Resensi Buku: God Is Dead


Ron Currie, Jr
2007
Penguin Books (Edisi Paperback)

Kata-kata Friedrich Nietzsche ‘God is dead’ dalam The Gay Science barangkali adalah salah satu ayat terkemuka dalam bidang falsafah, yang sering kali dipetik dalam konteks mahupun di salah tafsir. Nietzsche berkata dalam konteks tuhan sudah mati dalam aspek ideologi dan pemikiran teologi malah kepada metafizikal kehidupan , satu metafora. Sebaliknya, Ron Currie Jr, mengikat tuhan sudah mati secara literal, fiksi sudah tentu.
Naskah ini bukan novel dalam erti kata konvensional, bukan juga cerita pendek terpisah yang dijadikan antalogi. Ia lebih kepada fragmen-fragmen cerita yang berkait-kait (bayangkan filem Cinta) berpaksikan kepada satu hipotetikal ; Apa terjadi kepada manusia sekiranya tuhan sudah mati?

Mulanya tentang tuhan yang menyamar menjadi wanita Sudan yang merayau-rayau di negara yang sedang berperang mencari adik lelakinya, berjumpa dengan Collin Powel yang sedang menjalankan misi kemanusian di kem pelarian. Sebaik sahaja Collin Powel beredar, kem itu diserang, dan tuhan terbunuh. Yang kemudian, mayatnya dimakan anjing-anjing liar.

Bermulalah satu dunia baru bila kepercayaan mutlak dan paling lama dalam sejarah manusia (keperluan untuk menyembah yang agung dan tidak nampak dek mata dan terjangkau di akal) terhapus dengan kematian tuhan.

Dunia menjadi huru hara sebentar, paderi-paderi dan sister membunuh diri, chaos berleluasa. Sistem order yang selama ini menyatukan manusia lumpuh serta merta.Diceritakan bagaimana anak-anak lelaki yang selepas kematian ibubapa masing-masing (sama ada dibunuh jiran, membunuh diri atau melarikan diri hilang tanpa berita) mula dilanda kebosanan dengan hidup, dan akhirnya sepakat untuk membunuh diri; kerana semua gaya hidup yang mereka kenali selama ini (bekalan air di rumah, elektrik untuk telivision, games dan sebagainya ) sudah tiada kerana dunia sudah putus harap dengan kematian tuhan.

Kemudian naratif cerita bergerak ke masa yang lebih depan, bila mana kerana kematian tuhan, manusia mula mencari perkara/orang/benda yang boleh disembah. Akhirnya, anak-anak kecil disembah oleh ibu bapa masing-masing. Temubual dengan anjing yang memakan mayat tuhan, yang kerana divine tuhan membolehkan anjing itu bercakap dan berfikir- tetapi anjing bukan tuhan. Sehinggalah kepada cerita perang antara Postmodern Antropology dan Evolutionary Psychology yang mengancam dunia yang tiada tuhan.

Naratifnya bergerak pantas, kekadang terasa melompat-lompat antara satu bahagian dengan bahagian yang lain. Mungkin Ron Currie, Jr sengaja menulisnya sebegitu.

Kerana saya mahu percaya, apabila saya menghabiskan helaian terakhir ,bahawa naskah ini bukan literal kosong propaganda golongan tidak percaya kepada tuhan semata. Naratif, plot malah kisahnya disusun sedemikian rupa kerana identiti naskah ini bukan hanya terletak pada teks perkataan tetapi naskah keseluruhan.

Kisah perang bukan asing, begitu juga tema membunuh diri, malah kisah ibubapa yang memanjakan anaknya sehingga mendewakan (Anakku Sazali?) juga adalah tema-tema yang sering tercipta dalam sastera dan seni. Tetapi kerana bermula dengan satu ayat provokatif-bahawa tuhan sudah mati- pembaca terikat dengan idea ini. Sedangkan hidup manusia dalam zaman modern memang selalu melupakan pegangan dan ‘tuhannya’. Apabila sesuatu yang ‘dilupakan’ hilang, hidup manusia mula refleksif terhadap kehilangan yang selama ini tidak di sedari, sehingga bukti kehilangan timbul. Malah, naskah ini di akhirnya dibiarkan ‘tergantung’, lambang bahawa kerana tiadanya tuhan, hidup manusia tiada takdirnya.

Berbeza pendapat dengan semua agungan yang disediakan di dalam buku ini daripada resensi-resensi buku antarabangsa, yang melihat naskah ini sebagai model terbaik untuk mematikan tuhan dan agama.

Saya melihatnya kepada satu sindiran tajam dan dalam kepada masyarakat yang hipokrit tentang kepercayaan dan takdir. Naskah ini mencerminkan bahawa bila mana tuhan mati secara literal, apa yang terjadi dalam masyarakat tidak pun beda dengan yang terjadi bila tuhan hidup. Mereka merintih bila tuhan tiada, tetapi berpaling bila dia ada. Kesalahan sentiasa milik pihak lain.

Apa yang sebenarnya manusia mahukan dalam hidup? Seperti ayat dalam naskah ini berkata, bila tuhan ada, kita boleh tudingkan jari ke langit dan salahkan yang di atas. tetapi sekarang?

* Apabila saya menulis tuhan sudah mati, saya tidak merujuk kepada tuhan teologi (Allah atau apa sahaja tuhan yang kamu percaya), saya merujuk kepada kepercayaan metafizik tentang manusia dan keupayaan percaya. Atau apa sahaja yang kamu mahu tafsirkan.

Resensi oleh Juslaici

5 comments:

Naskah Percuma berkata...

Anda punya pendapat sendiri yang kuat dan anda berani mempertahankannya... Saya suka!

Anak Bumi berkata...

ungkapan 'God is Dead' dari faham falsafah itu rasanya ia berpecah kepada dua. Untuk golongan yang percaya dan atheist.

Bagi sang atheist, dia mengaku bahawa entiti bernama God itu telah pupus lupus dari benak akalnya. Tidak perlu dijelaskan lagi asbab percaya kepada ketidakwujudan Tuhan itu tadi. Namun, bagi seorang yang percaya terhadap Kuasa Tunggal, Keesaan, baik apa saja namanya, aku rasa berkemungkinan lafaz berbentuk 'paradoks metafizik' itu adalah satu luahan ketidakpuasan hati, kekecewaan, apabila takdir dan nasibnya dalam hidup seolah tidak seperti yang diinginkan. Lantas, 'God is Dead' keluar dari mulutnya, atau terilham dalam akal percayanya.

Mungkin benar, atau tidak. hehe.

Port Saya berkata...

dah baca buku ni, tapi tak pandai nak komen detail. :)

Anak Bumi berkata...

Port Saya,

sumbang artikel baharu ya? tolong siapkan dalam masa terdekat. haha!

Port Saya berkata...

awak juga ya. jangan nak mengelat. :p

Gadget

Kandungan ini tidak tersedia melalui sambungan tersulit.