleh intelektual dan wartawan negeri sendiri, di dunia lain dia seumpama 'Sang Alkemis' yang berjaya memberi inspirasi kepada pembaca untuk berusaha merealisasi impian mereka. Tahun lepas, Paulo Coelho telah menerbitkan buku terbaru yang juga karya ke-27 beliau, berjudul The Aleph untuk pasaran Brazil dan Turki. Bagi pasaran dunia, 27 September 2011 ini adalah hari yang dinanti-nantikan oleh para peminatnya.

3 comments:

Naskah Percuma berkata...

kegagalan dan kegagalan seorang penulis diukur dengan apa? Jualan atau kritikan atau? Adakah orang lain yang menilai atau penulis sendiri menilainya? hmmm...

Anak Bumi berkata...

bergantung dari sisi mana kita menilainya. Sisi sebagai peminat sastera dengan bacaan bertimbun, sisi pembaca yang dahagakan ilmu, sisi peminat yang memuja 'dewa'nya, sisi pengkritik yang dengki, sisi ilmuan tanpa sempadan, sisi ortodoks dan badan penapis dll.

Atau, sisi 'manusia lain baca kita pun ikut membaca'. Haha.

Tanpa Nama berkata...

menarik tajuk kali ini. aku kurang membaca buku. dan pembacaan aku terhad disebabkan aku tidak suka membaca buku. haha. dihadiahkan zahir dua tahun yang lepas. ada 'cermin'. ada inspirasi. inspirasi yang membuatkan seseorang itu mahu terus membaca karyanya. betul lah kot 'sisi ilmuan tanpa sempadan' sama saja perasaan orang brazil dengan orang malaysia bila bersedih. haha. so aku terus mengambil keputusan paolo sebagai bahan bacaan wajib sesi pemulihan yang tak pulih-pulih haha.

Gadget

Kandungan ini tidak tersedia melalui sambungan tersulit.