The Three Questions atau dalam melayunya Tiga Persoalan.
Satu hari ada seorang maharaja yang terfikir betapa banyak perkara boleh diselesaikan dengan mudah jika dia dapat menjawab tiga soalan:
Bilakah masa paling tepat untuk melakukan sesuatu? Dengan siapakah dia mesti melakukan sesuatu? Dan apakah perkara paling penting yang mesti dibuat?
Maharaja itu mengeluarkan watiqah ke seluruh jajahannya mengisytiharkan hadiah besar akan diberi kepada sesiapa yang dapat menjawab ketiga-tiga soalan itu. Ramai yang membaca watiqah itu segera menuju ke istana dengan jawapan masing-masing.
Sebagai jawapan kepada soalan pertama ada yang mencadangkan maharaja itu membuat satu jadual lengkap, membahagikan setiap minit, jam, dan haribulan untuk tugas-tugas tertentu dan kemudian berdisiplin dalam mengikut jadual yang dibuat. Hanya dengan cara itu dia dapat melakukan sesuatu perkara pada masa yang paling tepat.
Ada pula yang mengatakan ia amat mustahil untuk mengikut jadual yang dirancang dan maharaja itu sepatutnya meninggalkan bersenang lenang dan hiburan supaya dia dapat bersedia sepanjang masa untuk melakukan sesuatu pada masa yang tepat.
Ada pula berkata amat mustahil maharaja itu mempunyai kebolehan untuk melakukan sesuatu pada masa yang tepat jika dia tidak mendapat nasihat daripada majlis penasihat, dan menubuhkan majlis itu adalah perkara yang perlu jika maharaja mahu melakukan sesuatu pada masa sepatutnya.
Ada pula yang berkata ada juga perkara yang memerlukan keputusan segera dan tidak sempat diajukan kepada majlis penasihat, dan jika maharaja mahu melakukan sesuatu pada masa yang tepat dia mestilah berjumpa dengan bomoh atau ahli nujum.
Jawapan kepada soalan kedua juga tidak ada yang memuaskan.
Seorang bijak pandai berkata maharaja itu mestilah meletakkan kepercayaannya kepada pegawai kerajaannya, ada pula yang bertegas dia perlu dekat dengan paderi-paderi dan rahib, ada yang mencadangkan baginda dekat dengan tabib-tabib, dan ramai juga yang mencadangkan baginda dekat dengan tenteranya.
Soalan ketiga juga mendapat jawapan-jawapan pelbagai. Ada yang mengatakan kajian sains sebagai perkara yang perlu diutamakan. Ada pula yang mengatakan agama sebagai sesuatu yang paling penting sedang yang lain pula mencadangkan mendalami ilmu ketenteraan.
Maharaja tidak berpuas hati dengan semua jawapan dan tiada hadiah diberikan.
Setelah berfikir beberapa malam, maharaja mengambil keputusan untuk mengunjungi seorang pertapa yang tinggal di atas sebuah gunung dan dikhabarkan sebagai seorang bijaksana. Dia mahu menanyakan soalan-soalannya kepada pertapa tersebut, tapi diketahuinya juga bahawa pertapa itu tidak pernah turun dari gunungnya, dan hanya menerima kunjungan golongan miskin dan tidak mahu menerima kunjungan golongan kaya dan berkuasa. Jadi maharaja itupun menyamar sebagai rakyat miskin dan mengarahkan pengawal-pengawalnya menunggu di kaki bukit sementara dia sendiri mendaki cerun gunung mencari si pertapa.
Sampai saja di tempat tinggal orang alim itu, maharaja melihatnya sedang mencangkul di kebun hadapan pondok. Si pertapa yang melihat kedatangan pengunjung yang tak dikenali itu hanya mengangguk lalu terus mencangkul. Kelihatan kerja mencangkul itu amat berat bagi orang alim yang sudah tua itu. Kepayahan jelas terbayang di wajahnya setiap kali dia menghayunkan cangkulnya ke dada tanah.
Maharaja mendekati si pertapa dan berkata, “Saya datang ke sini untuk meminta bantuan tuan tentang tiga soalan: Bilakah masa paling tepat untuk melakukan sesuatu? Dengan siapakah kita mesti melakukan sesuatu? Dan apakah perkara paling penting yang mesti dibuat?”
Si pertapa mendengar dengan tekun tapi dia hanya menepuk maharaja di bahu dan terus mencangkul. Maharaja berkata, “Tuan tentu sudah penat. Mari biarkan saya saja yang melakukan kerja tuan.” Si pertapa mengucapkan terima kasih, memberikan cangkulnya kepada maharaja lalu duduk berehat di hamparan tanah.
Setelah beberapa lama dia mencangkul, maharaja itupun berhenti dan kembali dia menanyakan ketiga-tiga soalannya. Pertapa itu masih tidak menjawab bahkan bangun dan menunjuk kepada cangkul di tangan maharaja lalu berkata, “Apakata kamu berehat sekarang? Aku sudah boleh menggantimu” Namun maharaja tetap meneruskan pekerjaannya. Satu jam berlalu, kemudian dua, akhirnya matahari mula terbenam di belakang gunung itu. Maharaja meletakkan cangkulnya dan berkata kepada pertapa itu, “Saya datang ke sini untuk bertanya jika tuan boleh menjawab ketiga-tiga soalan saya. Tapi jika tuan tidak boleh memberikan jawapan, sila beritahu saya supaya saya boleh bergerak pulang”
Pertapa itu mengangkat kepalanya lalu bertanya kepada maharaja, “Adakah kau mendengar seseorang berlari di sebelah sana?” Maharaja lalu memalingkan kepalanya. Mereka berdua melihat seorang lelaki dengan janggut putih yang panjang muncul dari hutan. Dia berlari liar, menekapkan tangan kepada luka di perutnya yang berdarah. Lelaki itu berlari ke arah maharaja sebelum dia rebah ke tanah dan terbaring mengerang. Setelah bajunya dibuka, maharaja dan pertapa mendapati kesan luka tikaman yang dalam pada lelaki itu. Maharaja membersihkannya dengan sempurna dan membalut luka itu dengan bajunya sendiri, tapi dalam beberapa minit saja ia jadi basah dengan darah. Dia lalu membilas baju itu dan membalut luka buat kali kedua lalu terus mengulanginya hingga darah berhenti mengalir.
Akhirnya lelaki parah itu kembali sedar dan meminta segelas air. Maharaja terus ke anak sungai kemudian kembali dengan sebalang air bersih. Matahari telah tenggelam dan malam mula menyejuk. Sang pertapa membantu maharaja memapah lelaki yang cedera itu ke dalam pondok lalu mereka membaringkannya di atas katil pertapa. Lelaki itu memejamkan matanya dan tidur dengan aman. Maharaja juga kepenatan setelah seharian mamanjat gunung dan mencangkul di kebun. Dia menyandarkan tubuhnya di muka pintu lalu terus tertidur. Apabila dia terjaga, matahari telahpun naik tinggi. Buat seketika dia lupa di mana dia berada dan mengapa dia berada di situ. Dia mengalihkan pandangannya ke katil dan melihat lelaki yang cedera itu juga sedang dalam kekeliruan. Apabila lelaki itu melihat maharaja dia merenungnya dengan tajam kemudian berbisik sayup, “tolonglah ampunkan saya”
“Tapi apakah yang telah kau lakukan hingga memerlukan keampunanku?” tanya maharaja.
“Tuanku tidak mengenali saya, tapi saya mengenali tuanku. Saya adalah seteru ketat tuanku dan saya telah bejanji untuk membalas dendam terhadap tuanku, kerana pada peperangan lepas tuanku telah membunuh adik saya dan merampas harta saya. Waktu saya dapat tahu yang tuanku akan menaiki gunung ini sendirian untuk menemui tuan pertapa, saya telah mengambil keputusan menyerang hendap tuanku dalam perjalanan pulang untuk membunuh tuanku. Namun setelah menunggu lama dan bayang tuanku masih tidak kelihatan, saya meninggalkan hendapan untuk mencari tuanku. Tapi sebaliknya saya telah bertemu dengan pengawal-pengawal tuanku, yang mengenali saya, dan merekalah yang mencederakan saya. Untung saya dapat melepaskan diri dan lari ke mari. Jika saya tidak bertemu tuanku tadi tentulah saya sudah mati sekarang. Saya berniat untuk membunuh tuanku tapi sebaliknya tuanku telah menyelamatkan nyawa saya! Sungguh saya malu dan tidak ada kata yang dapat menggambarkan penghargaan saya. Jika saya selamat, saya bersumpah akan memperhambakan diri kepada tuanku, dan saya akan memerintahkan anak cucu saya melakukan yang sama. Saya harap tuanku dapat mengampunkan saya”
Terlalu gembira maharaja apabila dengan mudah saja dia telah berdamai dengan seorang musuh lama. Dia bukan saja mengampunkan lelaki itu, malah berjanji untuk mengembalikan hartanya dan menghantar tabib peribadi dan pembantu bagi memastikan lelaki itu benar-benar sembuh. Setelah memerintahkan pengawal-pengawalnya untuk menghantar lelaki itu pulang, maharaja kembali untuk bertemu si pertapa. Sebelum pulang ke istana dia mahu menanyakan tiga persoalannya buat kali terakhir. Maharaja mendapati si pertapa sedang menanam benih di tanah yang telah mereka gali semalam.
Si pertapa lalu berdiri memandang maharaja. “Bukankah soalan-soalanmu telah terjawab?.”
“Maksud tuan?” tanya maharaja, keliru.
“Semalam, jika kau tidak mengasihani umur tuaku dan membantuku menggali lubang-lubang ini, tentulah kau akan diserang lelaki itu waktu kau pulang. Kemudian kau akan menyesal kerana meninggalkanku. Justeru masa yang paling tepat ialah masa kau menggali lubang-lubang ini, dan dengan akulah orang terbaik untukmu, dan perkara paling penting yang mesti kau lakukan ialah membantuku. Kemudian waktu lelaki yang cedera itu lari ke mari, masa paling tepat ialah masa kau merawati lukanya, kerana jika kau tidak berbuat demikian dia akan mati dan kau tidak akan berpeluang untuk berdamai dengannya. Begitulah juga dia ialah orang yang terbaik bagimu, dan perkara paling penting mesti kau lakukan ialah merawati lukanya. Ingatlah bahawa hanya ada satu masa yang terpenting iaitu sekarang. Hanya masa sekarang saja yang berada dalam kawalanmu. Orang yang terbaik bagimu sentiasa ialah orang yang bersamamu sekarang, yang berada hampir denganmu, kerana siapa tahu jika kau akan bertemu orang lain lagi di kemudian hari? Perkara paling penting yang mesti kau lakukan ialah membuat orang itu, yang berada berhampiranmu, bahagia, kerana itulah satu-satunya matlamat kehidupan.”
Nota:
Tiga Persoalan (The Three Questions) ialah parabel pendek karangan Tolstoy yang pertama kali diterbitkan pada tahun 1885 sebagai sebahagian daripada koleksi What Men Live By,and other tales.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Blog Archive
-
►
2016
(8)
- ► September 2016 (1)
- ► April 2016 (1)
- ► Januari 2016 (1)
-
►
2015
(8)
- ► Disember 2015 (1)
- ► Julai 2015 (1)
- ► April 2015 (2)
-
►
2014
(1)
- ► Oktober 2014 (1)
-
►
2013
(12)
- ► Disember 2013 (3)
- ► September 2013 (1)
- ► Januari 2013 (2)
-
►
2012
(14)
- ► Disember 2012 (3)
- ► November 2012 (2)
- ► Oktober 2012 (6)
- ► September 2012 (3)
-
▼
2011
(9)
- ► Disember 2011 (1)
- ▼ November 2011 (3)
- ► September 2011 (1)
-
►
2010
(33)
- ► Disember 2010 (1)
- ► Oktober 2010 (1)
- ► September 2010 (1)
- ► Julai 2010 (1)
- ► April 2010 (15)
Tentang NP
NP ialah sebuah majalah blog yang cuba menerapkan bahan-bahan penulisan sastera, budaya dan masyarakat terutama oleh penulis-penulis bebas dan baru. Anda juga boleh menyumbang hasil penulisan anda dengan menghantar ke: naskahpercuma@gmail.com
0 comments: