Cerpen Percuma: Seminggu oleh Ayam Fared


Dalam tong sampah Ikea warna merah, hadiah bekas kekasih lama yang kini telah pun berkahwin dengan lelaki lain, ada kondom yang berisi mani, yang baru digunakan petang tadi. Tidak, bau mani tidak menyelubungi bilik ini.

Yang tertinggal dan terus berlegar kuat, selain kesunyian dan bunyi kipas yang telah tenat, cumalah bau popotmu, sebagai bukti sebuah rindu yang mestiku tahan lagi seminggu.

"You are god's little thumb."

SMS ringkas yang kau hantar pagi tadi, sebelum kau datang dan kita melangsaikan keinginan, masih tersimpan dalam inbox telefon bimbitku. Ya, telefon bimbit itu, yang tahun lepas dihadiahkan oleh adik perempuanku, yang baru sekejap tadi satu kelebihan aplikasinya ku tahu, lalu belajar menghantar MMS padamu.


Teknologi. Itulah dia. Sesuatu yang bagi aku cumalah alat bantuan yang terakhir menjadi pilihan bila kenyataan seakan menekan dan tak mengizinkan. Walau aku benci, tapi aku terpaksa akui, aku juga bergantung pada mereka kadangkala. Cuma kebergantungan aku padanya tidaklah seteruk mereka yang duduk makan semeja tapi langsung tak berbual sesama mereka akibat masing-masing sibuk melayan alat-alat berteknologi sendiri. Mungkin itulah dunia pada mereka zaman ini, duduk berhadap-hadapan, bersemuka, tapi hanya berkomunikasi di alam maya.

Anti-sosial-individualistik-palsu, bagi aku. Kau juga bersetuju. Seperti yang kita lihat petang tadi, di restoran Papa Rich yang telah kali kedua kau bawa aku ke sana, ketika kita sama-sama masih khayal dengan ganja dan sambil merokok dan bersila, kita memecah suasana dengan cerita Tutti Frutti dan Gautama Buddha.

Kita ketawa, suka. Mungkin kerana ganja, mungkin juga kerana kita tak seperti mereka yang tidak lagi tahu bagaimana mahu merayakan komunikasi alam nyata.

"I know you gonna say that!"

Kau katakan padaku sambil disambut hilai tawa kita berdua. Kau suka, bila kau dapat membaca fikiranku, sepertimana aku selalu membaca fikiranmu. Kita selalu begitu, seronok dan khusyuk dengan permainan minda kita berdua, hingga kadang-kadang orang lain yang ada bersama tidak dapat turut serta bercerita, kerana kita tanpa sedar telah mencipta eutopia kita, dan membiarkan mereka yang ada bersama hanya melihat ternganga. Itu sebabnya aku kadangkala bertanya sendiri, pada akhirnya, apa bezanya komunikasi alam nyata kita berdua dengan mereka yang anti-sosial akibat komunikasi alam maya?

Entah. Sesuatu yang menarik untuk aku dan kau fikirkan.

Ahhh... Sebatang lagi rokok aku nyalakan, aku tak ada pilihan. Inilah dia permasalahannya sekarang. Aku sendiri tak dapat mengawal ke mana tulisan ini akan ku arahkan. Yang aku tahu, tulisan ini adalah akibat aku telah sekali lagi kau tinggalkan, kerana satu tugas yang harus kau selesaikan, menyebabkan aku kembali keseorangan melayan bau popotmu yang masih melekat di awangan, sebagai bukti sakti sebuah rindu yang harus ku tanggung lagi seminggu.

Ya, seminggu!

Sebelum kau kembali ke pangkuanku.

2 comments:

Raja Syahrul Helmi berkata...

dah cuba seks maya? best juga tapi mana nak lawan 'popot' depan mata

Riesna Zasly berkata...

great!!!
Versi djenar maesa ayu :)