Warkah Biru
Jadi, usah saudara mengatakan bahawa aku mahu mendabik dada bila aku mengatakan kita tidak perlu gementar menghadapi kehidupan, kerana kita dan kehidupan adalah satu. Gementar menghadapi kehidupan bererti takut menghadapi diri sendiri. Kita tidak boleh takut menghadapi diri sendiri.
Bila kita bersajak tentu kita mahu sajak-sajak kita segagah "Gitanjali" dan sekuat "Aku". Kita mahu sajak-sajak kita berharga. Kita mahu berjasa. Kita mengerti peranan Rabindranath Tagore dan Chairil Anwar di dunia sastera. Kita tentu tahu betapa kentalnya perhubungan sajak dengan manusia.
Sememangnya benar bahawa sajak-sajak yang sangat berharga bisa membukakan pintu-pintu pengetahuan baru. Pengetahuan baru yang memberi pemikiran-pemikiran dan pelajaran-pelajaran baru. Sajak-sajak yang berharga dapat membangkitkan perasaan-perasaan baru dalam lubuk hati kita.
Jiwa yang maju ialah jiwa yang hidup. Manusia yang maju ialah manusia yang benar-benar hidup. Manusia yang benar-benar hidup tahu menimbang dan menerima nilai-nilai kehidupan. Sajak dapat menghidupkan jiwa manusia.
Seorang penyajak muda Russia dewasa ini, Andrei Voznesensky berkata bahawa, "penyajak mestilah menyelami keburukan dalam kehidupan guna menghapuskan keburukan itu."
Mengukir sajak memerlukan keberanian yang lebih. Bukan saja berani setakat mengukir ragkai kata-rangkai kata baru. Bukan saja berani setakat membentangkan persoalan-persoalan baru. Bukan saja sanggup merakamkan kejadian-kejadian yang bersejarah. Tapi mestilah juga berani, mestilah juga sanggup mempertahankan ciri-ciri dan peribadi-peribadi sajak-sajak itu. Mesti berani mempertahankan segala prasangka yang tali-menali tentang apa gunanya sajak-sajak itu dicipta. Mesti berani menangkis segala pandangan rendah, segala hina-maki terhadap sejauh mana manfaat dan kebajikan serta faedah yang dapat dipersembahkan oleh sajak kepada rakyat sekarang.
Itulah saudara, sajak-sajak yang saudara baca, yang saudara telaah di dada-dada surat khabar, majalah, yang saudara baca dalam "Warna Suasana", "Liar Di Api", "Gelombang", "Rakaman Roh" dan "Damai" adalah suatu pencerminan kehidupan. Cerminan kehidupan kita, ayah-ibu, bangsa, negara dan angkatan kita.
Negara-negara dunia banyak yang bergolak kini. Begitu juga sajak-sajak. Pergolakan dalam sajak-sajak itu merupakan pergolakan pemikiran pencipta-penciptanya, yang didapatinya dan yang dikautnya daripada manusia-manusia di mana pencipta-pencipta sajak tersebut makan dan minum. Ketika penyajak itu berhadapan dengan dunia dan rona-roninya.
Orang membicarakan sajak, Sidang Roh, buah tangan Kassim Ahmad. Inilah salah satu perbincangan tentang nilai-nilai manusia ketika menghadapi kehidupan di dunia. Dialog yang dicetuskannya menyoal sejauh mana kita berani dan sedia belajar dari rumah kehidupan. Sejauh mana kita bersedia memberi makna yang bermakna kepada kehidupan kita.
Sidang Roh, membogelkan kekurangan kita. Ia menelanjangkan sistem kehidupan kita yang tempang sekarang ini. Sememangnyalah pengarangnya melalui Sidang Roh berapi-api berkata, bahawa Islam bukannya agama akhirat semata-mata. Bahawa sudah sampai masanya kita memberi pandangan baru kepada agama kita itu. Bahawa angkatan baru, bangkitlah engkau, bangkitlah untuk mendobrak kekolotan-kekolotan yang selama ini bermaharajalela memagari kita. Yang selama ini bersukaria menghalang kemajuan-kemajuan bangsa kita. Bangkit, bangkit angkatan muda.
Itulah faedahnya sajak. Sajak membuka mata si buta.
Yang membikin sesebuah sajak itu segar-bugar dibaca ialah kerana perbuatan bahasanya. Pencipta sajak selalunya seboleh-bolehnya cuba mengadun anggota sajaknya dengan selok-belok bahasa baru. Bahasa baru yang membawa pengertian rangkai kata-rangkai kata, peribahasa-peribahasa dan lambang-lambang yang belum pernah digunakan orang. Melalui perantaraan bahasa baru itu, baru penyajak berupaya mengalirkan perutusannya dengan lebih berkesan.
Adakalanya orang tidak faham akan bahasa baru ini. Orang menyangsi berkali-kali lalu menyoal tanpa peduli. Apa itu, "Bulan Di Hujung Atap", apa itu "Cermin Tua". Apa yang dimaksudkan oleh A.S Amin dengan, "Pagi Sampai Di Kelabu Mata." Apa yang dimengertikan oleh Usman Awang dengan, "Merpati Putih, Jelajahilah Dunia Ini."
Bila orang tidak mengerti dan tidak faham bahasa-bahasa ini, orang lalu mengecap bahawa itulah sajak-sajak liar. Liar. Liar. Liar. Lalu orang menjauhi sajak. Orang yang menjauhi sajak ialah orang yang menjauhi diri mereka sendiri.
Bersetujukah saudara denganku bila kukatakan bahawa di samping berdikari, hidup ada kalanya meminta pertolongan? Hakikat bahawa hidup mesti tolong-menolong tidak bisa dikesampingkan, bukan? Kerana sememangnya aur dengan tebing itu mesti sandar-menyandar.
Siapa berani menafikan bahawa kehidupan kita dewasa ini tidak tersepit, siapa? Aku? Tidak. Sesungguhnya kita sedang menerajang ke kiri ke kanan. Jiwa kita begitu gelintar. Kita sebenarnya sedang mencari. Apa yang kita cari? Sebagaimana orang melombong bijih untuk pasaran dunia, kita melombong kehidupan besar untuk pasaran bangsa. Kalau tidak rumah kita akan tergadai kelak. Tanah kita akan terjual nanti. Sudah tentu kita tidak mahu menjadi pengemis. Menjadi pengemis di kampung sendiri adalah amat tidak manis. Sudah tentu kita tidak mahu anak cucu kita tertinggal di belakang. Sudah tentu kita tidak mahu anak cucu kita dipijak dan dilanyak. Cukuplah dengan pelajaran yang kita pelajari dari penjualan Pulau Pinang dan kekalahan Melaka.
Kita tidak dapat menolak bahawa tiap-tiap yang hidup mempunyai kekurangan dan kelebihannya. Ini kita sedari betul. Sedihnya masih ada manusia yang tidak sedar tentang kewujudan dirinya. Kerana itu mereka terpaksa ditolak untuk hidup. Sajak boleh menolak manusia untuk hidup.
Sememangnya semua orang, seboleh-bolehnya ingin menjadi seorang yang baik. Dan seorang penyajak itu seboleh-bolehnya berikrar untuk mempersembahkan kebaikan untuk negara, bangsa dan agamanya.
Kerana itu memang benar kata Yevgeny Yevtushenko, seorang penyajak Russia yang terkenal di serata dunia hari ini bahawa "saya adalah seorang nasionalis bagi negara yang baik."
Dalam kehidupan sehari-harian kita sering ditindas. Ditindas oleh adat yang bukan-bukan. Adat yang bobrok dan hodoh. Adat busuk bagai bangkai yang mengekang kehidupan kita. Adat yang menghambat perjalanan kemajuan kita. Adat begini mestilah dibuang dan ditanam hidup-hidup.
Ada orang berkata dengan marah-marah, "Pakailah songkok waktu bersembahyang." Sebagai seorang Muslim pencinta kemajuan kita mesti menjawab, "Adakah Islam agama songkok?". Islam menggalakkan berfikiran maju.
Sajak boleh dijadikan alat untuk mengganyang adat kuno. Sajak boleh dijadikan alat untuk mencari kehidupan yang maju.
Pernah dikatakan bahawa sajak-sajak Kahlil Gibran dari Lebanon itu berjaya mengubat jiwa yang sakit. Manakala Kahlil Gibran pula yakin terhadap, "Apa yang aku suarakan ketika aku hidup akan dipercakapkan oleh ribuan manusia sesudah aku meninggal dunia." Keyakinan itu benar-benar terbukti kini.
Jiwa yang bernilai sentiasa hidup di jiwa manusia yang hidup. Walaupun manusia empunya jiwa yang bernilai itu tidak ada lagi di dunia. Kerana kehidupan yang bererti itu sebenarnya menghendaki jiwa yang mengerti. Mengerti dalam menyelongkar intipati kehidupan yang besar.
Pun begitu, jiwa yang bernilai boleh didapati pada sajak-sajak yang bernilai. Sesungguhnya sajak-sajak bernilai merakamkan peribadi yang menggegar lagi bersinar.
Penyajak Tamil, Subramanya Bharati (1882-1921) telah membuktikan bahawa sajak dapat memupuk keinsafan dan kesedaran serta semangat kebangsaan sesuatu bangsa. Sajak-sajaknya telah banyak memberi sumbangan kepada rakyat India dalam rangka mencapai kemerdekaan India daripada kuku besi Inggeris.
Sajak dapat menunjukkan kekurangan-kekurangan dalam susunan satu-satu masyarakat. Sajak dapat memaparkan keburukan-keburukan dalam masyarakat. Sajak memeriksa kepercayaan- kepercayaan kuno. Mempersoalkan sama ada kepercayaan kuno, kekolotan basi sesuai digunakan lagi di zaman ini. Sajak membawa dan meyakinkan kita tentang keperluan pelajaran kepada anggota sesuatu masyarakat.
Penyajak Jerman, George Heym menggunakan sajaknya, Der Krieg (Perang) untuk menyatakan betapa buruknya peperangan itu. Hingga diperahkannya kebenciannya terhadap padah peperangan dengan kenyataan bahawa, "Perang meronyok bulan dalam tangan hitamnya."
Abbas Mahmud Al-Ikad pula menggunakan sajak-sajaknya untuk membela kebenaran dan menentang kekejaman. Sajak-sajaknya menjadi alat menunjukkan masyarakat ke arah jalan yang benar. Sajak-sajaknya membangunkan semangat dan fikiran umat Arab khasnya dan manusia sejagat umumnya.
Seperti yang kita sedia faham kita kini sedang mencari. Apa yang kita cari? Ya kita mencari emas. Jika ada yang mengatakan bahawa pencarian emas telah tamat, orang itu adalah salah. Sudah lama kita merdeka. Setakat mana kemajuan kita? Sejauh mana kesenangan kita? Kita akan menangis mengenangkan kemunduran dan kemiskinan kita. Tapi bisakah tangisan menghilangkan kemiskinan dan kemunduran bangsa? Sudah tentu saudara menjawab tidak!
Apakah kita akan terus menerus menangis? Kita akan terus-menerus mendiamkan diri? Akan terus menerus duduk termenung? Aku lihat saudara pun menjawab tidak, tidak sekali-kali.
Bagaimana saudara, andai aku katakan bahawa engkau dan aku, bahawa kita bersama mesti bekerja kuat dan bekerja kuat. Berusaha dan berusaha. Bersedia dan terus bersedia dalam lapangan yang masing-masing suka. Tentu saudara berkata bahawa saranan aku elok dipakai.
Kita mesti acapkali menatap diri kita sendiri, bukan? Menatap diri sendiri bermakna memeriksa norma-norma kehidupan kita. Kita melakukan ini dengan segala kesedaran bahawa kita tidak mahu kehidupan kita habis sia-sia. Lantaran itu kita mesti selalu memeriksa kehidupan kita.
Malah rasanya tidak akan salah bila kita bertanya kepada diri kita sendiri; Apa yang telah aku berikan kepada diriku? Apa yang telah aku persembahkan kepada bangsaku? Apa yang telah aku korbankan untuk agamaku? Apa yang telah aku lakukan untuk faedah manusia?
Amatlah salah andai kita lekas berpuas hati dengan seketul kejayaan. Pun bertambah salah bila kita dengan gampang menjadi orang yang rapuh terhadap berputus asa sepanjang jalan.
Dengan segala kesedaran inilah kita tidak kedekut mengutarakan pendapat bahawa kejayaan berkehendakkan pengorbanan, dalam bentuk yang bisa membawa perpaduan. Perpaduan yang mana membuka jalan mencapai kemajuan. Sememangnya saudara, inilah pelajaran pahit yang kita pelajari dari zaman. Bahawa kita tidak rela orang merampas rumah hak mutlak pusaka keturunan nenek moyang kita.
Aku akan tersenyum mendengar orang mengatakan bahawa sajak-sajak tidak berguna kepada dunia. Apa, saudara pun turut mengatakan begitu? Sebenarnya orang yang berkata begitu, menggambarkan jiwanya yang penuh diselaputi kebendaan melulu. Bahawa dalam dunia ini yang paling dipujanya ialah wang semata-mata. Kerana itu ia mengenepikan hasil-hasil yang mempunyai nilai-nilai kehidupan. Ia menunjukkan hasil-hasil kesenian yang sebenarnya ialah gambaran bangunan peribadinya sendiri. Saudara tentu bersetuju dengan hakikat betapa buruknya jiwa yang demikian, samalah buruknya dengan jiwa yang buta kepada ilmu pengetahuan.
Dan kalau orang marah kepada aku akibat kelancangan mulutku dan kurang ajarku, aku cuma terus tersenyum. Kerana aku tahu bahawa kelancangan mulut dan kurang ajar itu adakalanya tidak bisa dielakkan oleh keturunan Adam dan Hawa. Pun kemarahan itu bukannya buruk.
Kalau orang berkata bahawa aku cuma tahu bercakap, pun aku tidak juga akan marah-marah. Kerana ada masa-masanya bercakap berjela-jela itu lebih baik daripada membatukan diri. Tentu saudara tidak akan menafikan hakikat ini.
Artikel oleh Abdul Ghafar Ibrahim, Kulim, 10 Februari 1967
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Blog Archive
-
►
2016
(8)
- ► September 2016 (1)
- ► April 2016 (1)
- ► Januari 2016 (1)
-
►
2015
(8)
- ► Disember 2015 (1)
- ► Julai 2015 (1)
- ► April 2015 (2)
-
►
2014
(1)
- ► Oktober 2014 (1)
-
►
2013
(12)
- ► Disember 2013 (3)
- ► September 2013 (1)
- ► Januari 2013 (2)
-
▼
2012
(14)
- ► Disember 2012 (3)
- ► November 2012 (2)
- ▼ Oktober 2012 (6)
- ► September 2012 (3)
-
►
2011
(9)
- ► Disember 2011 (1)
- ► November 2011 (3)
- ► September 2011 (1)
-
►
2010
(33)
- ► Disember 2010 (1)
- ► Oktober 2010 (1)
- ► September 2010 (1)
- ► Julai 2010 (1)
- ► April 2010 (15)
Tentang NP
NP ialah sebuah majalah blog yang cuba menerapkan bahan-bahan penulisan sastera, budaya dan masyarakat terutama oleh penulis-penulis bebas dan baru. Anda juga boleh menyumbang hasil penulisan anda dengan menghantar ke: naskahpercuma@gmail.com
0 comments: