Tentang Sepasang Kasut


Oleh Aisyah Rais.
*Tulisan ini dipetik dari litzin fragranfrantik


Umur aku 10 tahun pada tahun 1997. Baru darjah empat, sekolah rendah. Rutin harian aku pada masa itu tak lain ialah pergi sekolah kebangsaan waktu pagi, balik sekolah cepat-cepat salin baju, tolong mak buat kerja rumah, pergi sekolah agama sesi petang, balik sekolah, buat kerja rumah, buat kerja sekolah, tidur.

‘Buat kerja rumah’ dalam kamus hidup aku masa itu adalah basuh kain guna tangan, basuh pinggan mangkuk, masak, jaga adik-adik aku, bagi makan pada adik-adik, mandikan adik-adik, tolong apa lagi yang patut di rumah. Mak berniaga jual kelapa. Jadi di antara sela masa semua itu, kalau ada orang datang nak beli kelapa, aku mesinkan.

Dari pilih kelapa yang elok, belah guna parang, aku mesinkan supaya dapat kelapa putih untuk orang-orang dapatkan santannya buat masak kari atau masak lemak, masuk dalam plastik, dan jual. Jari aku tak cantik sebab selalu terkena parut kelapa yang tajam dan menyakitkan. Pedih bila kena. Kadang darah statik dekat kulit, kadang mengalir jatuh ke lantai.

Itu. Rutin aku ketika umur aku sepuluh tahun.

Aku ada kenal seorang budak Iran yang namanya Zahra, adik kepada Ali. Daripada apa yang aku tengok, kehidupan Zahra tak banyak beza dengan aku. Zahra baru umur budak tadika pada tahun 1997 dan Ali umur budak sekolah rendah. Zahra, budak comel yang balik dari sekolah, dan seterusnya kau boleh baca balik erti kata ‘buat kerja rumah’ dalam konteks hidup aku di perenggan atas untuk kau tahu rutin hidup Zahra. Sama. Ya, sama. Bezanya, Zahra sental periuk dekat kolam ikan depan rumah dia, dan aku sental periuk kena berdiri atas kerusi sebab tak sampai, sinki tinggi sangat.

Ali itu aku ibaratkan abang aku, Along. Ali kuat kerja walau umur masih sangat budak. Bila cuti sekolah, Ali ikut bapa dia pergi buat kerja-kerja membersih laman orang kaya. Naik basikal, bawak racun rumput,  bawak sabit untuk potong rumput dan tekan loceng semua rumah orang kaya yang ada laman. Untung nasib, dapat kerja. Kalau tidak, kena halau dengan gonggong anjing. Begitu kuat keringat orang miskin yang kuat usaha. Cari sesuap nasi untuk anak bini.

Ali kuat usaha macam bapak dia. Kuat belajar. Kuat tolong orang tua. Penyayang pada adik-adik dia. Tapi cuai. Satu hari, Ali tertinggal kasut Zahra yang dia bawak pergi baiki sebab koyak. Lepas itu, aku pendekkan cerita, kasut itu hilang tak jumpa. Orang miskin ni kau kena faham, selalunya satu-satu benda yang dia ada itu memang akan ada dalam kuantiti tak lebih dari satu dan boleh di-multitask-kan fungsinya.

Kasut Zahra yang Ali hilangkan itu satu-satunya kasut yang Zahra ada. Kasut yang dia pakai untuk pergi tadika aku percaya dia pakai juga masa hari raya dan bila masuk pertandingan sukan. Bila dah hilang, ‘masak’ Ali dengan Zahra akan kena hambat dengan bapa dia orang. Tapi Ali tak takut kena hambat. Yang dia takut, bapa dia akan usaha cari duit untuk beli kasut baru untuk Zahra. Dia takut membebankan bapanya. Mak dia dahlah sakit. Bapa cari duit cukup-cukup untuk makan pakai anak beranak, bayar sewa rumah. Nak mintak beli kasut baru itu cari nahas namanya.

Ali tidak ada cara lain selain pinjamkan kasut dia ke Zahra untuk dipakai bergilir-gilir ke sekolah. Akibatnya, Zahra terpaksa bergegas keluar awal dari sekolah, dan Ali selalu terlambat datang sekolah walaupun puas berlari-lari untuk percepatkan langkah. Kena marah dengan cikgu, Ali terpaksa tahan panas telinga. Budak sekarang, kena marah sikit, dah mengadu pada mak ayah. Esoknya, protes tak datang sekolah. Ali, tak dibenarkan masuk kelas dan disuruh balik sebab dah berkali-kali datang lewat tu boleh merayu-rayu menangis-nangis minta untuk masuk kelas sebab tak mahu tertinggal pelajaran.Kalau budak sekarang, disuruh balik, tak payah negotiate, terus blah.

Perihal hilang kasut mungkin ibarat perihal hilang guli sebiji alahai boleh beli lagi bagi sesetengah orang. Tapi bagi orang macam Ali, Zahra, aku dan Along, perihal sepasang kasut boleh bawak perang dunia anak –beranak. Jadi macam mana cara sekalipun, Ali mesti cari jalan selesaikan masalah. Fokus pada masalah tak akan bawak kau kemana, tapi fokus pada cari jalan penyelesaian akan bawa kau ke satu perjalanan yang kau tak akan sangka-sangka. Bergilir-gilir pakai kasut ke sekolah dah jadi jalan penyelesaian supaya Zahra tak berkaki ayam ke sekolah dan supaya bapa mereka tak tahu yang kasut Zahra hilang.

Lagi satu masalah ialah bagaimana  dan lama mana mampu Ali dan Zahra bertahan untuk bergilir-gilir tukar pakai kasut ke sekolah? Bak kata orang putih dalam sebuah cerita, “Escaping is easy. The hardest part is staying free”. Macam serius sangat bunyinya. Aku rasa itu persoalan dalam kepala Ali yang buat dia ambil keputusan untuk  masuk pertandingan lari anjuran sekolah. Misi dan impian Ali hanya satu : untuk menang tempat ketiga. Kenapa tempat ketiga? Sebab tempat ketiga dapat hadiah kasut. Kasut itu diharap Ali dapat dia beri kepada Zahra, adiknya.

Kasut. Hanya kerana kasut. Cerita tentang Ali, Zahra dan kasut ini diceritakan bukan saja kepada aku dan Along  malah sampai ke mat-mat saleh nun jauh di negara Uncle Sam sana yang percaya dengan kasih-sayang Ali terhadap Zahra, ketekunan bapa mereka dan indahnya hidup orang miskin yang merasa cukup dengan apa yang ada. Di waktu aku pun belum pasti sama ada Zahra telah dapat kasut baru untuk dia ke sekolah atau tidak, filem yang memenangi beberapa anugerah antarabangsa ini berjaya sampai ke Anugerah Akademi sebagai filem Iran pertama yang dicalonkan untuk Anugerah Filem Asing Terbaik tahun 1998 walaupun tidak berjaya untuk membawa pulang Oscar.

Aku hanya dapat menonton filem ini buat kali pertama semasa umur aku masuk 20 tahun. Sepuluh tahun berlalu daripada apa yang aku cerita di perenggan pertama, walaupun dah lama aku tinggalkan, tapi aku rasa  aku masih mahir mesin kelapa.

Untuk cerita kasut yang lebih daripada  sekadar ‘bagaimana untuk mendapat sepasang kasut baru’ ini, aku ucapkan terima kasih kepada penulis dan pengarahnya, Majid Majidi.

Nama filem tentang Ali, Zahra dan kasut  ini ialah Children of Heaven (1997).














0 comments: