Memaparkan catatan dengan label karyakreatif. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label karyakreatif. Papar semua catatan

Perbualan antara Mata dan Fikiran

Cerpen oleh Wan Nor Azriq* 

Foto oleh Asyraf Bakti




"Warna butakan mata... Fikiran lemahkan minda." -- Lao Tze

FIKIRAN:            Berehatlah sekejap wahai mata! Saya ada buku untuk awak baca.

MATA:               Aku tak kerja, aku tak rehat. Aku cuma melihat.

FIKIRAN:            Sebab itu adalah diri awak?

MATA:                 Diriku adalah mata.

FIKIRAN:         Saya akan bosan kalau saya jadi awak. Tuhan ciptakan saya agar berubah-ubah idea, melompat sikap dan emosi. Untuk mencari makna dan rahsia Tuhan daripada dalam diri saya.

MATA:               Memenatkan!

FIKIRAN:            Saya ingin mengenali Tuhan. Saya perlukan makna untuk hidup.

Penyajak Koyak Mampus

oleh Syafiq Ghazali*

Umpama ayam, kematian penyajak membuka lembaran kehidupan baru buat orang lain.



Di dalam kepalaku, aku tiba di stesen keretapi Charleville-Mezieres pada jam 10 pagi tepat. Dan sebaik aku keluar ke muka stesen, pasangan Hubert sudah pun menantiku di sisi SUV Peugeot mereka.

‘Bonjour,’ ujar Encik Hubert, tersenyum dan menyalamiku. ‘Bienvenue à Charleville-Mezieres.’
            
‘Bonjour. . . merci.’ Kataku, dan memandangkan pertuturan Perancisku sangat terbatas, bertanya pula dalam bahasa Melayu: ‘Helaine tak datang?’
            
‘Ga’,’ jawab Puan Hubert. ‘Ia pingin datang tapi tiduran terus sejak pagi.’
            
‘Yuk kita berangkat,’ tambah Encik Hubert.
            
Tanpa menunggu jawapanku, dia mencapai beg troliku dan memasukkannya ke dalam bonet. Puan Hubert pula membuka pintu belakang dan mempersilakan aku masuk. Dan beberapa minit kemudian kami sudah pun keluar dari kawasan stesen Charleville-Mezieres itu.
            
Di dalam kereta, Encik Hubert mencadangkan kami untuk terus ke muzium Arthur Rimbaud memandangkan hari masih awal. Aku mengeyakan cadangan itu sekalipun aku sudah begitu letih dek penangan perjalanan 13 jam dengan kapal terbang dan dua jam lebih dengan tren; dan juga kerana aku sendiri yang menyatakan hasrat untuk melawat tempat itu sewaktu ajakan Encik Hubert, dua bulan sudah menerusi emel, supaya aku melawat dia sekeluarga di Charleville-Mezieres.

Plot Menculik Presiden Malaywood



Oleh Roslan Jomel

Aku maklum Presiden Malaywood bukan disukai oleh semua orang. Aku tidak tahu atas alasan apa. Wajah pun tidak menarik. Kepala botak. Meminati kelab bola sepak Liverpool. Justeru aku ingin menculiknya. Bagaimana aku beroperasi, belum dipastikan lagi. Tujuan aku melakukan misi ini bukan kerana aku berdendam secara peribadi dengan Presiden. Aku tidak peduli langsung dengan apa yang dilakukan di bawah pemerintahannya. Aku bukan seorang yang suka berfikir hal-hal berat kenegaraan. Perasan intelek. Ia lebih sekadar untuk bersuka-suka.

Itu sesuatu yang besar. Berprofil tinggi Aku tidak berpengalaman melakukan aktiviti berisiko. Tidak pernah memecah masuk rumah orang. Tidak pernah mencari gaduh dengan sesiapa. Tidak pernah digari polis. Maka, aku perlukan beberapa ahli. Berani dan berwawasan jauh. Muda dan sihat tubuh badan. Tidak terlalu mementingkan gaya rambut dan fesyen. Tidak perlu juga berbadan tegap seperti Mat Damon. Paling penting, mesti berhati kering. Kerja menculik Presiden Malaywood tidak semestinya layak dilakukan oleh seseorang  profesional. Amatur pun boleh. Aku tidak mahu penagih dadah atau kaki botol. Ramai kawan aku yang sedang menderita sakit jiwa sekarang ini. Mereka kurang sesuai.

Jangan Bohongi Aku






Oleh EPPY EOSHI


Aku sedang meletak ubat gigi pada berus gigi ketika kisah itu terkarang pantas dalam helai-helai mindaku. Aku merenung wajah sendiri di dalam cermin. Alangkah bagusnya jika kisah yang terkarang itu terpancut sendiri menjadi helai-helai kertas pula dengan ceritanya sudah bertaip kemas tanpa perlu jari-jemariku bekerja. Kerana sudah tabiatku yang memang suka berfikir dan kuat menaakul, tetapi malas menzahirkannya dalam ucap kataku, apa lagi mahu menzahirkan dengan pena. Segala-galanya kubiarkan berlegar di awangan akalku, dan kemudian aku akan melupakannya.

Oleh itu, aku beranggapan tidak perlu untuk menzahirkan kebanyakan buah renunganku, cukuplah sekadar berbangga jika berjaya menzahirkannya tanpa tokok tambah dan keasliannya terpelihara.

Cerita itu berbunyi begini...

Pasir dan Bebuih

Serpihan puisi Sand and Foam Kahlil Gibran. Terjemahan oleh Raja Syahrul Helmi



Selamanya kususuri pesisiran ini, antara pasir dan bebuih, air pasang akan menghapus jejakku dan bebuih hilang dibawa bayu. Tapi laut dan pantai ini akan kekal Abadi.

Sekali kupenuhi tanganku dengan kabus. Kemudian aku membukanya dan lihat, kabus jadi kepompong. Kututup lagi tanganku dan ku buka lalu lihatlah, ia jadi seekor burung. Sekali lagi kututup dan kubuka tanganku ada seorang lelaki berdiri di tengahnya, sedang mendongak dengan wajah sayu. Kututupkan lagi tanganku dan waktu ku buka kembali hanya tinggal kabus di celahnya. Apapun, aku sempat mendengar lagu yang sungguh merdu.

Baru semalam aku merasa diriku sekadar serpihan yang bergetar tanpa rentak dalam kitaran kehidupan. Sekarang aku tahu akulah kitaran itu, dan semua yang hidup adalah serpihan-serpihan yang bergetar serentak dalam diriku.

Mereka berkata padaku waktu mereka baru tersedar “Kamu dan dunia kehidupanmu hanyalah sebutir pasir di pesisir laut yang tak terbatas” Dan dalam mimpiku aku katakan kepada mereka “Akulah laut tak terbatas itu dan seluruh alam hanyalah butiran–butiran pasir di pantaiku”

Hanya sekali aku terdiam. Iaitu ketika seorang lelaki bertanya padaku,
“Siapa kamu?”

Yang mula-mula mengingati tuhan ialah malaikat. Yang mula-mula menamakan Tuhan ialah manusia..

Kami telah terbang, bertebaran sebagai makhluk-makhluk yang merindu beribu tahun sebelum laut dan hembusan angin di belantara mengurniakan kami kata. Kini mampukah kami mengembalikan hari-hari purba dulu dengan hanya bunyi-bunyian kelmarin?

Tak Kenal Syurga Neraka


Puisi oleh Raja Syahrul Helmi

Fikirlah kamu yang boleh berfikir, tentang Kebenaran. Luasnya alam tak mampu kau fikirkan, itu kebenaran. Lebih banyak daripada butir–butir pasir bintang–bintang, dan bagi setiap bintang, berapa banyak batu seperti bumi ini yang dihidupkannya? Berapa banyak bangsa, berapa banyak bahasa, berapa banyak nama–nama tuhan yang ada? Jadi janganlah kau bersengketa kerana nama.

Tuhan tidak ada di masjid–masjid, tidak juga di gereja–gereja, malah tidak juga pada batu–batu yang kau ukir indah, tidak ada di puncak langit, tidak juga di perut bumi, tidak ada di antara tubuh-tubuh di angkasa. Pada malam Ibrahim bertanyakan kepada Saturn, “Engkaukah Tuhanku?” bukan planet itu yang akhirnya menyahut “Akulah Tuhanmu”, tapi hatinya sendiri yang bersuara.

Jadi untuk mencari tuhan kau tak perlu pergi jauh ke luar, tapi jauh ke dalam. Dan tuhan di dalam itu tak perlukan nama, tak perlukan upacara, tak perlukan darah, tak perlukan apa–apa.

Kau yang perlukannya perlu mendekatinya, bukan dengan falsafah kerana falsafahmu tak membuktikan apa–apa. Ia tidak salah tapi tidak juga betul, ia betul dan ia juga salah, jadi dengan falsafah kau selalu tergantung di tengah–tengah.

Dekatilah Dia dengan cinta.

Sajak-Sajak Untuk Claire


Untuk Claire

Akhirnya nanti tinggal gigi,
cinta juga akan dikambus pasir jadi
pentingkah masa depan? Lidah
bukan untuk bicara tapi untuk menjilat,
dan mulut untuk mengulum, walau kau
mubaligh, mimpimu seorang lelaki
dengan kesan-kesan paku di tangan, aku
ada pendapatku sendiri tentang itu, Claire,
dan Nasib memerangkap kita, menghembus
nafas panas di pipi, menyelak kain dengan udara,
bulan yang sepucat tubuhmu malam ini
itulah dewa-dewiku.


In the end only teeth remain,
love too, will be drowned in sand so
is the future important? Tongues
are not for talking but for licking,
and mouths for sucking, even if you’re
a missionary, your dream a man
with nail marks on his hands, I
have my own opinion about that, Claire,
and Fate who ensnares us, blowing
hot breath on cheeks, plucking cloth with air,
the moon as pale as your body tonight,
those are my gods.

Melayu. Sepuluh Tahun Setelah Usman Awang


AJ Di Metro Fine Art


Oleh Abdullah Jones

Melayu itu 
layaknya berniaga 
dibawah payung cuma 
jual jambu dipinggir jalan 
berkhemah hingga dinihari 
menjual barangan tiruan 
dikala bilal pecah tekak laung azan 

dia sibuk melalak jual barang

The Three Questions atau dalam melayunya Tiga Persoalan.





Satu hari ada seorang maharaja yang terfikir betapa banyak perkara boleh diselesaikan dengan mudah jika dia dapat menjawab tiga soalan:

Bilakah masa paling tepat untuk melakukan sesuatu? Dengan siapakah dia mesti melakukan sesuatu? Dan apakah perkara paling penting yang mesti dibuat?

Maharaja itu mengeluarkan watiqah ke seluruh jajahannya mengisytiharkan hadiah besar akan diberi kepada sesiapa yang dapat menjawab ketiga-tiga soalan itu. Ramai yang membaca watiqah itu segera menuju ke istana dengan jawapan masing-masing.

Cerpen Percuma: Seminggu oleh Ayam Fared


Dalam tong sampah Ikea warna merah, hadiah bekas kekasih lama yang kini telah pun berkahwin dengan lelaki lain, ada kondom yang berisi mani, yang baru digunakan petang tadi. Tidak, bau mani tidak menyelubungi bilik ini.

Yang tertinggal dan terus berlegar kuat, selain kesunyian dan bunyi kipas yang telah tenat, cumalah bau popotmu, sebagai bukti sebuah rindu yang mestiku tahan lagi seminggu.

"You are god's little thumb."

SMS ringkas yang kau hantar pagi tadi, sebelum kau datang dan kita melangsaikan keinginan, masih tersimpan dalam inbox telefon bimbitku. Ya, telefon bimbit itu, yang tahun lepas dihadiahkan oleh adik perempuanku, yang baru sekejap tadi satu kelebihan aplikasinya ku tahu, lalu belajar menghantar MMS padamu.

Kitab Wasiat Soe Hok Gie

:karya ini terinspirasi dari sisi sentimental seorang GIE

pada akhirnya, kita semua tahu. dan aku tidak perlu mengajarkan apa-apa padamu. lampu-lampu temaram, semakin kelam. jauh tidak menyuluhi jalanan kita. sekolah yang kita bangunkan dari lumpuran hitam, menanti rebah mencium tanah merah.

berderak-derak, langkahan buta memijak. sedang lantai masih basah, disemen bancuhan konkrit ampuh. apa lagi yang ada? sedang semuanya menanti runtuh?

kita yang di sini, tak hentinya bertanya, "kemarilah, mati!" dan tangan lunglai melambai, menjemput dalam tinta kita yang terakhir.

inilah, yang telah tertulis pada kita-kita yang tahu. sebuah wasiat yang dikitabkan, berakhir di tangan sang pendomba luka. mencanangkan perjuangan, cinta dan kematian kita.

dan pada akhirnya, kita semua tahu. semua harap-harap, berselerakan di kaki hampa. hiduplah kebodohan, yang kita benahkan di antara dada-dada kosong. sedang sebuah keabadian itu ternyata bukan lagi keperluan...*Zu



Puisi Untuk Anjing Sesat (Bukowski) dan Osmosis Proudhon

Charles Bukowski, 1920-1994

Puisi Untuk Anjing Sesat
*Poem for lost dogs By Charles Bukowski

Rasa bagus itu selalu datang waktu-waktu pelik: sekali, selepas
            tidur
terjaga di atas kerusi taman di bandar asing, baju dibasahi dengan titis embun dan aku bangun dan mula berjalan ke timur
            ke arah
wajah menghadap matahari naik dan dalam diri aku ada kegembiraan kecil wujud

masa yang lain selepas melanggan pelacur jalanan, kami berjalan bersama jam 2 a.m bawah rembulan beriringan
menuju ke bilik murah ku tapi aku tidak bernafsu untuk menidurinya.
gembira lembut datang daripada berjalan beriringan dalam masa kekeliruan
semesta- kami ialah teman, teman yang asing berjalan bersama
tanpa bicara.
Skarf ungu dan putih tergantung di beg tangannya- berkibar dalam gelap
semasa kami berjalan
dan musik boleh datang daripada cahaya bulan

Women With Umbrella




:untuk sebuah lukisan misteri yang tidak bernama 

Cahaya Kekasih

Prosedur Penyucian
dah tahu itu salah
mana boleh buat tak endah
kau kata kau mahu berubah
usah percik janji sampah
perap rempah seluruh arah
serap rasa menyampah
percuma kau disumpah seranah

kotor tangan kena cuci
sental berus dawai
rendam dengan clorox
tambah setong air didih
menggelupur kuman dalam neraka buatan

akhir sekali
steril hati bagi suci
tutup bekas kedap udara
lanjutkan tarikh luput
tahan lebih lama
sampai mati
25 April 2010

Once: Sebuah apresiasi

Once: sebuah apresiasi




"Once"
Lagakan gelas kenangan, biarku mabuk dalam pencarian hampa ini...


Seperti kelmarin, kita berdua tetap di sini. Aku dan kamu. Kita yang berusaha melupakan perbezaan ini. Apakah saat berdetik melawan arus waktu? Aku tetaplah semalam itu, dan kau masih saja bernafas untuk hari ini...



"Part of me has died

And won't return
And part of me wants to hide
The part that's burned"

Puisi Mawar Marzuki dan Mohamad Farez Abdul Karim


Telah tiba masanya kutulis tentang aku

Sebuah kitab terbuka
Di dalamnya ada
Seorang aku
Yang masih meraba-raba isi alam

Ada aksara-aksara tersembunyi
Hingga aku pelat menyebut
a ba ta sa ja a

halaman semakin usai
ku kejar lagi
aksara-aksara berlari
mencari hatiku
yang tumpah di dada waktu

sudah tiba masanya ku tulis tentang aku
yang masih percaya
hidup di bumi
bernoktah tiba
bila lidi talkin
tertitik

amin.



Mawar Marzuki, 23 April 2010


Puisi Zulkifli bin Mohamed dan Yong Muen


~SAYA TABIK UNTUK SAUDARA(ketika berhenti antara lampu isyarat itu)~

saudaraku
tanpa segan saudara menyapu setiap zarah sampah
dari hujung tiang lampu isyarat di mana mata manusia
langsung tidak memandang dengan jujur
terik cahaya membakar kesabaran saudara
tanpa perlu sembunyikan wajah diri
terus menyapu zarah kotor yang terbuang
dari tingkap dan tangan manusia yang enggan melihat
siapa diri saudara.

saya tabik untuk saudara.

ZULKIFLI BIN MOHAMED

Chukai, Darul Iman
30 Januari 2010.

Puisi Raja Syahrul Helmi


~NOTA BUAT NATASHA~
1.

Masihkah kau ingat pagi itu? Kita singgah di lereng bukit
Setelah habis rave party untuk melihat pasang padam lampu kota.
Kau memelukku dan mengatakan:

“Kota ini bagaikan sebuah kelab gergasi
memainkan cahaya buat kita yang belum puas menari”

Dan kemudian aku kau ajak menari di atas hud kereta!

2.

Sekarang sudah siang tapi aku belum lena.
Ribut-ribut deru kenderaan dan tapak kasut,
Bertingkah dengan bunyi penggera kereta menggila,
Heretan beg–beg beroda, juga jeritan jam bermacam gaya.
Semuanya membuatku rimas, Sakit kepala! Seluruh badanku panas,
Dan tekak mula terasa loya (mungkin kerana pil yang ku ambil)
Ku buka tingkap luas–luas biar masuk udara segar.

Tasha, adakah rambutmu juga sedang disentuh angin ini?