Manipulasi mikro-organisma: Adakah kita juga sedang dipermainkan?



Oleh Khusairi Zuradi

Jika anda tidak suka pada bakteria, anda sedang hidup di planet yang salah,merupakan kata-kata yang diungkapkan Stewart Brand; penulis kepada siri buku Whole Earth Catalog. Apa yang beliau ungkapkan itu benar pada pelbagai segi. Bagaimana kita mahu membenci bakteria jika tanpa kewujudan mereka kita tidak akan dapat hidup dengan sempurna?

Apa? Kita perlukan bakteria untuk hidup? Bukan ke  jangkitan bakteria itu lah yang menjadi punca manusia mati? - tanya Ali; skeptikal.

Jawapannya Ya, Ali. untuk kedua-dua soalan. Samada kita sedar atau tidak, setiap ruang pada tubuh badan kita sedang dihuni hampir sepuluh trillion jenis mikro-organisma. Bukan sahaja pada permukaan kulit malah dalam setiap rongga badan termasuklah dalam usus. Mereka makan, tidur dan membiak tanpa dilihat atau dirasai oleh kita. Malah, perbandingan bilangan sel bakteria yang hidup pada badan berbanding sel-sel yang membina organ dan sistem badan manusia adalah 10:1. Perbandingan bilangan yang besar ini menunjukkan bahawa kita telah mempunyai hubungan simbiosis mutual dengan mereka, besar kemungkinan sejak turunnya manusia pertama di muka bumi. Mereka tidak dapat hidup tanpa kita, dan kita tidak dapat hidup tanpa mereka. Kesimpulannya, kita tidak dapat lari daripada mereka.

Betul ke kita tak dapat hidup tanpa bakteria makan dan tidur dalam badan kita? Ish, geli lah! - kata Mak Jemah sambil mengigilkan badannya tanda geli.

Betul Mak Jemah, saya tak tipu. Baiklah, saya berikan satu daripada berjuta contoh yang ada. Dalam usus kita sekarang ini terdapat beberapa koloni bakteria yang membantu untuk menghadamkan makanan-makanan yang Mak Jemah makan. Sebenarnya, jika mereka tidak ada, Mak Jemah akan berasa tidak sihat kerana bakteria ini membantu menghasilkan nutrisi penting untuk badan kita. Malah, kewujudan mereka di usus kita juga bertindak sebagai Abang Long kawasan dan hal ini sangat penting bagi menghalang bakteria-bakteria lain daripada menghuni usus kita yang berharga ini. Jika mereka tidak kuat, nescaya bakteria lain akan mula menghuni usus kita dan hal ini akan menyebabkan malapetaka. Peranan Abang Long atau Kak Long (saya tak sexist) ini juga berlaku di setiap celah dan penjuru badan kita. Kerana itu lah bilangan mereka berbanding sel badan manusia adalah 10:1.

Jika ada yang baik, pasti akan ada yang tidak. Itu adalah lumrah kehidupan dan ia merangkupi hubungan simbiosis kita dengan bakteria. Walaupun kita mempunya rakan-rakan bakteria yang sentiasa menemani kita ke mana-mana sahaja kita pergi, (Anda tidak pernah keseorangan, fikirkan) bakteria yang berniat tidak baik juga ada di mana-mana. Mereka menantikan peluang terbaik untuk datang menyerang. Jika Abang Long mula lemah (sebagai contoh, regimen antibiotik broad spectrum boleh menyebabkan cirit-birit kerana antibiotik tersebut membunuh bakteria baik di dalam usus) atau ada masalah pada sistem imun badan, mereka akan datang menyerang dan menjajah. Malah, yang lebih merisaukan adalah mikro-organisma yang mahu menyerang badan kita tidak sahaja terdiri daripada bakteria, tetapi ia merangkumi pelbagai jenis virus dan parasit yang bijak dan kuat.

Otak kita sahaja lagi besar daripada semua organisma ni, kenapa pula awak kata mereka lagi bijak dan kuat daripada kita? - Kata Kak Ani sambil flip tudungnya dengan penuh gaya hijabster.

Ya, Kak Ani. Betul. Otak kita lagi besar daripada keseluruhan jasad mereka beribu mungkin berjuta kali ganda. Namun saiz bukanlah penghalang kepada strategi yang diturunkan kepada mereka daripada Tuhan. Kita perlu sedar bukan kita sahaja yang menghuni muka bumi ini, dan setiap apa yang berlaku bukanlah hanya pada kepentingan manusia. Baiklah, itu isu lain. Isu yang perlu kita bincangkan sekarang ini Kak Ani adalah bagaimana saya katakan mikro-organisma ini bijak. Saya akan berikan satu contoh bagaimana serangga dimanipulasi dahulu kemudian kita akan bergerak kepada manusia pula.

Plesiometa argyra adalah sejenis labah-labah yang hidup di benua Amerika. Malang bagi kehidupan labah-labah ini adalah kerana ia dipilih menjadi perumah kepada kitaran hidup sejenis penyengat parasit iaitu Hymenoepimecis argyraphaga. Abaikan nama-nama latin mereka yang bombastik, kita akan panggil mereka si labah-labah dan si penyengat untuk mudahkan cerita. Si labah-labah hidup bahagia di hutan Costa Rica tanpa memikirkan sebarang masalah pembayaran cukai GST, dia teruskan rutin hariannya membuat sarangnya yang terdiri daripada sesawang yang dihasilkan dengan penuh seni bagi memastikan ada serangga yang melekat di situ dan akan dijadikan makanan tengaharinya. Namun begitu, hari itu bukan hari yang baik buat si labah-labah, si Penyengat yang entah datang dari mana menyengat si Labah-labah hingga ia hilang sedar. Dalam masa yang sama si Penyengat telah menanam telurnya ke dalam badan si Labah-labah. Apabila si Labah-labah sedarkan diri, ia tidak tahu pun dia sedang mengandungkan anak si Penyengat dan meneruskan hidup seperti biasa.

Setelah beberapa ketika, telur si Penyengat menetas dan larva si Penyengat mula bergerak ke otak si Labah-labah. Larva si Penyengat seperti sudah tahu apa yang perlu dibuat, ia merembeskan bahan kimia tertentu yang berupaya mengawal minda dan pergerakan si Labah-labah. Si Labah-labah seakan-akan dirasuk atau dikawal mindanya dan mula menghasilkan sesawang yang banyak, namun ia tidak dalam bentuk yang biasa dihasilkan si Labah-labah namun ia dalam bentuk kepompong yang kukuh. Apabila tiba masanya, si Larva akan menyedut dan memakan segala isi badan si Labah-labah seperti cerita-cerita fiksyen sains yang menggelikan sehingga kering kemudian keluar daripada badan tersebut dan masuk ke dalam kepompong yang disediakan. 

Begitulah hikayat si Labah-labah yang dikawal mindanya demi tumbesaran sihat anak si Penyengat.

Ish adik ni biar betul? Lagipun itu untuk serangga, manusia mana ada kena rasuk macam tu? Lagipun rasuk-rasuk ni bukan makhluk halus punya kerja ke? - Kata Pak Samad sambil bermain dengan janggut kambingnya.

Ini kerja makhluk halus lah Pak Samad. Bezanya makhluk halus ni kita boleh tengok bawah mikroskop. Sebenarnya ada banyak lagi contoh yang boleh saya ceritakan tetapi oleh kerana saya tak mahu wujudkan budaya ilmu yang makan-suap, saya bagi kerja rumah pada para pembaca. Kerja rumah ni menarik dan interaktif maka jangan malas. Boleh buka Youtube dan search Cordyceps dan Zombie Snails dan akan ada video dokumentari mengenai bagaimana semut dan siput babi dimanipulasi oleh mikro-organisma yang sangat menakutkan tetapi menarik.

Baik Pak Samad, sekarang kita berikan contoh mengenai manusia pula. Adakah kita juga sedang dipermainkan oleh mikro-organisma? Adakah selama ini kita dirasuk tanpa kita sedar? Sebenarnya, bahagian cabang ilmu mengenai manipulasi mikro-organisma ini sangat luas dan masih baru, namun kesimpulan yang dapat dibuat oleh para pengkaji adalah makhluk halus ini tidak semestinya mengawal minda kita, mereka juga boleh mencetuskan beberapa reaksi yang menyebabkan kita mengambil beberapa langkah yang menyumbang kepada kemahuan mikro-organisma tersebut. 

Sebagai contoh, Dracunculus medinesis adalah sejenis parasit yang hidup di benua Afrika dan Asia. Kitaran hidup mereka adalah apabila manusia minum air daripada kolam yang mengandungi telur parasit tersebut, ia akan mula mengawan dalam badan kita dan apabila tiba masanya, sang betina yang penuh dengan telur akan bergerak ke kulit si mangsa dan merembeskan bahan kimia yang pedih pada kulit hingga si mangsa tersebut, secara logik dan rasional otak - sesuatu yang pedih pada kulit pastinya kita mahu basuh dengan air. Apabila si mangsa membasuh kulitnya, parasit tersebut akan mengeluarkan telurnya supaya ia mengalir bersama air dan bermulalah kitaran hidup spesisnya yang baru. Maka, daripada hubungan simbiosis kita dengan parasit ini, mereka tidak lah merasuk minda kita, tetapi mereka merangsang kita untuk melakukan sesuatu untuk kebaikan mereka. 

Apa lagi? 

Mungkin agak susah untuk kita dijangkiti parasit tadi, jadinya kita ambil contoh yang lebih mudah. Awak pernah rasa seperti demam dan asyik bersin dan batuk? Selalunya jika simptom kita begitu badan kita sedang dihidapi Rhinovirus, sejenis virus yang hinggap pada hidung dan tekak kita. Mereka ini akan merangsang refleks kita untuk bersin dan berhingus. Mengapa? Kerana setiap kali kita bersin di khalayak ramai, setiap partikel udara yang halus itu mengandungi berjuta-juta partikel anak-anak virus tersebut yang bersedia untuk menjajah hidung dan tekak orang lain pula. Hubungan simbiosis ini sebenarnya satu manipulasi rhinovirus ke atas kita dengan menyuruh kita bersin. Mereka tak kawal pusat bersin di otak kita, tetapi mereka hanya merangsang stimulus tertentu di hidung untuk berbuat demikian. Bagaimana pula apabila seseorang itu menghidapi Malaria dan Denggi? Mereka akan demam teruk dan tidak bermaya untuk bangun dari tidur. Ini sebenarnya satu reaksi badan yang sesuai kerana nyamuk akan lebih mudah menyengat mangsa yang tidak bermaya dan ini akan memudahkan Malaria dan Denggi menyebarkan pengaruh mereka dengan menjadikan nyamuk tersebut sebagai perumah mereka yang baru. Apabila nyamuk tersebut menyengat manusia lain, mereka akan dijangkiti Malaria atau Denggi pula. Kitarannya diteruskan.

Terdapat pelbagai lagi contoh yang menarik apabila membicarakan soal manipulasi mikro-organisma ini. Namun apa yang penting dalam memahami konsep manipulasi ini adalah kerana ia akan dapat membantu kita untuk mencari jalan menyekat kitaran hidup mereka dan menghalang refleks manipulasi tersebut agar kita tidak meneruskan kitarannya dan menyebarkan jangkitan tersebut kepada orang lain. Sebagai contoh, ada sejenis parasit yang hidup di Sungai Nil, Mesir. Kitaran mereka adalah dengan memasuki kulit peladang yang menggunakan air Sungai Nil dan akhirnya bergerak ke usus atau pundi kencing mereka bagi melepaskan anak mereka semula ke dalam Sungai Nil. Apabila kerajaan Mesir mula berkempen agar peladang tidak lagi kencing dan berak di dalam sungai, kitaran parasit ini dapat dihalang.

Kesimpulannya, keinginan untuk mendalami cabang-cabang ilmu begini adalah sangat penting. Seperti manusia, mikro-organisma mempunyai perangai, kesukaan, dan personaliti mereka sendiri. Apabila kita sedar akan hakikat ini, kita mampu untuk memahami apa jua jenis penyakit berjangkit dan mencari jalan untuk menghalang transmisinya daripada terus menjangkiti manusia lain. Kesedaran saintifik dalam kalangan masyarakat kita juga harus dipertingkatkan. Bukannya apabila mula tidak sihat anda ambil produk MLM dan berjumpa dengan bomoh, percaya kata mereka bulat-bulat kemudian memarahi doktor dan tidak mempercayai nasihat mereka. Jika beginilah mentaliti kita, sampai bila pun kita tidak dapat menghalang manipulasi mikro-organisma ini. Minda kita telah dimanipulasi kepercayaan khurafat dan fakta tidak berasas. Kita berlawan sesama sendiri dan yang bertepuk tangan siapa? - Mikro-organisma lah. Mereka tak perlu susah payah memanipulasi minda kita yang sememangnya sudah bodoh.

*Penulis artikel ini merupakan seorang junior dalam heirarki kultus kesihatan di Malaysia. Dia juga ada menerbitkan sendiri buku kumpulan cerpennya yang berkait rapat dengan artikel ini yang bertajuk Biohazard terbitan Simptomatik Press.

0 comments:

Gadget

Kandungan ini tidak tersedia melalui sambungan tersulit.