Puisi Raja Syahrul Helmi


~NOTA BUAT NATASHA~
1.

Masihkah kau ingat pagi itu? Kita singgah di lereng bukit
Setelah habis rave party untuk melihat pasang padam lampu kota.
Kau memelukku dan mengatakan:

“Kota ini bagaikan sebuah kelab gergasi
memainkan cahaya buat kita yang belum puas menari”

Dan kemudian aku kau ajak menari di atas hud kereta!

2.

Sekarang sudah siang tapi aku belum lena.
Ribut-ribut deru kenderaan dan tapak kasut,
Bertingkah dengan bunyi penggera kereta menggila,
Heretan beg–beg beroda, juga jeritan jam bermacam gaya.
Semuanya membuatku rimas, Sakit kepala! Seluruh badanku panas,
Dan tekak mula terasa loya (mungkin kerana pil yang ku ambil)
Ku buka tingkap luas–luas biar masuk udara segar.

Tasha, adakah rambutmu juga sedang disentuh angin ini?


3.

Aku dikejutkan dari tidur oleh raungan keras,
seperti raungan dinosor tua yang bertarung ganas.
Di luar tingkap sebuah bas menghampiri simpang;
Wap sejuk memenuhi cerminnya yang lapang.
Dapat ku lihat penumpang – penumpang bas duduk
berpeluk tubuh, tunduk tersengguk menahan ngantuk.

Tasha, dulu kau juga duduk diantara mereka,
tapi kau tak pernah suka menaiki
‘peti sejuk pembeku daging beroda’ itu.
(itu ayatmu yang kupinjam)

4.

Masih ada berpasang pakaianmu berlipat kemas dalam almari.
Skirt ‘Paul Smith’ yang ku beli dengan sebulan gaji
baru pernah kau pakai dua kali, beberapa helai t-shirt,
dress hadiah harijadimu, swimsuit dan jaket kesayanganmu itu
juga ada padaku.

Cd–cdmu tak pernah ku keluarkan dari kereta, dan
buku–buku yang kau pinjamkan dulu habis semua ku baca.

Bila kau akan datang mengambil barang – barang itu?

Aku sudah berhenti kerja (dinasihatkan supaya berhenti).
Jadi kau boleh datang bila – bila masa.

5.

Musim hujan datang lagi, seperti selalu aku menunggu di tepi jendela
melihat bunga–bunga kertas gugur, dibawa air lopak mengalir deras.
Petang nanti aku akan ke rumahmu lagi. Sayang aku tak pernah jemu
Melihat pagar besi rumahmu yang hampir hancur dimamah karat,
dan layang–layang yang membuat hatiku senang.

Tasha, mungkinkah kau satu antara beburung riang itu?



Raja Syahrul Helmi. 2008. Kuala Lumpur.



~HIPOKRIT~


1.

Kamu menyanyikan lagu rindu buat tuhanmu
yang tidak kamu kenal. Kamu pengampu!

Tuhan hanya ada di lidahmu dan kerana itu
Kamu mudah menggunakan ayat – ayat tuhan
untuk mencapai hasratmu...

2.

Kamu masih lagi menghabiskan hari – hari
dengan mengumpul dan membahagi
seolah kamu mahu hidup seribu tahun lagi,
sedangkan kamu selalu berceramah tentang mati.

Kamu hipokrit! Yang terlupa

Mati juga sedang menunggu di belakang bahumu,
Sedia untuk menepuk dan menyapa dari belakang
“Hai kawan!” seperti seorang pemungut hutang.

Dan ketika itu jika kamu merasa hidupmu juga belum penuh
bolehkah kamu mengelak atau minta tangguh?

3.

Kamu penipu! Kamu dayus!

Penipu! kerana kamu hanya mengatakan separuh kebenaran
(bahagian yang menguntungkanmu) sedang kamu selindungkan
separuh lagi bahagian yang merugikanmu.

Dan dayus!

Kerana kamu menggunakan agama untuk mengongkong kami,
sedangkan agama bukanlah gari besi, tapi adalah
sayap suci.


Raja Syahrul Helmi. Klang 2009.

1 comments:

faziz ar berkata...

Salam Dyahrul
aku kelamanmu dan membaca
satu memoir yang sungguh tenang membacanya....
salam bersulam puisi...