Space Gambus Experiment dan Pak Samad




Tidak ada apa yang aku hendak berkongsi sebenarnya. Kerana, aku sudah pekak dan bisu. Ya, bayangkan Tuhan telah menarik daya pendengaranmu buat selama-lamanya. Bagaimana gegendangmu berupaya menangkap bunyian? Bagaimana kamu mahu menikmati desis ritma dan lenggok irama? Justeru kamu sekadar memejam mata, dan tersenyum sendirian. Mari kita menyelongkar dunia irama dalam alam nan bisu.

Pabila berbicara tentang konsep muzik, serta falsafah yang tersirat, kamu perlu bahagikan dua perkara penting. Muzik yang terletak dalam sebuah bulatan industri, dan yang terkeluar daripadanya. Industri itu adalah perkara maha agung, luas ruangnya. Manakala zarah partikel diluar industri itu selalunya terasing. Ia bagaikan keladak yang tenggelam di dalam cawan penuh berisi air. Bukannya band Keladak, sebuah band punk indie tu. Mereka sudah punyai groupies yang tersendiri.

Sekarang aku ingin mengulas tentang sosok dua manusia, berbakat besar, selepas mereka bercantum, maka menjadi TIGA. Tidak, bukan tentang triniti. Ini merupakan sebuah kolaborasi, bagi mereka yang telah muslim sejak lahiri. Lalu gelombang Big Bang masih lagi berkembang pencar. Frekuensi bunyian yang asalnya berenang di dalam ruang vakum, membawa ia akan sesuatu. Kemungkinan doa puji-pujian terhadap Tuhan, atau ilmu tentang asal-usul alam nan purba. Sudah semestinya gelombang bersifat berkembang, tidak pula menguncup. Nah, gelombang kemudian ditangkap oleh seorang insan, Kamal Sabran misalan. Lalu, ia ditapis, dihiris, diperah picit, dicalit dengan beberapa instrumen, baik tradisi atau moden. Gendang atau perisian komputeran. Ia yang asalnya irama, telah digubah menjadi ritma drama. Setelah itu, bunyian resah pasrah, gigit digit si Kamal, dicuit pula oleh seorang insan lain bernama Zulkifli Ramli. Melalui gambus, jarinya menari. Mengikut lenggok frekuensi asal tadi, mereka berdua justeru mengisi ruang vakum. Yang sunyi sepi, menjadi desing dan melodi. Petik gambus, membawa minda ke tanah Timur. Ada rentak, ada detak. Ada asyik, ada gemersik. Ada denyut, jiwa langsung terhenjut. Sudahnya, lahirlah mazhab cinta baharu yang bernama Space Gambus Experiment (SGE). Namun, berdua itu masih terasa kosong. Seolah Rumi terserempak Shems, langsung keduanya diam. Ada lohong di antara mereka berdua. Begitu juga si Kamal dengan Zulkifli. Kerana yang berdua selalunya tidak puas, dan tidak akan pernah, maka dipanah akan segala busur cinta nyanyi sunyi itu ke segenap cakerawala. Supaya Tuhan menurunkan satu sosok peribadi, atau entiti, pemuas batin yang sentiasa meronta-ronta. Tidak tenteramnya ia. Sesungguhnya, Tuhan itu Maha Mendengar. Dia Memberi dan Mengurnia, akan setiap kehendak dan doa. Berkata kun, maka jadilah ia.

Lalu, dari bawah kerdip bintang beribu itu, bahkan berlaksa jumlahnya, muncul seorang tua, yang jiwanya kekar muda. Janggut memutih, akalnya bersih. Santun bicara, elok madah pujangganya. Bersuara perlahan, menuntut hak kebenaran. Tak gemar bergaduh, tidak gentar dirempuh. Suara asalnya diluah dari dinding. Di dalam sebuah dewan. Teriakan nan sunyi itu mendengung. Dengan gumpalan gelombang resah dan ketidaktentuan, suara itu bergomol bersama irama cantuman SGE berdua tadi. Bergulat gelut, mereka saling menumbuk-numbuk dada, menghempas kitab derita. Menghentak lantai kecewa. Mereka damba perhatian. Ketiga mereka memerlukan kepastian. Akan sebuah perjanjian. Yang telah dimeterai awalnya di atas kertas suci gelombang frekuensi tadi.

Sudah dikatakan, apabila dua telah menjadi tiga, maka kemudian akan bertambah pula jumlahnya. Dan gelombang itu, memang sifatnya berkembang. Itulah keadilan Tuhan. Aku persembahkan, kolaborasi SGE, Kamal Sabran dan Zulkifli Ramli, bersama kemunculan istimewa sasterawan dermawan, A. Samad Said!

Kolaborasi mereka bertiga ini menghasilkan dua buah lagu yang diselit puisi, atau puisi yang punyai lagu(?). Namun, cara lenggok bacaan Pak Samad ialah mengikut kanun pembacaan puisi biasa. Cuma, ditambah perencah alunan melodi SGE, suara Pak Samad menjadi seumpama gema, yang melantun-lantun ke dalam telinga. Ia adalah bunyi tanpa bunyi. Di mana kamu mengangguk-angguk kepada sesuatu tempo, tanpa menyedari bentuk temponya. Kamu adalah sang pelawan arus. Bak keladak di awal bicara tadi, di mana kamu terasing daripada wilayah industri agung, kamu tetap punyai bulatan khalayak tersendiri, yang setia melayani segala tingkahlaku dan ucaprasa kamu. Aku telahpun mendengar dua buah puisi berlagu yang dikirim oleh Kamal Sabran, yakni 'Di bawah Bintang Mengerdip' dan 'Suara dari Dinding Dewan'. Kedua puisi hebat itu dideklamasi sendiri oleh pengkaryanya, Pak Samad dalam alunan melodi asyik SGE. Aneh, dua puisi itu kemudian mulai 'hidup' dengan sendiri. Ia mulai menerjah ke lubang telingaku tanpa aku sedar bahawa aku telahpun pekak dan bisu sebentar tadi? Ganjil. Mendengar ataupun sekadar membaca puisi Pak Samad, dalam tak sedar, memang kita akan merasa keganjilan sedemikian. Dan, bulu roma kita akan menegak, sebagai penghormatan kepada kesyahduan irama sunyinya. Itulah dia kolaborasi sang pemuzik SGE bersama sasterawan rakyat kita.

Kamu sekalian, cubalah dengarkan rintih bunyi dari indera insan pekak juga bisu. Kemudian kamu akan tahu, tidak semestinya kita memerlukan telinga untuk mendengar irama...


Artikel oleh Mohamad Farez Abdul Karem.

2 comments:

kamal sabran berkata...

jgn lupa 9 april ;)
banyak banyak terima kasih kepada Paeh untuk artikel ini! tabik sama lu!

Anak Bumi berkata...

sama2 kamal.

Tentang NP


NP ialah sebuah majalah blog yang cuba menerapkan bahan-bahan penulisan sastera, budaya dan masyarakat terutama oleh penulis-penulis bebas dan baru. Anda juga boleh menyumbang hasil penulisan anda dengan menghantar ke: naskahpercuma@gmail.com