Perbualan antara Mata dan Fikiran
Cerpen oleh Wan Nor Azriq*
Foto oleh Asyraf Bakti
"Warna butakan mata... Fikiran lemahkan minda." -- Lao Tze |
FIKIRAN: Berehatlah sekejap wahai mata! Saya
ada buku untuk awak baca.
MATA: Aku tak kerja,
aku tak rehat. Aku cuma melihat.
FIKIRAN: Sebab
itu adalah diri awak?
MATA: Diriku
adalah mata.
FIKIRAN: Saya akan bosan
kalau saya jadi awak. Tuhan ciptakan saya agar berubah-ubah idea, melompat
sikap dan emosi. Untuk mencari makna dan rahsia Tuhan daripada dalam diri saya.
MATA: Memenatkan!
FIKIRAN: Saya ingin
mengenali Tuhan. Saya perlukan makna untuk hidup.
MATA: Kita tidak
boleh kenal Tuhan. Kita hanya boleh merasainya, dalam bentuk pokok dan warna
awan.
FIKIRAN: Melihat tanpa
meditasi umpama agama tanpa kebenaran.
MATA: Hmmm…
Menurutku, meditasi bertentangan dengan sifat semulajadi kita. Hanya Tuhan yang
ada hak untuk bermeditasi dan menamakan semua makhluk dan benda. Sementara itu,
keberadaan kita sama saja dengan kerikil dan rumput-rumput di tebing sungai.
Kenapa
nak rumitkan hidup? Pokok itu pokok. Batu itu batu. Kita adalah kita. Semuanya
sudah cukup dan sempurna seadanya seperti mana aturan Tuhan.
FIKIRAN: Ya, saya sudah
sedia maklum dengan hujah-hujah awak. Justeru hari ini saya datang dengan buku
berbeza untuk dikongsi.
MATA: Mengapa
kau mesti datang dengan buku?
FIKIRAN: Anggaplah ia
sebagai cabaran. Idea baru memberontak dengan idea lama.
MATA: Aku tak
perlukan idea. Aku terima semua di depanku. Tanpa diskriminasi, tanpa ragu.
FIKIRAN: Makanya, awak
tidak akan ada masalah dengan isi buku yang bakal saya sampaikan?
MATA: Terserahlah.
FIKIRAN: Nah, begitulah
baru betul! Ada keterbukaan untuk menerima ilmu. Kalau awak berterusan merenung
dinding, saya takut awak akan menjadi seperti Beckett nanti – kehilangan
kata-kata.
MATA: Baguslah.
Akhirnya kau dan aku akan berbicara dalam diam.
FIKIRAN: Mistik gila!
Baik, sekarang saya akan ceritakan tentang Kenko, sami Buddha yang hidup di
abad keempat belas di zaman pemerintahan Shogun, di mana zaman itu maharaja
hanyalah sekadar simbolik.
Kenko mempunyai hubungan erat dengan istana, walaupun di lewat hidupnya dia memilih untuk mengasingkan diri daripada sebarang urusan politik.
Kenko mempunyai hubungan erat dengan istana, walaupun di lewat hidupnya dia memilih untuk mengasingkan diri daripada sebarang urusan politik.
MATA: Jalan terbaik
menuju Tuhan adalah jalan di mana kau berjalan tanpa pakaian.
FIKIRAN: Gaya hidup sebegitu sesuai untuk Lao Tze.
Tetapi si Kenko ini terlalu mencintai kehidupan berbanding menafikan kehidupan
itu terus. Dia membina sebuah pondok di pinggir kota. Nah, di sinilah Kenko
menulis catatan dan bermeditasi tentang masa lalu.
MATA: Kau
percaya pada masa lalu?
FIKIRAN: Saya
berada di sini hasil loncatan dari masa lalu.
MATA: Alam
tidak muncul kemarin. Alam adalah apa yang ada sekarang. Mengenang masa lampau
membutakan aku.
FIKIRAN: Saya akan
bacakan salah satu catatan Kenko:
“…menjamah keheningan, jiwaku jadi
galau dalam nostalgia. Semua orang diam dalam lena, sementara kau masih hilang
dalam puncak malam, menyusun barang-barang lama, membuang tulisan yang sudah
tidak berbekas pada dirimu, dan tiba-tiba hati kau terpandang catatan dan
lakaran milik seorang sahabat yang sudah pergi, dan kau tenggelam semula dalam
nostalgia.
“Andai sahabat yang menulisnya masih hidup, apa salahnya mengingati kembali tahun dan waktu kau menerima surat itu darinya. Syahdu sungguh membayangkan barangan sendiri kerana di masa depan, ia akan sentiasa wujud seperti sedia kala dan tidak akan berubah.”
“Andai sahabat yang menulisnya masih hidup, apa salahnya mengingati kembali tahun dan waktu kau menerima surat itu darinya. Syahdu sungguh membayangkan barangan sendiri kerana di masa depan, ia akan sentiasa wujud seperti sedia kala dan tidak akan berubah.”
Nah,
bukankah itu kebahagiaan?
MATA: Di
manakah kebahagiaan dan ketenangan jika jiwa kau sentiasa galau pada memori
lalu? Kau pegang dan lihat sesuatu benda sebab kau percaya ia menyimpan misteri
dalam dirinya. Tetapi di manakah misterinya itu? Pernahkah ia muncul kepada
kau?
Aku
sering ketawa kalau aku memegang seketul batu. Ia tak boleh ceritakan apa-apa
rahsia padaku walau lama manapun aku pegang. Batu itu hanya batu. Tak ada
kebenaran lebih dari itu!
FIKIRAN: Kalau
batu hanya batu, meja hanya meja, dan sama cara kita melihatnya, maka awak dan
saya semestinya sudah mati. Kita tidak lebih daripada bangkai di tepi jalan.
Namun, hakikatnya kita bukan sekadar melihat dan memegang. Kita memberikan
nyawa pada sesuatu benda.
MATA: Burung
di langit itu akan terbang bebas tanpa campur tangan kau atau aku.
FIKIRAN: Bagaimana awak boleh pasti? Awak hanya boleh melihat
dalam batas jasmaniah yang Tuhan tetapkan atas diri awak. Sama seperti saya
hanya boleh melihat burung itu sebagai konsep. Hari ini mungkin saya percaya
burung adalah makhluk bersayap yang terbang di udara. Tetapi esok mungkin saya
percaya bahawa burung adalah makhluk berkepala tiga yang boleh menjelma menjadi
idea atau gagasan menentang kapitalisme.
MATA: Kau
kata Kenko itu sami. Kau patut belajar dari dia.
FIKIRAN: Belajar
apa?
MATA: Belajar
kosongkan diri dari idea-idea mengarut.
FIKIRAN: Aduh, sahabat…
Awak belum benar-benar mengenali Kenko. Dia mungkin seorang sami, tetapi dia
tidak pernah menjadi tubuh yang kosong. Matanya sentiasa melihat dan emosinya
sentiasa membaca apa yang dia lihat. Bagi Kenko harus ada keseimbangan dalam
hidup kita – antara pengasingan dan penerimaan. Katanya:
“Tidak kisahlah di
mana pun tempatnya, apabila kau keluar berkelana, kau menjadi lebih hidup dan
peka terhadap semua benda. Mata kau menggelintar dan mencari benda-benda baru
dalam rumah kampung dan bangunan usang. Turut menyenangkan adalah mengirimkan
pesan kepada keluarga di ibu kota, menanyakan khabar, dan mengingatkan mereka
tentang urusan tetek benget yang harus dijaga. Di tempat baru, kau menjadi
lebih tergoda pada benda-benda kau lihat. Malah barang kau bawa dari rumah
tiba-tiba menunjukkan sisi kehalusan yang kau tidak pernah perasan. Itu belum
mengambil kira bakat seni atau kecantikan seseorang yang mampu membuat kau
teruja lebih daripada kebiasaan. Di hujung perjalanan itu, kau mencari
ketenangan dengan menyendiri di sebuah kuil atau candi.”
MATA: Maaf cakap, fikiran kau telah membutakan aku.
*Wan Nor Azriq Wan Mokhtar, pengarang kelahiran Jelapang Padi ini telah menghasilkan lima buah novel selain pelbagai kerjasama penulisan bersama syarikat-syarikat indie dan arus perdana. Novel pertamanya D.U.B.L.I.N telah memenangi tempat pertama Novel Terbaik Sayembara Penulisan ITBM-Pena-BH 2014.
^Asyraf Bakti, juga anak kelahiran Kedah Darul Aman merupakan jurugambar, cerpenis, novelis DANDAN (boleh didapati secara percuma di Wattpad FIXI). Beliau juga pernah menghasilkan filem pendek bertajuk Tolak Hujan, 2016. Di sela lapang beliau menanam bendi dan menjual rojak buah. Sekarang, beliau sedang menyiapkan sebuah novel misteri.
^Asyraf Bakti, juga anak kelahiran Kedah Darul Aman merupakan jurugambar, cerpenis, novelis DANDAN (boleh didapati secara percuma di Wattpad FIXI). Beliau juga pernah menghasilkan filem pendek bertajuk Tolak Hujan, 2016. Di sela lapang beliau menanam bendi dan menjual rojak buah. Sekarang, beliau sedang menyiapkan sebuah novel misteri.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Blog Archive
-
▼
2016
(8)
- ► September 2016 (1)
- ► April 2016 (1)
- ► Januari 2016 (1)
-
►
2015
(8)
- ► Disember 2015 (1)
- ► Julai 2015 (1)
- ► April 2015 (2)
-
►
2014
(1)
- ► Oktober 2014 (1)
-
►
2013
(12)
- ► Disember 2013 (3)
- ► September 2013 (1)
- ► Januari 2013 (2)
-
►
2012
(14)
- ► Disember 2012 (3)
- ► November 2012 (2)
- ► Oktober 2012 (6)
- ► September 2012 (3)
-
►
2011
(9)
- ► Disember 2011 (1)
- ► November 2011 (3)
- ► September 2011 (1)
-
►
2010
(33)
- ► Disember 2010 (1)
- ► Oktober 2010 (1)
- ► September 2010 (1)
- ► Julai 2010 (1)
- ► April 2010 (15)
Tentang NP
NP ialah sebuah majalah blog yang cuba menerapkan bahan-bahan penulisan sastera, budaya dan masyarakat terutama oleh penulis-penulis bebas dan baru. Anda juga boleh menyumbang hasil penulisan anda dengan menghantar ke: naskahpercuma@gmail.com
0 comments: