Orwell - Berkawan dan mengawal


Awang Besar ada dalam banyak warna! Jaga-jaga!

Oleh Azza Azman.


George Orwell nama yang asing tetapi gah bunyinya. Nama ini aku kenal dalam Politik Kandang terjemahan ITBM. Tajuk Politik Kandang bagi aku adalah tajuk yang sangat sesuai dan kena pada tempatnya terutama apabila dipetang hari sambil pekena cekodok Brickfield, kita lihat dan tafsir arus politik yang berkocak di sekeliling kita - kepartian atau sendirian -




Awang Besar, 1984.

Latar karya 1984, yang dikarangnya sekitar 1948 itu menerangkan kita ‘pengetahuan sejagat’ yang muncul dalam setiap masa dan zaman. Seperti datangnya angin perubahan bila sesebuah kota itu panas, begitu juga Orwell, dan ketika itu, yang sempat dikutip kita, Orwellian — sebuah nama, sebuah bangunan yang juga akan runtuh. Bagaimanapun ia tetap akan kembali walau dengan nama dan rupa lain. Tetapi…

Bayangkan sebuah negara yang diserkap sehingga perilaku setiap jelatanya, tanpa mereka sedar, terhasil dari sebuah pemerintahan korup? Semua makan, pakai cara berfikir dan segalanya yang dianggap masyarakat dalam 1984 sebagai sifat alamiah mereka, hasil dari sebuah idea, sebuah kuasa dan undang-undang yang dikawal oleh Big Brother.

Sebuah pemerintahan yang datang dari keinginan untuk menukarkan, membangkitkan semangat rakyat, dan diakhiri ‘kemenangan’ sendiri menggunakan kuasa yang diolah itu membentukkan semula sebuah negara… yang baru?

Orwellian diguna-pakai untuk menyifatkan apa-apa situasi, idea, atau keadaan sosial yang mengongkong dan menindas, seperti pemerintahan kuku besi dan totalitarian dalam novelnya, 1984.

Karya itu adalah sebuah karya yang mengingat dan menyedar, akan kemungkinan sebuah kerajaan yang totalitarian — tak mustahil bukan? Atau memang…

..."manusia yang baik ialah manusia yang mampus"?  — Animal Farm

Kerajaan kepada binatang, oleh binatang dan untuk binatang, tak akan hilang!
Menggunakan binatang sebagai perumpaan mudah kepada sifat tamak, terutamanya babi datang dari sejarah perjuangan yang gelap. Binatang yang digambarkan dalam Animal Farm merupakan mangsa manusia - penipu berkaki dua.

“Yang ada empat kaki sempoi,
Yang ada dua kaki jahanam” - Animal Farm

Slogan ini masuk ke dalam benak binatang-binatang selepas dibuaikan dengan alunan merdu sehinggakan ianya tertanam terus di minda binatang-binatang di kandang.

Dalam satu kes, Boxer, seekor kuda yang sangat setia pada kerajaan kandang, berasa bersalah kerana tidak sengaja mengakibatkan kematian seorang manusia, sebelum dia dipulihkan kembali semangat dengan kata “manusia yang baik hanyalah manusia yang tidak bernyawa.”

Namun, lama-kelamaan para binatang diterajui Babi mula hilang sifat ke-binatang-an mereka, dan sedikit demi sedikit mulai menyerupai manusia. Digambarkan dengan molek oleh Orwell apabila si Babi selepas selesai berbincang dengan empunya kandang (manusia), keluar berjalan dari rumah itu dengan menggunakan hanya dua kaki!

Ini bagi aku amat menarik sebab manusia yang kejam diumpamakan sebagai binatang, dan di sini binatang yang telah menjadi manusia pula menunjukkan satu analogi yang lebih ringkas - manusia dan binatang sama sahaja.

Sampaikan bianatang-binatang lain pun sudah tak dapat bezakan mana satu binatang, mana satu manusia! Malah tak mustahil juga antara manusia sendiri keliru melihatkan manusia lain sebagai binatang atau menganggap diri sebagai binatang… Dan langsung mengesahkan apa yang dipopularkan Aristotle bahawa, manusia (mamalia) secara semula jadi adalah binatang politikal?

Atau mungkin, bak lirik Electioneering, salah satu lantunan dari kugiran kegemaran saya Radiohead, permainan tolak-tarik tali antara manusia dan binatang tak akan berkesudahan. Sebuah layar pentas untuk mamalia bersandiwara, bermain ping-pong, bermain tarik tali seperti yang dinyanyikan secara lalok oleh Thome Yorke:


I will stop, I will stop at nothing/ Say the right things when electioneering/ I trust I can rely on your votes/ When I go forwards you go backwards/ And somewhere we will meet/ When I go forwards you go backwards/ And somewhere we will meet 
Ha ha ha

Aku takkan berhenti, takkan berhenti/ membebel pasal pilihanraya/ Aku tau aku boleh pakai undi awak/ Bila aku ke depan, awak ke belakang/ Mana pun kita mesti jumpa punya/ Bila aku ke depan, awak ke belakang/ Macam mana pun kita mesti jumpa punya
 Kah Kah Kah


Walaupun kebenaran itu jauh daripada apa yang mereka mahu kita tahu, dan kadang-kadang kebenaran itu sangat mudah tetapi dengan kuasa begitu pun kita boleh sampai di cuci minda. Radiohead atau Orwell?

Dua tambah dua sama dengan empat tau? Jangan tertipu dengan propaganda.


*Rencana disediakan Azza Azman —  seorang pemerhati tajam seperti kita semua dan berhak disuarakan pandangan peribadinya. Walau tak semestinya mewakili pendapat Naskah Percuma.

0 comments:

Gadget

Kandungan ini tidak tersedia melalui sambungan tersulit.