KASINO 'pundek' Saifullizan Tahir

Selasa, Disember 13, 2011






‘Politik itu binatang liar,’ kata presiden Truman, tetapi politik perniagaan ternyata lebih liar. Penulis Saifullizan Tahir seperti sudah masak dengan keliaran itu. Jelas novel ini ditulis berdasarkan pengalamannya sebagai arkitek lanskap yang biasa dengan budaya niaga di negara tercinta ini, yang tidak boleh lepas dari cakar politik.

Kisahnya berlegar sekitar empat belas hari dalam kehidupan Mohd Narcissus Yussof, watak utama novel KASINO ini, seorang usahawan Bumiputera yang mesti melangsaikan hutang RM3.8 juta kepada kerajaan negeri dalam masa dua minggu. Ia ditulis dari perspektif seorang  ‘aku’ yang bercerita kepada seorang ‘kau’ dan ini membuat saya terjerumus dalam kekeliruan untuk membezakan suara penulis dengan suara watak yang ditulis, antara Saifullizan dengan Narcissus, kedua-duanya seorang arkitek. Watak Mohd Narcissus agak mencabar minda saya dan belum lagi dapat saya memutuskan antara membenci dan menyukainya.

Ini tidak bermakna novel ini ialah sastera yang molek. Membacanya seperti berjalan dalam longkang panjang yang sarat dengan nama-nama jenama mewah yang kebanyakannya tidak pernah saya dengar.  Setiap langkah ialah penyeksaan. Ini mengecewakan bagi seseorang yang pernah memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan. Setiap barang yang dipakai oleh watak-watak mahu disebut jenama, seolah-olah pembaca dapat membayangkan barang-barang itu dengan terperinci setelah mengetahui jenamanya.

Mungkin ini disengajakan oleh Saifullizan untuk menegaskan watak Mohd Narcissus selaku narator yang sangat mementingkan status dan kemewahan material. Mungkin juga Saiful sendiri lemas dalam fantasi konsumerisme yang ada dalam kepala setiap konsumer?  Saya hanya mampu meneka sambil menahan mual dalam perut. Apapun nama-nama itu tidak membantu naratif novel ini malah ia membuat saya terapung di awang-awangan etelase Pavilion, jauh daripada penceritaan.  

Walhal novel ini punya plot yang bagus dan ditulis dengan berani berdasarkan pengalaman-pengalaman autentik. Mohd Narcissus mewakili kenyataan kehidupan masakini golongan-golongan korporat Bumiputera yang dibanjiri kemewahan kotor. Gaya penulisan yang terus terang menokok kepada ketulenan watak Mohd Narcissus, walaupun kadang saya mempersoalkan tabiatnya yang suka mencarut ‘pundek,’ perkataan yang rasa saya tidak akan digunakan oleh golongan-golongan peminum wain tegar yang memandu Carrera  911 GTS.

Soal-soal ketuhanan dicurahkan dengan nada sinis oleh narator, seperti sepatutnya dicurahkan oleh seorang materialistik yang bijak dan berpengalaman luas. Sebenarnya novel ini banyak membuat saya berfikir. Hanya cara pencurahan idea-idea yang terus daripada fikiran dan kenangan narator, atau daripada dialog, membuatnya terasa mentah dan membosankan.

KASINO bukanlah sebuah karya agung yang dinanti-nantikan oleh saya. Ia juga tidak banyak berseni tetapi ia tidak lokek pengetahuan dan cabaran kepada pemikiran. Bermanfaat membacanya tetapi cukuplah sekali saja saya melalui helaian-helaian novel ini. Terima kasih kepada Vinlin Press yang memberi novel ini percuma kepada saya.
Read On 0 comments

Kontribusi Cerpen: Sebuah Insiden

Sabtu, November 19, 2011

Oleh Nurul Ain Rawei.

Segala-galanya bermula di sebuah kampung yang letaknya jauh di utara, di suatu tengah hari yang terik pada hari ketujuh bulan Julai. Munir yang sedang belajar dalam darjah Tiga, ternampak jirannya, Pak Bustamam sedang memapah seorang perempuan muda yang sarat mengandung di sebuah klinik desa. Ketika itu Munir baru sahaja tamat kelas tambahan di sekolahnya dan menaiki sebuah bas berwarna kuning yang kebetulan melalui klinik itu.

Sejurus tiba di rumah, Munir memberitahu ibunya, Mek Rosnah, wanita Pantai Timur yang bernikah dengan suaminya, bapa Munir semestinya. Aduhai Munir, kecil-kecil sudah pandai membawa mulut. Sememangnya Munir adalah ‘kembar’ ibunya. Bukan sahaja seiras rupa malah serupa tingkah mereka juga.

Terkejut dengan apa yang anaknya nampak, Mek Rosnah segera ke rumah teman baiknya, Kak Pah Labuci. Sebelum itu, Munir disogokkan dengan sehelai wang kertas berwarna hijau sebagai hadiah kerana menjadi ‘informer’nya pada tengah hari itu. Maka bergembiralah Munir sambil menikmati burger oblong berharga RM4.50 yang dibeli di sebuah gerai burger berhampiran rumahnya.

Kak Pah Labuci mahir menjahit corak labuci yang cantik pada baju-baju pelanggannya, juga mahir menokok tambah untuk menyedapkan cerita. Lalu dijahitnya segala manik pelbagai warna pada baju yang diberi oleh Mek Rosnah. Kononnya Pak Bustamam kaki betina, ada kekasih gelap tanpa pengetahuan isterinya, Esah Gebu, gila meneguk kopi Tongkat Ali bercawan-cawan hingga nafsunya tidak terbendung lagi. Akhirnya terjadilah hubungan terlarang antaranya dengan perempuan muda yang bunting itu.

Terangguk-angguk dan tergeleng-geleng kepala Mek Rosnah mendengar kisah Pak Bustamam versi Kak Pah Labuci itu seperti patung dengan kepalanya bergerak-gerak yang sering menjadi hiasan di dalam mobil. Kemudian Kak Pah Labuci terfikir untuk menyampaikan kisah itu kepada seorang guru agama yang amat dikenali di kampung itu, Ustazah Siti Mariam namanya.

Ustazah Siti Mariam tinggi ilmu agamanya. Selain menjadi guru Pendidikan Islam di sekolah Munir, dia juga mengajar anak-anak kampung mengaji Alquran di surau. Malangnya dia terlalu mudah mempercayai cerita-cerita yang karut. Jadi apabila dia mendengar cerita tentang Pak Bustamam daripada Kak Pah Labuci yang menelefonnya, Ustazah Siti Mariam mengucap panjang tanpa berfikir.

Terus dia mendail nombor telefon rumah Esah Gebu. Esah Gebu yang sedang menonton gambar bergerak di dalam peti hitam yang melembapkan fikiran terganggu apabila telefon rumahnya berbunyi. Apabila gagang diletakkan pada telinganya, dia terdengar suara cemas Ustazah Siti Mariam. Alangkah terkejutnya dia apabila guru agama itu mengkhabarkan apa yang dilakukan oleh suaminya.

Esah Gebu semakin gebu, tetapi gebunya kali ini kerana dikembangkan oleh api kemarahan. Siapalah yang tidak naik minyak mendengar khabar bahawa suaminya main kayu tiga di belakangnya? Sementara itu, Ustazah Siti Mariam tidak jemu-jemu menyuruh Esah Gebu agar bawa bersabar, bawa mengucap, bawa bertenang. Namun kesabaran yang cuba direnjis oleh Ustazah Siti Mariam adalah minyak tanah yang memarakkan lagi api yang sedang memanggang hati isteri Pak Bustamam itu.

Gagang telefon dihempas. Esah Gebu menyambar kunci motosikal di atas meja lalu meninggalkan rumahnya tanpa dikunci. Ketika menuruni tangga rumahnya, dia ternampak sebilah parang panjang, lalu disambarnya dan diletakkan di dalam bakul motosikalnya. Motosikal itu dihidupkan. Esah Gebu terus membelok dari rumahnya dan menunggang dengan lajunya.

Esah Gebu sudah sampai di klinik desa yang dimaksudkan oleh Ustazah Siti Mariam. Motosikal itu ditinggalkan di perkarangan klinik dan melurulah Esah Gebu bersama parang panjangnya. Sesungguhnya kemunculannya itu mengejutkan isi-isi yang ada di dalam klinik itu. Terutamanya, Pak Bustamam.

Bersama Pak Bustamam ada seorang perempuan muda yang sedang mengandung terlantar lemah di atas katil klinik. Di sisinya terduduklah seorang lelaki berkulit sawo matang yang tidak Esah Gebu kenali. Mereka tampak ketakutan melihat Esah Gebu berparang panjang begitu. Di sebuah bilik lain, seorang doktor dan dua orang jururawat sedang melakukan kerja mereka.

Esah Gebu mendekati perempuan muda yang mengandung itu. Pak Bustamam cuba menghalang namun Esah Gebu bertindak melibas muka suaminya sampai luka dan berdarah. Perempuan yang mengandung itu menjerit. Melihat Pak Bustamam rebah, Esah Gebu terus menetak dan menikam suaminya. Berkali-kali. Semakin banyak darah membuak keluar dari tubuh Pak Bustamam. Doktor dan dua orang jururawat yang terdengar bunyi bising di luar bilik mereka terus keluar dan menahan Esah dari bertindak lebih ganas. Seorang daripada mereka merampas parang panjang itu dari tangan Esah Gebu.

Lelaki berkulit sawo matang itu memeluk perempuan muda yang mengandung itu seeratnya. Dalam pada itu, doktor mengarahkan lelaki itu menghubungi pihak berkuasa. Lelaki itu cepat-cepat mengeluarkan telefon bimbitnya dan menurut arahan doktor itu. Perempuan muda itu pula menangis dan menjerit:

“Kakak! Cik Bustamam tak curang! Dia cuma tolong kami saja! Dia bawa saya ke sini tengah hari tadi sebab dia nampak saya pengsan di tepi jalan. Suami saya pula di pekan. Tolonglah kak, jangan bunuh suami kakak! Bukan salah dia, kak!”

Esah Gebu terkejut besar. Terima kasih kepada iblis kerana dengan mudahnya menghasut Esah Gebu melakukan sesuatu yang dia sendiri tidak sangka. Dia sudah membunuh orang yang tidak bersalah. Lebih mengharukan, mangsanya adalah suaminya sendiri.

Esah Gebu mula menangisi kedunguannya kerana mempercayai fitnah yang ditaburkan oleh rakan-rakannya sendiri. Dia mengecami dirinya, “bodohnya aku!”, lalu mendekati tubuh kaku Pak Bustamam yang bermandi darah.

Dalam beberapa ketika, kedengaran siren polis dan ambulans di luar klinik. Bingitnya bersatu dengan tangis kesal Esah Gebu, mengalunkan ratapan yang menghibakan jiwa orang-orang yang mendengar. Ketika polis dan atendan hospital menyerbu masuk ke dalam klinik, mereka seperti melihat seorang penyembelih bersama haiwan sembelihannya yang sedang berjuang untuk hidup serta beberapa orang pelancong yang sedang menyaksikan suatu upacara korban.
Read On 0 comments

Melayu. Sepuluh Tahun Setelah Usman Awang

Selasa, November 15, 2011



melayu itu 
layaknya berniaga 
dibawah payung cuma 
jual jambu dipinggir jalan 
berkhemah hingga dinihari 
menjual barangan tiruan 
dikala bilal pecah tekak laung azan 
dia sibuk melalak jual barang

melayu itu 

politiknya tiada batas ugama 
mulutnya berbau puki 
korup tangan korup kaki 
tegak benang basah 
kerja sehari-hari 
malu orang jadi jenaka 
malu sendiri jadi bangga

melayu itu 

kerjanya main-main 
main-main itu kerjanya 
mengadu malang semedang 
merintih dalam lagu 
mengaku masih bertatih 
dan selalu perlu dibantu

melayu sudah tidak tidur lagi 

sudah lama bangkit dari lena 
apa sahaja jahat dunia 
anak melayu terbabit sama 
walau sedikit tertinggal 
mereka kejar dengan iltizam 
untuk terus derhaka

melayu itu 

buang anaknya 
buang ibubapanya 
buang keluarganya 
buang saudaranya 
buang siapa sahaja 
asal dia duduk ditangga jaya

ayuhai melayu seantero benua 

tambah lagi usaha 
usaha tangga jaya 
selamat menjadi bangsa paling berdosa



Puisi sumbangan abdullahjones/rajawali
Read On 1 comments

The Three Questions atau dalam melayunya Tiga Persoalan.

Selasa, November 01, 2011




Satu hari ada seorang maharaja yang terfikir betapa banyak perkara boleh diselesaikan dengan mudah jika dia dapat menjawab tiga soalan:

Bilakah masa paling tepat untuk melakukan sesuatu? Dengan siapakah dia mesti melakukan sesuatu? Dan apakah perkara paling penting yang mesti dibuat?

Maharaja itu mengeluarkan watiqah ke seluruh jajahannya mengisytiharkan hadiah besar akan diberi kepada sesiapa yang dapat menjawab ketiga-tiga soalan itu. Ramai yang membaca watiqah itu segera menuju ke istana dengan jawapan masing-masing.

Sebagai jawapan kepada soalan pertama ada yang mencadangkan maharaja itu membuat satu jadual lengkap, membahagikan setiap minit, jam, dan haribulan untuk tugas-tugas tertentu dan kemudian berdisiplin dalam mengikut jadual yang dibuat. Hanya dengan cara itu dia dapat melakukan sesuatu perkara pada masa yang paling tepat.

Ada pula yang mengatakan ia amat mustahil untuk mengikut jadual yang dirancang dan maharaja itu sepatutnya meninggalkan bersenang lenang dan hiburan supaya dia dapat bersedia sepanjang masa untuk melakukan sesuatu pada masa yang tepat.

Ada pula berkata amat mustahil maharaja itu mempunyai kebolehan untuk melakukan sesuatu pada masa yang tepat jika dia tidak mendapat nasihat daripada majlis penasihat, dan menubuhkan majlis itu adalah perkara yang perlu jika maharaja mahu melakukan sesuatu pada masa sepatutnya.

Ada pula yang berkata ada juga perkara yang memerlukan keputusan segera dan tidak sempat diajukan kepada majlis penasihat, dan jika maharaja mahu melakukan sesuatu pada masa yang tepat dia mestilah berjumpa dengan bomoh atau ahli nujum.

Jawapan kepada soalan kedua juga tidak ada yang memuaskan.

Seorang bijak pandai berkata maharaja itu mestilah meletakkan kepercayaannya kepada pegawai kerajaannya, ada pula yang bertegas dia perlu dekat dengan paderi-paderi dan rahib, ada yang mencadangkan baginda dekat dengan tabib-tabib, dan ramai juga yang mencadangkan baginda dekat dengan tenteranya.

Soalan ketiga juga mendapat jawapan-jawapan pelbagai. Ada yang mengatakan kajian sains sebagai perkara yang perlu diutamakan. Ada pula yang mengatakan agama sebagai sesuatu yang paling penting sedang yang lain pula mencadangkan mendalami ilmu ketenteraan.

Maharaja tidak berpuas hati dengan semua jawapan dan tiada hadiah diberikan.

Setelah berfikir beberapa malam, maharaja mengambil keputusan untuk mengunjungi seorang pertapa yang tinggal di atas sebuah gunung dan dikhabarkan sebagai seorang bijaksana. Dia mahu menanyakan soalan-soalannya kepada pertapa tersebut, tapi diketahuinya juga bahawa pertapa itu tidak pernah turun dari gunungnya, dan hanya menerima kunjungan golongan miskin dan tidak mahu menerima kunjungan golongan kaya dan berkuasa. Jadi maharaja itupun menyamar sebagai rakyat miskin dan mengarahkan pengawal-pengawalnya menunggu di kaki bukit sementara dia sendiri mendaki cerun gunung mencari si pertapa.

Sampai saja di tempat tinggal orang alim itu, maharaja melihatnya sedang mencangkul di kebun hadapan pondok. Si pertapa yang melihat kedatangan pengunjung yang tak dikenali itu hanya mengangguk lalu terus mencangkul. Kelihatan kerja mencangkul itu amat berat bagi orang alim yang sudah tua itu. Kepayahan jelas terbayang di wajahnya setiap kali dia menghayunkan cangkulnya ke dada tanah.

Maharaja mendekati si pertapa dan berkata, “Saya datang ke sini untuk meminta bantuan tuan tentang tiga soalan: Bilakah masa paling tepat untuk melakukan sesuatu? Dengan siapakah kita mesti melakukan sesuatu? Dan apakah perkara paling penting yang mesti dibuat?”

Si pertapa mendengar dengan tekun tapi dia hanya menepuk maharaja di bahu dan terus mencangkul. Maharaja berkata, “Tuan tentu sudah penat. Mari biarkan saya saja yang melakukan kerja tuan.” Si pertapa mengucapkan terima kasih, memberikan cangkulnya kepada maharaja lalu duduk berehat di hamparan tanah.

Setelah beberapa lama dia mencangkul, maharaja itupun berhenti dan kembali dia menanyakan ketiga-tiga soalannya. Pertapa itu masih tidak menjawab bahkan bangun dan menunjuk kepada cangkul di tangan maharaja lalu berkata, “Apakata kamu berehat sekarang? Aku sudah boleh menggantimu” Namun maharaja tetap meneruskan pekerjaannya. Satu jam berlalu, kemudian dua, akhirnya matahari mula terbenam di belakang gunung itu. Maharaja meletakkan cangkulnya dan berkata kepada pertapa itu, “Saya datang ke sini untuk bertanya jika tuan boleh menjawab ketiga-tiga soalan saya. Tapi jika tuan tidak boleh memberikan jawapan, sila beritahu saya supaya saya boleh bergerak pulang”

Pertapa itu mengangkat kepalanya lalu bertanya kepada maharaja, “Adakah kau mendengar seseorang berlari di sebelah sana?” Maharaja lalu memalingkan kepalanya. Mereka berdua melihat seorang lelaki dengan janggut putih yang panjang muncul dari hutan. Dia berlari liar, menekapkan tangan kepada luka di perutnya yang berdarah. Lelaki itu berlari ke arah maharaja sebelum dia rebah ke tanah dan terbaring mengerang. Setelah bajunya dibuka, maharaja dan pertapa mendapati kesan luka tikaman yang dalam pada lelaki itu. Maharaja membersihkannya dengan sempurna dan membalut luka itu dengan bajunya sendiri, tapi dalam beberapa minit saja ia jadi basah dengan darah. Dia lalu membilas baju itu dan membalut luka buat kali kedua lalu terus mengulanginya hingga darah berhenti mengalir.

Akhirnya lelaki parah itu kembali sedar dan meminta segelas air. Maharaja terus ke anak sungai kemudian kembali dengan sebalang air bersih. Matahari telah tenggelam dan malam mula menyejuk. Sang pertapa membantu maharaja memapah lelaki yang cedera itu ke dalam pondok lalu mereka membaringkannya di atas katil pertapa. Lelaki itu memejamkan matanya dan tidur dengan aman. Maharaja juga kepenatan setelah seharian mamanjat gunung dan mencangkul di kebun. Dia menyandarkan tubuhnya di muka pintu lalu terus tertidur. Apabila dia terjaga, matahari telahpun naik tinggi. Buat seketika dia lupa di mana dia berada dan mengapa dia berada di situ. Dia mengalihkan pandangannya ke katil dan melihat lelaki yang cedera itu juga sedang dalam kekeliruan. Apabila lelaki itu melihat maharaja dia merenungnya dengan tajam kemudian berbisik sayup, “tolonglah ampunkan saya”

“Tapi apakah yang telah kau lakukan hingga memerlukan keampunanku?” tanya maharaja.

“Tuanku tidak mengenali saya, tapi saya mengenali tuanku. Saya adalah seteru ketat tuanku dan saya telah bejanji untuk membalas dendam terhadap tuanku, kerana pada peperangan lepas tuanku telah membunuh adik saya dan merampas harta saya. Waktu saya dapat tahu yang tuanku akan menaiki gunung ini sendirian untuk menemui tuan pertapa, saya telah mengambil keputusan menyerang hendap tuanku dalam perjalanan pulang untuk membunuh tuanku. Namun setelah menunggu lama dan bayang tuanku masih tidak kelihatan, saya meninggalkan hendapan untuk mencari tuanku. Tapi sebaliknya saya telah bertemu dengan pengawal-pengawal tuanku, yang mengenali saya, dan merekalah yang mencederakan saya. Untung saya dapat melepaskan diri dan lari ke mari. Jika saya tidak bertemu tuanku tadi tentulah saya sudah mati sekarang. Saya berniat untuk membunuh tuanku tapi sebaliknya tuanku telah menyelamatkan nyawa saya! Sungguh saya malu dan tidak ada kata yang dapat menggambarkan penghargaan saya. Jika saya selamat, saya bersumpah akan memperhambakan diri kepada tuanku, dan saya akan memerintahkan anak cucu saya melakukan yang sama. Saya harap tuanku dapat mengampunkan saya”

Terlalu gembira maharaja apabila dengan mudah saja dia telah berdamai dengan seorang musuh lama. Dia bukan saja mengampunkan lelaki itu, malah berjanji untuk mengembalikan hartanya dan menghantar tabib peribadi dan pembantu bagi memastikan lelaki itu benar-benar sembuh. Setelah memerintahkan pengawal-pengawalnya untuk menghantar lelaki itu pulang, maharaja kembali untuk bertemu si pertapa. Sebelum pulang ke istana dia mahu menanyakan tiga persoalannya buat kali terakhir. Maharaja mendapati si pertapa sedang menanam benih di tanah yang telah mereka gali semalam.

Si pertapa lalu berdiri memandang maharaja. “Bukankah soalan-soalanmu telah terjawab?.”

“Maksud tuan?” tanya maharaja, keliru.

Semalam, jika kau tidak mengasihani umur tuaku dan membantuku menggali lubang-lubang ini, tentulah kau akan diserang lelaki itu waktu kau pulang. Kemudian kau akan menyesal kerana meninggalkanku. Justeru masa yang paling tepat ialah masa kau menggali lubang-lubang ini, dan dengan akulah orang terbaik untukmu, dan perkara paling penting yang mesti kau lakukan ialah membantuku. Kemudian waktu lelaki yang cedera itu lari ke mari, masa paling tepat ialah masa kau merawati lukanya, kerana jika kau tidak berbuat demikian dia akan mati dan kau tidak akan berpeluang untuk berdamai dengannya. Begitulah juga dia ialah orang yang terbaik bagimu, dan perkara paling penting mesti kau lakukan ialah merawati lukanya. Ingatlah bahawa hanya ada satu masa yang terpenting iaitu sekarang. Hanya masa sekarang saja yang berada dalam kawalanmu. Orang yang terbaik bagimu sentiasa ialah orang yang bersamamu sekarang, yang berada hampir denganmu, kerana siapa tahu jika kau akan bertemu orang lain lagi di kemudian hari? Perkara paling penting yang mesti kau lakukan ialah membuat orang itu, yang berada berhampiranmu, bahagia, kerana itulah satu-satunya matlamat kehidupan.”



Nota:

Tiga Persoalan (The Three Questions) ialah parabel pendek karangan Tolstoy yang pertama kali diterbitkan pada tahun 1885 sebagai sebahagian daripada koleksi What Men Live By,and other tales.
Read On 0 comments

Paulo Coelho : Dari shamanisme ke Coelhoisme

Selasa, September 20, 2011

Paulo Coelho dengan gaya 'penulis'nya.



‘Tanggungjawab insan ialah merealisasikan takdir yang telah ditetapkan ke atas dirinya’
Petikan dari The Alchemist


‘Paulo Coelho bukanlah seorang penulis,’ kata para pengkritik sastera di tempat kelahirannya sendiri, Brazil. ‘Tulisannya setaraf kanak-kanak’, ‘banyak menggunakan metafora dan anekdot yang klise’, ‘himpunan falsafah purba yang menjemukan’, serta ‘penciptaan watak-watak stereotaip yang kerja mereka berkhutbah sepanjang masa’. Diogo Maniardi, seorang pengkritik dari majalah Veja pernah menyamakan karya Coelho, Maktub seperti stoking busuknya yang tertinggal di dalam kereta. Itu adalah sebilangan kritikan ‘pedas’ yang diterima oleh Paulo, walaupun pada saat itu karyanya yang ke-sembilan, By The River Piedra I Sat Down and Wept telah terjual melebihi 70,000 naskah hanya pada hari pertama peluncurannya. Begitulah yang dialami Coelho di negara sendiri berbanding dunia lain yang sedang sibuk menterjemah karya-karyanya ke dalam bahasa masing-masing. Menurut Tom Jobim, seorang komposer muzik, ‘di Brazil, kejayaan seseorang individu itu akan dirasakan seolah penghinaan, satu tamparan hebat ke atas diri sendiri.’ Lebih parah lagi, ‘saya tidak membacanya malah saya langsung tidak berminat dengannya,’ adalah kritikan yang diulas oleh Davvi Arrigucci, Jr, seorang profesor sastera di Universiti Sao Paolo mengenai karya Paulo Coelho, tatkala karyanya satu-persatu sedang diterjemah ke bahasa Perancis, tempat kelahiran gergasi sastera seperti Balzac, Flaubert dan Victor Hugo. Bandingkan pula dengan respon berikut daripada Kenzaburo Oe, penerima anugerah Nobel Sastera 1994, ‘Paulo Coelho sudah menemui rahsia alkemi sastera’.


Di dalam buku A Warrior’s Life : A Biography of Paulo Coelho, penulisnya Fernando Morais mendedahkan kepada para pembaca sejarah lalu Coelho yang bahkan dia sendiri terlupa – atau, memang mahu melupakan. Paulo memberi Fernando, penulis biografinya itu sebuah kotak simpanan peribadi yang terisi 170 naskah buku nota tulisan tangan dan 94 buah kaset rakaman suara yang menceritakan kesemua perkara tentang perjalanan hidupnya, dari 1959, sewaktu berusia dua belas tahun hinggalah 1995, ketika berusia empat puluh lapan tahun dan mula menaip bukunya dengan menggunakan kibod komputer. Segala sisi hidupnya yang gelap ‘sengaja’ dibiarkan untuk didedah oleh Fernando di dalam biografinya itu. Ini termasuk kisah di mana beliau ditahan di wad sakit jiwa di Rio de Janeiro. Bahkan sehingga tahun 1998, para peminatnya belum pernah tahu mengenai sejarah hitam tersebut. Dia telah bersumpah akan menceritakan semua itu setelah kematian ibubapanya. ‘Veronika adalah Paulo Coelho’, begitu pengakuan Paulo sekitar waktu bukunya, Veronika Decides To Die diterbitkan. Buku itu mengisahkan Eduardo, anak seorang diplomat dan heroinnya, Veronika yang setelah gagal dalam percubaan membunuh diri, telah dihantar ke wad gila oleh ibubapanya dan di situ dia menjalani rawatan terapi ‘electroshock’. Coelho yang menghidap bipolar sewaktu remaja pernah dimasukkan ke wad gila sebanyak tiga kali, dan rawatan sebegitu tidaklah asing bagi dirinya. Di waktu itu juga dia berkenalan dengan Dr. Benjamin Eiras yang kemudian langsung menjadi akrab dengannya dan sentiasa memberi semangat dan dorongan sehingga dia dewasa.


Bagi manusia yang sudah berkeinginan untuk menjadi penulis sejak kecil, memang lazim untuk Coelho melakukan apa saja demi memastikan impiannya tercapai. Pada usia 20-an, sewaktu dia terjebak dengan penyalahgunaan dadah dan asyik bereksperimen dengan bahan khayalan, dia mula beralih minat terhadap ilmu esoteris dan amalan pemujaan syaitan. Sebagai atheis yang telah kecewa dengan amalan ortodoks Kristian, ini tidaklah menghairankan. Coelho dimasukkan ke sekolah agama Our Lady Victorious dan kemudian melanjutkan pelajaran ke Kolej St. Ignatius, yang berprestij pada ketika itu di Rio de Janeiro. Malangnya, dia tidak begitu berjaya di alam persekolahan. Sekadar mendapat kepujian dalam beberapa subjek pilihan, contohnya bahasa Portugis dan falsafah, Coelho lebih menggemari penulisan skrip dan sajak berbanding rutin pembelajaran yang membosankan. Di dalam The Zahir, Paulo menjawab, ‘Aku menulis kerana sewaktu remaja aku seorang kaki bangku, aku tidak punya kereta dan elaun yang banyak, aku juga seorang yang lembik...bahkan aku tidak pandai bergaya. Perkara itu sahaja yang menarik hati para gadis sekolah, lalu mereka tidak mengendahkanku. Malam harinya sewaktu rakan sekelas keluar bersama teman wanita, aku meluangkan masa dengan mencipta dunia yang menyeronokkan; rakan-rakanku adalah para penulis dan buku-buku mereka.’ Zaman remajanya diisi dengan aktiviti kumpulan teater, bersosial di kelab intelektual muda dan penggemar-filem; sinema Paissandu dan hobi biasa remaja sebayanya, yakni bertukar-tukar teman wanita. Sewaktu di Kolej Andrews, selepas berhenti dari St. Ignatius, Coelho pernah bekerja separuh masa sebagai wartawan untuk akhbar Diario de Noticias dan seringkali bermegah dengan kenyataan tulisannya kini telah dibaca oleh ‘beribu’ penduduk Rio.


Melalui cebisan nota yang didapati dari ‘Kotak Pandora’nya itu, pembaca akan tahu, tujuan dia mendekati dunia okultis dan magis hanya sebagai eskapisme mengubati kekecewaannya yang pada ketika itu, masih belum menerbitkan sebuah buku, melepasi had umur yang ditetapkan olehnya. Karya pertamanya, Archives of Hell hanya diterbitkan pada tahun 1982, beberapa waktu selepas itu ketika Coelho berumur 35 tahun. Prakata buku itu ditulis dan ditandatangani oleh Andy Warhol (Coelho kemudian membuat pengakuan yang Andy langsung tidak pernah membaca buku tersebut). Perkenalannya kemudian dengan ‘pewaris kepada ‘The Beast’ dari Brazil’, nama jolokan bagi Marcelo Ramos Motta - seorang misterius yang mengaku mengepalai kumpulan rahsia AA –Astrum Argentum - memberinya peluang untuk mendalami ilmu-ilmu esoterik dan amalan penyembahan syaitan. Istilah-istilah satanisme (Liber Oz, daun ‘syaitan’ sansevieria trifasciata, posisi Naga, posisi Ibis dsbnya) serta ajaran okultis lain dari pengasas legenda OTO, Aleister Crowley (The Beast) itu mula mempengaruhi hidupnya. Bagi Coelho, mungkin penulisan tentang perkara mistik dan amalan ‘black magic’ dapat menambah minat khalayak pembaca justeru menjadikan dirinya terkenal dalam dunia sastera Brazil. Dia juga pada satu masa menjadi obses dengan dunia mistik ‘vampirisme’ dan pernah menulis sebuah buku mengenainya, Practical manual on Vampirism (walhal bukan ditulis Coelho, dia sekadar meletakkan namanya di kulit depan buku).


Sebagai seorang ‘penulis’ yang bermula dari dunia teater, dia sedikit sebanyak terpengaruh dengan idea-idea politik kiri, walaupun secara dasarnya dia memang apolitikal, langsung tidak pernah hirau tentang keadaan sosiopolitik Brazil yang diperintah junta tentera. Coelho pada waktu itu masih berangan untuk menjadi penulis terkenal yang akan menghasilkan ‘Maha Karya Milenium’, sebuah impian yang sering dikhayal oleh setiap insan penulis. Insiden bersabit politik yang pernah beliau alami ialah sewaktu ditahan oleh polis rahsia Brazil (DOI-Codi) atas tuduhan menyebar fahaman komunis bersama teman wanitanya. Atas minat yang sama yakni perkara supernatural dan makhluk asing, Coelho kemudian diajak oleh seorang penyanyi dan ikon Brazil, Raul Seixas untuk menubuhkan kumpulan duo Sociedade Alternativa, di mana semenjak itu dia mula pula mencungkil nama sebagai penulis lirik yang berunsur esoterik dan mistik. Bahkan, para peminat mulai mengambil idea ‘Sociedade Alternativa’ sebagai sebuah pertubuhan rahsia, walaupun dinafikan sekeras-kerasnya oleh Paulo, sewaktu disoalsiasat polis beberapa tahun kemudian. Sebagai penulis lirik, hidupnya tenggelam dalam kemewahan dan populariti tetapi jiwanya masih lagi rungsing. Cita-cita Paulo yang sebenar ialah menjadi penulis novel, bukannya penulis lirik. Beberapa tahun kemudian, Raul dan Paulo mulai membawa haluan masing-masing hinggakan seorang wartawan yang pernah berusaha menyatukan mereka dalam projek reunion membuat komen, ‘kedua mereka mempunyai penyakit ‘primadonnaitis’ yang akut’.


Peralihan jiwa Paulo Coelho dari seorang atheis, shamanis hinggalah kembali menjadi penganut Kristian Katolik yang taat boleh dikatakan berlaku setelah berpacaran dengan Christina Oiticica, wanita terakhir dan kekal bersamanya hingga sekarang. Chris yang dilahirkan dalam keluarga yang sedikit ortodoks merupakan seorang pelukis dan pernah mengambil jurusan senibina. Paulo selalunya akan mengikut naluri Chris, yang lebih ‘kuat’ dan sentiasa betul dalam setiap justifikasi mereka. Bersama Chris juga mereka berdua menubuhkan syarikat penerbitan Shogun Editora yang kemudian bertindak menjadi penerbit Archives Of Hellnya itu. Namun, kita tak boleh abaikan seorang lagi watak penting malah juga misteri dalam hidup Paulo Coelho yakni, Master Jean - atau sekadar J - yang mengajarnya ilmu esoterik purba dari sebuah lagi organisasi rahsia RAM (regnum, agnus, mundi). Mereka berdua awalnya berjumpa melalui pengalaman ‘epifani’ yang dialami Paulo ketika dia dan Chris melawat kem pelarian Nazi di Dachau. Semenjak itu, Master J akan sentiasa memberinya tunjuk ajar demi merealisasikan impiannya untuk menjadi penulis yang terkenal (seluruh dunia). Dari pengalaman dan perjalanan mistik yang diterima itulah, Paulo mulai meluahkannya dalam sentuhan fiksyen hingga terhasil The Pilgrimage (pengalamannya mengembara ke Santiago - tempat penghijrahan sebuah mazhab Kristian – sepertimana diarah oleh Master J) dan The Valkyries (pertemuan dengan kumpulan penunggang motosikal wanita ‘the Valkyries’ sewaktu mengikuti ajaran RAM). Coelho mula mencipta nama di luar negara dengan bantuan seorang lelaki 50-an, pemilik hotel di pekan kecil daerah Massachusetts, yang juga penterjemah separuh masa. Namanya Alan Clarke. Hasil usaha Alan melalui penerbit HarperCollins, The Pilgrimage edisi bahasa Inggeris awalnya menemui kegagalan, hinggalah seperti dimaktubkan Tuhan, setelah The Alchemist keluar, Alan sekali lagi memberi manuskrip terjemahannya kepada penerbit yang terbesar di Amerika Syarikat ketika itu. Selepas The Alchemist menembus pasaran Amerika dan mendapat tindakbalas positif, Paulo Coelho tidak lagi menoleh ke belakang. Sepertimana yang digelar dalam sebuah majalah British, Publishing News sebagai fenomena ‘Coelhomania’ dan di Perancis disebut sebagai ‘Coelhoisme’, pandemik ini mulai menyerang seluruh dunia, dengan jumlah jualan melangkaui 100 juta naskah, 455 terjemahan, diterbit dalam 66 jenis bahasa di 160 negara seluruh dunia.

Kita tentu kagum membaca perjalanan hidup Paulo Coelho, manusia yang ditakdirkan menjadi penulis biarpun berkali-kali gagal. Dalam masa sama dikritik dan dikutuk oleh intelektual dan wartawan negeri sendiri, di dunia lain dia seumpama 'Sang Alkemis' yang berjaya memberi inspirasi kepada pembaca untuk berusaha merealisasi impian mereka. Tahun lepas, Paulo Coelho telah menerbitkan buku terbaru yang juga karya ke-27 beliau, berjudul The Aleph untuk pasaran Brazil dan Turki. Bagi pasaran dunia, 27 September 2011 ini adalah hari yang dinanti-nantikan oleh para peminatnya.
Read On 3 comments

Dari neraka ke neraka, rentung di sisi tuhan.

Selasa, Ogos 23, 2011
Pedulikan kata-kata sumbang daripada orang. Kebanyakan mereka takut menghadapi diri sendiri. Aku tahu aku tak disenangi mereka bila mempersoalkan perihal ketuhanan dalam puisi-puisiku tetapi pergi jahanamlah. Tuhan menyoal aku jadi aku menyoal Dia kembali. Bukankah semua daya, termasuk daya pemikiran juga datangnya daripada Dia? Aku mencari tuhan yang sejati. Bukan tuhan yang telah disuapkan.

Puisi yang sebenar ialah luahan luhur, dan apapun bentuk kesenian yang luhur datang dari sumber yang lebih dalam daripada pemikiran. Sumber itulah yang mahu aku selami dengan jujur. Bagiku puisi hanyalah alat dan bukan matlamat. Kasih sayang puisi dengan pembaca hanya bermula setelah puisi dibaca tetapi percumbuannya dengan penulis bermula sejak penulis lahir lagi. Bagi seorang penyair, proses penggalian puisi harus lebih penting daripada puisi yang terpancut kerana puisi ialah Kehidupan yang menulis.

Dan puisi mestilah memancut. Penggalian mestilah dalam. Biarkan kalau berdarah. Tak guna semua nak nyaman saja.

Penggalian maksudku bukanlah penggalian metafora, rima, ritma, irama dan apa-apa lancau lagi yang selalu kita kaitkan dengan puisi tetapi penggalian diri. Ini berlaku sebelum puisi ditulis. Herman Hesse berpendapat kewajiban utama seorang manusia ialah memahami dirinya sendiri dan aku juga berpendapat sama. Aku juga berpendapat seorang penyair boleh menggunakan puisi untuk memahami dirinya jika puisi itu datang dari dalam diri.

Memang banyak cara lagi yang ada untuk mencari diri dan anda semua boleh memilih cara yang sesuai mengikut peribadi masing-masing. Aku bercakap tentang puisi sebagai salah satu cara yang sesuai. Aku tidak meletakkan puisi sebagai satu jalan tetapi sebagai kenderaan.

Penyair-penyair daripada Rumi ke William Blake, daripada Sappho sampai ke Rilke sampai ke Sutardji Calzoum Bachri telah menggunakan kenderaan ini. Rilke menegaskan bahawa puisi mengalir melalui dirinya, daripada satu sumber yang misteri. Puisi telah tergantung di dahan pohon, seperti epal, dan dia hanya memetiknya.

Menyelami diri ialah mencari Tuhan dan mencari Tuhan ialah menyelami diri. Aku berharap untuk menggunakan proses puisi sebagai kompas kerana aku yakin jarumnya menunjuk ke dalam diri, ke arah Tuhan.

Kata ‘puisi’ sebenarnya dipinjam daripada perkataan Poiesis yang bermakna ‘mencipta’ dalam bahasa Greek. Orang-orang Greek kuno memandang penyair sebagai pencipta yang diturunkan dewa-dewa. Mereka tidak melihat percanggahan antara hakikat puisi sebagai wahyu dewa dan puisi sebagai teknik penciptaan yang memerlukan gabungan bakat, ilmu dan latihan.

Jadi puisi mesti dicedok daripada kolam dewa dan disusun oleh pemikiran manusia. Namun bagi penyair-penyair surealis penyusunan itu tidak perlu. Mereka menggunakan bahasa mimpi untuk menembusi dinding logika ke daerah yang tidak terjangkau oleh bahasa.

Terus terang aku katakan penggalianku tidak mengikut apa-apa syarat. Aku pasti akan dikeji nanti. Tuhanlah yang mengurniakan puisi jadi jangan sesekali meremehkan kuasa selaman puisi dan menganggap puisi hanya sebagai kata-kata madu. Padahal puisi tidak semestinya manis. Ia hanya mesti luhur dan penyair mesti menjaga keluhuran puisinya. Jika takut untuk berkata luhur lebih baik jangan berkata langsung.

Aku tidak mencari syurga yang penuh dengan buah-buahan padang pasir. Aku lebih suka duku dan rambutan. Biarkan aku berkelana dalam puisi, dari neraka ke neraka, rentung di sisi Tuhan.
Read On 0 comments

Cerpen Percuma: Seminggu oleh Ayam Fared

Ahad, Jun 05, 2011

Dalam tong sampah Ikea warna merah, hadiah bekas kekasih lama yang kini telah pun berkahwin dengan lelaki lain, ada kondom yang berisi mani, yang baru digunakan petang tadi. Tidak, bau mani tidak menyelubungi bilik ini.

Yang tertinggal dan terus berlegar kuat, selain kesunyian dan bunyi kipas yang telah tenat, cumalah bau popotmu, sebagai bukti sebuah rindu yang mestiku tahan lagi seminggu.

"You are god's little thumb."

SMS ringkas yang kau hantar pagi tadi, sebelum kau datang dan kita melangsaikan keinginan, masih tersimpan dalam inbox telefon bimbitku. Ya, telefon bimbit itu, yang tahun lepas dihadiahkan oleh adik perempuanku, yang baru sekejap tadi satu kelebihan aplikasinya ku tahu, lalu belajar menghantar MMS padamu.

Teknologi. Itulah dia. Sesuatu yang bagi aku cumalah alat bantuan yang terakhir menjadi pilihan bila kenyataan seakan menekan dan tak mengizinkan. Walau aku benci, tapi aku terpaksa akui, aku juga bergantung pada mereka kadangkala. Cuma kebergantungan aku padanya tidaklah seteruk mereka yang duduk makan semeja tapi langsung tak berbual sesama mereka akibat masing-masing sibuk melayan alat-alat berteknologi sendiri. Mungkin itulah dunia pada mereka zaman ini, duduk berhadap-hadapan, bersemuka, tapi hanya berkomunikasi di alam maya.

Anti-sosial-individualistik-palsu, bagi aku. Kau juga bersetuju. Seperti yang kita lihat petang tadi, di restoran Papa Rich yang telah kali kedua kau bawa aku ke sana, ketika kita sama-sama masih khayal dengan ganja dan sambil merokok dan bersila, kita memecah suasana dengan cerita Tutti Frutti dan Gautama Buddha.

Kita ketawa, suka. Mungkin kerana ganja, mungkin juga kerana kita tak seperti mereka yang tidak lagi tahu bagaimana mahu merayakan komunikasi alam nyata.

"I know you gonna say that!"

Kau katakan padaku sambil disambut hilai tawa kita berdua. Kau suka, bila kau dapat membaca fikiranku, sepertimana aku selalu membaca fikiranmu. Kita selalu begitu, seronok dan khusyuk dengan permainan minda kita berdua, hingga kadang-kadang orang lain yang ada bersama tidak dapat turut serta bercerita, kerana kita tanpa sedar telah mencipta eutopia kita, dan membiarkan mereka yang ada bersama hanya melihat ternganga. Itu sebabnya aku kadangkala bertanya sendiri, pada akhirnya, apa bezanya komunikasi alam nyata kita berdua dengan mereka yang anti-sosial akibat komunikasi alam maya?

Entah. Sesuatu yang menarik untuk aku dan kau fikirkan.

Ahhh... Sebatang lagi rokok aku nyalakan, aku tak ada pilihan. Inilah dia permasalahannya sekarang. Aku sendiri tak dapat mengawal ke mana tulisan ini akan ku arahkan. Yang aku tahu, tulisan ini adalah akibat aku telah sekali lagi kau tinggalkan, kerana satu tugas yang harus kau selesaikan, menyebabkan aku kembali keseorangan melayan bau popotmu yang masih melekat di awangan, sebagai bukti sakti sebuah rindu yang harus ku tanggung lagi seminggu.

Ya, seminggu!

Sebelum kau kembali ke pangkuanku.
Read On 2 comments

KATA-KATA: Korek Maso

Rabu, Jun 01, 2011
KATA-KATA: Satu lagi keluaran dari Syarikat Penerbitan Jargon.

*


Sebagai bekas pembaca pruf yang lari dari 'berperang,' lebih baik untuk saya mengulas, mengupas, mengorek, mencium, me.... dari sudut seorang pembaca pruf naskhah ini.


Macam biasa, spontan didahulukan, provokasi diutamakan.


Pada malam Sabtu lepas (28 Mei 2011) tanpa mengetahui apa-apa dan bersama menjadi kera sumbang di sebuah pesta muda-mudi atau pesta tua-tui, tiba-tiba saya didatangi lembaga kecil berambut kemas dengan menggalas sebuah beg yang cukup saya kenal.


Beg itu bernama Qifhasdamha.


Qifhasdamha, sebagai sebuah beg bergerak, telah mengeluarkan seorang zine kepada saya secara percuma. Saya pura-pura buat 'perak' untuk seketika dalam kesibukan pesta tua-tui itu. Tapi, mata saya tak dapat mengelak dari mengipas muka saya dengan zine itu dek suasana panas di situ, walaupun malam. Entah kenapa.


Selepas beberapa kipasan yang menyegarkan, saya hentikan kipasan zine itu pada muka-muka surat tertentu secara rawak. Dan biarkan mata saya memerhati, sambil mendengar beberapa ketul emas yang lahir dari mulut Qifhasdamha.


Saya dapat tahu dari Ahmad Shafiq Halim bahawasanya zine yang kandungannya di karang oleh sekelompok homo sapiens ini dibuat dalam beberapa saat (saat, dalam kamus saya bermaksud hari atau untuk exaggerate, lebih dari sejuta hari). Alangkah terkejutnya saya dengan harganya. Terlampau rumah dari zine-zine hip sedia ada. Cuma RM3! Bayangkan jumlah wang untuk membeli naskhah ini boleh digantikan dengan minyak motosikal anda untuk ke pesta tua-tuih ini (mengambil kira RM3 dengan minyak RON95 saya boleh pergi dan balik dari Damansara Damai ke Rumah Pena, sekali sahaja.)


Apa-apa lah. Saya tak berniat untuk mengulas panjang lebar naskhah zine ini kerana kesuntukan masa saya sebagai bekas pembaca pruf dan kehidupan songsang yang saya lalui sekarang ini membuai saya ke angkasa tanpa langsung terkifir untuk menginjak tanah.


Bagaimanapun, sebagai tanda yang saya sudah membaca zine ini, lebih baik saya terangkan sedikit sebanyak isi kandungannya yang kemungkinan akan ditertawakan oleh bijak pandai dari wad-wad kurang waras berdekatan. :)


Secara tak sengaja, saya terselak ke muka surat 31. Sebuah ezzei berjatuk Kematian Tradisi Penulisan Kritikan.


Segabai bakes pemcaba pruf, apa yang saya faham dari perenggan pertama sehingga perenggan ke sepuluh, ianya berkaitan tentang perasaan seorang lelaki yang berkecamuk hatinya (seperti saya juga). Penulis dengan nama WNA, menulis dengan penuh adab kesopanan Melayu unggggul. Lenggok bahasanya membawa saya ke alam di mana berzina itu halal, merompak itu sebuah kitab, membaca bukan lagi perbuatan tapi sejenis makhluk dari planet lain.


Saya terpukau dengan pemikiran WNA yang bijak menghafal nama-nama yang saya sendiri tak kenal. Al maklumlah, saya orang kampung, manalah tahu nama-nama manusia ni. Buku nama-nama bayi yang pernah ada di rumah saya dulu pun saya tak baca habis, apatah lagi gabungan nama Muhammad, Yahudi Wahyudi, Zakir, Saut, Haron, Nisah, Taib, Alias, Affandi, Sitomurong, Emerson, Montaigne, Cervantut, Hassan, Hussin, Abu, Ali, Ya, Objek, Woolf, Sterne, Virginia (atau Restoran Vargina?), Borges dan ada beberapa nama lagi yang tak dapat saya sambungkan menjadi nama manusia.


Tetapi itu bukanlah tujuan utama WNA saya fikir, kerana apa yang diterangkan beliau ialah - menurut apa yang difahami saya - tentang keyakinan beliau dari sudut pandang beliau tentang Seni Penulisan.


Apa itu Seni Penulisan?


Menurut WNA, "Seni ialah alam. Dan alam itu ialah seni. Ia tidak boleh dibunuh."


Ohh, akhirnya selepas mengharungi nama-nama manusia, akhirnya di perenggan ke sembilan barulah saya faham maksudnya.


Saya tersangat setuju dengan WNA mengenai seni itu. 666 peratus diri saya, dari hati bersih saya bersama aliran darah saya yang penuh dengan kekotoran dan kenaifan, saya ulangi sekali lagi bahawa saya sangat sangat setuju dengan kenyataan WNA.


But, there's always a but in a but.


Tetapi, hujahnya bahawa seni itu alam dan alam tak dapat dibunuh, secara literalnya saya tidak setuju. Saya tidak merasakan seni itu alam dan alam itu seni yang tak boleh di bunuh. (Minta maaf, saya terpaksa memaksa pembaca mengulang sebanyak tiga kali ayat terakhir saya ini)


Saya tidak merasakan seni itu alam dan alam itu seni yang tak boleh di bunuh.
Saya tidak merasakan seni itu alam dan alam itu seni yang tak boleh di bunuh.
Saya tidak merasakan seni itu alam dan alam itu seni yang tak boleh di bunuh.


Saya menghormati WNA sebagai keringtikus sastera, tetapi kenyataannya itu terlalu bersifat diktator.


Saya tidak bersetuju secara 'bermetaforanya' tentang alam yang tak dapat dibunuh kerana saya sebagai Melayu-Muslim-Malaysia yang berfikiran lama tidak menganggap sebegitu.


Hujah saya senang, alam, seperti tuhan, akan dibunuh.


Oleh manusia.


Berbalik kedapa Qifhasdamha yang menghadiahkan saya zine ini, saya sangat terhutang jubur kepadanya tetapi tidak pula saya merasakan zine ini sudah sempurna 100 peratus kerana seperti 'alam' ianya tak pernah sempurna.


Walaubagaimanapun, naskhah KATA-KATA ini, saya syorkan kepada kalian yang ingin mengambil tahu tentang 'pergerakan senyap penulis muda yang jahat' supaya membeli naskhah ini. Naskhah permulaan dan akan diteruskan lagi, kata Ahmad Shafiq Halim kepada saya di pesta tua-tui itu. Jelas harapannya untuk melanjutkan kemaluan penulisan tanah air dan visinya yang patut disokung oleh para penilai, pemerhati, pencinta, pembenci, perogol, perompak, pelukis, pelacur, penagih dadah, Fared Ayam atau apa-apa jenis klasifikasi yang kamu dapat bayangkan.


Minta maaf, saya pinta untuk mengundur diri dulu kerana pesanan mesej sudah masuk ke telefon bimbit saya: tanda ada hal yang lebih penting untuk saya kecapi.


Wallahualam, semoga kita semua beroleh pengetahuan dan pergolakan dan peperangan dengan adanya perayaan penulisan.


Bukan setakat tulis-cetak-jual contengan anda dan kemudian terus menghilangkan diri sambung belajar atau apa-apa lah kerja.


Wassalam.


***


Untuk menempah zine ini sila hubungi jargonbooks@gmail.com


**Kelasahan tatabahasu dalam rencanai ini tidak disengajakan.
Read On 2 comments

Nota-nota Gila oleh self proclaimed gila.

Ahad, Mei 01, 2011

"Marahlah dan kutuklah puas-puas. Aku tak ada masa untuk melayan itu semua. Aku hendak pergi buat Nescafe ais."
- Jayzuan, Nota-nota Gila m/s 44.
***


Maka, ketika Jayzuan pergi 'buat Nescafe ais,' dari pada apa yang aku faham, bolehlah kita kutuk sepuas-puas hati naskhah comel Nota-nota Gila beliau, (ha ha ha) dalam satu ayat. Go! Sebelum Jayzuan datang balik dengan Nescafe ais dia.

Catatan gila ini dah berada dengan aku sejak peristiwa Rantai Art di Balai Seni Lukis Negara penghujung tahun lepas di mana aku terjumpa Jayzuan dan melakukan sistem barter dengan dia untuk mendapatkan Nota-nota Gila, dan sehingga sekarang (selepas melompat dari tangan ke tangan ke kaki ke almari sehinggalah aku 'naik sheikh' hari ini) barulah terasa macam mendapat wahyu untuk menyoalkan kehadiran naskhah comel ini di celah-celah jutaan koleksi buku-buku dalam rak 10 tingkat aku, dan dengan itu aku cuba mengambil langkah terkebelakang untuk mengulas sedikit benda alah ini yang mana aku rasa, dalam keadaan rohani dan persekitaran sekarang, buku kedua dari Jayzuan ini bukan hanya sekadar patut dibuang ke dalam tong sampah* malah patut dikitar semula oleh institusi tertentu untuk dijadikan kertas kosong yang mana kertas kosong itu lebih bermakna, jika dicatit perkara-perkara yang 'kurang gila' berbanding cetakan dan kos yang memakan ratusan (atau ribuan) Ringgit Malaysia supaya masyarakat Malaysia umummnya tidak terpesong dengan dakyah-dakyah 'pembangkang' seperti Mohd Jayzuan, yang mungkin ketika ini sudah siap membancuh Nescafe Aisnya dan kembali ke permukaan dunia maya ini untuk projek-projek itu ini.

Nampaknya Jayzuan masih senyap, bolehlah up sedikit keghairahan 'mengutuk'!

Konsep gila?

Apa yang gilanya mengenai buku ini? Senang, tak payah pusing jauh, selak laju dan berhenti di mana-mana muka surat untuk memahami 'kegilaan' Jayzuan.

Selain daripada 'aku' yang dijumpai hampir setiap muka surat, perkataan lain yang popular dalam buku ini ialah 'cinta.' Cinta kepala butuh apa aku tak faham, sikit-sikit awek, sikit-sikit awek, selain sedikit tentang cinta ketuhanan yang plain dan kosong, seolah hasil dari pembacaan dari teks Jabatan Agama Islam Malaysia.

Tak kena shock elektrik macam Mat Karen dalam filem Mat Kushairi & The Velvet Boys lagi kot? he he he.

No komen, tapi masih lagi nak komen. Tulisannya terlebih puitis, bagi aku, sehinggakan konsep cinta yang diketengahkan Jayzuan memusingkan aku ke zaman sebelum gila itu diinstitusikan, di mana 'orang-orang gila' (terutamanya sebelum revolusi Perancis 1789) masih bebas seperti orang lain. Malah, 'orang gila' lah yang ketawa/marah dahulu sebelum sesebuah persembahan teater itu sampai ke penamat.**

Atau mungkin Jayzuan ini double gila, jenis yang 'mengaku gila' (selalunya yang mengaku gila ni tak gila mana pun) dan dia mungkin tahu pura-pura gilanya adalah untuk memeningkan kita (pembaca) untuk mencari hints dalam penulisannya, yang sememangnya kalau dibaca dan ditelan membuta tuli akan menjadikan pembaca itu gila, malah lebih gila dari Jayzuan sendiri.

"Marilah kita meraikan kegilaan," kata watak fiksyen aku, juga bernama Jayzuan.

Sebenarnya, dalam konteks kegilaan Jayzuan, dia sendiri masih terapung dengan dia punya gila (mungkin) kerana kurang mengambil tahu (atau tidak bernafsu mengambil tahu - Punk kan? he he he) tentang konsep gila itu sendiri. Cuma terus mengambil perkataan 'gila' dari kamus Dewan Bahasa dan Petaka (DBP) dan mengaplikasikan konsep gila yang hanya sekadar permukaan, untuk... err... untuk apa?

Bagaimanapun, yang penting ialah kejujuran, dan sedikit kenaifan, untuk kekal hidup dan terus bahagia sebagai seniman, man!

Bak kata Rahmat Haron dalam blurp 28 Hari Jurnal Rock n Roll, "Jayzuan patut terus menulis, menulis sehingga gagal."

Ya, kita sedar Jayzuan jujur menulis. Nasib tak ada ISBN, letak dalam perpustakaan dan digelakketawakan oleh generasi akan datang! Terima kasih kepada penerbit De Algion, yang masih waras untuk tidak menggilakan generasi akan datang.

Eh, sekejap, apa salahnya kita gilakan generasi akan datang? Lagi bagus. Nudity is beautiful, right?

Tapi aku masih ragu, sama ada buku keluaran terhad ini akan kekal seribu tahun akan datang. Ah, apa-apa sajalah Labu....

Wallahualam! Apa aku merepek ni? (ya, ayat yang sama diguna oleh Fareez dalam ulasannya tentang 28 Hari Jurnal Batu dan Bergolek Jayzuan)

Apa-apa pun, Jayzuan, sudah-sudah lah bancuh Nescafe ais, meh la sini...

Nota-nota Gila yang dikatakan cetakan terhad ini mungkin, kalau masih ada, boleh dipesan di Silverfish Bookstore, well, secara digital sudah tentu.

Bye.

*Pengakuan Jayzuan dari muka surat 45, "...kamu boleh terus buangkan ke dalam tong sampah jika kamu rasa buku ini tak berguna langsung."

**Rujuk Michel Foucalt dalam Madness and Civilization. Muka surat berapa aku tak ingat. Buku tu aku dah jual.



Read On 3 comments

Tentang Kami

NP ialah sebuah majalah blog yang cuba menerapkan bahan-bahan penulisan sastera, budaya dan masyarakat oleh penulis-penulis bebas dan baru. Anda juga boleh menyumbang hasil penulisan anda dengan menghantar ke naskahpercuma@gmail.com.

Sekitar Malaya

Sekitar Malaya
“Kumpulan puisi Ajarkan Kami Berpuisi adalah cerminan wajah tiga orang pengkritik sosial dengan suara yang mengucapkan perkara yang sama yakni ketempangan masyarakat...”

Arkib Naskah

Pengikut

Sertai Komuniti NP di Facebook