Plot Menculik Presiden Malaywood



Oleh Roslan Jomel

Aku maklum Presiden Malaywood bukan disukai oleh semua orang. Aku tidak tahu atas alasan apa. Wajah pun tidak menarik. Kepala botak. Meminati kelab bola sepak Liverpool. Justeru aku ingin menculiknya. Bagaimana aku beroperasi, belum dipastikan lagi. Tujuan aku melakukan misi ini bukan kerana aku berdendam secara peribadi dengan Presiden. Aku tidak peduli langsung dengan apa yang dilakukan di bawah pemerintahannya. Aku bukan seorang yang suka berfikir hal-hal berat kenegaraan. Perasan intelek. Ia lebih sekadar untuk bersuka-suka.

Itu sesuatu yang besar. Berprofil tinggi Aku tidak berpengalaman melakukan aktiviti berisiko. Tidak pernah memecah masuk rumah orang. Tidak pernah mencari gaduh dengan sesiapa. Tidak pernah digari polis. Maka, aku perlukan beberapa ahli. Berani dan berwawasan jauh. Muda dan sihat tubuh badan. Tidak terlalu mementingkan gaya rambut dan fesyen. Tidak perlu juga berbadan tegap seperti Mat Damon. Paling penting, mesti berhati kering. Kerja menculik Presiden Malaywood tidak semestinya layak dilakukan oleh seseorang  profesional. Amatur pun boleh. Aku tidak mahu penagih dadah atau kaki botol. Ramai kawan aku yang sedang menderita sakit jiwa sekarang ini. Mereka kurang sesuai.

Misi besar aku tidak mungkin lancar secara solo. Namun kerja sepasukan berteraskan keyakinan. Kalau tiada persefahaman, apa-apa kerja pun tidak menjadi. Aku melantik diri sebagai ketua. Apa-apa sahaja masalah nanti, aku tanggung semuanya. Tiada senjata digunakan. Bahkan tiada niat untuk mencederakan Presiden. Mungkin aku hanya perlu mengikat kedua-dua tangan dan kakinya. Sebagai Presiden, tubuhnya sudah tentu gemuk dan bertoksik. Jadi, tugas menculik Presiden memerlukan lebih daripada dua orang. Tugas itu diserahkan kepada ahli-ahli yang lain. Aku bertindak sebagai pengarah modus operandi. Merekalah nantinya meneliti setiap pergerakan Presiden dari semasa ke semasa. Setiap laporan disampaikan melalui SMS.

Kawan-kawan sepejabat aku langsung semuanya tidak boleh diharap. Lembik dan mudah letih. Bercakap besar tetapi pengecut. Bertalam dua muka. Masa hujung minggu mereka selalunya diisi dengan menonton kartun dan temu bual artis di televisyen. Membosankan. Tiada imaginasi liar. Lebih mengutamakan periuk nasi dan famili. Lebih selesa bertindak sebagai pejuang di laman sosial. Sekejap menyokong pemerintah. Sekejap bersimpati dengan pembangkang. Manusia sebegitu tidak boleh dipercayai. Pertama kali aku usulkan idea ini, mereka semuanya terdiam. Kerja bodoh, kata mereka. Mengkhianati negara. Mereka semuanya cenderung menganggap akal aku sudah terpesong.

Maka, aku menelefon beberapa kawan yang aku jangka sanggup berkolaborasi. Seorang demi seorang. Tidak seorang pun dalam kalangan mereka belajar sehingga ke universiti. Jarang menonton televisyen dan membawa balik akhbar ke rumah. Tidak peduli sama ada wang kerajaan dan rakyat dilesapkan oleh ahli politik. Cukup mudah meracun fikiran orang-orang sebegitu. Naif. Aku hanya perlu bercakap tentang keseronokan misi besar itu. Mereka tergamam seketika. Itu bukan dikategorikan sebagai aksi jenayah. Aku mengingatkan. Perbuatan jenayah ialah seperti mencuri coklat di kedai runcit, membeli kasut berharga lima juta Euro dan menghitam uban rambut. Manakala menculik Presiden Malaywood sebaliknya. Berbeza.

Tiada ganjaran kewangan. Awal-awal aku memaklumkan. Ini misi lebih penting berbanding isi-isu di muka bumi. Sudah lama Presiden menjangkakan bahawa rakyat Malaywood amat menyanjungnya. Di mana-mana hadirin bertepuk tangan selesai dia berucap. Aku tahu ia sekadar menyedapkan hati. Menculik seseorang berpangkat nombor satu dalam negara pasti menimbulkan sensasi antarabangsa. Belanja makan minum - ditanggung sendiri. Siapa tahu, selepas misi ini berjaya, aku dan kawan-kawan diiktiraf sebagai hero. Sebagai lelaki, risiko harus ditempuh. Pintu penjara menanti di hujung misi. Jangan khuatir. Sekumpulan mereka yang prihatin dan bersimpati akan menyalakan lilin pada sebelah malam sebagai tanda solidariti. Esok hari pasti dilepaskan. Ia sudah biasa di Malaywood.

Setelah bersetuju dengan usul yang dibentangkan di KFC, kami bercadang memulakan beberapa pelan. Tiada bantahan. Proses permulaan dilakukan bersama-sama. Namun babak terakhir, bahagian paling terbaik, itu urusan aku. Ahli-ahli lain boleh cuci tangan. Aksi paling sukar sekarang, menculik objek dari dalam kediamannya. Semua orang tahu di Malaywood, kediaman paling indah, mewah dan tinggi menjulang ke langit hanya dimiliki oleh Presiden. Beberapa ahli diarahkan menceroboh masuk. Memanjat ke tingkap bilik tidur Presiden dengan pantas dan senyap. Berapa ramaikah perempuan simpanan Presiden? Mungkin dua puluh atau lebih. Tidak termasuk artis. Misi ini tidak boleh dilaksanakan ketika sasaran sedang berada di khalayak ramai atau ketika dia bermain golf. Ramai saksi termasuk polis.

Kumpulan kami terdiri daripada lima orang lelaki dewasa. Dikategorikan sebagai kurang menarik. Bujang. Tidak merokok. Bertubuh gemuk dan memakai kaca mata tebal. Masing-masing mula menunjukkan keterujaan pada misi ini. Kecuali aku yang bertugas dalam pejabat, empat orang ahli kumpulan kami bekerja sendiri. Menjual burger, pakaian-pakaian terpakai, berniaga buah-buahan di tepi jalan dan pengutip tin aluminium. Malahan rajin bersembahyang. Gabungan sedemikian cukup sempurna berbanding dalam filem The Usual Suspect. Susah bekerjasama dengan orang-orang terpelajar. Ego, materialistik dan tidak mahu bertolak-ansur. Kami tidak sabar-sabar untuk mengejutkan Malaywood dan dunia. Tidak sabar-sabar menjadi ikon rakyat seumpama pejuang syahid di bumi Palestin.

Masing-masing ada peranan. Apa-apa pun berlaku, misi mesti dilaksanakan sehingga mencapai matlamat. Inilah masa mencipta sejarah. Inilah waktunya menunjukkan kuasa rakyat. Aku tidak ikut serta demo di jalanan selepas mata dan tekak berasa pedih terkena asap disemburkan FRU. Berarak ramai-ramai bukan sesuatu disukai oleh para peniaga. Berkhemah seminggu di padang terbuka selalunya dihambat penguat kuasa bandar raya. Ia menyeronokkan. Kadang-kadang berasa seperti kuda tunggangan ahli politik. Orang-orang di Malaywood hidup dalam sebuah penjara raksasa yang tidak mereka sedari. Maka sebab itulah aku mahukan sesuatu yang lebih hebat. Lain daripada lain. Aku percayai ia bukan sekadar kepuasan peribadi. Kumpulan kami akan melakukannya dengan senyap-senyap seperti Ninja.

Aku bertindak sebagai perancang utama. Tanpa sut dan tali leher Zegna. Setiap tindakan mesti mendapat kebenaran daripada aku. Masa dan situasi kunci mustahak kepada plot ini. Ini bukan misi menangkap anak kucing. Sebulan lebih kami menyusun strategi. Kami tidak memiliki kenderaan empat roda. Masing-masing pengguna pengangkutan awam. Jadi bagaimana kami bertindak? Berhadapan puluhan Pengawal Keselamatan? Mudah sahaja. Salah seorang daripada ahli kami mahir dalam ilmu hitam. Sesudah berjaya memasuki kediaman Presiden, Arbi, pengutip tin-tin aluminium akan membaca mantera dan menghembuskan ke setiap sudut kediaman Presiden. Tujuannya ialah menidurkan kesemua penghuni agar misi bertambah licin. Kebiasaannya berkesan. Malahan Arbi mahir dalam seni persilatan.

Pada hari kejadian itu. Aku menunggu di balik pokok dalam hutan di belakang kediaman Presiden dikelilingi pagar elektrik. Berdebar-debar dan mahukan segalanya berakhir dengan gilang-gemilang. Aku mengawas dengan teropong dipinjam dari kawan sepejabat. Ahli-ahli kumpulan aku sudah siap-sedia menembusi kawalan ketat. Salah satu kedah terpantas melaksanakan misi ini, berikan rasuah kepada Pengawal Keselamatan dari negara asing itu. Tetapi kami tiada dana berbentuk wang tunai. Kediaman Presiden masih terang-benderang pada jam 2.30 pagi. Apa dilakukan Presiden sehingga ke waktu ini? Pilihan raya sudah berlalu. Memikirkan masalah rakyat? Berpesta seks dengan perempuan-perempuan simpanan? Tidak menjadi hal. Arbi dan ahli-ahli lain sudah maklum tugas dan matlamat pada malam ini.

Sepuluh minit. Setengah jam. Dua jam. Tiga jam. Penantian sebegini melemahkan harapan. Aku mula semakin tidak menentu. Aku sudah memesan awal-awal kepada ahli agar bertindak dengan cepat. Pelan dan perincian dalam kediaman Presiden sudah dihafal mereka. Sesaat terlambat, misi ini pasti terdedah. Impian menjadi hero negara bakal musnah. Berbagai fikiran negatif menghantui aku di sebalik pokok. Nyamuk-nyamuk semakin bermaharajalela menghisap darah di tubuh. Tiada kelibat Arbi dan ahli-ahli lain muncul dalam pandangan. Tidak mungkin operasi ini gagal. Suasana di kediaman Presiden malahan sunyi sepi.

Seseorang mengejutkan aku. Menyeru nama aku berkali-kali. Aku sangka ia sekadar mimpi. Arbi dan beberapa ahli kumpulan berdiri tercegat di depan aku. Cahaya terang-benderang. Aku sangka kesemua ahli kumpulan tertangkap di dalam kediaman Presiden. Jam 1.30 petang. Dalam samar-samar aku melihat kesemua wajah ahli kumpulan tenang dan seperti tiada reaksi. Bagus. Itu membayangkan bahawa plot menculik Presiden semalam berjaya. Aku menanya di mana mereka menyorok Presiden. Arbi mengatakan ia kerja tidak masuk akal. Misi menculik Presiden dibatalkan. Apa?! Sebaliknya Arbi memaklumkan mereka sudah berunding dengan Presiden. Ahli-ahli lain tersenyum kambing. Semalam diadakan keraian sempena ulang tahun Presiden dan perkahwinan anaknya. Masing-masing mendapat ganjaran berupa duit bantuan rakyat, pangsapuri dengan empat buah bilik tidur, baucar buku, baju T jenama Uniqlo, tiket penerbangan ke negara Eropah dan pekerjaan di sektor kerajaan.


0 comments:

Gadget

Kandungan ini tidak tersedia melalui sambungan tersulit.