Memoir A. Samad Ismail



Oleh Arif Bazli

Memoir ini mengimbau kembali kenangan tokoh kewartawanan A samad Ismail, tokoh yang dikenali sebagai sasterawan yang berjiwa rakyat. Mengamati masyarakat dan menjadi jurubicara golongan bawahan sama sekali tidak pernah luput dari jiwanya, berbanding segelintir sasterawan hari ini yang sekadar berjuang untuk diri sendiri sahaja. 

Tidak hairanlah kebanyakan karya tulisan oleh A. Samad Ismail berkisar tentang suka duka masyarakat bawahan. Dunia kewartawanan yang beliau ceburi tidak menjanjikan kemewahan yang menggunung malah membawa beliau bergelumang dengan ludah dan kahak sosial.

Semasa di Singapura, A. Samad Ismail banyak menghabiskan masa bergaul dengan pelbagai jenis manusia dan menjadi kutu rayap, menjiwai gejolak rasa masyarakat dan memindahkan nuansa masyarakat tersebut melalui mata pena.

Pada masa itu pejabat Utusan yang berada di sekitar simpang Queen Street terletak di kawasan Rochore Road, salah sebuah sarang pelacuran yang paling terkenal di Singapura. Kawasan sekitar Rochore Road tidak punya istilah tidur kerana kerancakan masyarakatnya yang menjalankan pelbagai rutin.

Pengalaman beliau bekerja di pejabat Utusan di sana banyak mendedahkan beliau dengan dunia pelacuran yang menjadi kegiatan utama di sekitar Rochore Road. Pada waktu malam, pelacur-pelacur berkeliaran di rumah rumah tumpangan hingga ke kaki lima di hadapan pejabat Utusan Melayu saat itu. Kegiataan pelacuran di Singapura waktu itu begitu unik kerana penglibatan pelbagai bangsa, begitu juga dengan gerai-gerai makanan di sekitar kawasan pinggir parit besar hingga menjengah ke hujung jalan yang menuju ke North Bridge Road.

Pekerja Utusan melayani pelacur-pelacur tersebut seperti kawan berbual dan berseloroh tanpa segan silu. Lama-kelamaan A. Samad Ismail dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran Utusan yang rapat dengan ruang linkup rumah ayam dan kelompok pelacuran.

Suatu hal yang menarik menurut beliau ialah apabila melihat pelacur pelacur di sekitarnya telah berusia lanjut belaka, hingga sesetengahnya boleh dijadikan emak angkat. Dengan muka yang tebal dengan bedak cat kapur, suara nyaring meninggi, pakaian mendedahkan tubuh menjadi kebiasaan mereka ketika mundar mandir di kaki lima kawasan tersebut.

Apabila dia melintasi sekawan pelacur, mereka akan meluru beramai ramai berteriak teriak “Come here baby, Have a nice time” diselang seli dengan hilai ketawa yang nyaring.

Perkenalan akrab dengan teman-teman utusan seperti Kadir Yahudi dan Yusof Ishak lebih mendekatkan beliau dengan dunia pelacuran waktu itu. Teringat suatu dialog beliau dengan Kadir Yahudi tentang pelacur sekitar kawasan itu.

“Apakah anda tak terganggu oleh pelacur-pelacur itu?”

Maka di balas dengan jawapan santai oleh Kadir Yahudi “Mereka pun berperanan juga dalam masyarakat. Bayaran murah… 50 sen, tidak terlalu mahal untuk rakyat jembel”


Kadir Yahudi ialah individu yang banyak mendekatkan beliau dengan rumah-rumah pelacuran sekitar Singapura terutamanya di Pasir Panjang.

“Kau pernah jamah betina…mad? Kau nak jadi wartawan macam mana kalau betina pun kau tak tahu, minum pun kau tak tahu…mana boleh jadi, asyik nak jadi anak emak saja. Begini saja Mad. malam ini kau ikut aku” Kata Kadir Yahudi.

Beliau bersama Kadir Yahudi mengunjungi rumah Liza di Pasir Panjang. Di situlah bermulanya perkenalan singkat dengan seorang pelacur bernama Joyce, yang merupakan adik kepada Liza.

Membaca kehidupan A.Samad Ismail ibarat membaca perlawanan bola di tengah keriuhan masyarakat penonton. Dunia kewartawanan beliau penuh liku dan debar. Tiga bulan berbasikal tanpa gaji ke Utusan, membawa beliau ke mahkamah, membawa ke rumah persundalan, membawa juga ke penjara tanpa bicara. Banyak benar kenangan suka duka berlaku di Singapura, sewaktu zaman pembentukan beliau sebagai seorang wartawan muda.

0 comments: