Dari neraka ke neraka, rentung di sisi tuhan.

Pedulikan kata-kata sumbang daripada orang. Kebanyakan mereka takut menghadapi diri sendiri. Aku tahu aku tak disenangi mereka bila mempersoalkan perihal ketuhanan dalam puisi-puisiku tetapi pergi jahanamlah. Tuhan menyoal aku jadi aku menyoal Dia kembali. Bukankah semua daya, termasuk daya pemikiran juga datangnya daripada Dia? Aku mencari tuhan yang sejati. Bukan tuhan yang telah disuapkan.

Puisi yang sebenar ialah luahan luhur, dan apapun bentuk kesenian yang luhur datang dari sumber yang lebih dalam daripada pemikiran. Sumber itulah yang mahu aku selami dengan jujur. Bagiku puisi hanyalah alat dan bukan matlamat. Kasih sayang puisi dengan pembaca hanya bermula setelah puisi dibaca tetapi percumbuannya dengan penulis bermula sejak penulis lahir lagi. Bagi seorang penyair, proses penggalian puisi harus lebih penting daripada puisi yang terpancut kerana puisi ialah Kehidupan yang menulis.

Dan puisi mestilah memancut. Penggalian mestilah dalam. Biarkan kalau berdarah. Tak guna semua nak nyaman saja.

Penggalian maksudku bukanlah penggalian metafora, rima, ritma, irama dan apa-apa lancau lagi yang selalu kita kaitkan dengan puisi tetapi penggalian diri. Ini berlaku sebelum puisi ditulis. Herman Hesse berpendapat kewajiban utama seorang manusia ialah memahami dirinya sendiri dan aku juga berpendapat sama. Aku juga berpendapat seorang penyair boleh menggunakan puisi untuk memahami dirinya jika puisi itu datang dari dalam diri.

Memang banyak cara lagi yang ada untuk mencari diri dan anda semua boleh memilih cara yang sesuai mengikut peribadi masing-masing. Aku bercakap tentang puisi sebagai salah satu cara yang sesuai. Aku tidak meletakkan puisi sebagai satu jalan tetapi sebagai kenderaan.

Penyair-penyair daripada Rumi ke William Blake, daripada Sappho sampai ke Rilke sampai ke Sutardji Calzoum Bachri telah menggunakan kenderaan ini. Rilke menegaskan bahawa puisi mengalir melalui dirinya, daripada satu sumber yang misteri. Puisi telah tergantung di dahan pohon, seperti epal, dan dia hanya memetiknya.

Menyelami diri ialah mencari Tuhan dan mencari Tuhan ialah menyelami diri. Aku berharap untuk menggunakan proses puisi sebagai kompas kerana aku yakin jarumnya menunjuk ke dalam diri, ke arah Tuhan.

Kata ‘puisi’ sebenarnya dipinjam daripada perkataan Poiesis yang bermakna ‘mencipta’ dalam bahasa Greek. Orang-orang Greek kuno memandang penyair sebagai pencipta yang diturunkan dewa-dewa. Mereka tidak melihat percanggahan antara hakikat puisi sebagai wahyu dewa dan puisi sebagai teknik penciptaan yang memerlukan gabungan bakat, ilmu dan latihan.

Jadi puisi mesti dicedok daripada kolam dewa dan disusun oleh pemikiran manusia. Namun bagi penyair-penyair surealis penyusunan itu tidak perlu. Mereka menggunakan bahasa mimpi untuk menembusi dinding logika ke daerah yang tidak terjangkau oleh bahasa.

Terus terang aku katakan penggalianku tidak mengikut apa-apa syarat. Aku pasti akan dikeji nanti. Tuhanlah yang mengurniakan puisi jadi jangan sesekali meremehkan kuasa selaman puisi dan menganggap puisi hanya sebagai kata-kata madu. Padahal puisi tidak semestinya manis. Ia hanya mesti luhur dan penyair mesti menjaga keluhuran puisinya. Jika takut untuk berkata luhur lebih baik jangan berkata langsung.

Aku tidak mencari syurga yang penuh dengan buah-buahan padang pasir. Aku lebih suka duku dan rambutan. Biarkan aku berkelana dalam puisi, dari neraka ke neraka, rentung di sisi Tuhan.



oleh Raja Syahrul Helmi

0 comments:

Gadget

Kandungan ini tidak tersedia melalui sambungan tersulit.