Ini mungkin bukan travelog: Agra dan kubur bernama Taj Mahal
Catatan dan foto Alina Abdullah
Ada
sebabnya catatan kembara kami ini ditulis lewat.
Kembara
ke tanah asing bagi aku sentiasa mengujakan. Lebih teruja jika
destinasi itu suatu yang mencabar visual-rasa dan berbeza dari segi
budaya, cara hidup dan juga cuaca.
Keluar
dari zon selesa kita. Keluar dari kotak sederhana kita. Keluar
daripada kebiasaan bangun pagi dalam kamar yang amat selesa, sambil
sarapan nasi lemak daripada gerai makcik seberang jalan. Keluar dan
ke sana.
Ke
arah sana yang cuaca amat membahang seolah
melangkah ke daerah yang baru saja diitmpa kemarau panjang.
Kesilapan kami kerana memilih ke tanah bersemadinya Ibu Teresa ini
pada musim panas! Tidak terfikir bahawa India juga punya banyak
musim, bukan sekadar terik sepanjang tahun. Padanlah tiket murah!
Kata lelaki liberalis-konservatif. Musim panas di India, terutama di
bandar-bandar Hindi, adalah musim rehat bagi wisata budaya. Musim
ini, pelancong lebih gemar ke Utara, ke kawasan pergunungan yang
lebih sejuk. Dan Delhi-Agra tanpa pelancong-pelawat-pengembara adalah
suatu daerah yang agak sunyi, sepi. Dan mati.
India
jika terzahir dalam bentuk catan, tentunya sebuah catan abstrak
ekspresionis, atau lebih tepatnya, seperti catan-catan de Kooning.
Penuh warna, jalinan dan emosi yang berbaur dalam satu dengan
aroma rempah dan kari. De Kooning dalam bauran rempah dan kari tentu
sesuatu yang menarik, bukan? Mengapa India bagai catan abstrak
ekspresionis? Mungkin makanannya,
warnanya, budayanya, kota-kota lamanya, bahasanya, cuacanya,
sesaknya, atau mungkin kesemuanya sekali. Kaualami sendiri.
Delhi-Agra-Deoband
yang telah kualami, seperti filem lakonan Dimple Kapadia itulah.
Seperti filem lakonan Amir Khan itulah. Seperti filem juga filem
hitam putih Dosti itulah. Ada pemuda membimbit radio (ya, radio,
bukan ipod) yang dipasang kuat dengan lagu bingit rancak. Seperti
rancaknya gadis-gadis yang yang bersari penuh warna menyeberang
jalan. Jalanraya yang penuh sesak dan berdebu. Debu-debu yang
mengapung sekeliling lelaki yang berbogel sambil mencangkung membuang
air besar di tepi landasan keretapi. Ya, seperti filem-filem itulah.
Dalam latar runut bunyi lagu Tere Walon Zara. Kau
kena dengar itu.
Terlalu
banyak untuk ditulisceritakan tentang kembara
Delhi-Agra-Deoband-Delhi ini. (Mengapa kami memilih tiga destinasi
ini adalah cerita lain pula.) Aku pernah terbaca, atau terdengar, di
mana entah, jika ke sesuatu daerah, pergilah lihat kota lamanya, ada
ruh dan semangat bangsa di situ. Jadi di Agra (untuk catatan ini,
biar aku kisahkan tentang kota Agra dahulu), kami ke kota-kota
lamanya, yang teguh tapi tetap sepi. Kota senibina Mughal: Kubu Agra,
Fatehpur Sikri, Makam Akbar, Makam Itmad-ud-Daulah dan tentunya Taj
Mahal yang membawa semangat empayar tua kurun ke-16 hingga ke-17.
(Ya. Bangunan-bangunan lama yang indah di Agra adalah makam. Betapa
terpengaruhnya Mughal dengan budaya Piramid Mesir!) Jadi untuk kali
ini sekadar abstrak, atau petikan daripada rantaian anekdot, aku
kisahkan tentang Taj Mahal. Abstrak tentang sebuah makam yang menjadi
klise bagi pergambaran cinta agung. Yalah sangat. Aku
sinis di sini.
Taj
Mahal tidak perlu dikisahkan lagi di sini, tentang hebatnya binaan
sebuah makam yang jadi lambang cinta agung, yang kisahnya bergerak
dalam masa dan zaman, seluruh dunia. Biarpun lambang binaan itu
sebuah makam. Biarpun cinta agung itu adalah cinta yang ketiga,
biarpun cinta agung itu memaksa rakyatnya menderita sepanjang binaan,
biarpun cinta agung itu menjadikan pembinanya kudung tangan, biarpun
cinta agung itu menjadikan pemujanya seorang yang mabuk dan edan
cinta. Jika ini cinta agung, maka mahukah kau menjadi sebegitu gila?
Untuk
melihat sebuah cinta ini, kau perlu duit yang banyak. Tiket masuk ke
kota-kota dan bangunan lama di sini sangat mahal untuk pelancong
luar. Bagi Taj Mahal, tiket pelancong luar hampir 300 peratus lebih
daripada harga tiket tempatan. (Tapi kami temui cara lain untuk
mendapatkan harga tiket yag murah. Oh, itu cerita dan kisah mungkin
pada karangan yang lain.) Untuk masuk ke dalam pula perlu beratur
panjang. Selepas itu diperiksa pula oleh pengawal. Barisan lelaki dan
wanita diasingkan. Jadi perlu hati-hati agar tidak terpisah jika
pergi berkumpulan. Semasa membeli tiket, pelawat akan di’paksabeli’
air mineral dan plastik untuk lindungi kasut. Harga agak mahal. Tips:
Jangan beli di kaunter, harga barang itu lebih murah dijual di
dalam.
Ciri
utama Taj Mahal, bagi aku
ialah pintu gerbang di hadapannya. Khabarnya, pintu gerbang itu
sengaja dibina untuk memperlihatkan kehebatan Taj Mahal melalui
‘sense of perspective’.
Semakin lama
kita menghampiri pintu gerbang itu, semakin jelas imej Taj Mahal. Ada
visual indah apabila bayang separa Taj Mahal dari kejauhan dibingkai
oleh pintu gerbang itu. Ah, sulit mahu
menzahirkan perasaan, perlu alami sendiri. Tapi itulah kebijakan
arkitek atau pereka atau siapa saja yang punya idea begitu. Jadi,
berjalanlah perlahan-lahan ke pintu gerbangnya, dan
memandang ke arah Taj Mahal yang semakin lama semakin muncul dan
membesar, dan
jelas pandangan, jika kau mahu menangkap
rasa itu.
Ah,
kita tinggalkan dahulu naratif visual Taj Mahal dan kita nikmati
akalrasa. Yang kau mahu buat apabila di Taj Mahal adalah, pilih satu
kawasan lapang dalam tamannya, dengan pandangan sederhana jauh
mengarah bangunan. Duduklah di situ selama mana yang kamu mahu.
Melukis.
Membaca. Bersajak. Ketik gambar. Atau sekadar berbualbicara bersama
teman. Lelaki liberalis-konservatif misalnya. Atau mungkin kau boleh
saja termenung, kosong, hingga hilang fokus, dan lokus. Aku
pasti perkara itu sudah terbiasa kau lakukan di balkoni rumahmu pada
waktu malam, kan? Termenung sehingga hilang foukus, maksud aku.
Keindahan
Taj Mahal bukanlah pada hiasan dalamannya, melainkan kau suka akan
kuburan yang
berada di dalamnya. Bukan juga pada
motif-motif di dindingnya, kerana, iyalah, faktor masa, maka warna
putih yang digambarkan pada dinding tidak lagi putih, tapi warnanya
menjadi semakin suram. (Ini sesuatu yang sedih). Keindahan dan
kehebatan Taj Mahal letaknya pada pandangan perspektif,-yang
kukatakan tadi- letaknya pada gambaran bingkai, di kejauhan, dan
apabila sinar matahari yang berlainan kedudukan, jatuh pada refleksi
marmar dindingnya, yang berlatar langit biru–itupun keberuntungan
jika langit cerah. Pada saat itu, kau duduklah pada jarak sederhana
kejauhan, tarik nafas, dan nikmati. Adakah kaurasakan cinta manusia
di situ? Mungkin. Apakah kaurasakan cinta Alam? Mungkin. Mungkin juga
cinta yang wujud di situ melampaui sakral.3
Tak
terjangkau.
Dek
akal.
Dan
duduklah.
Selama
mana pun.
Satu
hari penuh itu kaupunya.
Melainkan
alam cemburu dan hujan turun semahunya.
(Oh
ya, lagi satunya, tiket agak mahal, jadi tak berbaloilah masuk untuk
sejam sahaja, bukan?)
Suatu
lagi yang terkait dengan Taj Mahal ialah Sungai Jamuna di bahagian
tebing belakangnya. Entah kenapa jika tentang Jamuna, aku teringatkan
sebuah cerpen Cinta Jamuna1,
tentang cinta, tentunya, dan Sungai Jamuna, pastinya. Ah, Gambaran
Cinta Jamuna tentang Jamuna terlalu romantis. Sebab apa yang kulihat
sang Jamuna pada petang itu hanyalah sebuah sungai cetek yang
mengalir lesu dan pilu.
Apakah
kaukandung banyak cinta agung yang pilu dalam nadimu, wahai Jamuna?
Atau sudah lama Tuhan Krishna tidak menjenguk kamu? Atau sungguh
berat untuk kautanggung mitos Taj Mahal hitam?
Ada
sebabnya catatan kembara kami ini ditulis lewat. Antara satunya,
cubaan untuk merakam rasa dan ingatan tersisa, yang ada. Yang masih
ada.
_________________
EPILOG
Aku
sepertinya telah mencintai kamu dalam
bentuk-bentuk
yang tidak terkira, dalam waktu-waktu
yang
tidak terjeda, dalam kehidupan selepas kehidupan,
usia
selepas usia, selamanya
hati
mabuk pesona ini telah berkali-kali
menjalin
kalungan lagu yang kamu ambil sebagai
hadiah,
dan memakainya pada leher
dalam
pelbagai bentukmu, dalam kehidupan
India
terlalu punya banyak anekdot bagi kami. Anekdot-anekdot India ini
kerapkali diulang-ulang pada kawan-kawan. Berkali-kali. Ada yang
ditambah, ada yang dikurang, setiap kali. Terutamanya anekdot yang
amat jenaka dan yang malang.
Adakah
aku akan kembali lagi. Mungkin tidak. Jika kembali pun, mungkin ke
pergunungan di utara. Mungkin ke Darjeeling. Tapi tidak ke Agra atau
Delhi. Ini ingatanku seorang, tapi mungkin tidak bagi lelaki
liberalis-konservatif. Akar dia di India. Terutama pada juadah yang
tak tersempatkan dan tak terpuaskan nikmati. Biarpun begitu, setiap
manusia pencinta, harus menjejakkan kaki ke sana, biarpun sekali.
1
Sebuah novel tulisan Anis, atau nama sebenarnya Amida Abdul Hamid,
novelis yang kugemar dalam liganya.
2Terjemahan
bebas sajak Rabindranath Tagore, ‘Unending love’.
I
seem to have loved you in numberless forms, numberless times.
In life after life, in age after age, forever.
My spellbound heart has made and remade the necklace of songs,
That you take as a gift, wear round your neck in your many forms,
In life after life, in age after age, forever.
In life after life, in age after age, forever.
My spellbound heart has made and remade the necklace of songs,
That you take as a gift, wear round your neck in your many forms,
In life after life, in age after age, forever.
3
Ingin juga kukisahkan, pada fikirku, sakral binaan ini mungkin
dilingkung oleh kaligrafi ayat-ayat suci Al-Quran pada
dinding-dindingnya. Dalam seni Islam, darjat seni kaligrafi adalah
darjat yang paling tinggi, pertamanya kerana kudus Ayat Suci, dan
keduanya kerana tepatnya (precision) perkiraan aturan untuk melakar
suatu seni kaligrafi ini. Geometri adalah indah dan suatu yang wujud
di mana-mana, seperti yang diakui dan tertulis pada pintu gerbang
Akademi Plato, Mèdeis
ageômetrètos eisitô mou tèn stegèn,
“Orang yang tidak tahu tentang Geometri tidak dibenarkan masuk”.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Blog Archive
-
▼
2016
(8)
- ► September 2016 (1)
- ► April 2016 (1)
- ► Januari 2016 (1)
-
►
2015
(8)
- ► Disember 2015 (1)
- ► Julai 2015 (1)
- ► April 2015 (2)
-
►
2014
(1)
- ► Oktober 2014 (1)
-
►
2013
(12)
- ► Disember 2013 (3)
- ► September 2013 (1)
- ► Januari 2013 (2)
-
►
2012
(14)
- ► Disember 2012 (3)
- ► November 2012 (2)
- ► Oktober 2012 (6)
- ► September 2012 (3)
-
►
2011
(9)
- ► Disember 2011 (1)
- ► November 2011 (3)
- ► September 2011 (1)
-
►
2010
(33)
- ► Disember 2010 (1)
- ► Oktober 2010 (1)
- ► September 2010 (1)
- ► Julai 2010 (1)
- ► April 2010 (15)
Tentang NP
NP ialah sebuah majalah blog yang cuba menerapkan bahan-bahan penulisan sastera, budaya dan masyarakat terutama oleh penulis-penulis bebas dan baru. Anda juga boleh menyumbang hasil penulisan anda dengan menghantar ke: naskahpercuma@gmail.com
0 comments: