Ulasan zine: Yak Bok Te!




Oleh Wahyudi Yunus

Untuk seorang penulis, persekitaran adalah kolam inspirasi. Duduk di satu tempat yang dikelilingi orang lain, pita rakaman dalam kepala menukar sembang kedai kopi menjadi dialog dalam tulisan yang ditokok tambah, tolak bahagi. Senyum atau ketawa sendiri perkara biasa.

Kalau kamu terserempak dengan seseorang yang tersenyum atau ketawa sendiri boleh jadi dia seorang penulis yang sedang menyiapkan sebuah karya agung di kepalanya. Atau boleh jadi dia cuma lupa makan ubat.

Boleh jadi juga dia Amin Landak. Amin, nama singkatnya, bukan penulis atau orang gila. Dia kartunis. Dia baru menerbitkan sebuah zine yang diberi tajuk "Yak Bok Te!" (YBT). Sebuah percubaan tipikal untuk menegaskan bahawa dia orang Kelantan. YBT menurutnya adalah perkataan yang orang Kelantan sebut ketika terkejut atau melatah. Saya ada beberapa kawan asal Kelantan. Mereka lebih gemar menyebut nama-nama binatang dan organ persenyawaan manusia. Apa yang saya cuba sampaikan, Amin ni mempunyai pemerhatian yang tajam.


Amin melukiskan dua watak adik-beradik yang curi makan Milo setiap kali mak mereka keluar pergi pasar. Kawan lama yang sudah berkurun tidak dengar khabar tiba-tiba ajak lepak hanya untuk menjual produk MLM. Kawan yang setiap kali jumpa minta nombor telefon walaupun kau tak pernah tukar nombor lain. Amin juga menyusup masuk dalam scene perokok dimana sebatang rokok memberi maksud yang lebih luas - sebagai objek pengukur jarak atau masa contohnya ("habis sebatang rokok kita gerak").

Dan yang paling menang sekali adalah watak kartun yang makan di restoran. Mamat tu malas nak bangun ke sinki basuh tengan. Dia pandang gelas milo ais di atas mejanya. Dia ingat cikgu Sains yang pernah sebut perkataan kondensasi, tapi dia lupa apa maksud sebenar perkataan tu. Dia toleh kiri, toleh kanan.  Dia  pelan-pelan lap tangan di gelasnya dan itulah konsep basuh tangan untuk makan tengah hari tu. Saya hampir mati dalam ketawa.

Saya tidak tahu menilai kartun. Saya tidak tahu mereka digelar kartunis atau komikus atau ada gelaran lain. Saya mudah terhibur dengan hal-hal picisan. Majalah Gila-Gila dan Ujang satu ketika dulu mampu menawarkan sensasi begini. Saya menganggap novel grafik Mat Som karya Lat adalah novel terbaik bahasa Melayu yang pernah wujud, Lat patut dapat gelaran sasterawan.

Karikatur kononnya datang dari perkataan Itali; caricare, yang membawa maksud 'memberi muatan' atau 'melebih-lebihkan'. Perkataan yang mungkin boleh juga diguna di sini adalah 'melecehkan' atau 'memperlekehkan'. Untuk melihat sesuatu hal sebagai lekeh, persoalannya hanyalah sebatas kau faham atau tidak subjek kau.

Untuk percubaan pertama menerbitkan koleksi kumpulan kartun, Amin juga tidak mahu ketinggalan menyelitkan drama politik sebagai subjek karyanya. Token percuma. Di mana lagi kau boleh dapat sumber jenaka yang begitu banyak? Zunar pasti setuju. Tapi orang tak peduli siapa cerai dengan siapa kalau kau bukan Rita Rudaini. Mujurlah Amin cuma budak Kota Bharu yang berseronok dengan pennya.


*Bagi yang berminat untuk memilik zine ini sila ke page fb Yak Bok Te!. Harga RM5.




0 comments: