Israel yang kita malas peduli



Oleh Hafiza Nur Adeen Nor Ahmad





Melalui Israel The Start-Up Nation, negara itu digambarkan sebagai maju dengan perkembangan progresif dalam bidang tekno-sains, selain industri. Tahun 2014 dikira bertuah bagi negara tersebut kerana 18 buah syarikat telah disenaraikan oleh The Forbes sebagai antara negara yang mempunyai syarikat start-up terbaik di dunia, bernilai sebanyak USD15 bilion. 

Manakala 99 syarikat start-up Israel telah mencecah nilai sebanyak USD7 bilion pada tahun sama dan 11 daripadanya disenaraikan antara terbaik di NASDAQ, memetik laporan IVC Research Centre. Amerika Syarikat mempunyai kekuatan dari segi modal dan kapital serta keusahawanan, manakala Israel pula mempunyai tenaga kepakaran. Dengan kewujudan kumpulan pemikir seperti AIPAC, Israel mempunyai pengaruh yang kuat dalam dasar luar Amerika Syarikat. Maksudnya hubungan mereka bagai isi dan kulit; sukar dilupakan. 

Disebabkan negara tersebut ingin mengurangkan kebergantungan terhadap sumber minyak, salah seorang jurutera terkemuka, Shai Aggasi telah memperkenalkan kereta berjanakuasa bateri di bawah syarikat The Better Place. Stesen minyak konvensional turut secara fasanya diganti dengan stesen pengecasan kereta eletrik. 

Di Gurun Negev yang kontang pun dijadikan sebagai kawasan penanaman pokok dan sumber asli pembinaan tasik untuk penternakan ikan. Ini seterusnya dapat menambahkan bekalan makanan bagi warga Israel untuk jangka masa panjang. Budaya Israel yang dikenali sebagai Chutzpah menggambarkan bahawa rakyat Israel berpegang kepada sifat ingin tahu dan inovasi yang juga merupakan resipi kemajuan intelektual mereka.

Google merupakan salah satu inovasi dan lambang bahawa kepada budaya Chutzpah berasaskan intelektualisme mereka yang ingin selalu mencari jawapan kepada sesuatu melalui buku dan kitab mereka. Disebabkan negara Israel dikelilingi oleh negara-negara Arab dan sentiasa merasakan dirinya sebagai diancam, masyarakat Yahudi berjaya melahirkan identiti dilema sekuriti yang turut menjelaskan kekuatan tentera Israel Defence Force (IDF). 

Pemilihan golongan elit IDF yang berdasarkan sistem meritokrasi bermula pada seawal peringkat persekolahan. Seawal pendidikan sekolah rendah, golongan muda yang terpilih dinilai berdasarkan kemajuan akademik dalam bidang sains, matematik dan teknologi dan juga kompetensi fizikal mereka. Golongan terpilih ini akan dilatih sehingga menjadi perajurit-perajurit dalam ranking IDF. Berbanding mana-mana sistem tentera di dunia negara maju termasuklah the United Kingdom dan Amerika Syarikat, tenteranya adalah tidaklah sama seperti Israel. 

Di kebanyakan negara maju, sistem ranking dari general, sarjan sehinggalah ke leftenan akan membentuk sistem hierarki dari bottom to the top. Namun begitu di Israel sistem ranking tidaklah begitu ketara yang membezakan antara yang berpangkat besar dan yang sederhana. Malahan pada dasarnya, mana-mana ahli tentera dari kadet biasa sehinggalah ke general mempunyai tanggungjawab masing-masing untuk menegur mana-mana potensi kesilapan ataupun penambahbaikan dalam membina strategi peperangan. Semua ahli tentera mempunyai tanggungjawab menegur dan menyuarakan pendapat mereka terutamanya ketika menghadapi ancaman peperangan. 

Singapura dan India adalah dua negara di Asia yang mempunyai hubungan kerjasama yang erat dengan Israel. Singapura sendiri mendapatkan latihan ketenteraanya berdasarkan teknologi tentera Israel. Dalam erti kata lain, ini adalah sedikit sebanyak mengenai "kehebatan" orang Israel yang kita boleh kongsikan.

Namun mengapakah disebalik kehebatan dan pencapaian negara tersebut dari segi kekuatan Israel Defence Force (IDF), pencapaian dari ilmu dan sains dan hubungan eratnya dengan Amerika Syarikat, negara tersebut masih di indekskan antara yang ke 67 pada tahun 2014 dalam indeks negara gagal (failed states) dalam Foreign Policy Index dunia?

Kaum-kaum Pemalas Israel


Begitu jugalah dengan konteks masyarakat Israel sejak pembentukkannya sehingga ke hari ini. Seperti di kebanyakan negara lain, isu seperti etnik dan agama menjadi resepi utama kemelut kestabilan negara tersebut. Perpecahan kaum dan perbezaan pendapat agama Yahudi merupakan penyebab kepada pergolakan negara tersebut disebabkan komposisi pegangan Judaism di Israel. 

Haredi iaitu golongan ultra-ortodox Yahudi yang merupakan 10% jumlah komposisi penduduk Israel dilihat adalah sebagai salah satu cabaran kini masyarakat yang majoritinya yang berpegangan sekular. Paul Danahar, seorang jurnalis BBC di dalam bukunya bertajuk "The New Middle East: The World After the Arab Spring" telah menemubual seorang usahawan wanita yang mempunyai syarikat "software" yang berpegangan Haredi. Libi Affen, yang telah datang ke Israel pada tahun 1980 berpendapat bahawa Haredi juga sama seperti mana-mana kaum lain di dunia.

Libi berpendapat bahawa seperti mana-mana budaya di dunia termasuklah India, China dan Arab, seseorang perlulah memahami budaya lain dan ini tidak kurangnya dengan cuba memahami Haredi, sebagaimana seseorang yang hendak berkerja dengan orang yang mempunyai budaya lain, mereka tidak semestinya perlu mengubah budaya tersebut tetapi lebih kepada bagiamana mereka dapat menerima budaya lain. 

Di dalam pertembungan antara dua pegangan berbeza, Haredi menganggap bahawa mereka adalah Yahudi yang sebenar. Dada akhbar Israel, The Hareetz yang bertarikh Januari 13, 2012 melalui komentatornya Amir Oren, telah menyatakan bahawa minoriti Israel Haredi sedang menghancurkan kehidupan majoriti. Menariknya, Haredi tidak pernah merasakan kepentingan "Jewishness" ataupun dalam erti kata lain, "keYahudian" negara Israel. Bagi Haredi, hukum agama Yahudi sepatutnya menjadi pengukur keatas segala penentuan undang-undang negara tersebut. 

Ini bermaksud bahawa hukum agama dari kitab Tawrah haruslah dipelajari, diimplementasikan dan dijadikan sebagai landasan utama sistem perundangan dan politik kerajaan Israel pada masa kini. Disebabkan Haredi merupakan satu-satunya bangsa yang disubsidikan kos sara hidup mereka oleh kerajaan Israel, majoriti berpendapat bahawa Haredi menyebabkan kebantutan ekonomi dan mengganggu-gugat keselamatan dan kestabilan Israel. Kaum lelaki Haredi tidak bekerja dan tidak perlu menyertai latihan ketenteraan seperti populasi lain. Bagi Haredi, mereka adalah askar-askar Yahudi yang memperjuangkan Israel sebenar-benarnya secara halus dengan mempelajari kitab Tawrah dan bagaimana ajaran tersebut boleh terus dipelihara dan dijadikan sebagai undang-undang negara Israel. 

Jika dikombinasikan jumlah kaum lelaki Haredi dan kaum Arab-Israel, kedua-duanya boleh membantu dalam meningkatkan GDP negara tersebut sehingga 5%. Disebalik potensi negara Israel untuk berkembang menjadi negara industri yang begitu pesat, 60% Haredi dan Arab Israel hidup di bawah kadar paras kemiskinan. Kadar pengangguran dikalangan warga Arab Israel setanding dengan Haredi. Sekiranya Haredi tidak bekerja kerana tanggapan mereka kaum lelaki Haredi tidak harus bekerja, kaum Arab Israel mengalami kadar pengangguran yang tinggi kerana diskriminasi terhadap mereka dengan bayaran gaji yang satu pertiga lebih rendah berbanding kaum Yahudi yang lain dan kebanyakannya yang tidak bekerja adalah wanita Arab Israel. Kaum wanita Haredi sebaliknya menjadi "ketua keluarga" dalam mencari sesuap nasi. 

Semasa pembentukan awal Israel, ketua majlis agama Yahudi meminta kepada David Ben-Gurion untuk mengecualikan ultra ortodox Haredi untuk dikecualikan daripada mengikuti latihan ketenteraan bagi membolehkan mereka mempelajari Kitab Tawrah. Pada ketika itu, jumlahnya hanyalah 400 orang. Kini sehingga tahun 2012, seramai 37,000 dikecualikan daripada latihan ketenteraan dan juga merupakan jumlah yang sama yang tidak bekerja. Jikalau Haredi tidak ingin mengikuti latihan ketenteraan, kaum Arab Israel pula tidak ingin mengikut latihan tersebut kerana krisis identiti mereka yang merasakan bahwa secara territorial mereka adalah warga Israel namun identiti dan budaya berbalik kepada Palestin. Keadaan sedimikian tidak hairanlah menyebabkan wujudnya sistem "wasta" yang mana pengalaman dalam ketenteraan dianggap sebagai satu kriteria yang boleh mengeratkan strata sosial dikalangan masyarakat Yahudi. Tidak hairanlah diskriminasi dan kadar pengangguran Haredi dan Arab Israel begitu tinggi berbanding etnik Yahudi yang lain. 

Di satu lorong kawasan penempatan Haredi, terdapat satu papan tanda dengan ayat kapital besar;

 "Kepada semua wanita dan kanak-kanak perempuan,  KAMI MEMINTA DENGAN SEPENUH HATI TOLONG JANGAN MELALUI KAWASAN KEJIRANAN KAMI DENGAN PAKAIAN YANG KURANG SOPAN" 

Ini bermaksud pakaian sopan adalah merujuk kepada pakaian "blouse" yang bertutup termasuklah pakaian kemeja panjang, skirt panjang dan pakaian yang tidak ketat. Semasa konsert 2008 bagi memperingati perang Gaza, sembilan tentera Israel-Haredi keluar daripada konsert tersebut kerana ada lagu dinyanyikan wanita. Menurut Yoel Weber melalui temuramah dengan Paul Danahar, terdapat larangan undang-undang Yahudi terkandung di dalam Talmud mengatakan suara wanita boleh menaikkan nafsu. Namun begitu disebabkan dunia yang semakin moden, terjemahan Kitab Tawrah juga semakin menjadi cabaran utama Haredi. 

Tatkala mereka masih kekalkan pegangan ultra-ortodoks, Yahudi yang lebih sekular pula lebih cenderung patriotik dengan menumpukan pada bidang keselamatan dan pertahanan Israel. Bagi orang seperti Yoel Weber, kebangkitan sekular merupakan "ancaman" kepada agama mereka dan komuniti mereka. Di tengah-tengah arus pemodenan dan penciptaan inovasi Intel yang direka oleh saintis Israel, kaum Haredi berpendapat internet adalah ancaman yang paling besar terhadap mereka. Begitu juga dengan kewujudan teknologi dan kereta. Wanita Haredi tidak digalakkan memandu kerana ia agak kurang menyenangkan komuniti ultra ortodox tersebut. 

Seperti di negara bergolak yang lain, Israel turut mempunyai "Taliban"nya tersendiri. Ekstremis dari komuniti Haredi yang dikenali sebagai "Neturei Karta" menyokong holocaust Hitler. Mereka percaya bahawa holocaust adalah bentuk hukuman dari Tuhan keatas orang-orang Yahudi kerana dosa Yahudi sekular dan majoriti Zionis. Kumpulan yang sama tersebut telah meghadiri delegasi berjumpa dengan Presiden Ahamdinejad di konferens "World Without Zionism" pada tahun 2005 yang diadakan di Tehran. Mereka turut menyertai kempen protes Palestin dengan membakar bendera Israel. Kelahiran kelompok baru ultra ortodox wanita Haredi yang menutup keseluruhan badan mereka dengan baju hitam turut dipanggil sebagai "Jewish Taliban". 

Dapat kita simpulkan, Israel yang kita kenali diluar tidaklah sama yang seperti kita bayangkan. Perbedaan pendapat tentang kepercayaan, praktis dan sosio-budaya antara Haredi yang berpegang kepada ajaran ultra ortodox Judaism dan majoriti sekular Zionis merupakan percanggahan besar dalam politik di Israel pada masa kini. Kemenangan Benjamin Bibi Netanyahu melalui  Parti Likud baru-baru ini merupakan salah satu manifestasi dilema sekuriti masyarakat Israel. Majoriti Zionis sudah tentu mengundi Netanyahu yang bersikap agresif berbanding lawannya dalam memberi penekanan kepada konsep identiti negara Israel, selari dengan sekular dan zionis Israel.


Pandangan peribadi penulis ini tidak mewakili mana-mana institusi.


Rujukan: The New Middle East: The World After Spring, Paul Danahar (2014) dan Israel: The Start-Up Nation,  2012. 

0 comments:

Gadget

Kandungan ini tidak tersedia melalui sambungan tersulit.