Lidah Mesir Moden Naguib Mahfouz



Dilahirkan pada 1911 di Gamalliyah, di bahagian kawasan lama Kaherah yang menjadi latar kepada beberapa buah novelnya. Naguib Mahfouz dibesarkan dalam sebuah keluarga golongan pertengahan yang sangat warak. Sewaktu Naguib berusia 6 tahun keluarganya berpindah ke Abassiyyah di pinggir ibu kota Kaherah.

  Karya-karya awal Mahfouz membayangkan perhatiannya yang mendalam terhadap kehidupan golongan pertengahan Mesir yang sangat mementingkan kesejahteraan kebendaan, kebimbangan tentang masa depan mereka, kepatuhan terhadap sistem dan keengganan mereka mencabar pihak yang berkuasa. Satu-satunya tumpuan dalam pencarian kelas ini pada masa itu adalah mengusahakan kesejahteraan hidup masing-masing.

  Pada tahun 1930, Mahfouz menuntut di Universiti Raja Fuad (sekarang Universiti Kaherah) di Kaherah, dalam bidang falsafah, dan mendapat ijazah sarjana muda pada tahun 1934. Pembacaannya dalam bidang falsafah pada peringkat awal itu membolehkan beliau menyumbangakan beberapa buah esei, seperti misalnya: 'Evolusi Fenomena Sosial', 'Apakah Falsafah?', 'Falsafah Bergson', 'Persepsi dan Deria', 'Pragmatisme', dan 'Aliran Lama dan Baru Dalam Psikologi'. Walaupun pembacaan sasteranya sangat kurang pada waktu itu namun pemilihan bidang estetika sebagai tajuk tesis yang tidak diselesaikannya (mungkin tidak pernah pun dimulakannya) membuktikan cinta terhadap seni sentiasa wujud dalam dirinya.

 Pada penghujung tahun-tahun 1930an Mahfouz menumpukan perhatiannya pada karya-karya besar Arab dan Barat. Mahfouz sangat terpengaruh dengan karya Taha Hussein, Abbas Al-Akkad dana Salama Mousa, dan secara terbuka mengakui karya-karyanya banyak dipengaruhi penulis-penulis itu. Menurut Mahfouz, dia mempelajari erti pemberontakan intelek daripada Taha Hussein, dan mendapat nilai-nilai kesenian, demokrasi dan kebebasan individu daripada Al-Akkad. Mahfouz juga menemui psikologi prototaip Arab pada karya Al-Akkad, Sarah. Daripada Salama pula dia mendapat kesedaran tentang nilai-nilai sains, sosialisme, dan toleransi intelektual.

   Penulisan novel Arab masih lagi merupakan satu genre yang masih mentah pada waktu Mahfouz muncul dalam arena sastera Mesir. Untuk mengembangkan bakat mereka, Mahfouz dan novelis-novelis generasinya merasakan mereka perlu juga mengenali warisan dan teknik penulisan Barat.

   Mahfouz membaca karya sastera barat dengan meluas, yang dalam bahasa Inggeris atau dalam terjemahan Arab. Beliau pernah meluahkan rasa kesal kerana tidak pernah membaca karya-karya Dickens dan Balzac, kedua-duanya itu merupakan pelopor novel realistik; sebaliknya dia menemui realisme pada karya-karaya Huxley, D.H Lawrence dan Flaubert. Walaupun dia banyak mendapat manfaat daripada pembacaan karya penulis besar Barat namun tidak ada seorang pun yang meninggalkan pengaruh ketara dalam penulisannya, yang tidak pernah diragukan masih bersifat kemesiran.

   Sewaktu Mahfouz memulakan penulisan novelnya, Mesir sedang mengalami zaman keresahan politik, penindasan dan pemerintahan kuku besi. Pada Jun 1930, Ismail Sidki menjadi Perdana Menteri dan menggantung perlembagaan 1923 dengan alasan bahawa Mesir masih belum sedia dengan demokrasi ala Barat. Dengan menindas pihak pembangkang, beliau dengan kejam menghapuskan sebarang percubaan untuk mempersoalkan pemerintahan beliau.  Kecaman kejam dan tanpa belas kasihan telah dilancarkan terhadap Taha Hussein kerana keberaniannya menyuarakan penentangannya, dengan menerbitkan setengah-setengah pandangan yang skeptikal tentang puisi pra-Islam -dengan mengatakan bahawa puisi-puisi tersebut telah diubah daripada bentuk asalnya untuk menjaga maruah kabilah-kabilah, dan membayangkan dalam penulisannya bahawa Al-Quran tidak semestinya diambil sebagai sumber sejarah yang muktamad- dan Taha dituduh menyeleweng dan dicap sebagai pengikut syaitan. Pergolakan itu berakhir dengan pemecatannya sebagai Dekan Fakulti Sastera di Universiti Kaherah. Begitu juga dengan nasib Al-Akkad yang dihumban ke dalam penjara atas tuduhan mencemarkan Kerabat Diraja.

    Menyedari, seperti Tawfik al-Hakim sebelumnya, bahawa penentangan secara terbuka terhadap kuasa autokrasi sia-sia saja, Mahfouz berjaya mencipta satu kaedah bercerita yang dapat membayangkan kecaman terhadap sistem pemerintahan itu tanpa menghadapi risiko menentang pihak berkuasa. Mahfouz yang berhati-hati itu menyelitkan kritikannya dalam novel-novel sejarahnya, bahawa nasib buruk Mesir akibat tiga sebab: pemerintahan kuku besi, imperialisme dan alat imperialisme. Dalam tiga karya sejarahnya yang berlatarkan Mesir purba, The Mockery of Fate (1939), Radobais (1943) dan The Struggle of Thebes (1944), dia menggabungkan sejarah dengan simbol-simbol untuk menunjukkan sentimen politiknya ke dalam peristiwa zaman Firaun.

  Kemudian pada tahun-tahun 1940an dan 1950an Mahfouz mula menggunakan gaya yang lebih realistik dalam karyanya dengan latarbelakang Mesir moden. Antara 1956 dan 1957 Naguib Mahfouz menerbitkan triloginya yang terkenal, yang mengandungi Bayn al-Qasarayn, Qasr al-Shawq dan Al-Sukkariyya. Dalam trilogi itu Mahfouz menggambarkan perubahan nasib yang melanda tiga keturunan sebuah keluarga di Kaherah sejak tahun-tahun 1920an hingga meletusnya Perang Dunia Kedua. Dalam fasa realisme inilah juga terbit The New Cairo (1945), Khan El-Khalili (1946) dan Midaq Alley (1947). Novel Beginning and the End yang dimulakan pada 1943 dan terbit pada 1949 merupakan karya terbaik Naguib Mahfouz tentang belas kasihan insan. Soal kemanusiaan dan kepekaan terhadap penderitaan manusia dipaparkan dengan sangat mengesankan hingga persoalan dalam novel ini melampaui sempadan Mesir dan menyentuh persoalan universal. Novel ini dengan penuh empati dan belas kasih yang tak keterlaluan, menggambarkan masalah moral dan kerohanian sebuah keluarga borguis Mesir yang berdepan dengan kemiskinan waktu Perang Dunia Kedua.

    Mahfouz, seorang penulis yang prolifik, menebitkan beberapa buah novel lagi termasuklah Awlad Haritna (1959, diterbitkan dalam bahasa ingeeris dengan judul The Children of Gebelawi), sebuah novel kiasan dengan implikasi metafizik yang memperkatakan pencarian manusia dan kehausan manusia terhadap tuhan. Dalam tahun 1960an Mahfouz kembali kepada gaya asalnya, dengan melakukan eksperimen dan mencuba gaya yang lebih impresionistik dan psikologikal. Pada 1961 Mahfouz menerbitkan The Thief and the Dog, menggabungkan realisme politik sosial dengan teknik stream of conciousness yang baru dalam dunia penulisan novel Arab. Soal-soal mistik dan kerohanian dapat ditemui juga dalam The Beggar (1965) dan Chit-Chat on the Nile (1966).

  Dalam novel-novel Naguib Mahfouz, nasib bagi tiap-tiap watak ialah nasib bagi Mesir moden. Tragedi, kesengsaraan dan konflik dalam novel-novelnya membayangkan perubahan sosial, intelektual dan politik dalam satu fasa penting dunia Arab moden. Perjuanagan generasi yang lebih muda, lelaki dan wanita, untuk memperoleh kebebasan dari cengkaman keluarga, untuk membentuk kehidupan mereka sendiri, adalah seiring dengan perjuangan rakyat untuk mencapai kemerdekaan politik dan membebaskan Mesir daripada belenggu peraturan usang yang melemahkan, dalam usaha Mesir untuk menyertai dunia moden.

  Naguib Mahfouz telah menghasilkan lebih 50 novel, 350 cerita pendek, berdozen skrip filem dan pementasan dalam kariernya yang melampaui 70 tahun. Pada 1988 beliau dianugerahkan Hadiah Nobel untuk Sastera, satu-satunya penulis Arab yang menerima anugerah itu hingga kini. Pada masa-masa tua matanya sudah hampir buta, tapi dia terus juga menulis walaupun sukar memegang pen atau menaip. Novel beliau yang terakhir, The Seventh Heaven diterbitkan pada 2005.

     Pada Julai 2006 Naguib Mahfouz mengalami kecederaan di kepala akibat terjatuh, dan pada 30 Ogos 2006 beliau meninggal dunia di Hospital Kaherah. Beliau dikebumikan dengan penuh istiadat tentera, di Masjid Al-Rashdan, Kaherah.   




*Artikel dicedok daripada Bermula dan Berakhir, Naguib Mahfouz terjemahan DBP 1993 dan Wikipedia.

0 comments: