Jangan Bohongi Aku






Oleh EPPY EOSHI


Aku sedang meletak ubat gigi pada berus gigi ketika kisah itu terkarang pantas dalam helai-helai mindaku. Aku merenung wajah sendiri di dalam cermin. Alangkah bagusnya jika kisah yang terkarang itu terpancut sendiri menjadi helai-helai kertas pula dengan ceritanya sudah bertaip kemas tanpa perlu jari-jemariku bekerja. Kerana sudah tabiatku yang memang suka berfikir dan kuat menaakul, tetapi malas menzahirkannya dalam ucap kataku, apa lagi mahu menzahirkan dengan pena. Segala-galanya kubiarkan berlegar di awangan akalku, dan kemudian aku akan melupakannya.

Oleh itu, aku beranggapan tidak perlu untuk menzahirkan kebanyakan buah renunganku, cukuplah sekadar berbangga jika berjaya menzahirkannya tanpa tokok tambah dan keasliannya terpelihara.

Cerita itu berbunyi begini...

Sudah lebih setahun aku mengekalkan berus gigi itu bergandingan dengan berus gigi milikku. Elok saja paras rupanya. Mungkin kerana hanya digunakan sekali-sekala. Berbanding dengan berus gigiku yang sudah berganti buat kali keempat, berus gigi yang kupanggil ‘si ungu’ itu tetap juga anggun di situ.

Namun sesuatu yang luar biasa berlaku awal pagi itu. Tanganku pantas mengambil Si Ungu lalu membuangnya ke dalam tong sampah bilik mandi. Nasib baik aku tidak mampu mendengar rintihan atau apa juga yang mungkin Si Ungu perkatakan buatku kerana membuangnya. Aku mendengus mengenang nasib Si Ungu. Kemudian, aku meneruskan kerja membersihkan diri.

Seminggu selepas itu, Gadis (kekasih aku) datang menziarah meluangkan masa bercinta denganku setelah tiga purnama tidak bertemu. Katanya sangat rindu akan daku dan aku mempercayai katanya sejujurnya. Malam itu ketika Gadis mahu menyegarkan diri dari segala kepenatan dan kekotoran debu seharian, dia marah-marah padaku.

“Sayang! Mana berus gigiku?”

Aku tidak terus menjawab. Aku mengingat semula rupa paras Si Ungu. Aku membelinya buat kegunaan dan kemudahan Gadis, maka tiap kali dia datang ke tempatku tidak perlulah dia menyusahkan dirinya membawa keremehan itu bersama.

“Sayang? Aku menunggu jawapan... mana berus gigiku?” Gadis masih dengan nada marahnya.

Kebelakangan ini Gadis memang memuncak marahnya. Itu dan ini semua menjadi api yang membakar sumbu pelita perasaannya. Aku kerimasan, terkadang aku menelan segala-galanya dalam kesabaran. Mungkin perasaannya kacau.

“Aku sudah membuangnya....” jawabku ringkas, sudah berdiri di hadapan pintu bilik mandi yang terbuka sedikit itu. Susuk tubuh Gadis kutatap sejenak, sebelum wajah merah padamnya menyengat pandanganku.

“Kenapa dibuang? Kalau dibuang, mengapa tidak dibeli yang baharu? Bukankah kamu sudah mengetahui bahawa aku akan datang... paling tidak katakan saja kepadaku. Aku akan membawanya dari rumah.”

Aku cuba berlagak tenang sedangkan dalam hatiku bergelora. Aku seboleh-bolehnya enggan memuntahkan kegilaan itu, takut kegilaan itu merasuk lalu membunuhku pula.

“Aku membuangnya kerana secara tiba-tiba pagi ini aku mendapati tubuhnya berlumut dan helai-helai berusnya penuh kekotoran. Aku jijik. Dan aku tidak mahu sesuatu yang jijik mendekati kamu. Sebab itu aku membuangnya. Aku jijik.”

“Kenapa tidak dibeli yang baru?” Gadis masih merenung mataku.

“Bukan mudah untuk aku membeli yang baru, seperti kata mencari pengganti sesuatu yang telah aku dapatkan atas rasa cinta dan sayang. Kerana aku merasakan tidak akan ada yang sama atau seumpamanya. Jadi untuk mencari yang baru mungkin payah, memakan masa. Aku seorang yang setia terhadap apa yang aku paling cintai, sungguhpun atas harta bendaku, apatah lagi yang bersangkutan dengan urusan hatiku.”

Gadis menelan jawapan-jawapanku dengan dahi yang berkerut. Mungkin jawapanku terlalu panjang untuk soalan ringkasnya.

“Jadi... bagaimana aku hendak memberus gigi sekarang?” tanyanya.

“Kamu masih memiliki aku... segala milikku adalah milik kamu juga. Tiada istilah berkongsi, dan jangan bertanya atau meminta izin daripadaku, hanya gunakan dan hargai apa yang kamu miliki selagi kamu masih memilikinya. Aku tidak punya apa apa yang tinggal pada diriku. Tiada apa-apa yang mampu ku tokok dan tiada apa-apa juga yang mampu ku hilangkan. Aku cuma punya kamu. Jika tertakdir aku kehilangan kamu, nasibku sama dengan Si Ungu. Kamu datang kepadaku saat kamu terasa kamu rindu dan perlukan aku, dan pergi tanpa menoleh kepadaku setelah kamu kepuasan. Akhirnya hatiku akan berkudis di sini. Menunggu kamu datang merindui aku sekali lagi.”

Masih terlalu panjang jawapan itu. Namun Gadis telah mencerna kata-kataku dengan mendalam. Dia menerpa lalu mendakapku erat. Aku membalas dakapannya. Sesungguhnya aku amat mencintainya sepenuh hatiku.

“Aku cuma mencari berus gigiku... namun kamu telah meluahkan apa yang kamu rasa tentangku... kamu gila.”

“Aku gilakan kamu, gila kerana kamu juga...”

Kata-kata seorang kekasih yang penuh bermakna itu telah menyedarkan Gadis berkenaan tentang satu hal... hargai apa yang menjadi milik kita selagi ia masih milik kita.

Gadis pantas terkenang akan kecurangan yang dilakukannya di belakang si pencinta itu. Terlalu tega dan gampang. Kini mata hatinya terbuka luas, sebenarnya si pencinta yang penuh sabar itu mengetahui segala-galanya namun tetap ikhlas mempercayai yang cinta itu masih miliknya. Malah tanpa ragu dia mengishtiharkan cintanya juga masih sepenuhnya buat hati yang dicintainya, tiada belah bahagi.

“Sayang... maafkan aku atas segala-galanya....”

Aku mengucup dahi gadisku lama-lama... rasa curiga dan kerimasan itu merangkak pergi dariku.


Cerpen sumbangan seorang penulis yang hanya mahu dikenali sebagai Eppy Eoshi. Ikuti beliau di twitter @eppyeoshi

0 comments: