Kritikan Teater Kena Main (2015)



Oleh Walid Ali

Teater Kena Main merupakan teater yang menjadi perhatian di Istana Budaya pada tahun ini kerana setelah sekian lama Istana Budaya sibuk mementaskan teater-teater muzikal dan juga konsert. Teater sebegini telah lama tidak mendapat perhatian atau ruang di Istana Budaya atas pelbagai faktor antaranya seperti kesukaran untuk mendapatkan tajaan dan juga kesukaran untuk mendapatkan penonton.

Perkara ini menyebabkan lambakan teater-teater yang lebih membawa keuntungan kepada Istana Budaya dipentaskan di pentas besar itu. Oleh itu, kehadiran teater Kena Main dilihat sedikit sebanyak telah memberikan ruang nafas untuk teater yang membawa falsafah dan permainannya tersendiri.
Kena Main merupakan salah satu daripada karya yang boleh dibanggakan oleh Khalid Salleh sebagai pengarah dan juga penulis. Karya ini adalah karya yang mengetengahkan isu sosial yang banyak terdapat dalam suasana masyarakat di Malaysia. Ia pernah dipentaskan di sekitar Kuala Lumpur sekitar tahun 90-an dan kini dibawa ke pentas yang lebih besar iaitu Istana Budaya.

Teater ini mengisahkan kehidupan empat sahabat yang cacat penglihatan iaitu Mona, Jusoh, Pie dan Daud yang mencari rezeki dengan membuat persembahan nyanyian di kaki lima di Kuala Lumpur. Mereka telah berjumpa dengan Laila dan Jamil dari Persatuan Kebajikan orang-orang cacat. Laila dan Jamil menawarkan mereka untuk membuat persembahan pada malam amal anjuran persatuan tersebut. Jusoh bercadang untuk mengajak Pie, yang bermain solo tidak jauh dari tempat mereka untuk turut serta dalam persembahan berkenaan.

Disebabkan Pie tiada semasa perbincangan, Jusoh dan Daud pergi mencari Pie. Pelbagai peristiwa telah berlaku semasa pemergian mereka berdua dan Mona bernasib baik apabila telah diselamatkan daripada perkara yang tidak baik. Laila dan Jamil akhirnya berjaya menemui Pie dan menyelesaikan masalah yang dihadapi Mona di samping berjaya menjemput kumpulan ini untuk membuat persembahan.

Para pelakon dalam persembahan ini telah membawa lakonan yang berkesan dan meyakinkan. Pengalaman ialah faktor utama memandangkan rata-rata pelakon yang bermain dalam persembahan ini merupakan pelakon veteran. Setiap kata-kata yang dilontarkan jelas maksudnya dan disampaikan dengan baik. Walaupun begitu, terdapat beberapa bahagian yang dilihat kurang berkesan, seperti penggunaan ritma bualan yang berulang sehinggakan kata-kata yang dipilih kurang diberi perhatian atau dalam erti kata lain, kurang penegasan.

Pemilihan untuk meletakkan banyak watak dalam adegan pertama telah menyebabkan persembahan ini sukar untuk naik pada adegan-adegan yang seterusnya. Adegan penjual ubat ialah adegan yang menarik dan sukar untuk diatasi oleh adegan-adegan seterusnya. Kekurangan elemen kejutan dan juga kepelbagaian dalam adegan-adegan seterusnya menyebabkan graf persembahan semakin menurun. Walaupun terdapat usaha pengarah meletakkan watak tambahan yang bergerak dari kiri dan kanan pentas namun perkara ini masih lagi gagal menaikkan suasana persembahan. Lakonan berkesan oleh para pelakon sedikit sebanyak berjaya menyelamatkan keadaan daripada terus mendatar.

Terdapat juga adegan statik yang terlalu panjang. Pengisian yang dilakukan dalam adegan ini hanyalah watak orang bergerak di sekitar mereka, tetapi pengisian ini telah menjadi pengisian yang membosankan apabila terlalu banyak pengulangan.

Persembahan teater ini telah memilih Istana Budaya sebagai ruang pementasan. Namun begitu, ruang Istana Budaya yang besar dan memerlukan permainan yang lebih luas kurang dieksploitasi sehingga menyebabkan pementasan ini kurang sesuai untuk dipentaskan di ruang ini. Ruang ini perlukan penerokaan yang lebih kepada aspek kekaguman dan persembahan ini dilihat lebih sesuai dipentaskan di ruang sederhana besar ataupun pentas lambang sari.

Dalam persembahan ini, perubahan set hanya berlaku sekali dan perkara ini kurang membantu. Perubahan set ini juga dilihat kurang keperluannya. Terdapat cara alternatif yang boleh dipilih, antaranya ialah dengan menggunakan perubahan lampu untuk membezakan suasana dan tempat dari adegan penjual ubat kepada kumpulan orang buta.

Rekaan set persembahan lebih kepada rekaan set realisme yang menunjukkan suasana sebenar kota Kuala Lumpur. Ia lebih terlihat seperti kawasan LRT dan terdapat ramai orang di sekitarnya. Watak orang buta menjadi perhatian selain watak penjual ubat, penagih, pengemis dan juga orang awam. Ini membantu penonton memahami dengan mudah tempat dan situasi persembahan dengan hanya melihat pada set. Terdapat juga sisipan imej-imej yang bersifat politikal dan imej-imej ini hanya berkesan sebagai satu poster yang tidak dipedulikan. Mungkin ini yang cuba untuk disampaikan oleh pengarah dan pereka set.

Adunan warna yang dipilih untuk pencahayaan pula terlalu mendatar. Keperluan untuk menggabungkan beberapa warna boleh menaikkan lagi rekaan set dan juga suasana persembahan. Ini perlu diambil perhatian kerana ruang persembahan yang dipilih ialah Istana Budaya. Corak, warna dan juga teknologi lampu yang ada pada pentas ini tidak diberi perhatian dan digunakan sepenuhnya. Namun begitu, sekiranya pereka cahaya melakukan rekaan yang silap persembahan ini akan lari daripada bentuk yang sepatutnya kepada persembahan yang akan dipenuhi warna dan pergerakan cahaya seperti muzikal.

Kelantangan muzik dalam persembahan juga tidak diberikan perhatian. Ketika ada dialog penting, percakapan pelakon telah ditelan oleh bunyi muzik yang kuat. Tidak dapat dinafikan bahawa muzik akan membantu ‘mood’ persembahan, tetapi sekiranya terlalu banyak atau terlalu kuat yang terjadi adalah sebaliknya. Muzik yang kuat ketika dialog mengganggu penumpuan kepada dialog yang disampaikan.

Dialog-dialog yang dilontarkan oleh pelakon mempunyai banyak maksud dan menarik untuk dikaji. Kata bual yang dipilih ini telah disusun dengan baik namun begitu, penulis memilih untuk menjelaskan maksud dan menyebabkan ruang untuk penonton berfikir menjadi kurang. Misalnya, adegan ketika Pie dan Jusoh mempermainkan Daud. Mereka nampak jelas mempersendakan rakan berdasarkan kelakuan dan dialog yang mereka sampaikan. Tetapi, perkara ini menjadi meleret apabila terdapat dialog tambahan seperti menyatakan watak Daud perlu “diajar sebegitu” walaupun semua telah maklum bahawa tindakan Pie dan Jusoh ialah untuk mempersendakan Daud.

Watak pengemis juga hanya diletakkan di awal dan akhir persembahan. Watak ini pada awalnya ialah seorang yang berlakon sebagai pengemis untuk mendapatkan duit. Watak pengemis ini akhirnya diketahui umum sebagai penipu apabila duitnya dicuri ketika dia sedang membeli belah. Orang awam yang mengenali wajahnya merasa tertipu, kerana sebelum ini mereka telah memberikan wang kepada seorang makcik yang hanya mengambil kesempatan ke atas nilai simpati orang awam. Watak ini pada kehadiran kali kedua kelihatan janggal kerana penonton tidak faham siapa dia. Kesan daripada itu, dialog yang dilontarkan oleh pelakon tambahan apabila mereka tahu dia ialah makcik yang menyamar menjadi kurang berkesan.

Minat pengkarya dalam mengkaji sosiobudaya setempat dan mengkritik keadaan semasa merupakan satu usaha yang murni. Namun begitu, setiap pementasan perlu meneroka demografi dan juga kelebihan yang ada pada pentas supaya ia kelihatan lebih menarik dan kurang membosankan. Perlu diambil perhatian juga cara-cara semasa supaya semakin banyak pihak yang akan hadir menonton persembahan ini dan menganggap ia sebagai satu hiburan yang menarik. Dari masa ke semasa semakin banyak penggiat teater dan peminat teater muda yang akan mewarnai industri teater tempatan dan mereka juga patut diberi peluang memainkan peranan dalam memajukan industri teater tempatan.






Walid Ali ialah Pengarah Kreatif Luar Kotak Production.

0 comments: