Rumi, Gajah dan Tradisi.

Ilustrasi 'Gajah dengan orang buta' oleh pelukis yang tidak diketahui.


Pernah mendengar cerita tentang gajah dan orang buta? Jika tak, maka sekarang aku ceritakan.

Di seberang Ghor ada sebuah kota. Semua penduduknya buta. Seorang raja dengan pengikutnya lewat dekat kota itu; ia membawa tentara dan memasang tenda di gurun. Ia mempunyai seekor gajah perkasa, yang dipergunakannya untuk berperang dan menimbulkan ketakjuban rakyat.

Penduduk kota itu ingin sekali melihat gajah tersebut, dan beberapa di antara orang-orang buta itupun berlari-lari bagaikan badut-badut tolol berusaha mendekatinya. Karena sama sekali tidak mengetahui bentuk dan wujud gajah, mereka pun meraba-raba sekenanya, mencuba membayangkan gajah dengan menyentuh bahagian tubuhnya. Masing-masing berfikir telah mengetahui sesuatu, sebab telah menyentuh bahagian tubuh tertentu.

Ketika mereka kembali ke tengah-tengah kaumnya, orang-orang pun berkerumun di sekeliling mereka. Orang-orang itu keliru mencari tahu tentang kebenaran dari rakan-rakannya sendiri yang sebenarnya telah tersesat.


Kerumunan orang itu bertanya tentang bentuk dan wujud gajah: dan mendengarkan segala yang diberitahukan kepada mereka.


Orang yang tangannya menyentuh telinga gajah ditanya tentang bentuk gajah. Jawabnya, “Gajah itu lebar, kasar, besar, dan luas, seperti babut.”


Dan orang yang meraba belalainya berkata, “Saya tahu keadaan sebenarnya. Gajah itu bagai paip lurus dan kosong, dahsyat dan suka menghancurkan.”


Orang yang menyentuh kakinya berkata, “Gajah itu perkasa kukuh, bagaikan tiang.”

Masing-masing telah meraba satu bahagian saja. Masing-masing telah keliru menangkapnya.

Tidak ada fikiran yang mengetahui segala: pengetahuan bukanlah sahabat Si Buta. Semuanya membayangkan sesuatu, yang sama sekali keliru.


Makhluk tidak mengetahui perihal ketuhanan. Tak ada Jalan dalam pengetahuan ini yang bisa ditempuh dengan kemampuan biasa.


Dikatakan cerita ini berasal dari naskah Jalaludin Rumi, 'Gajah Dalam Rumah Gelap', yang termuat di dalam Mathnawinya. Jalaludin Rumi adalah seorang sufi mistik Islam yang tersohor, di mana karyanya tersebar hampir ke seluruh dunia dalam pelbagai bahasa. Seperti Aesop, karya Rumi juga mengalami unsur campuraduk dan plagiaris, secara sedar atau tidak oleh pengkarya terkemudian yang membaca kitab tradisi sufi. Langsung, apa yang kita baca pada hari ini tidak tentu samada ia berasal dari Rumi, atau sufi-sufi selepasnya. Malah, mungkin sebelumnya juga. Rumi mempelajari sesuatu dari ajaran kitab yang tertulis. Kerana pada zamannya tiada televisyen, internet juga Facebook, dia hanya membaca buku-buku agama tulisan para alim-ulama, begitu juga hasil tulisan qasidah pemuisi mistik sebelumnya. Sejak kecil, Rumi memang mengagumi Sanai dan Attar, dua orang sufi yang seringkali mempengaruhi Mathnawinya. Dikatakan ketika hayatnya, dia pernah bertemu Attar. Mungkin dari situ dia mempelajari sesuatu daripada pemuisi ulung yang menghasilkan 'Mantiq at-Tayr' atau dalam Bahasa Melayu, 'Sidang Burung'.

Menulis tentang Maulana Rumi, paling tidak kita perlu mengetahui sosok peribadinya. Kita sudah tentu tidak mahu menjadi seperti orang buta tadi bukan? Kita perlu tahu satu perkara, bukan Maulana Rumi yang mencipta tarian sufi kipas, yang ditarikan oleh sekelompok pengikut tarekat Mevlevinya. Tarekat itu dikembangkan oleh anak sulungnya, Sultan Walad. Benar, Rumi meluahkan qasidahnya dalam keadaan mabuk ekstasi. Tetapi, jangan tersalah anggap, para sufi terdahulu mereka tidak layan arak, todi atau Carlsberg untuk mabuk. Mereka mabuk dalam berzikir, atau bernyanyi memuji Tuhan, sepertimana golongan tarikat yang mengalun zikir dengan tarian sekarang kemudian dilabel sesat oleh para salafi moden. Oleh kerana Rumi banyak menghabiskan usianya di kota Konya daerah Anatolia, lebih dikenali sebagai Rum, bekas jajahan Empayar Byzantine; dari situlah dia mendapat nama jolokannya, Rumi. Tidak hairanlah, ada karyanya yang seolah mengikut jalur pantheis, malahan ada yang berbunyi seperti faham reinkarnasi Hindu, dalam salah satu mathnawinya. Justeru, pengaruh yang kelihatan 'asing' dari syariat Islam tersebut mungkin berlaku akibat terjemahan pelbagai bahasa, seperti ke Urdu, Punjabi, Turki, Inggeris, Jerman hinggalah ke Indonesia, kita akan dapati berbagai lapis langgam dan bentuk prosa muncul, walaupun secara dasarnya masih tidak lari dari makna asal, yakni tentang ketuhanan dan pengalaman mistis tradisi sufistiknya. Maulana seorang guru fikah, sebelum dia menjadi bingung akibat kerinduan mencari cinta. Dia pernah menunaikan Haji di Mekah, juga seorang yang berdisiplin dalam penjagaan solat, serta menjalani cara hidup mengikut syariat Islam yang diajar Guru Sufi Terulung, Nabi Muhammad (SAW). Detik mencabar dalam hayat Rumi sudah tentu tatkala 'Kekasih' hatinya si Shems dipisahkan oleh anak muridnya daripada dia. Sehingga sekarang tidak diketahui samada Shems dari Tabrizi itu dibunuh atau dibawa lari jauh ke tempat asing. Ia menjadi satu lipatan sejarah yang hilang dek masa. Menjadi seperti helai kitab purba yang dimakan anai-anai. Sumber-sumber datang dan pergi dari telinga kita seolah bayu petang.

Bagaimanakah puisi Rumi boleh melantun ke wilayah nusantara? Sudah tentu, mathnawinya datang dari qasidah para sufi Parsi. Tarekat dari India, serta segolong tarekat lain yang mengalun muzik dan nyanyian sebagai metode berdakwah. Seumpama Wali Songo yang menggunakan budaya setempat sebagai medium sebaran nilai Islam, begitu juga yang dibawa oleh pengikut tarekat 'Sufi Kipas' ini. Ironi, mesej Islam yang dibawa golongan sufi lebih lembut dan moderat berbanding dakwah yang dibawa masuk melalui pedagang Arab dan hasil perkahwinan campur dua agama.

Sejarah Jalaludin Rumi dengan mathnawinya adalah kisah sedih, melampaui kisah cinta platonik kebiasaan. Ia adalah kisah rindu-rinduan. Tentang perbualan dua insan yang tiba-tiba sunyi. Hilang dipisah lantaran rindu pun datang. Apakah kesan terhadap kamu apabila membaca naskhah Rumi? Bahkan jika kamu sedar, banyak hasil tulisannya itu dipengaruhi oleh metafora-metafora dan kisah para nabi di dalam ajaran tradisi sufi dan daripada kitab agama Islam, yakni Al-Quran.


Hanya Dia yang tahu.




Sumber:

1. Dimensi Mistik dalam Islam, Annemarie Schimmel.

2. Buku Mathnawi Jalaludin Rumi, terjemahan Inggeris, A.J. Arberry dan Coleman Barks serta terjemahan Indonesia.

3. Internet, wikipedia.

4. Terjemahan Indonesia cerita 'Gajah Dalam Rumah Gelap', diambil dan diedit tanpa kebenaran dari sini.

6 comments:

kamal sabran berkata...

music inspired by RUMI :)

http://soundcloud.com/spacegambusexperiment/sebuah-tidur-dan-keterlenaan-feat-moloko

Mohamad Farez Abdul Karim berkata...

sempat promot bang, hhehe..

Port Saya berkata...

Rumi ni kategori penyair sufi.. ada banyak pengaruh Tabriz dalam karya2 beliau. kebanyakan penyair terdahulu sering dipengaruhi oleh pengaruh lingkungan setempat. zaman beliau, Islam belum begitu berkembang lagi, ada pertentangan idealogi etc

dia memang kewl, best. :)

Naskah Percuma berkata...

Menurut Carl Jung ada sesuatu yang dinamakan "collective conciousness" (ahli psikologi tempatan belum lagi menrjemahkan istilah ini ke bahasa melayu) dan kerana itu metafora, simbol2 di bawh seda, mimpi dan segala yg berlaku di ruang bwh sedar manusia punya persamaan kerana ia berasal dari satu memori kolektif. Budaya akan memberi intrepetasi yg sedikit berbeza atas simbol dan metafora tp secara asasnya, simbol yg kita lihat dari mimpi dan dtg di bwh sedar adalah sama...

Mohamad Farez Abdul Karim berkata...

aku malu sebenarnya nak tulis tentang Rumi, sebab beza kami langit dengan bumi. :P

Mohamad Farez Abdul Karim berkata...

Rumi banyak mengguna simbol dalam mathnawinya.

contoh;

1. mengungkap tentang matahari atau dalam bahasa Arabnya Shams. Dan Shems juga adalah nama sang sahabat, guru mistik yang hilang.

2. perumpamaan dan cerita falsafah tradisi sufi. perihal pengorbanan kacang seolah cerita Habil dan Qabil. Bagaimana kacang direbus sebagai bentuk korban, lalu mati.

3. perihal berbisik kepada tumbuhan akan rahsia yang paling dalam. Pernah melihat filem 2024, tak silap aku, tentang watak yang selalu menyimpan rahsia dengan berbisik kepada lubang pokok. Cerita ini dikatakan berasal dari tamadun Yunani. Tidak hairan sofist, juga kaum sufi Islam terpengaruh dengannya. Bukankah mereka semua berasal dari Tamadun Timur? Juga dalam tradisi Syiah, seolah cerita Imam Ali membisikkan rahsia tentang pelantikannya sebagai Khalifah selepas Nabi kepada lalang, yang kemudian disebarkan pula kepada manusia..dll.

Sejujurnya, jika kita membaca karya Sanai atau sufi terdahulu dari Rumi, mungkin kita akan dapat lebih lagi pengalaman tentang dunia sufi dalam agama Islam. Mungkin juga agama-agama rohani lain yang menggunakan cerita sebagai pengaruh teladan dengan unsur mistis, esoteris dan lebih mendalam ke dalam jiwa.

wallahualam.