Album Rap Pertama Di Dunia
Oleh Raja Syahrul Helmi
Album pertama The
Last Poets terjual setengah juta unit dalam tempoh sebulan lepas keluar kilang
pada tahun 1970. Tiga penyair 'berhaluan kiri'
dan seorang pemain conga yang bekerja sambilan sebagai paderi Yoruba
telah membawa Black Power ke dalam carta Billboard. Mereka bikin kata-kata
militan Malcolm X jadi puitis, dan menambah perencahnya dengan lagu latar jazz
ala Coltrane dan Thelonious Monk.
The Last Poets
telah menyemai benih-benih rap ke dalam budaya belia kulit hitam di Amerika.
Album ini mempengaruhi semua orang dari Pinero ke Public Enemy dan juga
pergerakan The Black Panther. Tidak mengejutkan bila nama mereka ada dalam
senarai pemerhatian Richard Nixon dan FBI. "Kami tak takut, kami muda dan
semangat memberontak masa tu membuak-buak. Kami semua ada pistol yang disimpan
di rumah makwe masing-masing jadi kami memang dah bersedia kalau apa-apa
jadi" begitulah lebih kurang kata Umar Bin Hassan dalam satu temubual
dengan majalah UNCUT pada 2011.
Pembunuhan Martin Luther King pada April 1968 membawa kesan mendalam kepada masyarakat kulit hitam di Amerika Syarikat. Akibat pembunuhan Dr. King, gerakan Black Power mendapat momentum kuat dan tiga anak muda dari
Persembahan
pertama mereka pada 19 Mei, Hari Malcolm X di Harlem Mount Morris Park.
Sekumpulan pemain perkusi bermain sebelum mereka dan mereka minta bantuan salah
seorang ahli kumpulan itu, Nilaja Obabi, untuk bermain conga. Mereka berempat
belum ada nama rasmi lagi waktu itu tapi mendapat siulan memberangsangkan dari
khalayak. Sejak malam itu Nilaja Obabi terus jadi ahli tetap The Last Poets.
Kolektif ini
menggunakan sebuah gimnasium tinju untuk menganjurkan bengkel-bengkel penulisan
dan perbincangan-perbincangan kumpulan yang kerap bertukar liar. Ia amat tidak
stabil pada mulanya, kerap berbalah kerana perbezaan ideologi dan personaliti.
Nelson cabut dan digantikan dengan Felipe Luciano, seorang bekas banduan dari Puerto Rico yang pernah dipenjara kerana membunuh dalam
satu perang geng. Turut serta bersamanya seorang penyair bernama Alafia Pudim
yang 'boleh bersajak sebelum boleh menulis'. Alafia Pudim kemudian jadi saudara
baru Islam dan tukar namanya kepada Jalal Mansur Nuriddin.
Luciano pernah
mendedahkan tentang satu insiden pada awal tahun 1969, tentang kerusi-kerusi
yang berterbangan dan salah seorang ahli kumpulan diserang dengan tukul besi.
Insiden itu menyebabkan dia dan Kain disisihkan dari kumpulan dan masuk pula
orang baru, Umar Bin Hassan, seorang penyair dari Akron, Ohio, yang datang ke Harlem
dengan hanya dua puluh lima dolar dalam kocek. Umar, Jalal dan Oyewele bersama Nilaja di tampuk
perkusi ialah barisan utama yang membentuk album ini.
Langston Hughes
dan Claude McKay mula merakamkan kehidupan Harlem dalam bait pada tahun-tahun
dua puluhan lagi, namun pengaruh jelas kepada The Last Poets ialah Amiri
Baraka, penyair yang meninggalkan West Village berikutan pembunuhan Malcolm X
untuk menubuhkan gerakan kesenian masyarakat kulit hitam di Harlem. Sajak-sajak
Amiri Baraka banyak membentuk ideologi The Last Poets yang sama sekali menolak
sikap pasifis.
Mereka mendendangkan
keganasan jalanan dan penindasan kaum kulit hitam, di samping memaki hamun
semua orang di Amerika dari lagu pertama hingga lagu terakhir. Segalanya
dicetuskan secara spontan. Jika sesiapa ada puisi baru mereka segera cari lagu
latar. Mereka tak perlu risau sebab Nilaja memang pemain conga yang dahsyat.
Penyair-penyair
sebelum mereka berpuisi sebagai individu tapi The Last Poets berpuisi sebagai
kolektif. Permainan vokal mereka ialah sesuatu yang baru ketika album ini
diterbitkan. Prosa-polemik Umar Hassan dan Oyewole, bait-bait X-rated-bekas
banduan Jalal Mansur Nuriddin dan deram tribal animisme Nilaja Obabi digaul dalam
satu kuali menjadi album rap pertama di dunia.
Dengar:
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Blog Archive
-
▼
2016
(8)
- ► September 2016 (1)
- ► April 2016 (1)
- ► Januari 2016 (1)
-
►
2015
(8)
- ► Disember 2015 (1)
- ► Julai 2015 (1)
- ► April 2015 (2)
-
►
2014
(1)
- ► Oktober 2014 (1)
-
►
2013
(12)
- ► Disember 2013 (3)
- ► September 2013 (1)
- ► Januari 2013 (2)
-
►
2012
(14)
- ► Disember 2012 (3)
- ► November 2012 (2)
- ► Oktober 2012 (6)
- ► September 2012 (3)
-
►
2011
(9)
- ► Disember 2011 (1)
- ► November 2011 (3)
- ► September 2011 (1)
-
►
2010
(33)
- ► Disember 2010 (1)
- ► Oktober 2010 (1)
- ► September 2010 (1)
- ► Julai 2010 (1)
- ► April 2010 (15)
Tentang NP
NP ialah sebuah majalah blog yang cuba menerapkan bahan-bahan penulisan sastera, budaya dan masyarakat terutama oleh penulis-penulis bebas dan baru. Anda juga boleh menyumbang hasil penulisan anda dengan menghantar ke: naskahpercuma@gmail.com
0 comments: